Pandangan alam, atau worldview, merujuk kepada cara kita melihat realiti kehidupan, menilai, menafsir, dan memaknakan sesuatu sehingga menjadi pegangan hidup. Pandangan ini boleh dipengaruhi oleh budaya, pendidikan, dan juga agama.
Namun, apabila berbicara tentang agama, persoalan yang timbul adalah sejauh mana ilmu agama yang dipelajari mempengaruhi pandangan alam kita? Adakah setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita dilihat menerusi lensa agama yang kita anuti?
Persoalan ini membawa saya kepada satu pengalaman peribadi semasa menziarahi seorang rakan di Turkiye pada musim panas baru-baru ini. Ketika bersama keluarganya, saya berpeluang berbual panjang dengan anak beliau, yang kali terakhir bertemu, beliau masih seorang bayi. Kini beliau seorang pelajar universiti di negara berkenaan.
Dalam perbualan kami, timbul topik menarik tentang drama Kübra di Netflix yang baru selesai saya tonton ketika itu. Ia membawa kepada topik filem-filem seram Turkiye di Netflix yang saya teruja dengannya seperti Dabbe: Cin Çarpması.
Anak rakan saya menyatakan bahawa elemen-elemen seram dalam filem tersebut hanyalah fiksyen dan semata-mata hiburan.
Ini mendorong saya untuk bertanya, bagaimana pula dengan kewujudan jin dan syaitan yang disebut dalam Al-Quran? Adakah kepercayaan terhadap perkara-perkara ghaib ini turut dilihat hanya sebagai elemen fiksyen?
Soalan ini menimbulkan kerumitan kepada anak rakan saya kerana beliau tidak pernah merenung isu tersebut secara mendalam. Baginya, perkara-perkara ghaib ini tidak relevan dalam kehidupan sehariannya kerana tidak pernah bertembung dengan situasi yang memerlukan beliau membuat pendirian. Kehidupan moden di kota besar seperti Istanbul terasa begitu jauh dan tiada kaitan dengan hal ehwal jin dan syaitan ini.
Penerokaan topik berkenaan mendorong beliau membuat pengakuan terbuka bahawa pemahamannya hanya terbentuk melalui filem dan drama, yang kebanyakannya dihasilkan oleh budaya luar. Beliau ada masalah untuk melihat dirinya sebagai Muslim, di tahun 2024, dan percaya kepada benda-benda ghaib sebegini.
Budaya dan Perbincangan tentang Alam Ghaib
Saya menyedari bahawa di Nusantara, topik tentang hantu, jin, dan alam ghaib sering menjadi perbualan biasa kita sejak kecil hingga dewasa. Kita dengan mudah membezakan antara hantu dalam budaya tempatan seperti hantu galah atau hantu raya dengan makhluk ghaib seperti jin, syaitan, dan malaikat yang disebut dalam Al-Quran. Namun, saya tidak pernah berbicara tentang hal ini bersama rakan-rakan dari Turkiye.
Adakah mereka mempunyai versi “hantu” tersendiri dalam budaya mereka?
Persoalan ini membawa kepada refleksi lebih mendalam tentang bagaimana pandangan alam kita, terutama kepercayaan terhadap perkara-perkara ghaib, dipengaruhi oleh agama. Sebagai Muslim, Al-Quran sejak awal lagi, seperti dalam surah Al-Baqarah, menegaskan bahawa orang-orang yang bertakwa adalah mereka yang beriman kepada perkara-perkara ghaib.
“Alif, Lam, Mim. Itulah al-Kitab yang tidak ada sebarang keraguan di dalamnya, petunjuk buat orang-orang yang bertakwa. Iaitu golongan yang beriman dengan perkara-perkara ghaib, yang mendirikan solat, dan yang menafkahkan apa yang Kami rezekikan buat mereka…” (al-Baqarah 2: 1-3)
Jin dan Syaitan, adalah sebahagian daripada perkara ghaib, dan sebahagian daripada perkara yang dinyatakan secara jelas dan spesifik di dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Di mana posisi jin dan syaitan dalam kepercayaan kita, semalam melayan ‘hantu’ di dalam filem-filem seram? Di mana batas yang membezakan antara fiksyen dengan hakikat kebearan?
Sejauh mana kepercayaan ini diteroka dan diaplikasikan dalam kehidupan kita?
Kepercayaan dan Ilmu: Dinamik dalam Pandangan Alam
Saya cuba berfikir mengenai hal ini di dalam ‘sejarah mereka’.
Dalam sejarah zaman Daulah Uthmaniyah misalnya, terdapat kepercayaan kepada unsur-unsur khurafat yang wujud dalam pelbagai bentuk. Berleluasanya perkara khurafat dalam kehidupan awam era-era akhir Daulah Uthmaniyyah pernah saya nukilkan di dalam buku Kembara Menalar Diri: Menjejak Legasi Imam Birgivi. Ia juga boleh dibaca di artikel Kecelaruan Kognitif Ahli Bid’ah Menurut Imam Birgivi. Lihat bahagian AMALAN SIHIR DAN KHURAFAT DI PENGHUJUNG USIA DAWLAH UTHMANIYYAH.
Tetapi hal-hal berkaitan turut boleh ditinjau di era lebih awal.
Saya teringat kepada tokoh seperti Müneccimbaşı, ahli astrologi terkenal, menunjukkan bagaimana kemahiran beliau digunakan untuk menentukan waktu yang sesuai untuk sultan berburu atau mencari barang yang hilang. Namun, pada akhir hayatnya, Müneccimbaşı menyatakan penyesalan terhadap kerjaya silamnya dan membezakan antara astrologi dan astronomi, yakni ilmu tanjim dengan ilmu falak. Saya terfikir, adakah keahlian seperti itu melibatkan khidmat jin?
Persoalan-persoalan ini membuka ruang refleksi untuk memahami batasan antara kepercayaan berlandaskan agama dan kepercayaan khurafat.
Saya pernah menulis artikel panjang pada tahun 2013 mengenai Müneccimbaşı. Untuk pembacaan lebih lanjut, sila rujuk artikel saya di blog pada pautan berikut: https://saifulislam.com/2013/07/sumber-berbahasa-arab-daulah-uthmaniah-tarikh-muneccimbasi-1631-1702/.
Islam dalam Kehidupan Seharian
Sebagai Muslim, adalah penting untuk memastikan bahawa ilmu agama yang dipelajari mampu mencorakkan pandangan alam kita secara dinamik. Islam bukan sahaja menjadi asas dalam soal ibadah atau muamalah seperti kewangan, tetapi juga dalam hal-hal kecil kehidupan.
Sebagai contoh, adakah Islam memberi panduan dalam menghias rumah? Bagaimana pula pendirian Nabi SAW dalam isu ini? Dalam hal menghias rumah, contohnya, persoalan yang perlu timbul adalah adakah hiasan ini selari dengan nilai-nilai Islam?
Teringat saya kepada kisah Rasulullah ﷺ semasa menziarahi rumah anakanda baginda Fatimah r.a:
Rasulullah ﷺ datang ke rumah Fatimah r.a dan mendapati sehelai langsir tergantung di pintu rumahnya, lalu Baginda tidak masuk ke dalam. Biasanya, setiap kali Baginda masuk (ke rumah), Baginda akan mengunjungi Fatimah terlebih dahulu. Kemudian, Ali r.a datang dan mendapati Fatimah dalam keadaan sedih.
Ali bertanya: “Apakah yang menyebabkan kamu berasa demikian?” Fatimah menjawab: “Rasulullah ﷺ datang kepadaku tetapi Baginda tidak masuk ke dalam (rumah).”
Ali pun pergi berjumpa Rasulullah ﷺ dan berkata: “Wahai Rasulullah, Fatimah terasa hati kerana engkau datang untuk melawatnya tetapi tidak masuk ke dalam rumah.” Rasulullah ﷺ menjawab: “Apakah urusanku dengan dunia ini? Apakah urusanku dengan corak dan gambar (pada langsir itu)?” Ali kemudian kembali kepada Fatimah dan menyampaikan apa yang telah dikatakan oleh Rasulullah ﷺ.
Fatimah berkata: “Tanyakan kepada Rasulullah ﷺ apakah yang Baginda mahu aku lakukan mengenainya.”
Rasulullah ﷺ bersabda: “Beritahulah kepadanya bahawa dia mesti mengirimkan (langsir itu) kepada si fulan.”
(Sunan Abi Dawud : 4149)
Itu soal ‘sekecil’ menghias rumah.
AMALAN, POLISI DAN DASAR PENDIDIKAN
Dalam konteks yang lebih luas, isu-isu pendidikan juga perlu dilihat melalui pandangan alam Islam. Apabila kita bercakap tentang operasi pendidikan, tentang polisi, tentang dasar, persoalan yang timbul adalah sejauh mana ia selaras dengan ajaran Islam? Sebagai contoh, dalam cara kita mengajar, adakah pendekatan kita selari dengan prinsip-prinsip Islam? Adakah kita mendidik pelajar dengan pendekatan yang menghormati fitrah manusia, selari dengan teladan Nabi Muhammad ﷺ?
Dalam hal penilaian dan pentaksiran, misalnya, adakah sistem peperiksaan yang kita gunakan memberi manfaat atau memudaratkan? Adakah beban kerja yang diberikan kepada guru bersifat adil, atau melampaui batas kemampuan manusia yang telah ditetapkan dalam kontrak awal mereka? Apabila tugasan-tugasan tambahan dikenakan kepada guru sehingga membawa kemudaratan seperti tekanan kerja yang berlebihan, adakah kita menilai perkara ini dari sudut pandangan Islam?
Cara kita merancang dan melaksanakan dasar pendidikan juga perlu diperhalusi. Adakah sistem pendidikan kita benar-benar memenuhi tujuan utama pendidikan dalam Islam, iaitu melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, intelek, dan rohani? Dalam sistem pendidikan moden, elemen-elemen seperti keperluan untuk menyiapkan tugasan yang terlalu banyak, menekankan pencapaian akademik semata-mata, atau menilai kejayaan berdasarkan markah dan gred, adakah ini benar-benar menepati aspirasi pendidikan Islam?
Bagaimana dengan budaya menggertak, menakut-nakutkan murid, menjerkah, merotan dan menampar? Mana yang Islam benarkan, mana yang Jahiliah?
Kesimpulan
Persoalan-persoalan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk kita tidak hanya melihat Islam dalam aspek ritual semata-mata. Islam perlu menjadi panduan holistik dalam semua aspek kehidupan, termasuk pendidikan, dasar, dan amalan harian kita.
Kita perlu sentiasa bertanya, “Dalam hal ini, Islam kata apa?”
Dengan menjadikan Islam sebagai asas panduan, kita bukan sahaja dapat memperbaiki cara kita menjalani kehidupan tetapi juga memastikan bahawa setiap keputusan yang kita buat, sama ada dalam hal-hal kecil seperti menghias rumah atau dalam isu-isu besar seperti pendidikan, adalah selari dengan nilai-nilai Islam.
Hanya dengan pendekatan ini, kita dapat memastikan pandangan alam kita benar-benar mencerminkan keimanan kita sebagai Muslim.
Hasrizal
Naas, Ireland