Apabila murid hilang minat belajar, adakah kita sekadar menuding jari atau berani menyoal punca sebenar? Jika kita sendiri bosan dengan tugas berulang dan tidak bermakna, bayangkan mereka—terperangkap dalam kebosanan selama lapan jam sehari, sebelas tahun berturut-turut. Ini bukan soal malas, ini soal sistem yang gagal memahami motivasi manusia.
Motivasi perlu wujud untuk mencegah jemu.
Motivasi bukan lahir daripada ceramah, leteran dan memaksa-maksa perasaan. Ia lahir daripada strategi mengajar yang betul dan rekabentuk belajar yang berkesan.
Abdullah bin Mas’ud r.a adalah anak murid Rasulullah ﷺ . Apabila beliau pula menjadi guru, beliau ada strategi mencegah kebosanan, yang beliau belajar daripada Rasulullah ﷺ. Jika kita ikut sunnah, apakah sunnah ini kita mahu pandang belakang dan semberono menyalahkan budak-budak tatkala ribuan mereka hilang minat belajar?
وَعَن شَقِيق: كَانَ عبد الله يُذَكِّرُ النَّاسَ فِي كُلِّ خَمِيسٍ فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ لَوَدِدْتُ أَنَّكَ ذكرتنا كُلِّ يَوْمٍ قَالَ أَمَا إِنَّهُ يَمْنَعُنِي مِنْ ذَلِكَ أَنِّي أَكْرَهُ أَنْ أُمِلَّكُمْ وَإِنِّي أَتَخَوَّلُكُمْ بِالْمَوْعِظَةِ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَخَوَّلُنَا بِهَا مَخَافَةَ السَّآمَةِ عَلَيْنَا
(متفق عليه)
Shaqiq berkata bahawa ‘Abdullah bin Mas‘ud biasa menyampaikan pengajaran kepada orang ramai pada setiap hari Khamis. Seorang lelaki berkata, “Aku berharap, wahai Abu ‘Abd ar-Rahman, agar engkau memberi kami pengajaran setiap hari.” Beliau menjawab, “Tiada apa yang menghalang aku daripada berbuat demikian, tetapi aku khuatir kamu akan berasa jemu. Aku mengikuti kaedah yang digunakan oleh Rasulullah (ﷺ) dalam menyampaikan pengajaran kepada kami kerana baginda juga bimbang kami akan berasa bosan.”
(Al-Bukhari dan Muslim.)
Mencegah kebosanan dalam pembelajaran adalah satu strategi, bukan sekadar isu sikap.
Pendekatan pengajaran yang rigid, sarat fakta tanpa kaitan dengan dunia sebenar, membunuh minat belajar. Kurikulum yang padat, tidak relevan, dan menekan, hanya mencipta pelajar yang hilang keyakinan. Imam Al-Ghazali dan Ibn Khaldun menegaskan: ilmu yang diajar dengan cara membebankan hanya merosakkan semangat pelajar. Namun, kita masih mengulangi kesilapan yang sama. Mencampur aduk sangkaan dan dakwaan menjauhi penyelesaian.
Pada Disember 2011, saya hadir di sebuah sekolah.
“Ini kumpulan paling teruk dalam sejarah sekolah. Semua D dan E” kata cikgu.
Saya teruja.
Jika B atau C, itu kerja cikgu akademik. Tetapi jika D dan E, ini pemberontakan. Mesti ada sesuatu yang berlaku.
Saya hadir. Cikgu minta mahu menyertai sesi. Saya tidak benarkan. Hanya saya bersama ‘pelajar bermasalah’ berkenaan.
Selepas berjaya meyakinkan mereka bahawa saya bukan orang upahan sekolah, perbualan jadi makin menarik.
Ringkasannya, saya bertanya kepada setiap seorang, apakah visi dan misi mereka berkaitan dengan PMR. Antara jawapan yang saya terima:
“Saya mahu buktikan dalam PMR ini bahawa tidak lulus PMR tidak semestinya bodoh!”
Wah!
“Maknanya, kalau PMR straight A’s, tak semestinya pandai, betul tak?” saya tanya semula.
“Betul! Betul! Saya suka ustaz ini!” kata pelajar berkenaan.
“Saya tak nak score tinggi-tinggi. Biar cukup-cukup sahaja untuk masuk sekolah idaman saya. Sekolah sekarang ini tidak seronok. Tidak ada ragbi. Saya minat ragbi!” kata seorang lagi.
“Kerajaan sudah hendak mansuhkan PMR, ustaz. Maknanya PMR ini tidak penting. Saya tidak mahu korbankan usia muda saya untuk benda yang tidak penting. Masa yang berlalu tidak boleh diulang kembali!” hujah seorang lagi.
Paling sedih, apabila ada pelajar berkata, “kalau cemerlang pun buat apa, ustaz. Emak ayah saya sibuk. Tiada masa untuk meraikan kalau saya cemerlang sekali pun!”
Ada sekitar 20 set jawapan yang saya terima daripada mereka. Kesimpulan saya, mereka tidak bodoh.
Kepala mereka penuh dengan pelbagai idea. Bercampur aduk antara yang munasabah, dan tidak masuk akal.
Sebagai pendidik, tugas kita adalah untuk mendengar terlebih dahulu, cuba memahami, berempati. Fahami dahulu pain point mereka. Saya tidaklah bermaksud yang peperiksaan PMR atau SPM itu langsung tidak berguna. Saya juga tidak sama sekali berpendapat yang sikap murid-murid itu justified. Tetapi kita orang dewasa, ada ilmu, ada kemahiran, ada pengalaman, seharusnya lebih matang untuk menyuluh jalan. Bukan sama-sama jadi kebudak-budakan pada salah menyalahkan, mengheret diri untuk sama-sama berbalah dengan mereka.
“Tanpa PMR, kamu masih boleh meneruskan hidup dan mencapai impian kamu tanpanya. PMR hanya ada di Malaysia. Dunia tanpa PMR lebih luas di luar sana. Tetapi, sesiapa sahaja yang berjaya, mereka ada satu benda ini. Apa dia?” saya bertanya.
“Doa ibu bapa” jawab seorang.
“Solat” jawab seorang lagi.
Ada beberapa jawapan yang mereka kongsi.
“Betul belaka jawapan itu. Tetapi, apa yang saya mahu kongsikan di sini ialah disiplin” saya menyambung pengisian.
Mendengar perkataan ‘disiplin’, ada peserta sudah berubah muka.
“Ustaz ini mahu ‘bancuh’ kita barangkali” sangka mereka.
“Disiplin yang saya maksudkan ialah, kamu bersabar dengan benda-benda yang kamu tidak suka, supaya nanti kamu dapat apa yang kamu suka. Keputusan PMR bukan penentu hidup kamu, tetapi PMR yang kamu tidak suka ini, jika bersabar menempuhnya, sabar itu memberi kejayaan lumayan di dunia dan di akhirat” saya jelaskan.
“Keputusan peperiksaan kamu akan ditelan masa dan dilupakan. Namun pengalaman bersabar dan berusaha, yakni disiplin, kekal sepanjang hayat. Bolehkah berjaya dalam hidup kalau tidak lulus PMR dan SPM? Boleh, jika selepas berusaha, kamu masih gagal kerana faktor-faktor yang berbagai-bagai. Tetapi kamu akan gagal dunia dan akhirat, andai kegagalan kamu dalam peperiksaan adalah susulan sikap malas, tidak berdisiplin, semua hendak cepat, tidak berusaha” saya merumuskan perbincangan, sebelum masuk ke sesi melakar perancangan untuk mencapai impian masing-masing.

Saya masih menyimpan gambar-gambar program berkenaan. Ia pengalaman penting yang mengajar saya lebih sedekad lalu, kejemuan dan pemberontakan murid adalah cabaran untuk kita tangani dengan ilmu dan mujahadah.
Memang cakap senang, buatnya payah.
Jika ia mudah, kita tidak akan berpegang bahawa pendidikan adalah jalan islah.
Kita perlu sama-sama berganding bahu mencari dan membina solusinya.
Kita nak mengajar sejarah tetapi tak pernah nak bawa pelajar ke tempat sejarah, melihat bagaimana sejarah didokumtasikan, bagaimana ia dijaga dan sebagainya. Tak perlu pergi jauh, cukup mengkaji sejarah dalam daerah kita.