Cuties di Netflix: Tonton Menakutkan, Tidak Tonton Pun Menakutkan


Cuties adalah filem di Netflix yang menakutkan jika ditonton, dan tetap menakutkan jika tidak ditonton.

Saya tidak galakkan sesiapa pun untuk menontonnya. Tetapi mesej daripada filem ini sangat benar, perit dan penting.

Semasa anak balik dari sekolah semalam, beliau cerita tentang kempen solidariti LGBTQ+ minggu ini di sekolahnya. Kesimpulan beliau, semua ini adalah ekoran dunia remaja sekarang yang ‘over sexualised’.

Dunia hipokrit hari ini yang masih percaya kepada ‘consent age’ tetapi seawal sekolah rendah sudah mengkiblatkan segalanya kepada seks.

Seseorang boleh merujuk identiti diri kepada bangsa, bahasa, budaya, agama, negara, kenapa mesti jantina dan orientasi seks yang sepatutnya hal sangat peribadi bertukar menjadi ‘asabiah’ untuk membentuk kumpulan?

Walaupun mesej pengarahnya, Maïmouna Doucouré, amat jelas dan penting, bahawa kita sedang berhadapan ancaman bahaya budaya over sexualisation remaja, Lina Nealon yang merupakan pengarah National Centre on Sexual Exploitation (NCOSE) betul semasa berkata “walaupun kita menyokong usaha Maïmouna Doucouré mendedahkan ancaman yang sangat benar terhadap kanak-kanak perempuan memperolehi akses tanpa batasan ke media sosial dan internet, kita tidak boleh menyokong hyper-sexualisation dan eksploitasi ke atas kanak-kanak tersebut berlakon untuk menunjukkan mesej beliau. Penonton tidak perlu melihat scene yang begitu panjang dengan close-up shots terhadap tubuh budak-budak perempuan tersebut kerana tiada apa-apa pendidikan kepada penonton mengenai bahayanya sexualisation.”

Saya bersyukur kepada Allah, walaupun pelbagai cabaran ada di sekeliling, kami tidak diuji dengan ujian yang sampai ke tahap ini dengan anak perempuan kami semasa beliau di usia Aminata dan kawan-kawannya ini.

Tolak ke tepi cara filem ini memaparkan adegan tarian tidak senonoh tadi, krisis Aminata adalah benar.

Sebuah keluarga Muslim Senegal yang tinggal di Perancis, keluarga ini berharap agar adat menjadi sendi agama.

Suami berpoligami berkongsi rumah dengan kedua-dua isteri, isteri tua dan anak-anak mesti sama-sama meraikan perkahwinan ayah, menganiaya perasan bukan sahaja isteri tua, tetapi anak remaja yang sedang bingung mengapa semua ini perlu terjadi?

Semasa nenek Aminata memaksa beliau membawa besen berisi makanan di atas kepala dan bukan di hadapan tubuh, Amy menempelak dengan intonasi perlahan tetapi penuh kekerasan “kita di Perancis, bukan Senegal!”

Filem dimulakan dengan halaqah ilmu kaum Muslimah, namun mesej yang disampaikan kaku, tiada ‘fiqh al-taurith’ yakni kaedah mewariskan agama, yang boleh membantu generasi remaja menggarap mesej dengan makna.

Adegan Aminata menonton video tarian twerking yang mendominasi popular culture hari ini di dalam telekungnya semasa kaum ibu berdoa dan berzikir mengingatkan saya kepada kawan-kawan di sekolah dahulu yang sambil qiamullail berjemaah di surau, sambil mendengar lagu rock dengan earphone di dalam serban litup. Bukan benda baharu. Remaja adalah remaja.

Ia ditambah lagi dengan keasingan Amy tiada kawan di sekolah, beliau mengalami kejutan budaya, kegelisahan jiwa semasa hendak mengalami haid pertamanya, semua itu bergabung menjadi konflik, punca Aminata tersesat.

Bukan jin atau syaitan seperti kata ‘ustaz’ atau ‘imam’ selepas meruqyahnya.

Sama seperti Aminata, kawannya di rumah atas bernama Angelica juga nasibnya sama. Masalah remaja selalu berpunca daripada unit keluarga yang gagal penuh masalah. Kejiranan itu juga menonjolkan faktor sosioekonomi sebagai punca masalah, dan bukan semata-mata konservatifnya keluarga berkenaan dengan agama dan adat mereka.

Filem ini berjaya menonjolkan betapa lemahnya upaya berfikir remaja apabila Amy sanggup menawarkan tubuh kepada sepupunya demi telefon, hampir membunuh apabila menolak kawannya ke sungai kerana terlalu desperate untuk tetap boleh menyertai pertandingan tarian mereka, dan menghantar gambar lucah ke media sosial hanya kerana kebodohannya untuk fit in… sebuah konflik yang sangat real dihadapi oleh remaja hari ini.

Dan akhirnya kasih ibu jualah yang menyediakan jalan pulang kepada Amy untuk kembali ke pangkal jalan. Kejayaan ibu mengatasi tekanan jiwa, mengawal kesihatan emosi dan mentalnya menjadi sumber kekuatan utama untuk beliau menyelamatkan anaknya Aminata yang tiada siapa lagi di dunia boleh menolong ‘remaja paling tidak berguna ini’ melainkan si ibu dengan kasih tanpa syaratnya menerima anak yang mencari jalan pulang.

Selepas hampir musnah segalanya demi mahu ‘dewasa’ secara paksa, Aminata akhirnya kembali damai bermain, sebagai dirinya yang sebenar, seorang kanak-kanak.

Masihkah kita memperlekeh main sebagai keperluan besar anak-anak?

Jika sanggup tonton, banyak pengajaran.

Jika tidak sanggup tonton, teruskan perjalanan.

Jika unsubscribe Netflix, ia munasabah.

Namun jika diuji dengan masalah sebegini dalam hidup, jangan buang anak, jadikan keluarga satu-satunya bahtera Nuh di tengah gelombang akhir zaman yang menggila hari ini.

Hasrizal
Naas, Ireland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. Assalamualaikum,

    Sangat bernas, kupasan tuan. Terima kasih di atas perkongsian.

    Saya setakat tahu melalui suratkhabar adanya movie ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.