Friday, December 5th, 2025

Solidariti Yang Hakikatnya Seruan Jahiliah

Di era media sosial hari ini, kita sering membuat keputusan dan bertindak berdasarkan perasaan dan emosi, bukan atas pertimbangan akal dan prinsip. Lebih menyedihkan, tindakan seperti ini kadangkala bertentangan dengan ajaran Islam dan telah pun dilabel oleh Nabi Muhammad ﷺ sebagai amalan jahiliah.

Dalam Sahih Muslim, Jabir bin Abdullah RA (جابر بن عبد الله رضي الله عنه) meriwayatkan satu peristiwa penting yang berlaku pada tahun keenam Hijrah. Ketika itu, Nabi Muhammad ﷺ bersama para sahabat keluar untuk menyertai peperangan yang dikenali sebagai Perang Bani al-Mustaliq (غزوة بني المصطلق) atau Ghazwah al-Muraisi‘ (غزوة المريسيع).

Peperangan ini turut disertai oleh golongan munafik, antara sebabnya ialah lokasinya yang berdekatan dengan Madinah, dan mereka berharap memperoleh habuan rampasan perang jika tentera Islam menang.

Permulaan Konflik: Satu Tamparan, Dua Seruan

Dalam kalangan para sahabat, terdapat seorang lelaki Muhajirin yang dikenali sebagai Jahjah bin Qais al-Ghifari (جهجاه بن قيس الغفاري), seorang hamba kepada Umar bin al-Khattab RA (عمر بن الخطاب رضي الله عنه). Jahjah dikenali sebagai seorang yang suka bergurau, dan pada suatu ketika, dalam suasana tidak formal, beliau menampar atau menendang punggung seorang lelaki Ansar bernama Sinan bin Wabarah (سِنان بن وبرة), satu tindakan yang sensitif, bahkan biadab, dalam budaya Arab ketika itu.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan Sinan, yang kemudiannya memanggil kaumnya dengan seruan: “Wahai Ansar!” (يا لَلأنصارِ). Tidak lama kemudian, Jahjah pula membalas: “Wahai Muhajirin!” (يا لَلمهاجرينِ). Maka berlakulah situasi tegang, satu insiden peribadi bertukar menjadi konflik kumpulan.

Reaksi Nabi ﷺ: Tegas, Strategik dan Mendidik

Apabila perkara itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad ﷺ, baginda segera tampil lalu bertanya dengan nada mengecam:

“Apa hal dengan seruan-seruan jahiliah ini?”

(ما بالُ دَعْوى أهلِ الجاهِليَّةِ؟)

Lalu para sahabat menjelaskan apa yang berlaku. Baginda menegaskan:

“Tinggalkan ia! Sesungguhnya seruan itu busuk.”

(دَعُوها، فإنَّها مُنتِنةٌ)

Nabi ﷺ tidak menilai siapa yang betul atau salah terlebih dahulu, sebaliknya baginda terus menghentikan kecenderungan kepada ’asabiyyah, iaitu fanatisme kesukuan, satu legasi jahiliah yang sangat merosakkan perpaduan umat.

Munculnya Abdullah bin Ubay: Mengintai Ruang Perpecahan

Insiden ini diperhatikan oleh ketua golongan munafik, Abdullah bin Ubay bin Salul (عبد الله بن أُبيّ بن سلول). Beliau melihat peluang untuk memecahbelahkan umat Islam. Komennya sangat tajam:

“Mereka sudah melakukannya!” (فعلوها)

Maknanya: kini benih perpecahan telah mula tumbuh.

Beliau menambah:

“Demi Allah, jika kita kembali ke Madinah, pasti yang mulia akan mengusir keluar yang hina.”

(أما واللهِ لَئِنْ رَجَعْنا إلى المدينةِ لَيُخْرِجَنَّ الأعزُّ منها الأذلَّ)

Beliau menyamakan dirinya sebagai “yang mulia” dan menganggap Rasulullah ﷺ dan para Muhajirin sebagai “yang hina”.

Marahnya Umar, Bijaksananya Rasulullah ﷺ

Kata-kata angkuh itu membangkitkan kemarahan Umar bin al-Khattab RA, yang berkata:

“Wahai Rasulullah, izinkan aku memenggal leher si munafik ini!”

Namun Rasulullah ﷺ menolak dengan tegas:

“Biarkan dia. Jangan sampai orang berkata bahawa Muhammad membunuh sahabatnya.”

Inilah siasat Nabi ﷺ yang sangat tinggi, kerana baginda mengurus persepsi awam yang mungkin timbul. Secara zahir, Abdullah bin Ubay ialah seorang Muslim dan sahabat. Jika baginda membunuhnya, mereka yang tidak tahu kisah sebenar akan menyangka Islam membenarkan penghapusan sahabat hanya kerana perbezaan pendapat.

Pengajaran untuk Kita di Zaman Jahiliah Digital 2.0

Peristiwa ini sangat relevan dengan zaman kita hari ini. Di media sosial, apabila berlaku satu konflik antara dua individu, kita jarang menilai secara adil dan objektif. Sebaliknya, kita mula bertanya:

  • Dia geng mana?
  • Aliran dia apa?
  • Siapa tokoh belakang dia?

Maka konflik kecil mula dibesarkan mengikut garis kesetiaan kumpulan. Bukan lagi antara individu A dan individu B, tetapi antara kumpulan A dan kumpulan B. Muncullah seruan-seruan baharu, solidariti, hashtag, dan pelabelan. Semua ini berakar daripada emosi, bukan pertimbangan yang sihat.

Padahal, Islam mengajar kita:

  • Selesaikan konflik pada tahap asalnya, jika ia antara dua individu, kekalkan saiznya di situ.
  • Jangan bangkitkan ’asabiyyah moden, walaupun dalam bentuk “solidariti” yang tidak dipandu akal dan syariat.
  • Berfikir sebelum bertindak, adakah tindakan kita mendamaikan atau hanya memarakkan lagi api permusuhan?

Penutup: Solidariti dengan Keadilan, Bukan Jahiliah

Hadis ini sering disebut dalam konteks “membantu saudara yang dizalimi dan yang menzalimi.” Ya, kita diajar untuk peduli. Tetapi sebelum kita menyertai mana-mana solidariti, tanyakan kepada diri:

Adakah tindakan saya ini benar-benar membawa keadilan?

Atau saya sekadar menyeru seperti seruan jahiliah, yang Nabi ﷺ datang untuk menghapuskannya?

1400 tahun dahulu, Rasulullah ﷺ menutup pintu jahiliah. Jangan kita pula membukanya semula dalam bentuk baharu, di ruang-ruang komen dan papan trending.

Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Pendidikan Yang Mengabaikan Sebuah ‘Abasa

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.