Sahabat-sahabat pembaca mungkin mengenali saya, Hasrizal Abdul Jamil, sebagai seorang penulis buku. Dengan 28 buah buku yang telah diterbitkan, ramai beranggapan bahawa saya seorang yang cemerlang dalam semua aspek penulisan. Namun, di sebalik pencapaian itu, saya menyimpan satu perjalanan peribadi yang penuh cabaran: lima percubaan gagal untuk mendapatkan ijazah sarjana.
Tiada siapa memaksa saya menyambung pelajaran. Tetapi saya mahu menyambung pelajaran kerana saya suka belajar dan mahu belajar selama yang mungkin.
Dunia akademik adalah cita-cita awal saya semenjak di bangku sekolah. Jika emak saya seorang guru, saya pula sentiasa mengulang jawapan apabila ditanya, cita-cita saya adalah mahu menjadi seorang pensyarah. Dengan siri kegagalan demi kegagalan, cita-cita menjadi pensyarah itu sudah lama saya lupakan. Saya terus berusaha memperolehi ijazah sarjana, kerana saya mahu meyakinkan diri sendiri bahawa saya adalah seorang Muslim, insan, yang berpegang dengan metode dan ilmu dalam berbicara.
Ia penting untuk ‘self-image’ dan ‘self efficacy’. Saya mahu sembuh daripada impostor syndrome yang membelenggu diri.
Melalui coretan ini, saya ingin berkongsi cerita bersama sahabat, bukan untuk sekadar merenung kegagalan, tetapi sebagai satu refleksi tentang bagaimana diagnosis ADHD telah membuka lembaran baharu dalam hidup saya.
Mencari Ijazah Sarjana: Lima Percubaan yang Berliku
Pada tahun 2003, saya tinggalkan Ireland Utara dan berpindah ke Republic of Ireland bersama isteri dan anak sulung yang lahir setahun sebelumnya. Tugas isteri sebagai Senior House Officer (SHO), berpindah setiap enam bulan antara Galway, Dublin dan Naas, menuntut saya memainkan peranan menjadi home maker bersama anak yang sedang membesar. Saya ambil peluang ini untuk sambung belajar buat pertama kali melalui pengajian jarak jauh dengan Open University, UK di dalam bidang pendidikan.
Setahun sebelumnya, saya mendapat tawaran belajar di The Queen’s University, Belfast UK di dalam bidang Sosiologi Agama. Saya menolaknya kerana masih bekerja sepenuh masa dan ketiadaan sumber dana untuk membiayai.
Kali ini, saya mencuba nasib. Saya ingin menyelidik cara mengajar Islam kepada kanak-kanak Muslim di Ireland agar khilaf mazhab fiqh dan kerencaman identiti anak-anak yang bapa mereka Muslim dan ibu mereka wanita Ahli Kitab, dapat saya temui solusinya.
Penyelia berada jauh di Limerick, sempatlah sekali saya menemui beliau.
Saya sebut ‘sempat’ kerana tiba-tiba, saya terpaksa meninggalkan pengajian apabila keluarga mendesak kami pulang ke tanahair, meninggalkan bumi Ireland. Sebelas tahun perjalanan hidup di luar negara, tamat pada tahun 2004.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM): Sejarah dan Ketamadunan
Cabaran dakwah sekembalinya ke tanahair menjadikan saya sentiasa merenung kelompongan ilmu di dalam diri. Islam yang saya pelajari dengan segulung ijazah sarjana muda Syariah dari Jordan, cukup untuk menjadi asas dan membekal diri dengan ilmu alat. Tetapi saya perlukan ilmu lain untuk memahami cabaran ideologi, pemikiran dan kemasyarakatan ketika itu. Minat dalam bidang sejarah semenjak dahulu, semakin membara. Saya perlu memilih antara ISTAC dan UIAM.
Ketika itu, saya teruja dengan kesarjanaan di ISTAC. Tetapi saya kurang selesa dengan kuatnya pengaruh Profesor Dr Naquib al-Attas yang saya khuatir boleh menjejaskan kebebasan saya berpendirian dan menyelidik. Saya hargai sistem universiti di Jordan yang dinamik. Kami ada pensyarah pelbagai aliran pemikiran dan mazhab. Mereka tidak mencorakkan pelajar agar mengikut aliran masing-masing. Sebaliknya, pelajar dilatih menjaga amanah ilmu, kritis meneliti dalil dan hujah, sebagai bekalan untuk beragama dan mengajar agama sekembalinya ke tanahair nanti.
Pendekatan itu sangat berguna menjadi bekal saya semasa bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast, UK. Semasa mengimamkan solat, makmum di belakang saya berasal dari lebih 20 buah negara, empat mazhab malah lebih kerana mazhab paling ramai adalah mazhab ‘saya’, yakni pegangan masing-masing. Latihan yang diterima semasa belajar di Jordan membantu saya menangani perbalahan di dalam komuniti dengan lebih baik.
Saya teruja dengan ISTAC dan Prof al-Attas. Tetapi kebebasan diri belajar tanpa tekanan pengaruh jauh lebih penting. Akhirnya, saya mendaftarkan diri ke dalam program Sarjana Sains Kemanusiaan di dalam bidang Sejarah dan Ketamadunan.
Pengajian ini amat berharga. Di bawah bimbingan tokoh seperti Prof Abdullah al-Ahsan, Prof Ataullah Bogdan Kopanski, dan ramai lagi, mencorakkan pemikiran saya untuk memahami realiti semasa. 15 subjek yang diambil membuka pintu ilmu yang lebih luas:
- Islah and Tajdid in the Muslim World (pre-requisite)
- Modern History of Europe (pre-requisite)
- Rise and Fall of Civilizations (pre-requisite)
- Malaysia History II (pre-requisite)
- Modern History of the Arab World (pre-requisite)
- Research Methodology
- Islamic Civilization in al-Andalus
- Orientalism
- Islah and Tajdid in Southeast Asia
- Muslim Historiography
- Contacts and Relations Between Muslims and Medieval Europe
- Islam and the West
- Issues in Contemporary Islamic Movements
- Islam in Sub Saharan Africa
- Ancient Indian Civilization
Kesemua kerja kursus saya lunaskan dengan cemerlang. Malangnya, saya terperangkap dalam tugasan menulis tesis. Subjek Research Methodology dirasakan tidak cukup untuk melengkapkan saya dengan kemahiran mengolah dapatan menjadi karya akademik. Saya lelah dan akhirnya program itu ditinggalkan tanpa segulung ijazah.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): Sejarah dan Tamadun Islam
Desakan menambah ilmu dan keinginan yang masih tinggi untuk memperoleh ijazah sarjana, membuatkan saya tidak berhenti-henti meninjau peluang belajar lagi. Kali ini, anak sudah membesar sedikit. Saya sudah ada lesen memandu dan tidak lagi mengejar LRT seawal jam 6 pagi dari Cheras ke Gombak seperti sebelumnya. Saya rasa bersedia untuk kembali ke bangku pengajian. Saya mendaftarkan diri di dalam program Sarjana Pengajian Islam di bawah Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Program ini menjadi rahmat besar ke atas diri kerana ia seperti melengkapkan latihan bidang sejarah saya. Semasa di UIAM, saya belajar sejarah dan ketamadunan menggunakan teori dan literature Eropah. Manakala di JPATI UKM, saya belajar sejarah menggunakan teori dan literatur Islam dan Muslim. Ia membolehkan saya memahami bagaimana bidang ini dikaji dari sudut yang berbagai-bagai. Tambahan pula pensyarah-pensyarah kami hebat-hebat belaka di bawah kepimpinan Profesor Dr. Wan Kamal Mujani.
Bukan setakat hebat malah unik. Sebabnya, salah seorang pensyarah kami adalah senior saya semasa bersekolah di SMAP Labu pada tahun 1991 iaitu Ustaz Ezad Azraai Jamsari. Manakala penyelia saya pula adalah junior semasa belajar di Jordan iaitu Dr. Azmul Fahimi bin Kamaruzaman.
Saya juga bertuah kerana sahabat baik yang juga pensyarah undang-undang di fakulti berkenaan, Dr. Mohd Al-Adib Samuri, bersungguh-sungguh membantu saya belajar.
Kajian saya tertumpu kepada bidang sejarah intelektual, mengkaji pemikiran Imam Birgivi di dalam magnum opus beliau, al-Tariqah al-Muhammadiyyah. Kajian saya mengenai beliau memberi peluang saya mendapat penajaan mengikuti kursus intensif Sejarah dan Tamadun Uthmaniyyah di Istanbul selama sebulan pada tahun 2013. Saya juga mendapat sokongan ramai sahabat untuk menyelidik hingga berpeluang memandu sampai ke perkampungan kecil Birgi Odemiş di Turki, tempat bersemadinya Imam Birgivi. Kajian tersebut memberanikan saya berhubung dengan hampir semua penyelidik yang sedang aktif menyelidik mengenai Imam Birgivi di seluruh dunia. Profesor Katharina Ivanyi di Princeton, USA, Qayyim Naoki Yamamoto di Jepun, dan ramai juga di Turki sendiri. Mereka teruja dengan kajian yang sedang saya lakukan.
Semua kerja kursus dapat dilunaskan dengan cemerlang. Malah, Allah swt rezekikan saya mendapat anugerah dekan.
Pembelajaran di UKM begitu dekat di hati. Latar belakang pengalaman belajar di UIAM, saya gunakan untuk membuat kelas tambahan / tutorial untuk kawan-kawan pada mengukuhkan kefahaman kami mengenai historiografi Eropah dan literatur Barat memandangkan ramai sahabat bukan daripada latar belakang pengajian sejarah. Agak sukar untuk membuat penyelidikan tanpa ‘past knowledge‘ yang cukup.
Tetapi sekali lagi, saya kecundang dalam penghasilan tesis. Ia terasa amat sukar. Sudah tentu orang sekeliling susah hendak memahami masalah ini. Saya seorang penulis buku. Apa masalahnya hendak menulis tesis? Saya mula percaya bahawa masalahnya adalah disiplin diri saya sendiri. Saya tidak cukup berusaha. Saya lebih mengutamakan ceramah umum. Ia menjadi racun yang memakan diri. Akhirnya saya tinggalkan pengajian itu tanpa segulung ijazah. Sudah tentu ia mengecewakan pensyarah dan khususnya penyelia saya sendiri. Tetapi manusia yang paling kecewa dengan saya adalah diri saya sendiri.
Kawan-kawan yang saya bantu, mereka berjaya menamatkan pengajian. Saya pula, hampa seribu kali hampa.
Semasa itu, saya sudah bekerja sepenuh masa sebagai Pengarah Pendidikan di Yayasan Pendidikan Khalifah. Saya baru sahaja pulang dari Helsinki, Finland mengikuti Helsinki Summer School selama sebulan. Saya membuat keputusan menyambung pelajaran ke Finland kerana keperluan ilmu dan latihan dalam bidang pendidikan. Saya menerima surat rasmi UKM mengenai kegagalan saya menyudahkan pengajian pada petang saya memandu kereta ke KL untuk menduduki peperiksaan IELTS sebagai persiapan untuk ke Finland.
Bersama tangisan hodoh seperti budak kecil, saya memandu penuh rasa kecewa dan malu dengan diri sendiri menuju ke tengah ibu kota.
UKM saya tinggalkan.
Malaysia juga bakal saya tinggalkan, andai ada rezeki nanti.
University of Oulu, Finland: Learning, Education and Technology
Keputusan menyambung pengajian di Finland mungkin menjadi antara keputusan paling besar yang saya buat dalam hidup ini. Sebabnya bersimpang siur. Setiap kali saya ditanya, jawapannya bertukar-tukar. Di kala itu, saya mengalami existential crisis yang teruk. Saya dibelenggu rasa kecewa dengan diri sendiri, dengan kerjaya, dengan banyak hal peribadi yang sukar diungkap, dan macam-macam lagi. Keinginan untuk sambung belajar dan mencuba sekali lagi, hadir bersama perasaan mahu membawa diri sejauh-jauhnya daripada semua itu.
Ia menjadi dilema besar ke atas Yayasan Pendidikan Khalifah, terutamanya sekolah menengah kami yang baru sahaja beroperasi. Saya masih ingat kata-kata CEO kami di bilik pejabat saya, “we don’t own you. You belong to the ummah. Pergilah, ustaz. Teruskan belajar, dan teruslah menyumbang. Teknologi hari ini membolehkan kita menyumbang walau dari mana sekali pun.”
Semasa memeluk bonda di KLIA pada Ogos 2016, hati saya terdetik mungkinkah ini kali terakhir saya memeluk bonda dan menatap wajahnya. Saya perlu dengan pelbagai misteri yang tersimpan di sebalik lambaian perpisahan.
Saya mendapat tawaran menyambung pelajaran di Fakulti Pendidikan, Universiti Oulu (OY), Finland dalam bidang Learning, Education and Technology. Tahun 2016 itu adalah tahun terakhir pelajar antarabangsa berpeluang menyambung pengajian secara percuma. Mulai tahun 2017, pelajar antarabangsa akan dikenakan yuran pengajian. Saya tidak boleh menangguhkannya. Kami terbang sekeluarga ke daerah baharu di hujung benua.
Pengajian di OY terasa begitu berat. Saya pula sudah tidak boleh beralasan. Tiada lagi ceramah umum. Tiada lagi kenduri kendara. Tiada lagi kesesakan jalan raya. Tiada lagi politik rencam tanahair. Hanya ada saya, dan agenda belajar.
Tetapi, lain yang dirancang, lain pula jadinya.
Isteri saya tidak dapat menyambung pelajaran di Finland seperti yang kami rancang. Beliau juga tidak boleh bekerja di Finland melainkan perlu lulus ujian Bahasa Finnish terlebih dahulu. Kemudian barulah boleh memohon lesen bekerja sebagai doktor di negara berkenaan. Akibat desakan kewangan keluarga dan biasiswa saya yang terbatas, isteri terbang ke Republic of Ireland dan bekerja di sana. Sebulan sekali beliau kembali ke Finland menjenguk kami. Saya menjadi ‘ayah tunggal’ menjaga empat orang anak remaja sambil menjadi pelajar sepenuh masa, di daerah berselimutkan salji lapan bulan setahun ini.
Tekanan belajar memuncak seawal semester pertama sejurus selepas isteri berlepas ke Ireland. Saya rasa ada kepelikan di dalam diri apabila semua pancaindera menjadi begitu sensitif. Saya bingung dengan bunyi, cahaya, suhu, dan apa jua rangsangan sekitar. Tugasan akademik berada di depan mata di atas meja, saya termenung setiap malam, beku tidak berfungsi.
Ketika itulah saya dihubungi seorang sahabat lama dari tanahair. Beliau mengusulkan kepada saya bahawa saya mungkin mempunyai undiagnosed ADHD.
Kefahaman mengenai ADHD itu selari dengan apa yang saya sedang belajar di kampus. Kami belajar mengenai cognition dan fungsi eksekutif dalam pembelajaran.
“Ya, inilah masalah yang saya sedang hadapi!” saya saban hari mengulangkaji pelajaran, sambil menyingkap jawapan mengenai diri sendiri.
Finland bukan negara berbahasa Inggeris. Saya gagal mendapatkan perkhidmatan untuk membuat assessment. Ditendang antara universiti dan hospital berulang kali, akhirnya saya berputus asa. Saya berhenti cuba mendapatkan diagnosis. Kaunseling bulanan membantu saya bertenang, tetapi pengajian menemui jalan buntu.
Di tahun ketiga berada di Finland, tesis saya baru berjaya ditulis sekitar 20 mukasurat. Saya jauh ketinggalan di belakang rakan-rakan yang lain.
Hendak dijadikan cerita, semasa bercuti keluarga di Belgium dan dalam perjalanan pulang menaiki keretapi ke Amsterdam, Belanda, beg saya telah dicuri! Lima pasport hilang, semua pakaian saya, dan termasuk jugalah laptop bersama tesis dan bahan rujukan di dalamnya. Saya sedar semua dokumen itu berada di desktop dan belum ada back up. Saya melihat kegagalan menjenguk wajah ngerinya di simpang jalan.
“Habislah aku kali ini!”
Saya menangis sepuas hati sebaik tiba di rumah bersama pasport kecemasan yang Kedutaan di The Hague bekalkan.
Oulu University of Applied Sciences (OAMK), Finland: Education Entrepreneurship
Enggan mengalah, saya tersedar yang saya ada empat tahun hak pengajian di Finland. Saya masih ada setahun lebih. Dengan pantas, saya pergi ke Oulu University of Applied Sciences (OAMK) di seberang rumah kami untuk memohon program sarjana baharu. Program sarjana ini lebih pendek dan boleh disiapkan dalam tempoh setahun.
Berbekalkan kerja-kerja saya sebagai anggota Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) Malaysia, permohonan saya mudah diterima.
Saya mendaftarkan diri dalam program Sarjana Education Entrepreneurship. Program ini adalah yang pertama di dunia dan ia dioperasikan dengan kerjasama tiga universiti iaitu OAMK di Finland, University of Pennsylvania di USA dan The Tecnológico de Monterrey, Mexico. Pensyarah daripada tiga universiti ini bergilir mengajar kami. Pengajian saya berjalan lancar bersama projek akhir yang memberi fokus kepada membangunkan model Social Enterprise untuk Yayasan Pendidikan Khalifah. Saya yakin saya boleh selesai belajar dan tidak mengakhirkan perjalanan di Finland dengan kegagalan.
Pada bulan Mac 2020, kami masuk ke subjek paling mencabar iaitu Financial Model. Tanpa sebarang kemahiran dan ilmu sebelumnya, saya dikehendaki membina formula model kewangan sekolah dan strategi pemasaran menggunakan Excel. Kawan-kawan khuatir dengan saya kerana saya seorang sahaja yang tiada latar belakang pengajian atau kerja di bidang kewangan, perniagaan dan pemasaran. Mereka sendiri mengambil masa sekurang-kurangnya satu semester kalau pun tidak sebuah ijazah untuk menguasai kemahiran yang diperlukan. Bagaimana mungkin dengan dua kelas selama seminggu saya boleh melakukannya?
Saya panik.
Tatkala itu, Covid-19 melanda dunia. Seluruh pengajian dipindah ke dalam talian. Pensyarah Financial Model pula datang dari USA. Beliau kembali ke USA dan kami perlu belajar sendiri.
Ketika itulah dunia saya menjadi gelap. Saya dibelenggu kemurungan. Idea-idea hitam mula menguasai diri. Puas anak-anak memujuk saya yang sudah kehilangan motivasi untuk bangun dari tidur. Saya tahu saya akan gagal sekali lagi.
Penyelia saya seorang Canadian. Beliau lebih ramah dan menzahirkan empati berbanding pensyarah Finnish yang maklum akan keunikan karakter kebanyakan mereka. Penyelia saya memberi nasihat agar saya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. Isteri saya sudah tidak kami temui hampir lima bulan kerana perintah berkurung yang memisahkan Ireland dengan Finland.
“Tinggalkanlah Finland. Bawa anak-anak dan satukan semula keluarga kamu di Ireland. Pengajian ini, jika satu hari nanti kamu ingin mengaktifkannya semula, ia ada di dalam rekod. Ijazah terlalu kecil berbanding keutamaan hidup kita. Pergilah!” pujuk beliau melalui perbualan telefon kami.
Sebaik sahaja sempadan dibuka pada Julai 2020, kami berpindah meninggalkan Finland buat selama-lamanya. Walaupun hati berasa sangat lega sebaik tiba di Ireland, hati saya berasa amat terkilan sekali lagi gagal melunaskan pengajian sarjana.
Kali kelima!
Menemui Punca dan Sebuah Harapan Baharu: Diagnosis ADHD dan Percubaan Keenam
Kegagalan demi kegagalan ini tidak mudah untuk saya terima. Saya mula percaya bahawa saya tidak berkemampuan untuk melakukan sesuatu yang kelihatan begitu mudah bagi orang lain. Namun, pada akhir tahun 2021, hidup saya berubah apabila saya menerima diagnosis ADHD. Diagnosis ini memberikan jawapan kepada persoalan yang selama ini menghantui saya: mengapa saya mampu menulis berpuluh-puluh buku tetapi gagal menyelesaikan satu tesis?
ADHD menjejaskan fungsi eksekutif dan pengawalan diri, aspek penting dalam penyelesaian tugas-tugas kompleks seperti menulis tesis. Dengan diagnosis tersebut, saya mendapat akses kepada rawatan dan penyesuaian gaya hidup yang akhirnya membawa perubahan besar. “Foggy brain” yang sering mengganggu hidup saya selama ini hilang, dan saya dapat merasakan satu pengalaman baharu dalam membaca dan menyelesaikan kerja-kerja lain.
Pada Januari 2024, berbekalkan keyakinan baharu, saya menyertai program Postgraduate Certificate in Innovation and Enterprise Development (IED) di Trinity College Dublin (TCD). Pengalaman belajar kali ini berbeza. Walaupun ia hanya peringkat sijil, saya masih perlu membaca artikel jurnal, membuat pembentangan dan melakukan aktiviti-aktiviti akademik yang sudah agak lama saya tinggalkan. Era ini juga teknologi AI bertambah baik dan saya manfaatkan ia untuk melancarkan kerja-kerja teknikal dalam menyediakan laporan kerja dan tugasan modul. Foggy brain yang sebelum ini menjadikan saya tersesat di lubang-lubang arnab bak kata orang sini, dapat saya elakkan. Kesemua modul saya lunaskan dengan baik, assignment dihantar lebih awal tanpa perlu memohon tempoh akhir.
Paling utama, sokongan yang saya terima melalui kaunseling di disAbility Hub sangat membantu. disAbility Hub adalah institut di dalam Trinity College Dublin yang menyediakan sistem sokongan kepada pelajar yang mengalami cabaran-cabaran pembelajaran. Diagnosis ADHD memudahkan saya mendaftarkan diri di bawah perkhidmatan ini. Pegawai bertanggungjawab banyak membantu saya memahami strategi yang berkesan untuk menguruskan kehidupan peribadi dan akademik. Saya bejaya menamatkan pengajian dan graduate on time, Alhamdulillah.
Usai pengajian, saya cuba dapatkan nasihat pegawai ADHD di disAbility Hub. Adakah saya patut memulakan bisnes sendiri kerana melalui IED, saya berjaya menyiapkan tiga business proposal yang lengkap dengan model kewangan dan sudah menerima validasi pelabur. Atau patutkah saya mencari kerja dan mula bekerja di Ireland? Atau… mencuba sekali lagi untuk sambung belajar di peringkat sarjana?
“Kamu telah mencuba sebanyak lima kali selama dua puluh tahun, Rizal. Saya rasa, selagi kamu tidak memperoleh sarjana, ia akan berterusan membelenggu diri. Kamu sudah membuat banyak sumbangan di Malaysia. Kami di Ireland juga mahukan sumbangan kamu. Jika kamu ada kemampuan, usahakanlah untuk mencuba sekali lagi. Jika kamu memilih untuk membuat pengajian sarjana di Trinity College Dublin ini, kami di disAbility Hub akan meneman dan menyokong kamu dari awal pengajian sampai kamu tamat dengan cemerlang.” katanya. Hal ini memberikan saya keyakinan untuk mencuba sekali lagi melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.
Trinity College Dublin (TCD), Ireland: M.Ed (Diversity and Inclusion)
Dengan sokongan Disability Hub di Trinity College Dublin, saya menyediakan cadangan penyelidikan dan memohon untuk menyambung pengajian. Kajian saya tertumpu kepada pelajar ADHD di universiti dan bagaimana alat berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dapat membantu proses pembelajaran mereka. Untuk memohon pengajian dalam format Full Time Taught Programme selama setahun, saya perlu mengemukakan research proposal bersama permohonan. Saya telah sediakan research proposal dengan tajuk “Exploring the Academic Experiences of University Students with ADHD in the Era of Generative AI,” iaitu topik yang saya ubah suai sedikit daripada fokus asal iaitu meneroka pengalaman menggunakan GenAI tools. Penyelia berpandangan, skop itu agak awal dan saya mungkin mengalami kesukaran menemui pelajar untuk ditemubual.
Syukur Alhamdulillah, permohonan saya diterima.
Pada 4 September 2024, saya memulakan pengajian dalam bidang Pendidikan dengan pengkhususan Diversity and Inclusion. Ini merupakan percubaan keenam saya untuk mendapatkan ijazah sarjana, dan kali ini saya melangkah dengan keyakinan baharu.
Istilah “Diversity and Inclusion” menggantikan istilah lama “Pendidikan Khas.” Ia mencerminkan pendekatan yang lebih inklusif dalam menangani keperluan pelajar dengan pelbagai latar belakang, termasuk mereka yang berada di bawah payung neurodiversiti..
Jika sebelum ini, banyak masalah saya berpunca daripada “foggy brain” akibat ADHD, kali ini cabaran utama saya ialah aspek logistik dan intensiti pengajian. Saya berulang-alik empat jam setiap hari antara rumah dan kampus menaiki keretapi, bas, tram dan berjalan kaki. Perjalanan ini bukan sahaja melelahkan tetapi juga menguji masa yang saya ada untuk menumpukan perhatian pada pelajaran. Selain itu, kerana pengajian ini bersifat intensif, saya tidak dapat melakukan kerja sampingan untuk menampung keperluan kewangan.
Tahun 2024 terpaksa saya biarkan ia berlalu tanpa buku baharu.
Sokongan Anda Diperlukan
Untuk menampung keperluan pengajian, saya membuka diri untuk menerima jemputan ceramah, forum, webinar, kursus perguruan, keibubapaan, serta konsultasi sekolah dan apa juga pekerjaan yang bersesuaian dengan kemampuan diri saya. Sebarang honorarium, saya sambut dengan rasa syukur dan akan saya gunakan sebaik mungkin untuk pembelajaran kali ini. Sumbangan juga saya alukan melalui halaman gofundme.hasrizal.com.
Semoga kisah saya menjadi inspirasi kepada mereka yang sedang berjuang dalam bidang akademik atau kehidupan secara amnya. Allah tidak melihat hasilnya sahaja, tetapi juga usaha kita dalam perjalanan menuntut ilmu ini.
Semoga Allah memudahkan perjalanan kita semua. Insya-Allah. Amin.