Budak Tebing: Drama ‘Coming-of-Age’ Tempatan Yang Perlu Ditonton Semua

Banyak memasak, banyak masa di dapur, di musim PKP, termasuk saya sekeluarga di Finland ini… terima kasih kepada tetamu di Instagram yang mula-mula mencadangkan kepada saya menonton drama bersiri BUDAK TEBING di TV3.

Saya asalnya ‘malas’ hendak memberi komitmen kepada drama bersiri. Sedang tak ada mood.

Apa yang menggerakkan hati saya adalah kerana drama ini kena dengan genre yang saya minat iaitu drama atau filem COMING-OF-AGE. Ia berbeza daripada sekadar drama remaja walaupun kedua-duanya berkisar kehidupan remaja.

Drama atau filem remaja memberi fokus kepada dunia remaja dan meraikannya. Tetapi genre coming-of-age selalunya membawa kita meneroka dimensi emosi, mental, mungkin juga spiritual, secara lebih mendalam melalui paparan konflik yang rumit.

Semenjak dahulu, saya meminati filem Stand By Me dan banyak filem lain lakonan River Phoenix. Antaranya ialah Surviving: A Family in Crisis, Circle of Violence: A Family Drama, The Mosquito Coast, Little Nikita, Running on Empty dan banyak lagi.

Genre coming-of-age memerlukan pelakon remaja yang menjiwai watak dengan kekayaan emosi. Saya jarang bertemu bakat sehebat River Phoenix dan adiknya Joaquin Phoenix untuk genre ini.

Joaquin Phoenix dan abangnya, River Phoenix

Balik ke tebing untuk drama kita ini…

Satu dua episod awal Budak Tebing, saya perlu bersabar kerana dialog masih kurang kaya. Banyak adegan yang jika boleh, saya ingin mendengar butir perbualan yang lebih berisi dan bukannya macam tak tahu nak cakap apa. Agak ’menggelebeh’.

Tetapi perlahan-lahan, watak Yoyol (Fariz Isqandar), Arif (Adam Lee), Tongki (Aedy Ashraf), Laura (Bella Dowanna), Munira (Eyka Farhana), juga Talam (Firdaus Ghufran), mula berkembang.

Bukan sahaja dialog mereka bersahaja dan lebih tulen berbanding kebanyakan drama Melayu yang berlambak sejak sekian lama, malah emosi yang dibawa juga kuat pada membawa mesej “tiada budak jadi nakal tak bersebab”.

Ia adalah subjek yang sering saya sentuh di dalam penulisan. Tema yang sangat dekat di hati saya sebagai seorang ayah kepada anak-anak remaja, dan cikgu yang melawan struktur sistem pendidikan semasa sebagai latar belakang ramai remaja gagal merasakan pengalaman persekolahan mereka bermakna.

Sebagai guru, dan pelajar bidang sains pembelajaran, saya juga sentiasa berminat memahami perkembangan remaja, sama ada dari aspek psikososial mereka, mahu pun kognitif yang menjadi amatan saya melalui butiran perbualan, pemilihan perbendaharaan kata dan cara mereka mengungkap perasaan, fikiran malah gurauan dan amukan. Mungkin kerana, saya juga seorang ayah kepada anak-anak remaja, yang sentiasa mencari kekuatan untuk terus mendidik mereka, di negeri asing ini.

Tetapi, sejujurnya… kepuasan lebih mendalam buat saya, adalah pada OST drama ini, iaitu lagu rap SAKIT persembahan anak muda yang saya hormat dan doakan iaitu Zynakal dan Yonnyboii. Ia menceritakan segalanya.

Semasa ternampak berita Zynakal bergaduh di stesyen minyak suatu ketika dahulu, saya terfikir pasti ada sesuatu di sebalik apa yang berlaku. Slogan ‘tiada remaja nakal tak bersebab’ terus diaktifkan, dan temubual Mstar dengan Zynakal menimbulkan rasa empati, bahawa beliau perlu dibantu dan disokong. Bukan dikecam. Tiba-tiba keluar lagu Sakit, 100% di luar genre saya, tetapi liriknya sangat bermakna, hasil kolaborasi seorang sahabat, iaitu Yonnyboii.

PRODUK KITA

Sesungguhnya kanak-kanak dan remaja bermasalah, adalah ‘produk’ orang dewasa yang bermasalah, jauh lebih awal mendahului segalanya.

Apa yang berlaku kepada Arif, Yoyol, Tongki, Laura, Ira demikian juga Talam dan kawan-kawan sekeliling mereka adalah kerana perbuatan orang dewasa di sekeliling, termasuk ibu bapa mereka. Sama ada kerana ganas, jahat, lemah, memanipulasi, menganiaya, mengambil kesempatan, atau mengabaikan, dan tidak cukup berazam untuk memberhentikan kitaran beracun yang ada.

Jika saya perlu memilih, tanpa menafikan watak-watak lain yang ada kekuatan masing-masing, watak mahal dan lakonan paling menjadi, setakat ini, adalah Yoyol, lakonan Fariz Isqandar.

Kelakuannya mahu menonjolkan diri sebagai seorang yang bukan lagi budak-budak, loyar buruk, memanipulasi kelemahan ibu, kekecewaan yang dipendam kerana terasa tidak disayangi, dimanipulasi hingga terjebak ke kancah jenayah.

Itulah Yoyol. Bila buat perangai, rasa nak lanyak. Bila bersedih, kita diselubungi rasa bersalah kerana kurang sabar dalam memahami budak ‘annoying‘ kaki PUBG seorang ini.

KRITIKAN PENAMBAHBAIKAN

Jika saya ada ruang untuk mengemukakan maklum balas untuk penambah baikan, mungkin kritikan saya adalah pada beberapa perkara yang kecil, dan besar, untuk kecemerlangan sebuah karya.

Jika saya ada ruang untuk mengemukakan maklum balas untuk penambah baikan, mungkin kritikan saya adalah pada beberapa perkara yang kecil, dan besar, untuk kecemerlangan sebuah karya.

Pertama, isu sampingan… saya agak kurang mendapat kepuasan mengenai tahap ‘comot’ watak-watak yang tidak cukup comot. Bukanlah hendak selekeh melampau. Cukuplah sekadar kena dengan imej Budak Tebing. Saya berpandangan watak kanak-kanak semasa flashback Budak Tebing, adalah lebih kena dengan milieu Budak Tebing, berbanding watak remaja / anak muda yang agak ‘flawless’. Mungkin saya silap. Saya juga sudah lama meninggalkan tanahair. Sekurangnya-kurangnya dalam hal ini, saya ucapkan syabas kepada Tongki yang membirukan sedikit rambut untuk menyokong mood ‘Budak Tebing’ yang saya maksudkan.

Orang miskin juga, jika hendak digambarkan kemiskinannya kepada sebuah rumah, mungkin rumah Tongki dan emaknya yang ditinggalkan itu, lebih menggambarkan mesej berkenaan, berbanding rumah popular pilihan drama-drama tempatan yang menjadi kediaman Arif dan Yoyol bersama ibunya. Saya tiada maklumat rumah berkenaan sebenarnya rumah siapa, tetapi saya sebagai orang kampung kalau nampak rumah sebesar itu, biar pun rumah kayu, ia rumah ‘seseorang’ di kampung berkenaan.

Itu mungkin hal-hal kosmetik.

FAKTA

Kritikan utama saya kepada drama ini yang menjejaskan rasa selesa dan puas menontonnya adalah berkaitan fakta prosedur mendapatkan geran dan jual beli tanah. Saya tidak arif tetapi berasa ada sesuatu yang tidak kena, apatah lagi kampung itu jelas sekali merujuk kepada Kampung Baru di Kuala Lumpu. Demikian juga dengan dua jenis euthanasia di hospital (aktif dan pasif) semasa membuat keputusan untuk mencabut mesin sokongan hayat, yang penting agar tidak memberi gambaran yang salah kepada masyarakat. Bagi saya, tidak rugi jika pasukan bertanggungjawab membuat sedikit penyelidikan dan mengkayakan skrip dengan sedikit perisa fakta. Tambahan pula, ada kecenderungan untuk drama ini mendidik masyarakat, sebagaimana Laura, Tongki dan Arif bercakap tentang modus operandi scammer (merujuk kepada Abang Lan).

CONTINUITY

Kedua; rasa terganggu saya dengan CONTINUITY antara babak di dalam drama.

Saya bukan orang drama atau filem. Sempat belajar sedikit ilmu menulis skrip dengan Tuan Zabidi Mohamed lama dahulu. Saya harap apa yang saya ungkap ini betul. Jika silap, maafkan saya dan mohon betulkan.

Contoh continuity paling bermasalah yang saya terganggu adalah selepas babak pergaduhan di antara Laura dan ibunya bergaduh dengan Kamarudin yang telah merogol anak kandungnya sendiri, Ira. Saya terkejut apabila tiba-tiba Laura terus membahasakan bapanya daripada ‘papa’ kepada ‘kau’. Ia agak abrupt dan canggung.

Babak berkenaan begitu tegang, berlaku cekik mencekik yang berpindah daripada mencekik isteri kepada mencekik anak. Babak itu mencapai kemuncaknya apabila ‘Zarina Zainuddin’ menghempuk Kamarudin hingga pengsan, bibik menelefon polis tanpa disuruh (syabas!), dan tiba-tiba babak melompat ke 2 BULAN KEMUDIAN!

Alamak, adrenalin di dalam badan saya menjadi kucar kacir dibuatnya. Mungkin kalau ada beberapa saat tambahan untuk melunaskan kesudahan sang perogol si Kamarudin itu, ‘flow’ akan terasa lebih lancar, berbanding perpindahan tergesa-gesa kepada 2 bulan kemudian.

Ia mengganggu rhythm drama berkenaan.

Begitu juga semasa polis menembak Abang Lan, Talam yang pengsan bangun, kemudian babak terus mengabaikan mayat penjenayah besar di tanah, beralih kepada drama sedih antara Tongki dengan bapanya yang meminta maaf.

NARATIF YANG KONSISTEN

Semasa Kamarudin berbual dengan Ira di dalam kereta (episod 10) tentang Laura, beliau menerangkan status Laura sebagai anak angkat, sulit untuk bersentuhan sebagai bapa dan anak, urusan nikah kahwin nanti menjadi susah sebab beliau bukan wali Laura… tiba-tiba semasa pergaduhan di episod akhir, Zarina Zainuddin menjerkah suaminya yang menuduh Laura anak pungut, dengan mengatakan bahawa Laura adalah anak susuannya, darah dagingnya!

Saya faham hal ini boleh dirasionalkan bahawa sudah jadi anak susuan pun masih diungkit sebagai anak angkat. Tetapi saya rasa ada sesuatu yang tidak konsisten di dalam naratif mengenai Laura. Sepanjang naratif Laura sebagai anak angkat, tiada langsung terbayang wujudnya konsep anak susuan, dan apabila ia muncul, ia muncul tanpa impak yang munasabah.

Kamarudin seperti begitu ‘Islamik’ hingga dingin dengan Laura kerana dia anak angkat dan bukan mahram sedangkan sudah jadi anak susuan, tidak mengalu-alukan kemunculan Ira juga kerana isu bersentuhan sesama bukan mahram, terus bertukar menjadi mesra apabila mendapat tahu beliau anak kandungnya, mesra yang secara pantas bertukar pula kepada nafsu paedofilia merogol anak sendiri. Saya agak kebingungan walaupun tidak pasti bagaimana hendak mengungkapkannya. Ada kejanggalan pada perpindahan emosi berkaitan isu ini.

Kebanyakan isu ini saya rasa signifikan mungkin kerana saya memberi perhatian kepada emosi semasa menonton drama yang bagus ini. Walter Murch di dalam Rule of Six berkaitan proses edit berkata, elemen-elemen penting continuity adalah emotion, story, rhythm, eye trace, 2D plane of screen, dan 3D space. Akan tetapi elemen paling penting perlu dijaga untuk cut yang baik ialah berkaitan emosi, cerita atau naratif yang masuk akal, serta rhytm.

ZARINA ZAINUDDIN

Saya juga berpandangan, watak Zarina Zainuddin perlukan nama, selain mama, puan, awak, you, kak, yang diulang-ulang selama 13 episod drama ini berlangsung. Puas saya mencari apakah nama watak beliau sedangkan suaminya lakonan Alex Afian ada nama watak iaitu Kamarudin. Mungkin ada, tapi saya tak jumpa. Tak mampu nak ulang tengok untuk mencari nama berkenaan. Kadar kemunculan Zarina Zainuddin cukup signifikan dan memerlukan wataknya ada nama untuk diingati penonton.

Semua saranan ini lebih kepada untuk meningkatkan lagi kualiti Budak Tebing sebagai sebuah drama. Ia tidak menafikan kepuasan yang diperolehi daripada faktor awal yang telah diulas sebelum ini.

LARAS BAHASA

Sebagai penutup, saya ingin memberi pujian kepada laras bahasa yang dipakai. Lebih bersahaja, natural, tidak ‘skema’ dan kaku, seumpama menafsirkan ‘uff’ di dalam al-Quran sebagai “ahh!” yang hanya ada dalam drama, tidak realiti kehidupan. Faktor laras bahasa ini saya lihat melalui komen-komen di media sosial, menjadikan ramai penonton rasa connected, selain isu-isu realistik yang dipaparkan.

Sebagai ayah dan cikgu, saya tekun mengikuti drama ini, dan berharap ia ditonton ramai.

Ingatlah, tiada kanak-kanak yang menjadi nakal tanpa sebab. Jiwa mendidik, menuntut kesudian untuk mendengar, memahami, dan berusaha menawarkan solusi, jauh daripada hukuman, nista dan keji.

Syabas Tuan Feroz Kader dan pasukan.

#budaktebing #tv3

Hasrizal
Oulu Finland

https://www.youtube.com/watch?v=k1sbFuapRmU
Budak Tebing Episod 1
https://www.youtube.com/watch?v=ZmRDjgYvsMY
Budak Tebing Episod 2
https://www.youtube.com/watch?v=462r9JcZ-fE
Budak Tebing Episod 3
https://www.youtube.com/watch?v=asF0clcUnbc
Budak Tebing Episod 4
https://www.youtube.com/watch?v=WrAcwItBHUI
Budak Tebing Episod 5
https://www.youtube.com/watch?v=bjS4pFYDA28
Budak Tebing Episod 6
https://youtu.be/r8oy04J2-0k
Budak Tebing Episod 7
https://youtu.be/WPBz6N-OoSc
Budak Tebing Episod 8
https://www.youtube.com/watch?v=2z3z5SPwWw0
Budak Tebing Episod 9
https://youtu.be/38epPMP_pNU
Budak Tebing Episod 10
https://www.youtube.com/watch?v=ncyG9qLStbQ
Budak Tebing Episod 11
https://www.youtube.com/watch?v=-ZbPeSye6wQ
Budak Tebing Episod 12
https://youtu.be/ehX7WdULUfo
Budak Tebing Episod 13

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Nany Adifah BT Abdullah Kamal

    Keep sharing! musim PKP ini memang saya mencari cerita-cerita yang best untuk ditonton. Selalunya apa yang ustaz shared memang saya akan masuk dalam list terus. Dan berjaya menonton bersama anak-anak. So far, saya tak nyesal kalau tengok cerita yang IamHasrizal pun tengok. Yeayyy~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.