APA ITU WANITA: SOALAN MUDAH JADI SUSAH DI ERA PASCA KEBENARAN

Apakah itu wanita?

Ia soalan mudah yang hanya memerlukan 1 minit, 1 ayat, atau habis-habis pun satu perenggan untuk menjawabnya. 

Tetapi Matt Walsh menghasilkan sebuah dokumentari berdurasi lebih satu jam, dan menghasilkan buku setebal 250 mukasurat untuk menjawab soalan tersebut. Mengapa?

Apabila benda satu ayat bertukar menjadi sebuah artikel, dokumentari dan buku, maknanya soalan “apa itu wanita” hanyalah tip of the iceberg kepada persoalan kompleks yang lebih besar.

Halaman rasmi untuk menonton dokumentari ini

Sesiapa yang menonton dokumentari berkenaan mungkin berasa kelakar, hairan atau bimbang. Saya mengalami ketiga-tiganya.

Jika anda tidak rasa ia kelakar, tidak mengapa. Tetapi anda perlu berasa bimbang. Polemik soalan “apa itu wanita” ini adalah bendera kepada peperangan ideologi yang sedang macam janggut sotong memeluk empat penjuru bumi.

Untuk menjawab pertanyaan “apa itu wanita”, Matt Walsh bertanya kepada pelbagai lapisan masyarakat. Beliau bertanya kepada wanita, lelaki, wanita yang percaya dirinya lelaki, lelaki yang percaya dirinya wanita, termasuk juga manusia yang percaya dirinya adalah serigala.

Kemudian, beliau bertanya kepada kelompok PAKAR:

Baguslah.

Bagi kita umat Islam, pendekatan ini sesuai dengan cara yang agama kita ajar. Tanya yang arif, Ahl al-Zikr, jika kamu tidak tahu:

فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Bertanyalah kepada ahl al-zikr, sekiranya kamu tidak tahu.” [Al-Nahl 16: 43]

Antara pakar yang ditemubual oleh Matt Walsh adalah:

  1. Therapist: Gert Comfrey (Gender Affirming Therapist)
  2. Surgeon + Gynecologist: Dr. Marci Bowers
  3. Surgeon + Pediatrician: Dr Michelle Forcier
  4. Social Scientist, Professor, Women, Gender and Sexuality Studies (Uni of Tennessee): Dr. Patrick Grzanka
  5. Psychiatrist – Adolescent and Adult – Dr Miriam Grossman
  6. Dr Debra Soh (ahli akademik) penulis buku The End of Gender
  7. Politician, Congressman – Democrat Mark Takano

Malangnya, jawapan pakar pun sama tunggang langgang.

KONTEKS BUDAYA

Persamaan pakar-pakar yang ditemui oleh Matt Walsh itu, baik di East Coast mahu pun West Coast, ialah kesemua mereka berada di Amerika Syarikat. Mungkin Amerika Syarikat itulah faktor yang merumitkan jawapan.

Untuk itu, Matt Walsh keluar bermusafir ke Kenya. Beliau berdiskusi dengan komuniti kaum Masai di negara berkenaan.

Penduduk kampung tersebut hairan mengapa soalan “apa itu wanita” susah hendak dijawab. Bagi mereka, semuanya jelas. Penampilan wanita jelas berbeza daripada lelaki. Wanita boleh buat apa yang lelaki tidak boleh buat. Wanita boleh mengandung, melahirkan anak dan menyusukannya. Lelaki tidak mampu.

Mereka tidak mahu ke negara Matt Walsh.

Ia negara merepek yang tidak masuk akal.

KENAPA ISU INI BESAR?

Mengapa kita perlu bimbang mengenai isu ini?

Polemik soalan “apa itu wanita” bukan hanya soal Adik suka baju dan payung berwarna merah jambu di dalam drama Sutun suatu ketika dahulu. Ia sudah pergi lebih jauh. Kecelaruan takrif apa itu wanita, membabitkan soal undang-undang, perubatan, kesihatan dan nyawa. Juga pendidikan.

Prof. Dr. Jordan Peterson telah berdepan tindakan perundangan apabila Kanada melaksanakan undang-undang mewajibkan pensyarah universiti menggunakan ganti nama (pronounce) mengikut kehendak pelajar.

Seorang bapa, CD di Kanada, dipenjara selama 6 bulan dan didenda USD30 ribu kerana kerana bercakap secara terbuka mengenai identiti anak lelakinya yang menukar jantina melalui rawatan hormon dengan persetujuan si ibu. ‘Misgendering’ anak lelakinya, kata undang-undang di Kanada.

Di Amerika Syarikat, pelajar yang memperkenalkan dirinya sebagai seekor kucing, dakwaan itu hendaklah dihormati. Jika soalan cikgu di dalam bilik darjah dijawab oleh murid ini dengan “meow!” guru tidak boleh memperlekeh atau menafikannya. Ia adalah queer identity murid berkenaan.

Di negars berkenaan, ia bukan lagi hal orang dewasa. Kanak-kanak seawal usia 12 atau 14 tahun sudah boleh membuat keputusan mengenai jantinanya, dan mendapatkan rawatan hormon, pembedahan, tanpa kebenaran ibu bapa!

Di negara jiran, United Kingdom, ada sekolah yang menggugurkan penggunaan perkataan “woman” kerana dianggap bermasalah.

PENTINGKAH KITA AMBIL TAHU?

Anda yang berada di Kuala Lumpur, Ipoh, Kudat atau Baling, mungkin berasa bahawa hal ini jauh di Amerika Syarikat. Tetapi kita perlu ingat, anak-anak kita menonton filem Hollywood keluaran Disney, Warner, DC, Marvel, dan lain-lain. Ramai yang meminati penyanyi KPOP, membaca anime, Tiktok dan sebagainya. Di semua institusi berkenaan dan platform berkenaan,  ideologi ini membanjiri dunia anak-anak kita semua.

Sam Smith, Miley Cyrus, Demi Lovato, Jaden Smith termasuk Mauren Turner, ahli politik Muslim Amerika Syarikat, yang juga Member of the Oklahoma House of Representatives… adalah antara nama besar yang secara terbuka mengisytiharkan diri mereka sebagai non binary.

APAKAH PUNCA POLEMIK INI?

Bagi saya, ia adalah penyakit pandangan alam.

Ia berbalik kepada cara manusia memahami alam dan realiti, sama ada ia bagai layang-layang terbang tanpa tali, atau kapal belayar tanpa kompas dan sauh.

Era ini juga adalah era kita ‘obses’ dengan ‘kebahagiaan’ dan ‘kegembiraan’. Sumbernya pula adalah DIRI SENDIRI. Kebebasan diri menikmati ruang ekspresi. Seseorang itu, termasuk kanak-kanak, akan hanya hidup bahagia dan bermakna, jika dapat menjadi dirinya sendiri. Kerana itu, seseorang itu perlu mempunyai hak menentukan apa identitinya sendiri. Kemudian, orang lain dipaksa pula mengiktiraf dan menerimanya, walaupun ia tidak masuk akal dan huru-hara.

Suatu ketika, apabila lelaki suka lelaki dan perempuan suka perempuan, ia menimbulkan krisis moral, agama, dan undang-undang. Ia kemudian bergerak ke peringkat mengangkat hubungan tersebut kepada sebuah perkahwinan. Selanjutnya, membentuk keluarga. Biar pun tidak cukup elemen untuk menatijahkan persenyawaan dan menatijahkan kelahiran manusia baharu, mereka masih boleh ada anak sendiri. Sama ada anak angkat dan anak tumpang menggunakan sperma sendiri atau ovum sendiri.

Apabila hal-hal berkenaan berjaya membentuk unit keluarga, persoalan seterusnya ialah adakah keluarga itu mempunyai hak yang sama dengan ‘keluarga tradisional’. Proses menentukan hak ini mendesak rombakan undang-undang, pandangan alam, sistem nilai, dan segala kepercayaan.

Kita berada di era PASCA KEBENARAN, era POST TRUTH.

Dulu-dulu agama mentakrifkan apa itu kebenaran, betul dan salah.

Kemudian agama digantikan oleh pembuktian empirikal, oleh sains.

Semasa sains menggantikan agama, ia sudah cukup berat hingga melahirkan agnostik, atheist dan macam-macam krisisi dunia moden yang kita semua sedia maklum.

Kini, baik agama mahu pun sains, kedua-duanya digantikan dengan DIRI.

Apabila manusia tidak bertuhankan Penciptanya sendiri, lahirnya tuhan-tuhan palsu. Baik daripada objek-objek sekelilingnya, mahu pun DIRINYA SENDIRI.

Ini diperingatkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

أَفَرَءَيْتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِۦ وَقَلْبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِنۢ بَعْدِ ٱللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

“Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya sendiri sebagai tuhan? Lantas dengan itu Allah sesatkan dia dalam keadaan berilmu. Telinganya, akal fikiran dan hatinya, penglihatannya, semuanya dikunci dan tertutup. Siapakah lagi yang mampu memberi petunjuk kepada orang sebegini selain Allah? Mengapa kamu tidak beringat-ingat?” [Al-Jathiah 45: 23]

Bertuhankan kehendak diri sendiri bukan semata-mata untuk kegembiraan dan hedonisme, tetapi menjadikan diri sebagai otoriti untuk merombak sistem dan seluruh struktur kehidupan.

ISLAM DAN PERKATAAN

Agama kita mengambil berat soal istilah dan perkataan.

Perkataan adalah untuk mewakili makna. Dengan perkataan, makna diguna untuk berfikir dan bertindak.

Jika ada masalah dengan perkataan, perkataan mesti dibetulkan.

Apabila perkataan berubah maksud disebabkan oleh kejahatan manusia, sesuatu perlu dibuat, termasuk pada meninggalkan perkataan yang bermasalah itu. Misalnya firman Allah:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَقُولُوا۟ رَٰعِنَا وَقُولُوا۟ ٱنظُرْنَا وَٱسْمَعُوا۟ ۗ وَلِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menyebut rā’inā. Tetapi sebutlah undhurnā dan isma’ū. Dan bagi orang-orang yang kufur itu azab yang pedih.” [Al-Baqarah 2: 104]

Perkataan rā’inā, dan undhurnā itu maksudnya sama. Tetapi apabila diputar belit konotasinya oleh musuh untuk mengejek dan menyakitkan hati Nabi Muhammad ﷺ , Allah SWT memerintahkan agar perkataan itu digugurkan daripada penggunaan harian, digantikan dengan undhurnā.

Iblis semasa hendak menyesatkan Adam dan Hawa, telah memanipulasi istilah penasihat:

وَقَاسَمَهُمَآ إِنِّى لَكُمَا لَمِنَ ٱلنَّـٰصِحِينَ

Dan Iblis bersumpah untuk Adam dan Hawa dengan mendakwa” sesungguhnya aku ini bagi kalian berdua adalaha benar-benar dari kalangan penasihat.” [al-A’raf 7: 21]

Rasulullah ﷺ  juga pernah mengingatkan kita tentang ancaman kecelaruan istilah ini:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ،  يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا

“Segelintir daripada umatku, mereka minum arak dan menamakan ia bukan dengan namanya” [Sunan Abi Daud: 3689]

Sebab itu Islam mementingkan perkataan.

Apabila guna satu perkataan, tentukan dahulu apa yang dimaksudkan dengan perkataan itu.

ILMU PERKATAAN – EPISTEMOLOGI, ETIMOLOGI

Professor Naquib al-Attas hafizahullah adalah antara ilmuan tempatan yang sering menekankan hal ini.

Untuk memperoleh ilmu dan menemui kebenaran, seseorang itu perlu tentukan terlebih dahulu apa itu ‘sesuatu’, dan membataskannya melalui takrifan yang jelas agar perkara yang tidak berkenaan tidak termasuk ke dalamnya. Dengan itu, mudah-mudahan makna dapat dihasilkan, dan kita sampai kepadanya.

Sedih sekali apabila bahasa harian kita hari ini menjadi seperti sampah sarap. 

Bayangkan bahasa Melayu mempunyai perkataan mengangkat, menggendong, memikul, menggalas, mengangkut, menjunjung, yang kesemuanya merujuk kepada perbuatan membawa sesuatu di bahagian atas badan kita, dan kita sudah tidak dapat bezakan itu semua, dan tidak menghargai perbezaan berkenaan, apabila kita tidak lagi menghargai bahasa.

Lebih sedih apabila bahasa itu dikecam pula sebagai tidak berkeupayaan menjadi bahasa ilmu.

PESAN AKHIR

Kita para asatizah, berhentilah berbelah mengenai isu-isu khilaf dalam kupasan agama. Akidah Islam kita, berbekalkan wahyu dan mempelajari hujah-hujah ilmuan terdahulu, mestilah membawa kita kepada berjaya membantu menjawab persoalan.

Bukan persoalan mereka yang hidup di era Abu Hasan al-Ash’ari atau Ibn Taimiyyah atau Muhammad ibn Abd al-Wahhab. Tetapi persoalan manusia hari ini.

Akidah mesti berhasil diajar dan dipelajari pada membentuk pandangan alam yang benar lagi berfungsi.

Siapa kita.

Siapa Allah.

Apa hubungan kita dengan Allah.

Akidah Islam bukan untuk kemenangan aliran, mazhab, tokoh, kumpulan. Akidah Islam adalah untuk memelihara setiap individu semasa hidupnya di zamannya mendepani cabarannya ketika itu.

Apabila anak-anak tidak pedulikan agama, obses dengan keseronokan, obses dengan hak dan pilihan peribadi, ia adalah pilihan mereka ke jalan kehancuran. Tiada bahagia, tiada kejayaan, kecuali berakhir dengan depresi, kerosakan, dan bencana akhirat selepas bencana dunia.

Ini bukan benda main-main. 

Bagi saya, ia petanda kiamat.

Terselamatlah mereka yang berusaha menyelamatkan diri dan mendapat rahmat Allah untuk itu.

NOTA KAKI

Di Amerika Syarikat, perbahasan isu seperti ini tidak dapat lari daripada realiti binari politiknya, kiri dan kanan, Demokrat dan Republikan.

Semasa kita suka dengan demokrat kerana lebih progresif, berfikiran terbuka, menyokong model pasaran yang lebih adil, sensitif kepada alam sekitar, anti pencemaran sisa bahan api, juga pro imigran, menghormati minoriti termasuk Muslim, kita juga bertemu dengan lapisan-lapisan liberalisme, gerakan  LGBTQ+, kecairan gender, bersama tokoh-tokoh di dalamnya seperti Obama, Biden, Hillary Clinton, Ilhan Omar dan sebagainya.

Ketika kita bersetuju dengan Matt Walsh di sebelah kanan, bersama elemen tradisional berkaitan nilai, masyarakat, perkahwinan dan kekeluargaan oleh Republikan, di situ juga kita bertemu dengan Donald Trump, Fox News, pro arang batu, supremasi kaum kulit putih, ekstrimis nasionalis, anti imigran dan anti Muslim.

Itulah sebabnya perjalanan mencari kebenaran harus mengimbangkan regulasi sosial kita dengan sifat berdikari. Jangan ikat kebenaran dengan kelompok, kumpulan, parti, metodologi, mazhab, aliran dan yang seumpama dengannya.

Di Malaysia juga, berhati-hatilah dengan sentimen politik, agama dan bangsa agar tidak menjadi hitam putih dan mengkucar-kacirkan proses berlaku adil kepada kawan dan lawan.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” [Al-Maidah 5: 8]

Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

2 comments

  1. Farhi bin Razali

    Maknanya, mereka nak define sesuka hati tentang diri mereka tanpa merujuk kepada ketetapan yang Pencipta Yang Maha Agung sudah tetapkan. Maknanya bertuhankan diri mereka. Allah swt pun ajar kepada Nabi Adam a.s tentang nama nama benda. Tentu nama nama ini telah didefinasi oleh Allah terlebih dahulu supaya Adam mudah memahami.

    Saya rasa, manusia manusia yang begini tidak berjumpa dengan ketenangan dan akhirnya ketenangan itu kononnya dapat ditemui dengan melanggar ketetapan Ilahi dengan sesuka hati mengambil autoriti mentakrif diri. Mari kita lihat akhirnya, adakah ketenangan yang dijumpai atau malapetaka yang kita tidak tahu dalam bentuk apa yang sedang menanti.

    Jazakallah Ustaz Hasrizal atas tulisan yang ‘refreshing’ ini. Saya nak mula semual mengikuti blog ini setelah sekian lama.

  2. True. Thanks for informative sharing.

Leave a Reply to Farhi bin Razali Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share