Sebarang perubahan dalam sistem pendidikan bergantung kepada kepercayaan asas kita terhadap pendidikan, peranan guru, dan peranan murid. Tanpa menilai semula kepercayaan ini, kita hanya akan mengulang kritikan yang dikemukakan oleh T. Bush (2021), bahawa sistem pendidikan masa kini lebih dipengaruhi oleh globalisasi dan sekadar meniru dasar luar tanpa pertimbangan konteks tempatan.
Pendekatan top-down yang dominan menentukan banyak keputusan tanpa mengambil kira kehendak sebenar pemegang taruh, termasuk guru, murid, dan ibu bapa. Walaupun konsep pendidikan berpaksikan murid telah diperkenalkan sejak era KBSR dan KBSM, realitinya di bilik darjah masih cenderung kepada pembelajaran berpaksikan guru. Hal ini berpunca daripada budaya dan pedagogi yang berakar dalam kepercayaan tradisional yang belum berubah secara menyeluruh. Guru masih dianggap sebagai sumber utama ilmu, manakala murid lebih banyak bergantung kepada penyampaian pasif, menjadikan transformasi pendidikan sukar direalisasikan sepenuhnya.
Akses kepada Maklumat dan Peranan Guru
Pendidikan tidak lagi boleh bergantung pada paradigma lama yang meletakkan guru sebagai satu-satunya sumber ilmu. Dahulu, murid hanya bergantung pada buku teks dan penyampaian guru, menjadikan mereka penerima pasif tanpa ruang untuk mempersoal atau menganalisis.
Namun, era digital mengubah segalanya. Maklumat kini di hujung jari, tetapi kuantiti tidak bermakna kualiti. Murid hari ini boleh mendapatkan informasi dengan pantas, tetapi tanpa kemahiran menilai, mereka mudah terperangkap dalam propaganda dan maklumat palsu. Persoalannya, apakah pendidikan moden bersedia menangani cabaran ini? Adakah kita melahirkan generasi yang hanya tahu mencari maklumat, atau yang benar-benar memahami dan menggunakannya dengan bijak?
Realiti ini menuntut perubahan radikal dalam pendekatan pendidikan. Guru bukan lagi penyampai ilmu semata-mata, tetapi fasilitator yang membimbing murid untuk berfikir secara kritis, menilai sumber maklumat, dan membentuk kefahaman yang sahih. Jika sistem pendidikan gagal menyesuaikan diri dengan perubahan ini, kita tidak sekadar melahirkan generasi yang keliru, tetapi juga generasi yang yakin dengan kejahilan mereka sendiri.
Kita sedang menyaksikannya.
REALITI DAHULU
Dahulu, murid hanya bergantung kepada guru dan buku teks sebagai sumber utama ilmu. Pada tahun 1980-an, kanak-kanak sekolah rendah seperti saya tidak mempunyai akses kepada maklumat tentang industri perikanan di Norway, arus laut sekitar Jepun, atau ladang nanas di Johor. Saya hanya tahu tentang penanaman ubi kayu di Chemor atau ladang kelapa di Bagan Datuk kerana pernah melihatnya sendiri. Di era sebelum internet, sumber maklumat sangat terhad. Buku-buku yang ada tidak mencukupi, perpustakaan tidak mudah diakses, dan keluarga jarang mampu membeli ensiklopedia atau bahan bacaan tambahan. Pendidikan di sekolah menjadi satu-satunya saluran untuk mendapatkan ilmu, menjadikan guru sebagai otoriti mutlak dalam penyampaian maklumat. Murid tidak mempunyai pilihan selain menerima apa yang diajarkan tanpa soal. Buku teks pula menjadi satu-satunya sumber rasmi yang menentukan apa yang perlu diketahui, sekaligus menyempitkan ruang eksplorasi dan pemikiran kritis.
Namun, pendekatan ini jika diteruskan, ia membentuk sistem pendidikan yang berorientasikan fakta, menghafal dan demonstrasi upaya ingatan dalam peperiksaan, serta melahirkan generasi yang pasif dalam mencari ilmu. Kebergantungan sepenuhnya kepada guru dan buku teks mewujudkan pemikiran yang menerima tanpa menyoal, meniru tanpa memahami, dan menghafal tanpa menganalisis.
Itu bagi yang mahu belajar.
Manakala murid yang ditimpa kebosanan, gagal melihat relevannya lambakan maklumat berkenaan, pengalaman persekolahan menjadi penderitaan harian dan nilai pendidikan pudar daripada diri mereka.
Teknologi maklumat hari ini mengubah segalanya. Maklumat berada di hujung jari, dan akses kepada ilmu bukan lagi cabaran utama bagi kebanyakan murid. Mereka boleh mendapatkan pelbagai informasi dalam sekelip mata, tetapi adakah mereka benar-benar memahami apa yang mereka peroleh? Adakah mereka mampu membezakan antara fakta dan propaganda, antara ilmu dan sekadar pendapat? Malah bias dan ideologi tersembunyi di belakang ilmu yang dipelajari.
WABAK HARI INI
Inilah cabaran utama pendidikan moden: bukan sekadar mencurahkan ilmu, tetapi memastikan murid memiliki pemikiran kritis untuk menilai, menganalisis, dan menyaring maklumat. Tanpa bimbingan yang betul, mereka mudah terperangkap dalam arus maklumat yang mengelirukan dan berpotensi membentuk kefahaman yang salah. Jika pendidikan gagal menyesuaikan diri dengan realiti ini, kita tidak sekadar berdepan dengan generasi yang terkeliru, malah kejahilan bukan lagi kekurangan dan penyakit yang perlu diubat.
Mereka yakin mereka tahu banyak, tetapi pemahaman mereka bercampur aduk antara fakta dan kepalsuan. Kejahilan yang disertai keyakinan tinggi menjadi wabak Dunning-Kruger, memperkuat kesalahfahaman dan menutup pintu kepada pembelajaran sebenar. Internet hanya memberitahu apa yang kita mahu tahu. Internet jarang memberitahu kepada kita apa yang kita perlu tahu. Ditambah lagi dengan kemunculan algoritma dalam media sosial, memburukkan lagi keadaan apabila kita duduk seperti di dalam ekokamar. Sesuatu yang kita beri perhatian akan berlipat ganda hadir maklumat mengenainya sehingga kita sangka satu dunia bercakap mengenai hal tersebut menyebabkan realiti kita menjadi cacamarba.
Peranan guru berubah daripada pakar kandungan (content expert) kepada fasilitator yang menyelia dan membimbing anak murid mencerakinkan benda-benda yang mereka tahu atau yang mereka sangka mereka tahu agar ia berubah menjadi ilmu yang bermanfaat.
MEROMANTIKKAN PERANAN BUKU TEKS
Kita tidak boleh terus meromantiskan peranan buku teks dek pengalaman kita di sekolah puluhan tahun yang lalu.
Memang benar, beberapa subjek seperti Matematik, masih memerlukan buku teks. Ia menyediakan pembelajaran yang berstruktur dan berurutan, dengan penjelasan terperinci serta contoh-contoh yang membantu pelajar memahami konsep abstrak yang kompleks. Visual sokongan seperti diagram dan grafik, menjadikan buku teks matematik memudahkan pelajar untuk mengatasi kesukaran dalam subjek ini.
Namun, kita perlu sedar bahawa kebergantungan mutlak kepada buku teks mencerminkan pendekatan pendidikan berteraskan essentialism—iaitu kepercayaan bahawa murid hanya dianggap berilmu apabila mereka menguasai kandungan tertentu yang dipilih oleh pakar dan dimuatkan dalam silibus rasmi. Paradigma ini berisiko menjadikan kandungan buku teks tidak relevan dengan ramai murid, bias, menghalang murid yang giat meneroka lebih jauh, mencuri masa belajar untuk menghasilkan pembelajaran yang lebih mendalam (deep learning). Jika pendidikan ingin melahirkan individu yang berdaya saing, kita tidak boleh terus terikat dengan sistem yang hanya menekankan kepentingan fakta statik tanpa memberi ruang kepada pemikiran kritis dan adaptasi terhadap maklumat baharu. Sedangkan masa persekolahan terbatas, subjek bertambah banyak, dan gangguan fokus semakin menggila.
Pembelajaran perlu menjadi lebih aktif, mengundang rasa ingin tahu, dan relevan dengan dunia luar bilik darjah. Namun, kefahaman kita mengenai maksud sebenar pembelajaran aktif mesti diperbetulkan. Ia bukan sekadar aktiviti fizikal seperti bergerak dari satu kumpulan ke kumpulan lain, bermain permainan, atau gamifikasi semata-mata.
Pembelajaran aktif berlaku apabila murid benar-benar terlibat secara intelektual dan emosi dalam proses pembelajaran. Ini termasuk membaca secara mendalam, menganalisis maklumat secara kritis, serta menghubungkan pembelajaran dengan pengalaman dunia sebenar, walaupun dalam keadaan bilik darjah senyap.
Kelas paling bising ada di Finland.
Kelas paling senyap ada di Jepun.
Kedua-dua negara menghasilkan pendidikan yang baik tanpa bergantung kepada bising atau senyapnya bilik darjah.
Pendidikan yang bermakna ialah apabila murid-murid aktif menjayakan pembelajaran. Bukan cawan kosong untuk dituang kandungannya oleh guru satu persatu.
Jika kita mahu pembelajaran yang bermakna, kita mesti merangka pengalaman yang mendorong murid berfikir, bertanya, dan mencabar idea, bukan sekadar mengikut arahan tanpa pemahaman mendalam.
Mengubah Kepercayaan untuk Mengubah Pendidikan
Mengubah sistem pendidikan bermula dengan mengubah kepercayaan asas kita terhadapnya. Dalam penyelidikan, istilah yang digunakan ialah ontologi mempengaruhi epistemologi, yang seterusnya menentukan metodologi. Ontologi berkaitan dengan kepercayaan kita tentang hakikat ilmu dan pendidikan, manakala epistemologi menentukan bagaimana kita memperoleh dan mengesahkan ilmu tersebut.
Adakah kita masih terperangkap dalam kepercayaan bahawa orang atasan sentiasa lebih tahu berbanding orang bawahan, guru lebih bijak daripada murid, pegawai lebih arif daripada kakitangan? Budaya “high power distance” yang tidak pernah berubah terus menyekat keberanian untuk mencabar idea dan meneroka pendekatan baharu dalam pendidikan. Akibatnya, pelbagai inisiatif dan inovasi, walau sehebat mana sekalipun, akhirnya dikekang oleh ketakutan untuk melepaskan status quo, menyebabkan kita kembali kepada metode tradisional yang selesa tetapi tidak semestinya berkesan. Selagi kepercayaan ini tidak diubah, perubahan sebenar dalam pendidikan akan kekal sebagai retorik semata-mata.
Murid-murid ada tempoh masa persekolahan yang terhad, tiada peluang menunggu habisnya kitaran kurikulum sepuluh tahun atau yang seumpama dengannya. Berapa ramaikah yang teraniaya selama ini? Setiap kita akan menjawabnya di hadapan Allah SWT.
Hakikat Islam sebagai agama yang risalah pertamanya adalah Iqra’, jangan dibiarkan usang sebagai hiasan ceramah tanpa tenaga mempengaruhi polisi dan dasar
Sebagai Muslim, ia amanah yang perlu kita jawab di hadapan Allah ﷻ .