Thursday , January 9 2025

Panduan Berinteraksi Dengan Anak Mengenai Konflik Palestin

“Lebih setahun telah berlalu sejak peperangan di Gaza bermula pada 7 Oktober 2023,” saya terfikir sendiri sambil melihat paparan berita di skrin.

Konflik ini tidak lagi sekadar isu wilayah kecil tetapi kini menjadi konflik serantau yang melibatkan begitu banyak nyawa. Bagaimana kita boleh mendiamkan diri?

Saya merenung panjang.

Jumlah korban sudah melangkaui apa yang boleh kita gambarkan dengan kata-kata. Seperti biasa, perhatian kita teralih kepada isu lain — kos hidup, politik, tugas harian — namun, apakah itu bermaksud tragedi ini sudah selesai? Ia sudah hilang keutamaan?

Berbincang mengenai isu Palestin, selain usaha menyelamat yang perlu sekarang, segera dan berterusan, ia juga membabitkan soal bagaimana kita mendidik generasi akan datang. Tragedi Gaza adalah satu peluang penting untuk membentuk jiwa anak-anak kita, memberikan mereka kefahaman dan empati. Dan, perbincangan ini sepatutnya bermula di tempat yang paling selamat, di rumah kita sendiri. Sebagai ibu bapa, kita berada di posisi yang unik. Kita sebagai ibu bapa adalah orang dewasa kepercayaan mereka.

Di ruang rumah yang kondusif, sambil makan malam atau sebelum tidur, perbincangan ini boleh berlaku tanpa tekanan. Ia menjadi satu peluang emas untuk membina hubungan yang lebih rapat dengan anak-anak sambil membantu mereka memahami realiti dunia semasa. Kita boleh dan perlu memainkan peranan sebagai pendidik pertama mereka, menjelaskan dengan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan.

1. Wasiat Buat Yang Mendidik

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Kahfi, ayat 28:

وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۥ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا.

Maksudnya: “Sabarkanlah dirimu bersama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan petang demi mengharapkan reda-Nya. Janganlah engkau palingkan perhatianmu daripada mereka hanya kerana mahukan kesenangan hidup di dunia. Janganlah engkau turuti orang yang lalai daripada mengingati Kami serta menurut hawa nafsunya, sedangkan tingkah lakunya melampaui batas.”

Sayyid Qutb, dalam tafsirnya Fi Zilal al-Quran, mengulas ayat ini sebagai satu peringatan kepada pendidik, ibu bapa, dan semua yang bertanggungjawab ke atas generasi muda 1. Beliau menekankan bahawa sabar dalam mendidik adalah tindakan aktif yang memerlukan keazaman tinggi. Mendidik generasi yang diungkap sebagai mereka yang mengingati Allah SWT memerlukan kesabaran yang kukuh kerana proses ini menongkah pelbagai cabaran dunia moden, termasuk pengaruh media dan materialisme.

Materialisme yang bermaksud memisahkan seluruh aspek kehidupan daripada Allah SWT.

Ayat ini juga memberi isyarat bahawa anak-anak yang “mengingati Allah” tidak semestinya sempurna, tetapi mereka sedang berusaha mencapai redha-Nya. Dalam konteks mendidik anak-anak tentang Palestin, ini menjadi panduan penting: kita sebagai pendidik bukan hanya mengajar fakta tetapi juga menanamkan jiwa, keyakinan, dan nilai-nilai yang akan membantu mereka berfungsi sebagai individu yang bertanggungjawab.

Sayyid Qutb menambah bahawa cabaran utama bukan sahaja pada anak-anak tetapi juga pada pendidik sendiri, yang harus mengatasi godaan kesenangan duniawi agar fokus kepada tugas mendidik generasi yang lebih baik. Jangan sampai rutin kerja dan kesibukan masing-masing menjadikan kita terkalih, mengabaikan tanggungjawab ini.

2. Kepekaan Terhadap Umur dan Kematangan Anak

Diriwayatkan dalam Sahih Muslim:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ عَرَضَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ فِي الْقِتَالِ وَأَنَا ابْنُ أَرْبَعَ عَشْرَةَ سَنَةً فَلَمْ يُجِزْنِي، وَعَرَضَنِي يَوْمَ الْخَنْدَقِ وَأَنَا ابْنُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً فَأَجَازَنِي.

Maksudnya: “Rasulullah ﷺ memeriksa diriku pada Hari Uhud, dan aku berumur empat belas tahun. Baginda tidak membenarkanku. Pada Hari Khandaq ketika aku berumur lima belas tahun, baginda membenarkanku.”

Ada yang mungkin bertanya, “Apa bezanya umur empat belas dengan lima belas? Bukankah perbezaannya kecil sahaja?”

Namun, daripada tindakan Rasulullah ﷺ, kita dapat melihat bagaimana baginda membezakan tahap kematangan. Bagi generasi muda, setiap tahun membawa perubahan penting dalam pelbagai domain perkembangan—emosi, sosial, kognitif, dan fizikal.

Teori psikososial Erik Erikson menjelaskan secara terperinci bahawa setiap tahun dalam perkembangan kanak-kanak adalah kritikal kerana melibatkan pembentukan identiti, kepercayaan diri, dan keupayaan memahami dunia. Sekiranya pendedahan yang diberikan tidak sesuai dengan tahap perkembangan ini, ia boleh membawa kepada kesan negatif meskipun niat asalnya baik.

Dalam konteks mendidik anak-anak tentang isu Palestin, pendekatan berdasarkan umur sangat penting. Kanak-kanak kecil mungkin belum mampu memproses fakta kompleks atau imej grafik. Pada usia ini, pendekatan terbaik adalah penceritaan yang ringkas dan memberangsangkan empati, seperti melalui kisah perjuangan kemanusiaan yang mudah difahami.

Contohnya, “Ada kanak-kanak di Palestin yang tidak dapat ke sekolah kerana sekolah mereka telah musnah. Bagaimana kita boleh membantu mereka?”

Bagi anak-anak yang lebih besar, kita boleh mula memperkenalkan konsep yang lebih kompleks seperti ketidakadilan, sejarah konflik, dan peranan masyarakat antarabangsa. Namun, ia tetap perlu disesuaikan dengan tahap kefahaman dan kemampuan mereka. Pendekatan ini memastikan anak-anak tidak merasa terbeban dengan maklumat yang berlebihan tetapi tetap menerima pendidikan yang berkesan.

Pendekatan Rasulullah ﷺ juga mengingatkan kita bahawa melibatkan kanak-kanak dalam sesuatu perkara haruslah dilakukan secara berhati-hati untuk melindungi emosi dan psikologi mereka. Anak-anak adalah amanah yang memerlukan perlindungan, dan pendekatan yang tepat mengikut umur mereka adalah kunci dalam membentuk jiwa yang sihat dan empati.

3. Strategi Keibubapaan

3.1 Pendekatan Metakognitif

Sebagai permulaan, galakkan anak berkongsi apa yang mereka sudah tahu, fikir, dan rasa tentang isu Palestin sebelum kita memberikan maklumat lanjut. Ini membantu ibu bapa memahami tahap kefahaman anak dan mengatur maklumat yang sesuai untuk diberikan. Proses ini juga membolehkan anak-anak merasakan pandangan mereka dihargai, yang merupakan langkah penting dalam membina keyakinan diri dan kesedaran kritis mereka.

3.2 Ubah Suai Mengikut Tahap

Kanak-kanak usia prasekolah mungkin memerlukan pendekatan ringkas dan visual, seperti cerita bergambar atau mainan peranan. Contohnya, anda boleh menggambarkan situasi dengan mengatakan, “Ada kanak-kanak di Palestin yang tidak dapat pergi ke sekolah kerana bangunannya musnah.”

Untuk anak-anak yang lebih besar, pendekatan yang lebih kompleks boleh digunakan. Berikan penerangan secara berperingkat, seperti memperkenalkan konsep ketidakadilan melalui contoh kehidupan harian yang mereka kenali, sebelum mengaitkannya dengan situasi di Palestin. Pendekatan ini membantu mereka memahami isu dengan lebih mendalam tanpa merasa tertekan.

3.3 Pantau Emosi Anak

Kajian menunjukkan bahawa pendedahan berlebihan kepada media, terutama video atau imej kekerasan, boleh menyebabkan ketakutan, kebimbangan, dan simptom trauma. Kajian seperti yang dilakukan oleh Ewbank et al. (2009) 2 mendapati bahawa kandungan visual dari zon perang boleh memberi kesan mendalam kepada pusat emosi otak kanak-kanak, seperti amigdala, yang bertanggungjawab terhadap reaksi emosi (Ewbank et al., 2009)3. Kajian lain menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada imej keganasan secara berterusan boleh mengalami desensitisasi, di mana mereka kehilangan kepekaan terhadap penderitaan manusia (American Psychological Association [APA], 2009) 4. Ini bukan sahaja menjejaskan empati tetapi juga boleh mencetuskan kebimbangan berlebihan dan kesukaran tidur.

Sebagai ibu bapa, kita harus mengambil langkah berhati-hati dan tidak terperangkap dalam anggapan salah bahawa mendedahkan anak-anak kepada bahan-bahan ini akan “melasakkan” atau menguatkan mereka. Sebaliknya, kita perlu peka terhadap reaksi mereka, termasuk perubahan dalam pola tidur, pemakanan, atau tingkah laku. Selain itu, berikan ruang untuk mereka berkongsi perasaan tanpa merasa dihakimi. Pastikan mereka memahami bahawa perasaan takut atau sedih adalah normal dalam situasi seperti ini. Langkah ini memastikan keseimbangan antara kesedaran terhadap realiti konflik dan menjaga kesihatan mental anak-anak.

Apabila kanak-kanak sebelum usia 15 tahun tidak dibenarkan menyertai peperangan (merujuk kepada kisah Ibn Umar r.a yang diceritakan sebelum ini, mereka terhindar daripada menyaksikan kejadian-kejadian ngeri mangsa perang di medan. Ia berbeza dengan anak-anak kita hari ini yang terdedah kepada segalanya melalui teknologi.

Lebih malang jika yang mendedahkannya adalah kita para ibu bapa sendiri.

3.4 Aktiviti Bermakna

Galakkan anak terlibat dalam aktiviti seperti menulis surat imaginasi kepada rakan sebaya di Palestin atau melukis poster sokongan. Aktiviti ini membantu mereka mengalirkan emosi secara positif sambil membina empati dan rasa tanggungjawab. Sebagai contoh, meminta mereka menulis surat seperti, “Saya berharap anda dapat kembali ke sekolah suatu hari nanti,” boleh menjadi latihan bermakna untuk membangunkan empati dan kesedaran sosial mereka. Selain itu, aktiviti seperti ini mengajar mereka bahawa walaupun sumbangan mereka kecil, ia tetap bermakna dan dihargai.

4. Hikmah Sebelum Heroisme

Kisah Zaid bin Thabit bin Al-Dhahak Al-Ansari Al-Khazraji RA memberikan contoh jelas tentang bagaimana Nabi ﷺ menghargai kebijaksanaan dan bakat unik seseorang. Zaid, yang pada mulanya ditolak untuk menyertai Perang Badr kerana dianggap terlalu muda, akhirnya menyertai Perang Uhud dan kemudian dikenali sebagai salah seorang ulama sahabat yang paling berpengetahuan, terutama dalam bidang faraid (hukum warisan). Diriwayatkan bahawa Nabi ﷺ pernah membawa Zaid ke hadapan penduduk Madinah dan memperkenalkan beliau sebagai seorang daripada Bani Najjar yang telah menguasai tujuh belas surah. Nabi ﷺ berkata, “Belajarlah kitab Yahudi kerana aku tidak mempercayai mereka dengan kitabku.” Zaid memenuhi permintaan baginda dan menguasai bahasa tersebut dalam tempoh kurang daripada setengah bulan.

Zaid juga memainkan peranan penting sebagai penulis wahyu dan membantu dalam pelbagai tugas diplomatik, menunjukkan bahawa tugas-tugas ini diberikan berdasarkan kesediaan dan kebolehannya, bukan secara paksa. Tindakan Nabi ﷺ mencerminkan pendekatan yang menghormati kemampuan individu berdasarkan tahap perkembangan mereka.

Hal ini penting untuk membetulkan salah faham bahawa sifat kepahlawanan (heroisme) adalah lebih mulia daripada bakat “lembut” seperti kebijaksanaan dan kemahiran lain. Kisah ini juga menegaskan bahawa pembangunan bakat dan kebijaksanaan adalah sama pentingnya dengan keberanian fizikal dalam mendidik generasi muda.

Sultan Murad, bapa Sultan Muhammad al-Fatih, turut memberikan nasihat yang relevan dalam hal ini. Beliau menekankan pentingnya tidak tergesa-gesa dalam mendidik anak-anak, menggunakan analogi yang penuh hikmah:

“Jika seseorang memetik buah tin yang masih hijau, buah itu mungkin menjadi racun. Namun, jika dia sabar menunggu hingga buah itu matang, barulah dia dapat menikmati manfaatnya.”

Selain itu, Sultan Murad juga memberi pandangan mendalam mengenai sifat remaja dan cabaran dalam mendidik mereka:

“Mereka sangat naif… mereka percaya apa sahaja yang mereka dengar, sama ada benar atau palsu; kerana itu, mereka tidak mengetahui tipu daya dan muslihat yang berlaku di dunia… mereka tidak mempunyai pengalaman langsung. Sebagai contoh, mereka akan tiba-tiba melakukan sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu, tanpa memutuskan sama ada ia berbahaya atau bermanfaat.”

(Fatih Sultan Mehmed’e Nasihatlar, disunting oleh Abdullah Uçman, 1001 Temel Eser, Tercüman Yayınları, hlm. 99)

Nasihat ini mengingatkan kita tentang sifat semula jadi remaja yang cenderung bertindak secara impulsif dan kurang memahami konteks yang lebih besar. Namun, membiarkan kanak-kanak bermain tidak bermaksud membiarkan mereka membuang masa dengan sia-sia. Sebaliknya, ia adalah satu cara untuk mereka menikmati masa kanak-kanak mereka secara semula jadi dan membina asas pembelajaran. Sultan Murad II, bapa kepada Sultan Muhammad al-Fatih, yang anaknya amat dikagumi oleh kita hari ini, turut menekankan kepentingan kanak-kanak menikmati zaman kecil mereka:

“Zaman ini, dari buaian hingga sembilan tahun, adalah tempoh penuh kepolosan dan tidak berbahaya, dan mereka bebas dari kesedihan serta rasa bersalah. Pemikiran dan pemahaman pada usia ini tidak lebih daripada permainan. Namun, betapa penat atau sukar pun mereka, itu tetap menjadi senyuman dan permainan bagi mereka… Mereka dapat dihiburkan dengan segera hanya dengan hadiah kecil.”
(Fatih Sultan Mehmed’e Nasihatlar, disunting oleh Abdullah Uçman, 1001 Temel Eser, Tercüman Yayınları, hlm. 96) 5

Ini menunjukkan bahawa tempoh ini adalah penting untuk kanak-kanak meneroka, bermain, dan menikmati zaman kanak-kanak mereka tanpa tekanan untuk dewasa sebelum waktunya. Dalam permainan, mereka belajar kemahiran sosial, emosi, dan fizikal yang membentuk asas penting untuk masa depan mereka..

Ibu bapa berperanan mengiktiraf bahawa perkembangan anak-anak memerlukan masa dan proses semula jadi. Setiap tahap usia membawa peluang pembelajaran yang unik, dan memaksa mereka “masak” sebelum waktunya bukan sahaja boleh mendatangkan keburukan tetapi juga menggagalkan potensi sebenar mereka. Oleh itu, seperti Zaid yang diarahkan oleh Nabi ﷺ untuk menggunakan kebolehannya dengan cara yang bijaksana, ibu bapa juga harus memahami dan menyesuaikan pendekatan mereka terhadap pendidikan anak-anak berdasarkan keperluan dan keupayaan mereka pada setiap peringkat kehidupan.

5. Penutup

Mendidik anak-anak tentang isu Palestin memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan. Sebagai orang dewasa, kita tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab untuk terus belajar dan memperlengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran yang relevan. Hidup ini penuh dengan isu yang silih berganti, tetapi membazir masa berpindah dari satu isu ke isu lain tanpa hala tuju hanya menjauhkan kita daripada hikmah sebenar. Sebaliknya, setiap kali sesuatu isu berlaku, tanyakan kepada diri:

Apakah ilmu yang diperlukan untuk memahaminya dengan lebih baik?

Bagaimana ilmu itu dapat membantu kita mendidik diri sendiri, anak-anak, dan keluarga dengan lebih berkesan?

Pendekatan berasaskan ilmu memberi kita perspektif yang tajam dan jelas, menjadikan kita bukan sekadar pemberi maklumat, tetapi pembimbing yang dapat mencorakkan generasi muda dengan cara yang bermakna. Ingat, anak-anak belajar lebih banyak daripada contoh yang kita tunjukkan berbanding dengan kata-kata kita. Oleh itu, melengkapi diri kita dengan ilmu yang tepat bukan sekadar pilihan, tetapi kewajipan.

Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

“كلكم راع، وكلكم مسئول عن رعيته: الإمام راع ومسؤول عن رعيته، والرجل راع في أهله ومسؤول عن رعيته، والمرأة راعية في بيت زوجها ومسؤولة عن رعيتها، والخادم راع في مال سيده ومسؤول عن رعيته وكلكم راع ومسؤول عن رعيته”

Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Pemerintah adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan bertanggungjawab terhadap rumah tangganya. Dan seorang hamba adalah pemimpin terhadap harta tuannya dan bertanggungjawab terhadapnya. Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.” (Muttafaq ‘alaih)6

Wallahu a’lam.

Hasrizal
Naas, Ireland.

BACAAN LANJUT:

  1. Qutb, S. (n.d.). Fi Zilal al-Quran. (Various Editions). ↩︎
  2. Ewbank, M. P., Barnard, P. J., Croucher, C. J., Ramponi, C., & Calder, A. J. (2009). The amygdala response to images with impact. NeuroImage, 44(3), 1141–1150. https://doi.org/10.1016/j.neuroimage.2009.05.088 ↩︎
  3. Ewbank, M. P., Barnard, P. J., Croucher, C. J., Ramponi, C., & Calder, A. J. (2009). The amygdala response to images with impact. NeuroImage, 44(3), 1141–1150. https://doi.org/10.1016/j.neuroimage.2009.05.088 ↩︎
  4. American Psychological Association. (2009). Media violence. Retrieved from https://www.apa.org/news/press/releases/2009/08/media-violence ↩︎
  5. Uçman, A. (Ed.). (n.d.). Fatih Sultan Mehmed’e Nasihatlar. 1001 Temel Eser, Tercüman Yayınları. ↩︎
  6. Riyad as-Salihin 652. Retrieved from https://sunnah.com/riyadussalihin:652 ↩︎

Check Also

Kerajaan dan Sekolah: Dari Era ‘Laissez Faire’ ke Sentralisasi

Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat dan memastikan kesinambungan pembangunan sebuah negara. Namun, cara …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.