Persekolahan dan Peperiksaan: Kawan Atau Lawan?

Petikan Podcast What Now Jom Ah Lepak bersama Syed A Haikal, dengan kerjasama Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI)

Memahami Peranan dan Nilai Peperiksaan dalam Pendidikan Holistik

Apabila menyebut tentang peperiksaan di Malaysia, isu ini sering menjadi perbincangan yang mencetus perbalahan. Ada pihak yang berpendapat bahawa peperiksaan perlu dimansuhkan bagi mengurangkan tekanan kepada pelajar, sementara pihak lain menyatakan bahawa peperiksaan penting sebagai alat motivasi untuk meningkatkan pencapaian akademik. Malah ada pula yang menganggap persoalan meniadakan peperiksaan untuk mengurangkan tekanan adalah memanjakan pelajar.

Adakah kita boleh melihat isu ini dari perspektif yang lebih mendalam, sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mengutamakan pembentukan individu holistik?

Peperiksaan dalam Perspektif Holistik

Untuk memahami peperiksaan secara lebih holistik, kita perlu melihat isu ini bukan sekadar permasalahan alat atau mekanisme pendidikan, tetapi juga tujuan pendidikan itu sendiri. Neil Postman dalam bukunya The End of Education menegaskan bahawa perbincangan mengenai pendidikan sering terarah kepada kaedah atau alat seperti peperiksaan, teknologi, atau sistem sekolah, tetapi jarang sekali menyentuh tentang matlamat akhir pendidikan. Maka, persoalan yang perlu kita tanya ialah:

“Apakah tujuan akhir pendidikan kita?”

” Apakah jenis individu yang ingin kita lahirkan melalui sistem ini?”

“Apa sebenarnya tujuan sebuah pendidikan?

Peperiksaan dan Pentaksiran: Alat untuk Menilai dan Memperbaiki

Peperiksaan, atau istilah yang lebih kontemporari, pentaksiran, mempunyai dua tujuan utama:

1. Menilai perkembangan pembelajaran pelajar.

2. Menilai pencapaian pelajar dalam memenuhi objektif yang ditetapkan.

Bagi guru, peperiksaan adalah alat untuk memahami kemajuan pelajar di dalam kelas yang besar. Keputusan peperiksaan membantu guru menilai keberkesanan pengajaran mereka dan mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan.

Bagi murid, peperiksaan membantu mereka mengesan kelemahan serta halangan-halangan yang wujud, dan bagaimanakah dengan maklumat berkenaan murid itu boleh memperbaiki cara dia belajar.

Bagi ibu bapa pula, keputusan peperiksaan yang datang dari sekolah boleh membantu mereka memahami perkembangan dan pencapaian pendidikan anak. Namun pada masa yang sama, perkembangan itu turut terhasil daripada keterlibatan ibu bapa dalam komunikasi seharian dengan anak.

Adakah anak mengulangkaji pelajaran di rumah?

Semasa bertanya khabar, bagaimana anak bercerita tentang apa yang dipelajarinya di sekolah?

Bertambahkah kualiti percakapan, pemikiran dan tingkah laku anak-anak seiring dengan pembelajarannya di sekolah?

Maklumat-maklumat berkenaan boleh jadi lebih tulen dan organik pada menceritakan perkembangan dan pencapaian anak dari semasa ke semasa, berbanding dengan markah atau gred dari sekolah.

Nilai Peperiksaan: Risiko dan Implikasi

Nilai peperiksaan membesar dan mengecik bergantung kepada kesannya terhadap hak, dan peluang pelajar. Peperiksaan menjadi ‘high-stake exam’ apabila ia berperanan menentukan peluang biasiswa atau kemasukan ke institusi tertentu.

Risiko sebesar itu wajar membawa kita bertanya tentang keadilan dan risiko penganiayaan.

Contohnya, seorang murid belajar dengan baik sepanjang tahun. Tetapi menjelang peperiksaan akhir semester atau akhir tahun, beliau menghadapi masalah keluarga yang di luar kawalannya. Isu itu mengganggu fikirannya, menimbulkan kegelisahan, menjejaskan daya fokus, lalu menduduki peperiksaan di dalam keadaan yang tidak baik. Akibatnya, beliau mendapat markah yang lebih rendah berbanding perkembangan dan pencapaian sebenarnya. Dengan keputusan yang tidak baik itu, beliau kehilangan peluang belajar yang setimpal dengan usahanya selama ini.

Dalam situasi ini, kita perlu bertanya, adakah sistem peperiksaan ini adil?

Tidakkah ia menganiaya pelajar?

Apakah ada cara peperiksaan atau pentaksiran yang lebih baik?

Malah sebagai umat Islam, kita juga diingatkan tentang prinsip menolak kemudaratan yang lebih utama daripada memperoleh manfaat kecil sebagai sendi Syariah. Jika sistem peperiksaan kita memudaratkan pelajar atau menafikan hak mereka, adakah ia selari dengan nilai-nilai Islam?

Islamikkah peperiksaan sedemikian rupa?

Apabila kita mula menjawab persoalan-persoalan ini, lahirnya perbincangan tentang berbagai-bagai bentuk pentaksiran.

Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD)

Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD) adalah satu alternatif yang lebih fleksibel dan organik dalam menilai pelajar. Ia dilakukan secara berperingkat oleh guru, menjadikannya kurang berisiko tinggi dan lebih tepat dalam menggambarkan pencapaian pelajar.

Namun, keberkesanan PBD bergantung kepada banyak faktor melibatkan budaya dan sistem sokongan:

1. Kepercayaan terhadap Guru: Percayakah kita kepada apa yang guru laporkan? Di negara seperti Finland, guru dipercayai, dan laporannya berintegriti. Sebabnya, guru dilatih dengan baik untuk mengenal pasti dan melaporkan perkembangan pelajar tanpa tekanan luaran. Mereka pendidik profesional.

2. Guru Bebas Mentaksir Tanpa Bias: Apa jua laporan guru mengenai prestasi murid, semuanya digunakan sepenuhnya hanya untuk keperluan murid. Tiada KPI sesiapa disandarkan kepada pencapaian murid. Tiada sebarang risiko atau manfaat timbul andai keputusan lemah atau cemerlang. Guru tidak ada sebab untuk bias dalam melapor.

3. Beban Tugas Guru: Guru di negara-negara ini tidak dibebani dengan tugas selain mengajar, membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan PBD. Semua aktiviti ko-kurikulum pelajar berlaku di luar sekolah, di luar waktu persekolahan. Guru fokus hampir 100% kepada urusan mengajar, dan tiada potfolio yang tidak ada kaitan dengan urusan mengajar.

Malangnya, situasi ini jauh berbeza di Malaysia, di mana PBD sering membebankan guru kerana kekurangan sokongan, tekanan birokrasi dan budaya ‘trust‘ yang rendah.

Motivasi Pembelajaran: Lebih daripada Sekadar Peperiksaan

Benarkah tanpa peperiksaan, murid hilang arah tujuan belajar?

Betulkah jika tiada peperiksaan, murid tiada motivasi belajar, malah guru tiada motivasi mengajar?

Persoalan-persoalan ini adalah real, apabila sistem pembelajaran semasa bergantung banyak kepada motivasi luaran (extrinsic motivation). Jika keputusan peperiksaan bagus, manfaat hadir. Jika keputusan peperiksaan tidak bagus, risiko menimpa.

Motivasi ekstrinsik bukanlah salah. Cuma, ia berkesan untuk murid-murid yang lebih muda di awal persekolahan. Tetapi, motivasi ekstrinsik semakin kurang relevan apabila pelajar meningkat dewasa. Pelajar sekolah menengah memerlukan motivasi dalaman (intrinsic motivation) untuk menjana sebab mereka bersekolah. Sesuatu yang mereka ingin capai, atas pilihan sendiri. Bukan seperti yang sekolah tetapkan, ibu bapa desakkan, kerajaan tentukan, dan dipaksa secara sedar atau tidak ke atas pelajar-pelajar ini tadi.

Penutup: Ke Arah Sistem Pendidikan yang Lebih Adil

Justeru, benarkah menghapuskan peperiksaan mengurangkan tekanan pelajar?

Ia tidaklah 100% salah.

Tetapi ramai pelajar pada hari ini kehilangan minat pada persekolahan. Tidak menduduki peperiksaan. Tidak kisah pun lulus atau gagal peperiksaan.

Fenomena membimbangkan ini sudah boleh menjelaskan kepada kita bahawa sumber kebosanan, hilang makna persekolahan, pudarnya motivasi dan meningkatnya tekanan, bukanlah semata-mata peperiksaan.

Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menghapuskan peperiksaan demi mengurangkan tekanan adalah langkah yang tidak sepenuhnya salah, tetapi ia bukanlah penyelesaian mutlak. Isu yang lebih besar adalah memastikan kurikulum, pedagogi, dan sistem pentaksiran kita benar-benar menyokong perkembangan holistik pelajar, selari dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Peperiksaan, jika dilaksanakan dengan adil dan relevan, boleh menjadi alat komunikasi yang efektif untuk menilai dan memperbaiki proses pembelajaran, bukannya punca tekanan utama kepada pelajar.

Tekanan yang sering disuarakan oleh anak-anak, guru-guru, dan ibu bapa, berpunca daripada kurikulum semasa yang tidak relevan, terlalu sukar dan hilang kesejajarannya dengan usia murid. Jika pelajar tidak menikmati pembelajaran, merasa terasing daripada silibus, atau tidak memahami tujuan pembelajaran, tekanan tersebut akan berterusan walaupun peperiksaan dimansuhkan. Motivasi tidak akan kembali walaupun peperiksaan pulang ke bilik darjah.

Hasrizal
Naas, Ireland.

Check Also

Menghina si Anak Muda Kerana Mudanya Mereka

Semasa kita mahu guna anak muda, kita puji mereka sebagai ‘masa hadapan kita’. Kita buka …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share