Dalam masyarakat kita, terdapat kecenderungan untuk mengagung-agungkan susah payah dengan anggapan bahawa ia menjadikan seseorang lebih kuat dan tabah (resilient). Namun, persoalannya, apakah benar susah payah itu perlu diwujudkan dalam pembelajaran? Adakah susah payah sebegini mampu membina ketabahan yang lebih berkesan, atau adakah cara lain yang lebih sesuai?
Sebagai umat Islam, wajar juga kita bertanya, adakah Nabi Muhammad ﷺ menggunakan kesusahan untuk membentuk generasi yang kuat? Aisyah RA pernah meriwayatkan bahawa Nabi ﷺ, jika diberikan pilihan antara yang mudah dan yang sukar, baginda akan memilih yang mudah.
Keutamaan terhadap kemudahan ini bertujuan meningkatkan aksesibiliti, agar ilmu dapat dipelajari tanpa halangan yang tidak perlu. Islam yang baginda ﷺ ajar, sesuai untuk orang tua, orang muda, orang ajam, orang arab, individu yang ada kelainan atau kurang upaya, fizikal atau mental, dan merentas geografi dan zaman. Nilai ‘accessibility’ Islam yang baginda ﷺ wariskan, sangat tinggi malah terpuji.
Pada masa yang sama, jika wujud cabaran, Nabi ﷺ mendidik bagaimana menghadapi cabaran itu. Tetapi bukanlah dengan sengaja menyusahkan sehingga menyebabkan kemudaratan atau putus asa.
Sebagaimana sabda baginda ﷺ:
“Ajarlah, permudahkan dan jangan menyusahkan. Seandainya kamu marah, diam. Jika marah, diam. Jika marah, diam.”
(Hadith riwayat Ahmad : 2556)
Prinsip taisir (kemudahan) ini berlawanan dengan sikap menyengajakan kesusahan yang tidak berfaedah.
Kemudahan dalam Amalan dan Kehidupan Harian
Nabi ﷺ menekankan kesederhanaan, baik dalam ibadah mahupun kehidupan harian. Baginda menyeimbangkan hak-hak tubuh badan, keluarga, dan tanggungjawab lain agar tidak membebankan diri. Ini penting kerana kesukaran yang berlebihan boleh menyebabkan rasa berat, bosan, dan akhirnya menimbulkan kebencian terhadap amalan baik dan agama itu sendiri.
Hal ini selari dengan firman Allah SWT:
- “Allah menghendaki kemudahan untuk kamu dan tidak menghendaki kesusahan untuk kamu.” (Surah Al-Baqarah: 185)
- “Allah tidak bermaksud untuk menjadikan agama ini satu kesusahan.” (Surah Al-Ma’idah: 6)
- “Allah tidak membebankan seseorang melainkan dalam kemampuannya.” (Surah Al-Baqarah: 286)
Kawalan Emosi dan Kepentingannya dalam Pendidikan
Dalam mendidik, kawalan emosi sangat penting. Nabi ﷺ berulang kali menasihati agar diam ketika marah. Hal ini bertujuan mengelakkan kata-kata yang boleh membawa penyesalan. Dalam konteks pengajaran, guru-guru perlu mengawal emosi sebelum memberikan teguran, agar mesej yang disampaikan jelas tanpa menimbulkan tekanan kepada pelajar.
Melahirkan Generasi yang Resilient melalui Pendidikan yang Kasih Sayang
Generasi sahabat Nabi ﷺ dikenali sebagai generasi yang paling tabah, tetapi ketabahan mereka dibentuk melalui pendidikan berasaskan kasih sayang, bukan kesusahan yang disengajakan. Baginda menunjukkan kasih sayang kepada kanak-kanak, bergurau dengan sahabat, dan membimbing dengan teladan yang penuh hikmah. Dalam urusan besar, mereka tampil sebagai rijal (pemimpin sejati), tetapi ini bukan hasil daripada kesusahan yang tidak perlu, sebaliknya hasil daripada didikan yang seimbang dan kasih sayang.
Latihan Tanggungjawab Kecil untuk Membina Ketabahan
Melatih generasi muda mengambil tanggungjawab kecil, seperti mengemas katil, membantu keluarga, atau menabung, adalah langkah organik membina ketabahan. Ia bukan soal kesukaran fizikal, tetapi soal sikap bertanggungjawab dan usaha tanpa paksaan. Melalui langkah-langkah kecil ini, ketabahan dibina secara berperingkat. Bukan anak di sekolah asrama sahaja yang perlu mengemas katil. Anak di rumah juga perlu belajar membina kebiasaan penting ini.
Kesimpulan
Islam dan sains pembelajaran moden menolak idea bahawa kesusahan yang tidak perlu dalam pembelajaran atau kehidupan mampu melahirkan generasi yang tabah. Sebaliknya, keutamaan kepada kemudahan, pendidikan berasaskan kasih sayang, dan latihan bertanggungjawab adalah kunci untuk melahirkan generasi yang resilient. Menganggap kesusahan sebagai prasyarat ketabahan adalah satu andaian yang tidak disokong oleh agama mahupun sains.
Hasrizal
rizal.ie