Genre Buku ‘Healing’ Sebagai Terapi Puisi?

Saya mengambil masa lima hari untuk menulis artikel Trend Semasa Buku ‘Healing’ Yang Merosakkan? semalam. Lima hari, kerana saya tidak tahu dari sudut mana saya patut memahami isu berkenaan. Ilmu yang terbatas, menyebabkan saya tidak mempunyai kata kunci yang jelas sebagai premis.

Saya berfikir mengenai genre buku ayat pendek-pendek itu sebagai teks prosa. Memikirkannya sebagai prosa, menyebabkan saya tidak memberi perhatian kepada pertimbangan genre itu sebagai satu seni kerana seni lebih mudah dikesan oleh marhaen seperti saya di dalam teks puisi.

Jika ayat-ayat pendek itu puisi, saya mungkin akan terus melompat ke kumpulan kata kunci di dalam kategori berkenaan untuk memahami. Tetapi apabila ayat-ayat pendek itu begitu pragmatik dan sesetengahnya kedengaran canggung, saya terperangkap di dalam ruang aforisme, platitude dan bromide yang negatif.

Andai saya tidak memberanikan diri menulis semalam, perjalanan untuk memahami pasti terus menerus rumit. Apabila saya siarkan ia lantas mengundang kritikan, soal jawab, sokongan dan bangkangan, isi kandungan yang netizen kemukakan membantu saya mengesan beberapa petunjuk untuk meneruskan perjalanan. Terima kasih kepada semua sahabat yang komen, baik di Facebook mahu pun Twitter dan yang emel secara peribadi.

Saya ambil masa membaca naskhah Memories oleh Lang Leav sebagai salah sebuah buku paling popular di dalam genre ini. Saya ingin mempertimbangkan genre ini sebagai satu cabang seni.

Selepas meneliti beberapa puisi di dalam buku berkenaan, saya lanjutkan perjalanan membaca mengenai Lang Leav sendiri, dan menonton beberapa Youtube temubual beliau serta review hasil kerja penulis di New Zealand ini, saya bertemu dengan kata kunci paling utama iaitu POETRY THERAPY.

Mungkinkah genre ‘buku healing’ boleh duduk di bawah kategori ini?

Poetry Therapy atau Terapi Puisi merujuk kepada penggunaan bahasa, simbol dan cerita di dalam kapasiti terapi, pendidikan, pertumbungan dan pembangunan komuniti. Ia bergantung kepada penggunaan puisi, cerita, lirik lagu, imej dan metafora untuk menyelia pertumbuhan diri, penyembuhan dan kesedaran diri yang lebih baik. Biblioterapi, naratif, menulis jurnal, metafora, pengkisahan dan ritual, semua itu berada di dalam dunia terapi puisi.

Saya ingin meninjau dengan lebih mendalam, apakah kerangka teori terapi puisi ini. Ia kedengaran sebagai sesuatu yang bersifat merentas disiplin. Padanya ada puisi, dan juga terapi. Saya bukan orang puisi, saya juga bukan ahli terapi. Maka gabungan dua perkataan ini berat bagi saya dan memahami kerangka teorinya diharap boleh membantu. Pencarian hal ini menemukan saya dengan kajian-kajian oleh tokoh utama di dalam terapi puisi semasa iaitu Profesor Dr. Nicholas Mazza dari Florida State University (FSU) di Amerika Syarikat.

Beliau adalah seorang ahli psikologi berlesen di Florida, pekerja sosial klinikal dan ahli terapi rumahtangga dan keluarga. Mazza telah terlibat sebagai pengamal, penyelidik dan mengajar terapi puisi selama lebih 40 tahun. Beliau jugalah yang telah mengasaskan Journal of Poetry Therapy: The Interdisciplinary Journal of Practice, Theory, Research and Education pada tahun 1987 dan masih merupakan editor jurnal berkenaan semasa artikel ini saya tulis.

Jika ‘buku healing’ kita ingin menjadikan tulisan-tulisan pendek itu sebagai alat ‘healing’, ia perlu membuat pendirian adakah karya-karya itu puisi atau prosa, dan jika elemen ‘healing’ itu hendak diketengahkan, kerangka teori Mazza ini wajarlah diberi perhatian:

Poetry Therapy: The RES Model of Poetry and Related Language Arts-based Therapies

RES itu merujuk kepada perkara berikut:

R : receptive / prescriptive: introduction of a poem / song / story / into the therapeutic context.

E: expressive / creative: focus on written, spoken, and performed communication.

S: symbolic / ceremonial: creation of metaphors, movement. storytelling, and rituals.

TUJUAN SAYA

Saya tidak sama sekali bermaksud mahu merumitkan keadaan.

Saya hanya ingin mengembalikan apa jua isu, kepada ilmu, sedaya mungkin. Demi menjauhkan masyarakat dan diri sendiri daripada perkara-perkara yang sia-sia. Berbahaya untuk kita terus-menerus hidup mengejar apa yang kita MAHU, dan mengkesampingkan apa yang kita PERLU.

Industri buku akan beroleh keuntungan segera jika berjaya memenuhi apa yang pembeli MAHU. Tetapi untuk bernafas panjang, penerbit perlu meneroka apa sebenarnya yang pembeli PERLU, sebelum pembeli itu sendiri sedar akan keperluannya. Kemudian berusaha mencari jalan agar apa mereka PERLU adalah juga apa yang mereka MAHU.

Apabila MAHU dan PERLU bergabung baik, MAMPU akan datang, Insya-Allah.

Masyarakat tidak akan mengeluarkan wang untuk PRODUK. Mereka akan mengeluarkan wang untuk SOLUSI. Dalamilah masalah-masalah sebenar yang dihadapi mereka (pain points) dan bergerak dari situ ke arah mencorakkan solusi yang ‘desirable’ .

Jika genre buku ayat-ayat pendek itu sekadar trend semasa, maka biarlah pasaran meraikannya dan meninggalkannya apabila sampai masa.

Jika ayat-ayat itu adalah puisi, biarlah karyawan seni yang berkeahlian menilai kualitinya sebagai puisi.

Namun, ketika ia diangkat sebagai alat penyembuh, maka ia membabitkan soal kesihatan mental dan penyakit mental yang serius. Justeru, penulis, serta penerbit bertanggungjawab membekalkan diri dengan ilmu pengetahuan untuk melorongkan perkembangan ke arah yang baik.

NASIHAT BENAR YANG SALAH

“baca sahajalah al-Quran, pasti tenang!”

Saya juga ingin mengingatkan sahabat-sahabat semua untuk tidak melemparkan nasihat ‘tinggi’ secara

salah. Ia boleh menjadi bencana, terbalik daripada apa yang diniatkan.

Misalnya kata-kata “baca sahajalah al-Quran, pasti tenang!”

Kata-kata itu makna asasnya benar.

Tetapi, jika si penerima nasihat itu membaca al-Quran namun tidak tenang, beliau boleh berada di tiga persimpangan:

  1. Pembacaannya yang bermasalah. Lalu dia mencari ilmu untuk memperbaiki proses bacanya, supaya ketenangan yang dijanjikan terhasil.
  2. Al-Quran yang bermasalah. Al-Quran dikatakan menenangkan, tetapi ia tidak berlaku. Malah menjadi kusut apabila terbaca ayat-ayat yang ‘musykil’ dan ‘kontroversi’.
  3. Pembaca al-Quran itu yang bermasalah. Diri beliau yang bermasalah, sehingga baca al-Quran pun tidak dapat menolong dirinya. Jika al-Quran pun tidak dapat membantu, apa lagi harapan yang tinggal. Putus asa.

Al-Quran itu sendiri, berdiri bukan hanya dengan hakikatnya sebagai kalam Allah swt. Ia hadir dengan pelbagai lenggok bahasa dan pengungkapan. Ada ayat panjang-panjang, tegas, keras, menjelas, straight to the point, seperti banyak ayat Madani. Ada juga surah yang pendek, ayat pendek, perkataan pendek, malah satu huruf. Semuanya menjadi ramuan pada menjadikan keagungan al-Quran itu adalah pada ketinggian bahasanya.

LIMITASI

Apa yang saya belum jumpa setakat ini adalah kajian-kajian mengenai kesan positif dan negatif terapi puisi dalam format buku self-healing. Justeru saya tidak mempunyai apa-apa pendirian mengenainya dan akan cuba terus membaca untuk memahami.

Sebagai seorang pelajar sains pembelajaran dan individu ADHD dewasa, hati-hati yang selalu saya bangkitkan ialah risiko co-rumination yang banyak berlaku di dalam kumpulan sokongan, serta senario dua sahabat karib (terutamanya remaja perempuan). Saling memahami, terasa lega kerana bertemu pihak yang memahami, lalu saling sokong menyokong, tetapi sokong itu membawa rebah.

Mengapa membawa rebah?

Sebabnya, naratif antara mereka tidak mendorong kepada mendekati solusi. Sebaliknya hanya mengheret satu sama lain ke emosi negatif yang lebih gelap, dalam, menyesakkan dan akhirnya lemas bersama-sama.

Saya harap penulis dan penerbit mengambil kira bagaimanakah impak karya-karya ini kepada pembaca yang membacanya.

UMPAN BACA?

Mesej terakhir saya, jika kita bersetuju genre buku healing ini adalah satu bentuk terapi puisi, maka janganlah promosikan ia sebagai ‘umpan’ untuk menggalakkan remaja membaca. Generasi hari ini jadi berat dan sukar untuk membaca, adalah akibat dimangsakan oleh budaya masyarakat dan sistem pendidikannya sendiri yang bersifat Readicide. Membunuh minat membaca melalui agenda sekolah sendiri.

The systematic killing of the love of reading, often exacerbated by the inane, mind-numbing practices found in schools. Reading is dying in our schools. Educators are familiar with many of the factors that have contributed to the decline–poverty, second-language issues, and the ever-expanding choices of electronic entertainment. In this provocative new book, Kelly Gallagher suggests, however, that it is time to recognize a new and significant contributor to the death of reading: our schools. In Readicide, Kelly argues that American schools are actively (though unwittingly) furthering the decline of reading. Specifically, he contends that the standard instructional practices used in most schools are killing reading by: – valuing the development of test-takers over the development of lifelong readers; – mandating breadth over depth in instruction; – requiring students to read difficult texts without proper instructional support; – insisting that students focus solely on academic texts; – drowning great books with sticky notes, double-entry journals, and marginalia; – ignoring the importance of developing recreational reading; and – losing sight of authentic instruction in the shadow of political pressures.

Tiada rawatan mudah untuk mengatasi hal ini dengan jambatan-jambatan kecil berbentuk genre komik, novel fiksyen sejarah Islam dan buku healing semasa. Membaca adalah proses kognitif yang kompleks. Kita perlu meneroka pelbagai strategi untuk memupuk kemampuan dan minat membaca secara organik.

Bagi pembaca yang membaca puisi dan prosa di dalam genre ‘buku healing’ ini, semoga kesembuhan yang dicari itu ditemui. Jalannya harus lebih luas dan besar daripada sebuah genre.

Sebagai seorang pengguna perkhidmatan kesihatan emosi dan mental, saya juga merawat diri mengatasi cabaran hidup dengan bertemu pakar kaunseling, psikologi dan psikiatri, mendapatkan diagnosis klinikal dan mengambil stimulant mengikut saranan pakar, dan membaca buku demi buku sebagai biblioterapi kendiri.

Dan, jauh daripada sebuah cliché, saya juga terus menerus berusaha mendekatkan diri kepada Allah swt kerana Dia yang Mencipta saya sebegini. Daripada-Nya saya datang, kepada-Nya saya akan kembali, dan pada-Nya juga saya bertemu banyak sumber kekuatan dan ketenangan yang sejahtera. Di usia menghampiri setengah abad, saya masih belajar dan moga terus belajar hingga ke hembusan nafas yang terakhir nanti.

Amin.

Hasrizal
Naas, Ireland.

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

2 comments

  1. Terima kasih atas artikel dari ustadz, sedikit banyak memberikan perspektif baru kepada kami.
    Semoga teruskan usaha Islah untuk umat.

  2. Assalam Ustaz, mungkin soalan ini lari sedikit daripada artikel di atas. Adakah betul caranya saya memberi anak membaca buku komik bagi menggalakkan mereka untuk membaca?

Leave a Reply to Jumal Ahmad Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share