Friday, February 28th, 2025

Bencana Angkuh dan Tiada Malu Kepada Diri dan Dunia

Memerhatikan gelagat Presiden Donald Trump semenjak berada di Oval Office mengingatkan saya kepada dua hadis Nabi ﷺ untuk kita renungkan demi manfaat kita sendiri. Hadis pertama terdapat dalam Sahih Muslim, di mana Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةِ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

“Tidak masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya ada walaupun sebesar zarah sifat sombong, takabur.”

Hadis kedua pula diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari:

إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ اَلنَّاسُ مِنْ كَلَامِ اَلنُّبُوَّةِ اَلْأُولَى: إِذَا لَمْ تَسْتَحِ, فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Kata Nabi ﷺ, “Antara perkara yang maklum diketahui oleh sekalian manusia daripada pesanan kenabian yang terdahulu ialah jika sudah tidak ada rasa malu, buatlah apa sahaja yang diinginkan.”

Saya memilih dua hadis ini kerana dalam kehidupan seharian, kita mungkin sukar membayangkan bagaimana sesuatu yang kelihatan kecil boleh memberikan impak yang besar. Namun, Nabi ﷺ telah mengingatkan bahawa sifat sombong dan takabur, walaupun sebesar zarah, boleh menjadi sebab seseorang tidak masuk syurga.

Betapa dahsyatnya implikasi sifat sombong. Baginda ﷺ menjelaskan bahawa sifat ini merangkumi sikap memandang rendah kepada manusia serta meremehkan kebenaran. Selain itu, sifat malu berperanan menghalang seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Jika sifat malu telah hilang, tiada lagi kawalan dalam diri untuk mengelakkan perbuatan yang terang-terangan mengaibkan.

Presiden Donald Trump sering dikaitkan dengan kejahilannya, seperti tidak memahami fungsi tarif dalam ekonomi negaranya dan gagal membezakan antara “asylum” yang merujuk kepada pemohon suaka dengan “asylum” sebagai tempat kurungan bagi mereka yang menghadapi masalah mental. Kebodohan ini pernah saya sentuh dalam video terdahulu, mengingatkan kita kepada filem Idiocracy, yang menggambarkan bagaimana selebriti dan duta produk menjadi ahli politik lalu menghancurkan Amerika Syarikat pada masa hadapan.

Walaupun kebodohan ini sering menjadi bahan ketawa dalam rancangan bual bicara, ia bukan sekadar kebodohan biasa. Ia berpadu dengan sifat sombong, takabur, serta ketiadaan rasa malu. Contohnya, Trump secara terang-terangan berbohong mengenai bantuan Eropah kepada Ukraine. Kali pertama, kenyataannya dibetulkan oleh Presiden Perancis secara berhadapan, dan kali kedua oleh Perdana Menteri United Kingdom yang terbaharu. Namun, apabila Presiden Perancis menjelaskan bahawa bantuan tersebut bukan pinjaman tetapi pemberian, wajah Trump jelas menunjukkan sikap meremehkan fakta sebenar, seolah-olah berkata “whatever” atau “lantaklah” di hadapan dunia.

Tidak ada langsung rasa malu. 

Kita serahkan kepada rakyat Amerika Syarikat untuk menguruskan sendiri kesan daripada kepimpinan Trump.

Cuma, keadaan ini seharusnya menjadi pengajaran penting kepada kita. Dua sifat ini – sombong dan ketiadaan rasa malu – bukan hanya membahayakan individu, tetapi juga boleh menghancurkan sebuah negara dan memberi kesan kepada dunia sekitarnya. 

Ia bukan penyakit eksklusif orang politik.

Kita juga boleh ada penyakit berbahaya ini.

Kita perlu bermuhasabah, adakah kita juga memiliki sifat sebegini? Apabila ditegur, adakah kita meremehkan teguran dan memandang rendah orang lain? Apakah kesombongan dalam diri kita begitu besar sehingga kita tidak lagi merasa malu melakukan perkara-perkara yang tidak masuk akal?

Periksalah interaksi seharian kita di dalam hubungan suami isteri, di dalam keluarga, di tempat kerja, malah di media sosial.

BOSNIA DAN HERZEGOVINA

Kebimbangan besar saya tentang perkembangan politik di Amerika Syarikat pada ketika ini adalah kestabilan politik di Bosnia dan Herzegovina. Amerika Syarikat merosakkan kerjasama NATO dan seterusnya mengukuhkan pengaruh Rusia di Republik Srpska, sebuah wilayah dalam Bosnia dan Herzegovina. Serbia dan sekutunya semakin bersemangat untuk mendesak agar Republik Srpska dikeluarkan daripada Bosnia dan Herzegovina, yang berisiko mencetuskan semula pertumpahan darah di rantau tersebut.

Inilah yang diingatkan oleh Nabi ﷺ. 

Sifat sombong, walaupun sebesar zarah, boleh menghalang seseorang daripada masuk Syurga. Jadi perosak yang bukan sebarang perosak.

Apabila sifat malu hilang, tiada apa yang dapat menghalang seseorang daripada melakukan keburukan. Terang-terangan, terbuka dan penuh bangga. Malah mengumpul penyokong untuk sama-sama rebah merebahkan.

Menjelang bulan Ramadan ini, berdoalah agar keadaan ini tidak berlarutan, dan kita yang berada jauh mengambil teladan serta berusaha melakukan islah ke atas diri masing-masing. 

Wallahu a’lam.

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Meregulasi ADHD Semasa Menulis Disertasi – Bab Kaedah Penyelidikan

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.