Andai Anak Anda Sendiri Melakukan Protes di Kampus USA dan UK

Jika anak anda belajar di universiti di Amerika Syarikat ataupun di United Kingdom ataupun mungkin di negara-negara lain dan anak anda terlibat dengan protes pro-Palestin lalu dikenakan tindakan oleh pihak universiti atau pihak berwajib di negara berkenaan, apakah pendirian anda? Adakah anda bersolidariti dengan anak anda dan apakah nasihat yang anda sampaikan sebelum kejadian itu berlaku, ketika kejadian itu berlaku, ataupun selepas terjadinya kejadian berkenaan?

Soalan-soalan ini mungkin relevan bagi sesetengah orang dan tidak relevan bagi sesetengah yang lain. Tetapi ia merupakan persoalan yang serius, soalan yang memerlukan jawapan terutamanya bagi mereka yang berada dalam situasi yang saya sebutkan sebentar tadi.

Menjawab kepada persoalan ini bukan sesuatu yang mudah. Bersolidariti dengan Palestin jika kita hanya berbekalkan semangat semata-mata mungkin menjadi sebab yang tidak disedari mengapa kita bersikap semberono, bercakaran, hina-menghina sesama kita kerana ada yang bersetuju dengan setengah strategi dan tidak bersetuju dengan setengah strategi yang lain. Ini kerana impak daripada pilihan kita itu bukan ke atas diri kita sendiri tetapi ke atas pihak lain. Tapi bila terkena ke atas batang hidung sendiri, kita perlu mempertimbangkan di manakah pendirian kita.

Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
(Al-Baqarah 2 : 155)

Bagaimanakah kita menterjemahkan ayat ini dalam realiti?

Saya teringat kepada satu slot di dalam Saturday Night Live tidak lama sebelum ini yang menyindir akan perkara tersebut. Bila mana ada seorang bapa yang begitu bertegas dan memberikan sokongan yang setinggi-tingginya kepada semua yang bersolidariti dengan Palestin, yang begitu berani untuk turun ke medan mempertahankan kebenaran, memperjuangkan hak yang diperjuangkan, “tapi anak saya tak boleh terlibat!”.

Ini satu perkara yang begitu ironi dan di sinilah mengapa saya timbulkan perkara ini di media sosial baru-baru ini untuk kita sama-sama berfikir di manakah integriti kita, akhlak kita, keberanian dan kebijaksanaan.

Saya juga tidak ada jawapan yang muktamad untuk persoalan tersebut tetapi saya ingin mengajak kita untuk berfikir secara serius tentang hal ini. Sekurang-kurangnya kita dapat menginsafi dan menghormati, semangat serta keberanian mana pelajar-pelajar tempatan di negara-negara berkenaan mengambil tindakan melakukan protes yang sangat penting itu. Ia bukan perkara remeh.

Protes itu penting kerana ia terjadi selepas daripada semua pihak lain, terutamanya di kalangan ahli politik, membuang masa dalam perkara yang sia-sia, membutakan mata, memekakkan telinga daripada realiti yang berlaku. Selepas mencecah empat puluh ribu kematian, apabila para pelajar melakukan protes ia mendatangkan satu masalah yang besar kepada ahli politik. Ia begitu signifikan hingga ada yang mencadangkan agar media sosial seperti TikTok diharamkan dengan pelbagai alasan yang berkaitan dengan data privasi dan sebagainya, tetapi sebab utamanya adalah berkaitan dengan pengaruh media sosial ini pada membentuk pemikiran generasi muda. Perubahan pemikiran generasi anak-anak yang berbeza daripada mereka yang sudah berada di peringkat berkerjaya, para pemimpin, para boomers, kalau mengikut istilah yang dipakai pada hari ini.

Menjawab kepada perkara ini saya teringat sekitar lebih kurang tahun 1999 ataupun 2000 saya pernah ditanya oleh seorang pelajar ketika saya berada di United Kingdom, apa yang saya boleh perkatakan kepada beliau jika beliau mengambil keputusan untuk menyertai mujahidin berdepan dengan kekejaman Serbia di dalam peperangan di Balkan, Bosnia Herzegovina. Anginnya pada ketika itu adalah berkisar kepada isu berkenaan.

Tentang jihad, tentang perjuangan, tentang bersolidariti bangkit untuk membela saudara kita yang teraniaya, semua itu well established di dalam agama kita. Tetapi dalam konteks pelajar tadi, apa yang saya timbulkan kepada beliau ialah jika kamu pergi ke medan dan kamu mati syahid, syahidnya kamu itu tidak mengubah hakikat bahawa pembelajaran kamu di United Kingdom itu dibiayai dengan biasiswa ataupun pinjaman. Biasiswa ataupun pinjaman itu diberikan oleh penaja kamu kerana ada dua orang penjamin yang menjamin bahawa bila wang tersebut diberikan kepada kamu, kamu akan menamatkan pengajian. Sekiranya kamu tidak menamatkan pengajian, maka penjamin ini tadi akan mengambil tanggungjawab untuk melunaskannya.

Dan jika kamu mati syahid dalam keadaan kamu tidak mencapai apa-apa persetujuan hasil perbincangan dengan penjamin kamu, bererti kamu mati syahid dalam keadaan kamu meninggalkan hutang yang amat besar, ratusan ribu ringgit malah mungkin melebihi satu juta ringgit yang perlu dilunaskan oleh penjamin-penjamin kamu.

Adakah kamu akan masuk syurga dalam keadaan ada hutang besar yang kamu tidak lunaskan?

Ia soalan serius.

Memikirkan sudut berkenaan, ia memberikan sedikit bahan berfikir kepada pelajar ini tadi untuk mempertimbangkan bahawa dalam semangat kesedaran dan kefahaman Islamnya untuk melakukan sesuatu, ia tidak sampai ke peringkat kita membelakangkan amanah, tanggungjawab dan perkara-perkara berkaitan dengan kita sesama manusia yang perlu kita lunaskan.

Dan ini membawa kepada apa yang disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Surah At-Taubah ayat 122:

“Dan tidaklah wajar orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
(Al-Taubah 9 : 122)

Ayat ini merujuk kepada perintah Allah terhadap kewajipan untuk turun bersama-sama di dalam misi perang Tabuk. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala nyatakan bahawa tidak wajar untuk orang yang beriman itu keluar semua sekali ke medan peperangan.

Mengapa tidak dipastikan daripada setiap kelompok, daripada setiap komuniti itu adanya sekumpulan yang mendedikasikan diri mereka untuk mendalami agama, yang tujuannya ialah supaya apabila para mujahidin yang pergi berperang, yang bukan memilih pilihannya adalah menuntut ilmu, tetapi mereka berada di medan perang.

Bila mereka kembali ke kampung masing-masing ataupun yang menuntut ilmu ini kembali ke kampung masing-masing, mereka ini akan memberikan peringatan dan mudah-mudahan dengan apa yang dilakukan oleh kelompok berilmu ini tadi, masyarakat menjadi kelompok yang beringat-ingat terhadap perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Menterjemahkan ayat ini dalam persoalan awal yang saya timbulkan tadi ia memerlukan kepada kita untuk berhati-hati pada memberikan nasihat kepada anak-anak kita. Takut-takut bahasa kita bertukar. Semasa kita bercakap tentang kepentingan bersolidariti, nak boikot apa, nak kempen apa, kita cakap macam dunia ini hitam putih, menghentam belasah sesuka hati. Tetapi apabila datang giliran memberi nasihat kepada anak sendiri kerana ia membabitkan duit kita, maruah kita kalau sesuatu yang tak elok berlaku, bahasa kita bertukar, kita bercakap seperti orang yang tidak merujuk kepada Al-Quran, seolah-olah sudah tak ada panduan daripada Al-Quran.

Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta’ala memposisikan menuntut ilmu seperti keluar ke medan perang. Istilah (nafara / نظر) ini lazimnya digunakan merujuk kepada orang yang pergi ke medan perang. Tetapi dalam ayat ini Allah menggunakan perkataan (nafara / نظر) merujuk kepada mereka yang pergi menuntut ilmu untuk menggambarkan kepada kita betapa tinggi, penting, mulia dan pahlawannya mereka yang pergi menuntut ilmu, sama seperti mereka yang pergi ke medan peperangan.

Anak-anak kita mungkin ada yang sedang berada di persimpangan memilih untuk bersolidariti dengan Palestin, bersama-sama rakan-rakan mereka, para pelajar mahasiswa tempatan. Ia merupakan tindakan yang begitu berani, malah menerima tindakan balas daripada pihak polis dalam bentuk yang sungguh luar biasa, terutamanya di Amerika Syarikat. Jadi kita mahu merasionalkan anakanda yang berdilema itu, kita perlu memberikan nilai yang betul terhadap apa yang sedang mereka lakukan supaya mereka tidak melihat menuntut ilmu sebagai satu perkara yang tidak sama nilai dengan orang yang turun ke medan perjuangan.

Namun ini juga memerlukan kita dan si anak untuk menjadikan hal ini sebagai penjelasan, bukan alasan. Bukan hanya berslogan kosong untuk melepaskan diri daripada berperanan. Justeru, anak-anak kita itu perlu berfikir jika itulah keadaannya, keterikatan dia dengan kontrak, dengan perjanjian pinjaman yang bernilai jutaan ringgit yang membabitkan penjamin, dalam erti kata yang lain, pembelajarannya itu adalah bukan atas pembiayaan dirinya sendiri tetapi ada pihak lain yang mendanainya dengan persetujuan akad ijab kabul yang telah berlaku, maka dia perlu berhati-hati. Dia perlu memikirkan jika dirinya bersama dengan rakan-rakan, risikonya begitu besar dan boleh mendatangkan kemudaratan bukan hanya kepada penaja tetapi juga kepada dunia dan akhiratnya.

Maka beliau perlu mengisi solidaritinya bersama Palestin dengan sesuatu yang substantif. Beliau perlu aktif menyampaikan mesej, memberikan sokongan kepada rakan-rakannya, dan berusaha dengan bijak lagi cekal, seiringan dengan rakan yang memilih untuk berkhemah di dataran di universiti masing-masing melakukan protes.

Pilihan si anak itu bukan bermaksud beliau takut ataupun tidak bersolidariti, tetapi kerana ada amanah yang perlu beliau lunaskan.

Kesimpulan kepada apa yang saya bincangkan di dalam perkongsian kali ini, soalan yang saya timbulkan di media sosial itu bukan soalan merepek. Ia bukan soalan tidak masuk akal. Ia soalan yang memerlukan kepada jawapan. Malah soalan ini menuntut kita dan anak-anak kita menggilap semula niat dan matlamat, mengapa mereka menuntut ilmu, apa misi dan visinya dengan ilmu yang dia pelajari untuk dirinya, masyarakat, manusia sekitarnya, umat, dan agama.

Mudah-mudahan anak kita melihat dan memuliakan aktiviti menuntut ilmunya sebagaimana Allah memuliakan aktiviti tersebut di dalam Surah At-Taubah yang saya petik sebentar tadi.

Wallahualam.

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.