ETHOS atau tajuknya di dalam bahasa Turki, Bir Başkadır adalah sebuah drama di Netflix yang saya tidak tahu apa-apa, kemudian algorithm memberi saranan agar saya menontonnya. Drama tv arahan Berkun Oya ini disiarkan pada tahun 2020, dibintangi oleh Öykü Karayel, Fatih Artman, Funda Eryiğit, Defne Kayalar, dan Tülin Özen.
Drama ini pelik dengan kepelikan yang saya kagumi.
Jika anda berminat dengan genre seperti filem Manchester by The Sea, anda akan faham kenapa drama ini pelik. Ia adalah sebuah drama yang berani membiarkan beberapa saat sepi, tanpa gangguan muzik untuk kesan khas. Drama tanpa aksi tetapi bergantung besar kepada kualiti percakapan, dengan elemen-elemen lucu yang bersahaja tanpa kedengaran seperti sedang cuba melawak. Saya dapat tahu ia menjadi sebuah drama yang hangat didebatkan di Turki semasa disiarkan beberapa tahun lalu.
SINOPSIS
Ethos bercerita tentang Meryem, seorang gadis bertudung yang bekerja sebagai tukang cuci sambilan. Beliau pengsan secara yang tidak difahami, lantas cuba mendapatkan konsultasi Peri, seorang psikiatris. Peri merupakan seorang wanita profesional yang berpendidikan tinggi, berlatar belakangkan keluarga yang sekular. Beliau bersikap profesional dalam sesi terapi, tetapi tertekan kerana terpaksa melawan rasa prejudisnya terhadap golongan bertudung di Turki.
Bersilang-silangnya babak antara Meryem, Peri, dan beberapa watak di sekeliling mereka, cuba mewacanakan satu ciri unik masyarakat Turki, yang terbahagi kepada antara yang mengamalkan Islam, dengan yang sekular. Ia menarik kerana secara sedar atau tidak sedar, kita dikehendaki mengamati kebaikan dan keburukan pada sikap dan karakter seseorang merentasi dua dikotomi masyarakat tersebut. Bertudung, tetapi bermulut keji, tidak bertudung tetapi bukan sifar kebaikan… apa yang pasti, sebaik sahaja anda mula mahu melakukan stereotaip ke atas seseorang, stereotaip itu akan tersilap, tersilap dan tersilap lagi.
RUNUT BUNYI YANG UNIK
Pemilihan lagu-lagu untuk runut bunyi drama ini juga pelik. Ia mencampur adukkan lagu-lagu era 1980-an seperti Gündüzüm Seninle, Seni Terkedecegim dan O Günler oleh Ferdi Ozbegen, bersulam dengan lagu 1970-an Perancis seperti La maison est en ruine oleh Michel Delpech. Ia memberikan vibe yang meremuk redam emosi saya kerana mengheret diri ke kenangan dahulukala semasa lagu seperti ini kedengaran di sana sini. Zaman yang saya rindui, mungkin kerana zaman itu saya kanak-kanak, belum terjebak dengan kehuru-haraan kehidupan.
Saya fikir Berkun Oya sengaja memilik lagu-lagu begitu untuk kesan yang saya tanggung semasa menonton drama ini. Sama seperti chorale puitis filem Manchester by the Sea – Chorale Version oleh Jacoba Barber-Rozema, Lesley Barber dan Robert-Eric Gaskell.
Emosi yang sangat mendalam itu mungkin menjadi punca hati saya sangat tercedera parah di episod akhir drama ETHOS ini.
TRAGEDI ALI SADI HOCA DAN ANAKNYA HAYRÜNNISA
Ali Sadi Hoca, imam kampung Meryem yang beliau selalu rujuk, menjadi watak ayah yang amat berkesan. Selain saya rindukan ayah sendiri, Ali Sadi Hoca juga mengingatkan saya kepada Ustaz Ali Sert, ayah kepada sahabat saya di Hatay. Beliau adalah insan terakhir yang masih hidup pernah bersahabat dengan Badiuzzaman Said al-Nursi. Kelembutan Ustaz Ali Sert, ketika bercakap dengan saya beliau meletakkan tangannya ke pipi saya bersama nasihat. Semoga Allah rahmati almarhum yang juga sudah kembali ke rahmatullah beberapa tahun yang lalu.
Ali Sadi Hoca sangat lemah lembut kepada isteri dan anak perempuannya Hayrünnisa. Kematian mengejut isterinya Mesude, membawa saya merenung kesedihan Nabi ﷺ semasa kewafatan isteri baginda Khadijah r.a.
Belum pun sempat luka kematian mengejut itu reda, Ali Sadi Hoca diuji dengan ujian yang paling perit. Anak kesayangannya membuat keputusan untuk belajar di universiti di Konya, meninggalkannya sendirian di kampung. Namun, bukanlah itu yang menjadi ujian utama Hoca. Semasa Hayrünnisa hendak bertolak keluar ke stesyen bas, beliau keluar rumah tanpa bertudung. Hayrünnisa tidak lagi mahu memakai tudung. Beliau tidak peduli kepada kesan perbuatannya itu kepada si ayah. Beliau mahu segera menaiki bas bersama BFF beliau, Burcu. Mereka berdua melontarkan isyarat menjalin hubungan sebagai kekasih lesbian.
Apabila bas yang membawa Hayrünnisa menuju ke Konya mula bergerak, kita melihat Ali Sadi Hoca berdiri sepi dan kemudian mengangkat tangannya berdoa sesuatu kepada Allah swt.
REVIEW MEMUJI ALI SADI HOCA, TETAPI…
Review ramai di media sosial memuji Ali Sadi Hoca kerana menjadi bapa yang bagus sebab menerima perubahan anaknya, Hayrünnisa. Sikap yang mungkin dijulang tinggi di era woke culture sekarang ini. Hayrünnisa menjadi dirinya sendiri, tidak berpura-pura menyembunyikan rasa enggan bertudung dan naluri lesbiannya. Bapanya pula, walaupun seorang Imam, menerima dengan hati terbuka. Inilah dunia moden yang sihat, menurut penakulan ramai.
Tetapi demi Allah, nampaknya tidak ramai yang cuba menyelami sedalam manakah luka hati Ali Sadi Hoca sebagai seorang bapa. Tergamak si anak berbuat demikian. Walaupun Ali Sadi Hoca adalah watak fiksyen, beliau pastinya salah seorang saksi betapa peritnya perjuangan era filem Sonsuza Yürümek (1991). Era gadis-gadis universiti direntap tudung di pagar kampus. Ada yang dipenjara, dan macam-macam lagi tragedi zaman itu. Saya kongsikan di sini petikan filem berkenaan yang merekodkan tragedi era itu.
Era yang mungkin generasi muda di Turki sudah melupakannya.
Saya berada di Turki, menonton berita ‘live’ dari Yeni Sahra bersama-sama sahabat. Kami melihat seorang abang atau adik lelaki, merentap tudung adik atau kakaknya dan menolak gadis itu masuk ke perkarangan Fakulti Perubatan di Fındıkzade Cerrahpaşa Tıp Fakültesi.
Universiti tidak membenarkan sesiapa yang bertudung masuk ke perkarangan universiti. Hari itu adalah hari peperiksaan terakhir pelajar tahun akhir fakulti perubatan.
Ali Sadi Hoca di zaman itu mungkin berusia sekitar 30-an. Menyaksikan susah payah Gül Aslan dan pelajar-pelajar perempuan era berkenaan mempertahankan hak mereka memakai tudung. Ada yang dipenjara, ada yang dipukul dengan kayu cota.
MENYAYANGI TETAPI DILUKAI
Ali Hoca adalah ayah yang memberi sepenuh kasih sayang kepada anak tunggalnya Hayrünnisa. Seorang yang amat lemah lembut dan berusaha segala yang terbaik untuk anaknya. Tetapi, apabila Hayrünnisa membuang segala didikan ayahnya walaupun sedih emak meninggal dunia pun belum selesai, tiada siapa yang merasakan perbuatan Hayrünnisa itu kejam terhadap ayahnya.
Sedih mengenang nasib Ali Hoca.
Perasaannya langsung tidak relevan.
Ali Hoca membawa diri memandu van kesayangannya dan membakar sosej sendirian di tepi tasik.
Katanya kepada seorang lelaki yang singgah minum teh bersama, Hayrünnisa sebenarnya adalah anak angkat. Tetapi beliau sayang Hayrünnisa seperti anak kandung sendiri.
Jika kita semasa remaja pernah melukakan hati ayah dengan hawa nafsu dan kenakalan diri, jangan sekali-kali sangka tindakan itu tidak menyeksa. Luka hati seorang ayah yang melihat anak membuang didikan, amat mendalam. Jangan sangka taubat kita di kemudian hari sudah cukup untuk memadam lukanya.
Lihat sahaja adik beradik Yusuf. Setelah macam-macam cara mereka sakitkan hati ayah mereka Ya’qub, mereka meminta maaf. Walaupun Yusuf yang paling tragis, Yusuf sebagai adik beradik mudah memaafkan. Tetapi apabila anak-anak nakal itu meminta maaf daripada bapa mereka, Ya’qub, Allah swt rakamkan jawapan Ya’qub:
قَالَ سَوْفَ أَسْتَغْفِرُ لَكُمْ رَبِّىٓ ۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
“Ya’qub berkata: Aku AKAN meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (surah Yusuf 12 : 98)
Perkataan AKAN itu menunjukkan, Ya’qub terluka dan tidak semudah itu memaafkan. Baginda perlukan masa.
Ini akhir zaman, bersama dua tandanya di dalam hadith Jibril a.s. Anak-anak bebas untuk sakitkan hati orang tua sendiri demi ekspresi diri, dan beralasankan perangai remaja.
Mungkin kerana itu statistik bercerita, ramai lelaki mati awal berbanding perempuan. Hanya barzakh yang damai dan rehat untuk membawa iman.
Ingatlah nasihat Rafeah Buang di dalam lagunya YA ILAHI RABBI:
Hai anak yang soleh beruntunglah ayah dan bonda
Bagai mata air yang mengalir dalam syurga
Hai anak durhaka pintu taubat masih terbuka
Jangan kau teruskan tingkah laku yang kecewa
KESIMPULAN
Sama-samalah kita doakan Hayrünnisa kembali ke pangkal jalan. Serta anak-anak kita yang sepertinya.
Drama ini bagus untuk menginsafkan kita tentang kebaikan-kebaikan yang ada di sebalik watak setiap manusia, tanpa terlalu cepat menghukum seseorang berdasarkan penampilan dirinya.
Masyarakat Turki juga sudah tidak binari seperti dekad-dekad yang lalu. Kini ada ramai orang Malaysia di sana yang sudah tentu boleh menceritakan dengan lebih tepat perubahan yang berlaku.
Saya sendiri berpeluang bersahabat karib dengan rakan Turki yang berlatar belakang Islamik, serta yang sekular. Sama-sama ada kekuatan dan kekurangan.
Tontonlah ETHOS di Netflix. Banyak iktibar daripadanya untuk renungan kita bersama.
HASRIZAL
Naas, IE
Suka sangat series ni, antara yang saya jadikan sebagai favourite series. Cuma saya lebih banyak memerhatikan Meryem, Ruhiye, dan Peri. Terutamanya, perbualan antara Meryem dan Peri, memang menggambarkan tajuknya, Bir Başkadır. Terima kasih ustaz, untuk point of view yang ini.
Mana nak download ni? Macam susah nak cari je?