Isu Palestin di Ireland: Antara Rakyat dan Kerajaannya

Walaupun dunia mengagumi dan memuji pendirian tegas Ireland pada memperjuangkan Palestin, sebahagian mungkin terlepas pandang bahawa kelantangan dan ketegasan itu adalah pendirian dan suara yang datang daripada rakyat, aktivis dan sekumpulan ahli politik daripada blok pembangkang. Blok pembangkang yang dirujuk itu adalah daripada tiga buah parti utama iaitu Sinn Féin, People for Profit, dan juga Social Democrats.

Adapun pendirian rasmi kerajaan Ireland, ia masih di dalam kategori lunak terhadap apa yang berlaku. Kerajaan Ireland pada masa ini dikuasai oleh parti-parti utama iaitu Fine Gael, Fianna Fáil dan juga, the Green Party.

Perdana Menteri Ireland ataupun disebut sebagai “Taoiseach” pada masa ini, Leo Varadkar, dilantik kali kedua pada Disember 2022 lalu. Baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa idea untuk mempunyai seorang menteri daripada parti pembangkang, Sinn Féin adalah sesuatu yang membimbangkan, menakutkan. Di dalam kenyataan beliau itu ada beberapa maklumat yang boleh memahamkan kepada kita, fikiran beliau dan parti pemerintah pada masa ini pada menjelaskan mengapa mereka masih bersikap lunak terhadap apa yang sedang terjadi di Palestin, membelakangi tradisi masyarakat Ireland yang tegas pada memperjuangkan isu Palestin.

Leo Varadkar menggambarkan Sinn Féin sebagai parti pembangkang yang memperjuangkan idea yang boleh menjejaskan hubungan rapat Ireland dengan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman dan yang seumpama dengan mereka. Dan ini boleh menjejaskan kemajuan yang sedang dinikmati oleh Ireland. Ireland dalam dua puluh tahun yang terakhir ini telah menjadi sebuah negara yang begitu maju, meninggalkan sejarahnya yang dibelenggu dengan pelbagai tragedi dan kemiskinan sehingga dicanang-canangkan sebagai negara paling kaya di dalam Kesatuan Eropah, dan di dunia, tetapi hakikatnya kekayaan itu tidak mencerminkan realiti sebenar yang dihadapi oleh rakyat di negara ini.

Fine Gael, Fianna Fáil, walaupun kedua buah parti ini lahir daripada sejarah memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris, tetapi berada di dalam kuasa terlalu lama mungkin menyebabkan mereka terpisah daripada realiti sebenar. Kekayaan dan kemajuan yang dipertahankan itu dinikmati oleh segelintir tetapi hakikatnya ramai rakyat di akar umbi berada dalam keadaan yang amat susah.

Pada tahun 2023 ini, krisis yang paling membimbangkan masyarakat adalah krisis perumahan. Apabila kerajaan tidak mengawal dan membiarkan penempatan sebagai aset untuk keuntungan segelintir daripada mereka yang mengambil kesempatan, harga beli rumah, harga sewa rumah, berada di tahap yang tidak masuk akal. Cubalah anda masuk ke halaman-halaman menempah hotel di Ireland khususnya di ibu negara, Dublin, anda akan dapat melihat kadar yang perlu dibayar itu jauh lebih mahal daripada London sendiri.

Dan ini juga boleh mengingatkan kepada kita untuk berhati-hati, tidak menyamaratakan identiti ataupun entiti hingga tidak membezakan di antara pendirian rakyat dengan pendirian kerajaan.

Walaupun Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Biden pada masa ini meneruskan tradisi mereka memberikan sokongan tidak berbelah bagi terhadap Zionis Israel, mereka mungkin buat pertama kalinya melihat kebangkitan daripada rakyatnya pada menyuarakan bantahan mereka terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan Amerika semasa.

Satu lagi sebab yang mungkin boleh menjelaskan mengapa kerajaan Ireland tidak bertegas terhadap apa yang dilakukan oleh Zionis Israel di Palestin ialah pada mengelakkan dirinya daripada dikenakan tindakan di bawah Konvensyen Genocide, sekiranya apa yang dilakukan oleh Israel itu berjaya untuk diklasifikasikan sebagai sebuah genocide. Negara-negara yang menandatangani Konvensyen Genocide bukan hanya bertanggungjawab, secara undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang melakukan perbuatan genocide ini, tetapi mereka juga mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang untuk mencegahnya daripada berlaku.

Lapangan Terbang Shannon adalah tempat transit trafik udara Amerika Syarikat ke sebelah timur. Aktivis-aktivis mendapati kapal terbang-kapal terbang Amerika Syarikat menuju ke Israel, transit di lapangan terbang Shannon di Ireland ini dan sekiranya ia berlaku dalam pengetahuan kerajaan Ireland, mereka juga boleh diambil tindakan sebagai enabler kepada genocide yang sedang berlaku.

Kerana itu sahabat-sahabat, sikap membutakan mata terhadap apa yang berlaku di Palestin bukanlah berpunca daripada tidak tahu apa yang berlaku, tidak cukup imej dan video terhadap apa yang sedang terjadi. Tetapi ia membabitkan kepentingan-kepentingan politik dan ekonomi kuasa besar dunia, membabitkan jutaan malah bilion Euro dan Dollar AS. Itulah yang mahu dipertahankan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan di sebalik tragedi di Palestin.

Justeru reaksi kita pada bersolidariti dengan Palestin dan menyuarakan bantahan dan bangkangan, perlu terus diperkemaskan berasaskan kepada fakta-fakta, memanfaatkan undang-undang serta kempen berstrategik sebagai senjata untuk membela Palestin dan mengambil tindakan ke atas penzalim-penzalim yang bertanggungjawab.

​

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share