Peperangan KBAT Dengan Kepintaran Buatan (AI)

Pada tahun 2009 dahulu, saya pernah menulis sebuah artikel bertajukThe Otherness: Pengitlakan Istilah Mengundang Musibah. Ia ditulis sebagai satu proses awal mencerakin kebimbangan saya tentang cara masyarakat berfikir dan mengandaikan sesuatu.

Kebimbangan itu adalah kebimbangan zaman tersebut. Ketika masyarakat menjadi sangat berpolarisasi kesan politik kepartian yang meruncing. Ia menyukarkan kita berfikir dengan tenang bahawa bukan semua benda boleh dipakej-pakejkan secara mudah, lalu terdorong kepada ambil semua atau tolak semua.

Polarisasi ini boleh bersifat benign seumpama ketumbuhan yang tidak berbahaya. Tetapi ia juga boleh merosakkan, mendatangkan kesan malignant ke atas masyarakat hingga polarisasi elit di kalangan segelintir masyarakat yang mempunyai akses khusus kepada maklumat tertentu bertukar menjadi polarisasi massa yang meracun politik era pasca kebenaran (post truth politics).

Itulah yang saya fikirkan hari ini, sebagai rakyat Malaysia yang duduk jauh di perantauan. Rakyat Malaysia yang bergantung banyak kepada maklumat apa yang sampai kepadanya. Untuk maklumat mengenai satu-satu kejadian itu sampai kepada saya, ia perlu menempuh proses merakam dan mendokumentasi, penafsirannya oleh pelapor, gelombang manipulasi media sosial Malaysia terutamanya pada apa yang berlegar di Facebook, WhatsApp, Twitter dan Youtube, dan akhirnya oleh algorithm media sosial itu sendiri.

PENGALAMAN BERSAMA AKHBAR THE EDGE MALAYSIA

https://www.instagram.com/p/B62F_YRHsNV/?utm_source=ig_web_copy_link

Kejadian akhbar The Edge Malaysia menggunakan foto saya untuk melaporkan kejadian jenayah dadah yang didakwa ke atas anak kepada Menteri Pertahanan ketika itu memberi kepada saya pengalaman yang unik. Ia mungkin isu kecil di celah jutaan isu lain yang menyibukkan masyarakat. Tetapi memberitahu saya beberapa perkara tentang perang media, maklumat, mentaliti wartawan dan bagaimana sesebuah kerajaan boleh berdiri atau tumbang bukan lagi dengan proses demokrasi yang well-informed.

PERBUALAN DENGAN ANAK-ANAK

Usai makan malam di satu petang, saya anak beranak berbual tentang hal ini.

Perbualan kami terhenti seketika apabila anak-anak bertanya, “if abi still in Malaysia, would you be able to keep your mind clear as what you’re showing now?

Dengan soalan itu saya terdiam.

Bagi mereka, saya sedang memperlihatkan kepada mereka yang kefahaman saya jelas tentang apa yang berlaku di Malaysia. Seumpama itik berenang damai di permukaan air. Menyembunyikan kaki yang sedang terkapai-kapai untuk kekal bertahan.

Anak-anak sudah membesar. Mereka boleh ingat dan membuat penilaian kehidupan semasa di Malaysia itu tidak sihat untuk saya. Sibuk sepanjang masa, hari-hari orang minta bercakap, hingga menjejaskan masa membaca dan berfikir. Ia berbahaya. Tidak cukup dengan melazimi surah al-Kahf hari Jumaat.

Pertanyaan anak-anak itu mengingatkan saya kepada refined techniques of Orwellian yang mengajar kita apabila berinteraksi dengan realiti, fikir dua kali. Hati-hati dengan yang tersirat di sebalik yang tersurat walaupun akhirnya kita sebagai manusia, terdesak untuk bertindak dengan apa yang tersurat.

Sebab itu ada tawakkal dan kena bertawakkal di satu kemuncak usaha.

Jawapan saya kepada anak-anak menjadi ironi. Saya lebih bermanfaat jika berada di Malaysia tetapi saya sendiri menjadi manusia yang sentiasa merosot kualiti diri. Apabila berada jauh, lebih ruang untuk memperbaiki kefahaman, tetapi mengurangkan pula peluang berbuat sesuatu untuk manfaat masyarakat.

Kejadian fitnah akhbar The Edge Malaysia itu mengingatkan saya bagaimana demokrasi sendiri menjadi cognitive dissonance. Pejuang kebebasan sendiri adalah tyrant dan sebagai rakyat marhaen, anda tetap tertindas, diperkotak-katik walaupun empat lima tahun sekali anda diberi bayangan sebagai manusia yang mempunyai hak memilih.

Saya sendiri di suatu ketika merupakan pembaca setia akhbar tersebut, tetapi Tuhan beri peluang untuk merasa sendiri racun corporate media seperti itu. Not to say media ‘konservatif’ itu waras pula.

TRAGEDI KERAJAAN PINTU BELAKANG

Selepas kejadian kerajaan pintu belakang yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini, saya fikir, walaupun ia tragis, ia tidaklah mengejutkan saya. Tidak terkejut itu pula bukan bermakna kejadian itu enteng.

Dalam beberapa hari ini pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan mula menggerakkan usaha memberi penerangan kepada masyarakat tentang apa sebenarnya yang berlaku dan apa yang berlangsung semasa mereka berada di kerusi menteri. Melalui ucapan mereka, saya memetik beberapa kata kunci, antaranya kekangan mereka semasa menjawat jawatan menteri daripada berceramah seperti sekarang. Banyak benda yang kita tidak tahu, menurut mereka.

Ada kebenarannya.

Tetapi pada masa yang sama, saya fikir, inilah kelemahan besar kerajaan Pakatan Harapan semasa berkuasa tempoh hari. Di era perang maklumat dan dissonance yang mensesiakan hujah dan data, Pakatan Harapan tidak menampakkan kecekapannya mengendalikan hal ini hingga akhirnya naratif yang menguasai pendapat awam adalah naratif yang merugikan. Pasukan media bagi para menteri mungkin tidak berperanan secara berkesan dalam menangkis serangan persepsi dan kritikan. Manakala individu yang aktif di media sosial, antaranya saya sendiri, berdepan dengan kesukaran mendapatkan maklumat untuk membantu.

Kita bukan minta duit atau jawatan.

Kita minta maklumat yang boleh dipakai untuk memberi pendidikan kepada masyarakat.

Malangnya mesej tidak berjawab hingga kita sendiri menjadi orang asing kepada kerajaan pilihan kita sendiri.

Daripada marah-marah, fikirlah baik-baik apa yang perlu dilakukan untuk mendepani kepintaran organik yang terganggu masa kini, di celah-celah kepintaran buatan (artifical intelligence) yang menggerakkan media dan massa.

https://www.facebook.com/hasrizalabduljamil/posts/2511504152449360

Sebagai bapa dan juga guru, saya tidak dapat secara mudah ‘menyerahkan’ pendidikan anak-anak kepada sistem pendidikan Finnish yang dikatakan bagus ini. Antara isu besar yang saya khuatir mengenai pendidikan di sini, adalah keberkesanan near transfer dan far transfer dalam melatih anak-anak menjadi manusia yang boleh berfikir dengan baik.

Saya tidak dengan mudah-mudah percaya bahawa jika belajar coding, maka akan mengukuhkan kemahiran problem solving. Jika belajar bermain catur maka akan jadi pandai matematik, seperti yang dilakukan oleh kerajaan Armenia di awal 2000an dahulu. Jika pandai muzik, maka akan cerdas arithmetic.

Saya perlu memainkan peranan menolong anak-anak membangunkan upaya KBAT mereka agar kepintaran organik yang Allah anugerahkan, tidak menjadi hamba kepada kepintaran buatan yang menguasai dunia hari ini.

Hari-hari kita bersembang.

Sementara abi masih hidup.

Kesimpulan saya kepada anak-anak ringkas sahaja: I’m glad to be rather old, pity the children!

Terutamanya apabila agama jadi bahan politik semasa.

HASRIZAL
Oulu Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.