Into The West (1992): Kembara Anak Bersama Tír na nÓg

“Kenapa kamu bercakap dengan kuda itu?” tanya Tito.

“Kenapa tidak?” jawab adiknya Ossie.

Filem INTO THE WEST ini diperkenalkan oleh guru bahasa Inggeris kami semasa saya mengambil kursus pendek bahasa Inggeris di QUB di Belfast pada tahun 2000. Kami menontonnya di dalam kelas, ketawa berdekah-dekah, sedih dan terharu sepanjang menontonnya.
Guru kami mahu memperkenalkan kepada kami budaya Irish, dan mungkin serba sedikit loghat bahasa Inggeris Irish yang melelahkan tetapi menarik, sebagai sebahagian daripada kandungan kursus.

Filem arahan Jim Sheridan ini adalah filem magical realist, yang menggambarkan realiti semasa tetapi menyelitkan elemen magikal yang diambil daripada hikayat rakyat. Ia diterbitkan pada tahun 1992 mengisahkan pengembaraan dua beradik iaitu Tito (lakonan Rúaidhrí Conroy) dan Ossie (lakonan Ciarán Fitzgerald) bersama kuda mereka.

Ayah mereka, Papa Reilly (lakonan Gabriel Bryne) adalah seorang duda. Beliau telah meninggalkan komuniti mereka, kaum minoriti travellers di utara Dublin, selepas kematian isterinya, Mary. Datuk Tito dan Ossie adalah seorang penglipurlara. Beliau telah diekori oleh seekor kuda putih misteri yang tiba-tiba muncul dari laut. Apabila kuda itu diperkenalkan kepada cucunya Tito dan Ossie, kuda itu terus mesra dengan mereka lalu dihadiahkan kepada budak berdua itu, dan diberi nama Tír na nÓg, bermaksud Negeri di Mana Kita Muda Selamanya.

Semasa budak berdua ini membawa kuda mereka naik lif dan duduk di rumah pangsa getto mereka, ia mengingatkan saya kepada cerita pakcik Arab di Jordan semasa kami bersembang. Katanya, semasa kerajaan Jordan mahu mendaftarkan rakyatnya untuk membentuk negara, mereka cuba memujuk kaum badwi agar berhenti berpindah randah. Maka di Mu’tah itu, kaum badwi diberikan rumah oleh kerajaan. Mereka terus hidup di dalam khemah, manakala rumah yang diberi kerajaan dijadikan kandang kambing. Saya ketawa mendengar kisah itu, memikirkan kesukaran mengubah budaya.

Malangnya kuda Tito dan Ossie telah dirampas oleh polis.

Polis pula bergelumang korupsi, menjual kuda itu kepada seorang hartawan untuk dijadikan kuda perlumbaan.

Maka bermulalah perjalanan mereka dua beradik mencari Tír na nÓg, dan seterusnya menunggang kuda itu INTO THE WEST, iaitu daerah yang dimaksudkan di sebalik nama Tír na nÓg.

Papa Reilly terpaksa menebalkan muka kembali kepada kaum travellers untuk meminta bantuan mencari anak-anaknya yang hilang.

Rupa-rupanya kuda putih itu adalah jelmaan roh Mary, ibu kanak-kanak itu yang kembali untuk bersama dengan anak-anaknya.

Ia dihasilkan asalnya bukan untuk menjadi filem kanak-kanak.

Namun dek fokus perjalanan filem ini adalah kepada Tito dan Ossie, ia menjadi filem ini tontonan keluarga yang klasik, penuh nostalgia, menenggelamkan nama besar Gabriel Bryne, pelakon Irish di Hollywood.

Khayalan kanak-kanak, peranan cerita dalam mengembangkan imaginasi, kejujuran kanak-kanak dalam meluahkan fikiran dan perasaan, keberanian mengambil risiko… adalah antara genre pendidikan yang menarik dipersembahkan di dalam filem ini. Di sampingnya, tema orang dewasa seperti khilaf budaya, korupsi penguatkuasa, jurang kaya dan miskin di dalam masyarakat serta polisi kerajaan terhadap kaum minoriti, yang turut menarik untuk diberi perhatian.

Ireland di zaman silamnya mempunyai hubungan yang unik dengan dunia Arab kerana monks yang berhubung antara bumi Palestin dengan negeri St. Patrick itu. Konsep Tír na nÓg, yang bermaksud “Negeri di Mana Kita Muda Selamanya” mengingatkan saya kepada kepercayaan kita umat Islam bagaimana di Syurga, kita semua dimudakan oleh Allah SWT.

Filem ini penuh kelucuan di dalam dialog jujur Ossie yang selalu semput dengan asthma beliau. Jika anda berminat dengan accent Irish dan sabar untuk memahaminya, filem ini adalah filem yang sangat menghiburkan, sesuai ditonton bersama anak-anak.

Syaratnya, anak-anak anda bukan peminat filem Marvel dan DC yang mahukan fast pace di dalam aksi.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.