Wednesday, February 12th, 2025

Don’t Look Up: Bencana Tatkala Kebodohan Menjajah Bumi

Sepanjang menonton filem DON’T LOOK UP ini, saya asyik teringat kepada dua pesanan.

Pesanan pertama adalah pesanan Neil Postman:

I propose for educationists—that we abandon our vague, seemingly arrogant, and ultimately futile attempts to make children intelligent, and concentrate our attention on helping them avoid being stupid.

Postman, Neil. Conscientious Objections: Stirring Up Trouble About Language, Technology and Education (p. 98). (Function). Kindle Edition.

Beliau kata hentikan pendidikan daripada bercita-cita secara melampau ingin memandaikan manusia. Sedangkan yang lebih utama adalah menyelamatkan mereka daripada kebodohan.

“Kenapa doktor dan peguam lebih berjaya dalam misinya berbanding pendidik?” tanya Postman.

Jawapannya, doktor fokus kepada sakit, bukan sihat. Peguam fokus kepada kezaliman dan salah laku, bukannya keadilan dan kepatuhan. Sedangkan pendidik fokus kepada pandai, bukannya bodoh. Khuatir murid tidak pandai, tetapi tidak khuatir yang bodoh semakin ramai.

Kritikan Neil Postman dalam Amusing Ourselves to Death (1985) pernah dicemuh, namun kini semakin terserlah keabsahannya di tengah kemelut budaya hiburan digital. Dalam membandingkan kebimbangan George Orwell dengan Aldous Huxley, Postman menegaskan bahawa senario Huxley kelihatan kian mendominasi. Jika Orwell gusar buku akan diharamkan atau dimusnahkan, Huxley pula bimbang tiada siapa lagi yang sanggup membaca, kerana masyarakat telah terleka dengan keseronokan hiburan. Orwell menjangkakan pemusnahan melalui keganasan dan penderitaan, manakala Huxley meramalkan kehancuran kerana kita terlalu asyik dengan perkara yang kita gemari hingga menyingkirkan pemikiran kritis.

Keadaan masa kini mengesahkan kemungkinan tersebut: buku tidak perlu dibakar andai masyarakat sendiri beransur-ansur mengabaikannya. Serentak dengan kemunculan teknologi dan media sosial yang mengagumkan, kita menyaksikan penurunan drastik minat terhadap bahan bacaan yang memerlukan ketekunan intelektual. Begitu banyak hiburan mudah dicapai tanpa had waktu, menyebabkan pemikiran kritis dan budaya ilmu terpinggir daripada arus utama.

Hakikat ini menuntut renungan: tanpa kesedaran yang teguh dan usaha memperkukuh budaya pembelajaran, kita mungkin meranapkan diri sendiri menerusi fenomena ‘kegembiraan palsu’ yang memadamkan potensi minda. Benarlah seperti kata Postman, ancaman tidak semestinya datang daripada kekerasan atau paksaan, tetapi cukup dengan kelalaian dan kegilaan terhadap hiburan sehingga fungsi sebenar buku serta daya fikir kita terhakis.

Itulah yang kita saksikan di dalam filem sinis Don’t Look Up ini.

Seorang pelajar PhD bernama Kate Dibiasky (lakonan Jennifer Lawrence) dan penyelianya, saintis bernama Dr. Randall Mindy (lakonan Leornado DiCaprio) telah memperolehi maklumat melalui data bahawa sebuah komet bersaiz gergasi akan menghempas bumi dalam tempoh 6 bulan. Kemusnahan bumi berkemungkinan besar tidak dapat dielakkan lagi. Tetapi apabila berita yang sangat penting ini diajukan kepada Presiden Amerika Syarikat (lakonan Meryl Streep), ia memulakan siri dada kita rasa hendak meletup kerana seluruh realiti tidak ‘get the point’ betapa besarnya berita ini.

Ahli politik sibuk memikirkan undi dan survival politiknya, Pembiaya dana daripada gergasi korporat IT sibuk dengan agenda dan algorythm sembahannya, dan menggambarkan kemuliaan diri kerana kerja-kerja philantrophy yang dilakukannya, media cuba mengkelakarkan apa sahaja demi rating, paling kisah dengan viral atau tidak viral, saintis pula percaya kepada data dan kekuatan peer review tetapi akhirnya gagal menatijahkan sebarang impak untuk menyedarkan masyarakat, sehinggalah segala-galanya berakhir dengan kita gagal diselamatkan oleh sesiapa.

Pesanan kedua yang saya hayati ialah pesan Rasulullah sallallāh ’alayhi wa sallam yang berbunyi:

“لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ إِلاَّ عَلَى شِرَارِ النَّاسِ”

“Tidak akan berlaku kiamat kecuali ke atas sejahat-jahat manusia.”

(Hadis Riwayat Muslim, no. 2949)

Kita sering membayangkan bentuk kejahatan ini sebagai kezaliman dan kekejaman yang dahsyat. Namun, apabila direnungkan lebih mendalam, saya berpendapat bahawa tiada kejahatan yang lebih menggerunkan daripada kebodohan yang berleluasa. Kejahatan jenis ini bukan sahaja sukar ditangani, bahkan mendorong kerosakan jangka panjang kerana ia memadamkan sinar kewarasan dan kebijaksanaan.

Menyaksikan bagaimana kebodohan boleh mencetuskan huru-hara dalam masyarakat, saya teringat filem Don’t Look Up ini, yang menggambarkan kesan sikap tidak peduli dan keengganan untuk mendengar amaran rasional. Filem tersebut memperlihatkan betapa lemahnya manusia apabila kebenaran diketepikan demi kepentingan politik, hiburan, dan kepuasan peribadi. Ia menyedihkan hati saya kerana ia mendekatkan realiti hari ini dengan amaran yang terkandung dalam hadis di atas: bahawa lambat-laun, kemusnahan boleh berlaku bukan semata-mata disebabkan oleh kekejaman, tetapi turut terhasil daripada perilaku bodoh yang menolak akal sihat dan pertimbangan ilmu.

Dalam konteks ini, ancaman kebodohan jauh lebih sukar untuk diatasi berbanding kezaliman yang jelas ketara. Sekiranya kezaliman boleh dihadapi menerusi usaha menegakkan keadilan dan membanteras ketidakadilan, kebodohan pula memerlukan penyebaran ilmu secara berterusan, pembinaan minda kritis, dan kesedaran kolektif tentang pentingnya pengetahuan. Justeru, berdepan dengan kebodohan yang bermaharajalela menuntut kesabaran yang tinggi, selain tekad yang kuat untuk terus menegakkan kebenaran dan menentang penyimpangan fakta.

Apatah lagi jika kebodohan bertemu jodoh dengan kesombongan.

Pesanan Rasulullah sallallāh ’alayhi wa sallam ini memberi peringatan bahawa kemusnahan akhir zaman banyak didorong oleh sikap manusia sendiri, iaitu mereka yang memilih untuk terbuai dalam kejahatan dan mengabaikan proses pendidikan akal serta rohani. Berusahalah semua memupuk keilmuan dan memperkukuh daya fikir, agar kita tidak termasuk dalam kalangan ‘sejahat-jahat manusia’ yang memacu dunia menuju kehancuran.

MENGENANG ANAK-ANAK SENDIRI

Rasa dukacita itu bertambah lagi semasa mengenang anak-anak sendiri.

Sejak sekian lama, saya percaya kepada kata-kata Neil Postman itu tadi sebab saya sudah membaca buku berkenaan lama dahulu. Ia juga menjadi dorongan besar mengapa saya mengambil keputusan menjadi pendidik, dan enggan menjadi pendidik yang tipikal.

Sebaliknya berjuang menyelamatkan masyarakat daripada kebodohan. Malah kebodohan diri sendiri.

Kepercayaan ini mempengaruhi pendekatan saya dalam mendidik anak-anak. Saya cuba didik mereka agar menjauhkan diri daripada benda-benda yang menjadikan mereka bodoh.

Saya sangat tidak berkenan anak saya melayan meme, sebab ia menampakkan hilangkan kecerdikan seseorang pada membezakan mana yang serius, mana yang lawak. Ini diketengahkan di dalam filem ini apabila kekacakan Dr. Mindy menjadi meme yang viral hingga mesej utama beliau tidak dipedulikan sesiapa. Semua benda mahu dilawakkan.

Saya sangat tidak berkenan anak saya melayan Youtuber dan Tiktoker mengarut. Bermula daripada 9gag dan loyar buruk era ‘Luqman Podosky’ serta ‘Logan Paul’ hinggalah ke era saya sudah hilang upaya menghitung.

Saya cuba ingatkan anak-anak, bahawa apabila remaja nanti jangan mabuk cinta hingga berkelakuan seperti kera mendapat bunga. Tiadalah pemandangan yang lebih menjengkelkan saya melebihi pemandangan remaja mabuk cinta. Ia sudah zaman berzaman sehingga pepatah Melayu pun mengingatkan bagaimana

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

Saya cuba usaha mengawal penggunaan telefon anak-anak. Usahakan mereka tidur awal. Bimbing mereka apabila berkawan. Berhijrah demi meninggalkan kehidupan yang terlalu sibuk dan dapat meluangkan masa yang lebih berkualiti untuk membimbing mereka.

Saya cuba.

Tetapi gelombang kebodohan sangat dahsyat.

Apabila telefon dan internet ada di tangan anak-anak, saya kalah.

Dahsyat hingga bodoh bukan lagi senget songkok tudung terjongket. Bodoh yang menjajah ini adalah bodoh yang berbunyi bijak seperti semasa mengungkapkan isu-isu alam bak Ariana Grande dan Kid Cudi semasa menyanyikan lagu kemanusiaan ‘Just Look Up’. Mesej induk di belakang filem  Adam McKay ini ialah segala-galanya adalah kebodohan.

Sebab itu reaksi awal orang ramai terhadap filem ini banyak yang negatif. Ia terlalu pahit untuk ditelan oleh penonton semasa. Seumpama filem Idiocracy (2006) yang Fox sendiri cuba tenggelam dan sembunyikan. Seumpama pahitnya realiti yang Neil Postman ungkapkan pada tahun 1985 dahulu.

Tetapi sesungguhnya era ini adalah era kita dijajah oleh kebodohan.

Kebodohan yang hanya dapat ditamatkan oleh kehancuran planet bumi dan patukan Bronteroc di lokasi mana sekali pun kita.

Entahlah.

Saya agak lega saya sudah berusia 46 tahun, kerana mungkin masa untuk saya terus menderita melihat penjajahan kebodohan ini sudah tidak banyak. 

Untuk anak-anak, mungkin lagu Suhaimi Mior Hasan sesuai abi pesankan:

Suatu hari nanti
Kau kan tahu sucinya cintaku
Kau akan menyesal
Dan kau sebut namaku selalu

Suatu masa nanti
Kan terhurai segala rahsia
Bahawa cintaku kepadamu
Abadi selamanya

Abi sudah tidak muda, anak-anak.

Hasrizal
Naas, Ireland
www.saifulislam.com

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Jatuh Orang Alim, Jatuhlah Alam

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content