Saturday, January 11th, 2025

Generasi Hilang di Depan Mata

Istilah ‘Generasi Yang Hilang’ asalnya timbul ekoran daripada laporan UNICEF pada November 2020 yang lalu. Generasi ini dianggap ‘hilang’ apabila mereka kehilangan punca, keliru dan terputus daripada rutin yang selama ini berfungsi membentuk mereka.

Ini adalah satu peringatan untuk menyedarkan kita bahawa apabila persekolahan terpaksa dipindahkan ke dalam talian, ia bukan semata-mata menukar buku bercetak kepada versi digital seperti PDF. Ia membabitkan cara belajar dan cara mengajar yang berbeza. Oleh sebab itu, kita tidak boleh sama sekali menggerakkan jadual persekolahan dalam talian dengan mengambil bulat-bulat jadual persekolahan biasa. Ada benda yang hilang apabila pembelajaran berpindah ke dalam talian, dan ia SERIUS.

Semasa murid dan guru berada bersama-sama di dalam kelas, ada beberapa benda yang berlaku secara kita tidak sedar.

ENJIN DI BALIK TABIR

Misalnya, salah satu cabaran besar dalam pembelajaran ialah semasa guru hendak memperkenalkan topik baharu. Memperkenalkan topik baharu ini adalah satu beban kognitif yang besar. Sebab itu, cara memperkenalkan topik baharu yang berkesan, memerlukan strategi-strategi tertentu, misalnya strategi metakognitif, antaranya ialah dengan membantu pelajar meneroka ilmu yang mereka sudah ada, mengaktifkannya, kemudian membina pengetahuan baharu di atas ilmu yang sudah ada tersebut.

Beban kognitif ini dapat diringankan semasa belajar dalam kelas, apabila wujudnya co-regulation dan social regulation antara murid dengan rakan sekelasnya, dan juga dengan guru. Aspek emosi, memek muka, bahasa tubuh, pandangan mata, kasih sayang dan perhatian yang diberi, semua itu menjadi pelincir kepada proses pembelajaran untuk membolehkannya berlaku.

Tetapi apabila pelajar belajar di rumah, semua itu hilang. Mereka terpaksa melakukan regulasi kendiri. Kena motivasi diri sendiri. Dan untuk motivasi diri sendiri, ia tidak boleh berlaku tanpa puncanya. Ceramah-ceramah motivasi tak jalan.

Motivasi datang daripada adanya matlamat peribadi. Matlamat yang lahir daripada dalam diri murid itu sendiri. Bukan matlamat yang dilukis di dinding sekolah atau yang dipaksa anut oleh sesiapa.

Seperti Musa ‘alayhi al-Salam. Apabila baginda menunjukkan keazamannya untuk mengetahui apa yang Nabi Khadir / Khidir ‘alayhi al-salam tahu. Biar pun payah, kesabarannya dipersoal, Musa bertegas mahukannya, biar apa pun yang menghalang. 

Kita tiada maklumat tentang isi hati Nabi Musa alayhi al-salam yang sebenar. Tetapi sains pembelajaran membantu kita faham bahawa sumber terkuat motivasi manusia di dalam pembelajaran, adalah matlamat peribadi yang jelas dan diperjuangkan.

Malangnya, sebelum pandemik lagi sistem pendidikan kita direkabentuk secara essentialistic, yakni, pihak atas menentukan apa yang murid kena belajar, manakala masalah individu, keperluan individu, tidak diambil kira BY DESIGN dalam pembelajaran. Kecuali ada guru yang secara individu  menjadi ‘superman’ meneroka aspek tersebut. Apabila murid datang ke sekolah seumpama robot, untuk menjayakan aktiviti-aktiviti yang telah ditentukan untuk mereka, apatah lagi kalau belajar demi nama sekolah, demi rekod, demi A, demi emak ayah, ia melemahkan ownership pelajar kepada pembelajaran mereka. Kehendak mereka tidak relevan. Untuk itu, mereka sudah sekian lama kehilangan sumber motivasi utama.

Selama ini, kita ada bangunan bilik darjah, bangunan sekolah, pagar, cikgu disiplin, pak guard, undang-undang, penguatkuasa, dan pelbagai faktor lain bagi ‘memaksa’ murid berada di sekolah. Ia gagal untuk lebih 60 ribu pelajar yang ponteng sekolah setiap hari semenjak sebelum pandemik lagi, tetapi majoriti pelajar masih berada di sekolah, maka keluhan kita mengenai hal ini boleh kedengaran seumpama mencurah air ke daun keladi atau menjerit ke dinding batu, kalau pun tidak sampai menjadi anjing yang menyalak bukit.

APABILA COVID-19 MELANDA

2019, datanglah COVID-19!

Tiada lagi sekolah, tiada lagi guru disiplin, pak guard dan sebarang bentuk paksaan.

Pelajar berada di rumah masing-masing, mereka perlu memotivasi diri mereka sendiri, ditambah pula dengan 1001 faktor lain yang merumitkan pembelajaran… maka semua ini mendorong kepada hilangnya sebuah generasi, di depan mata.

Ahli politik bermain angka membanding-bandingkan lebih 20 ribu murid yang meninggalkan alam persekolahan tanpa menamatkannya sebagai mana yang lebih teruk di zaman kerajaan dahulu atau sekarang. Tiada sensitifiviti bahawa sesungguhnya di sebalik angka-angka itu, setiap satunya adalah insan, yang ada kehidupan, harapan, masa hadapan, risiko, dan kemusnahan.

Hasrizal
Naas, Ireland
www.saifulislam.com

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam

Dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang relevan dan efektif, kita sering mendengar pelbagai alasan untuk menolak model luar—kononnya model Finland “asing” bagi masyarakat kita, model Singapura “tidak sesuai” dengan konteks tempatan, manakala model Jepun “hanya sesuai” untuk keperluan kanak-kanak di Jepun. Namun, apabila kita meneliti dengan cermat, banyak idea-idea penting yang diketengahkan oleh sarjana Muslim terdahulu sebenarnya telah lama diamalkan secara produktif di negara-negara tersebut. Mereka tidak ambil pusing sama ada amalan itu berasal daripada cendekiawan Muslim atau bukan, atau sama ada dilabel “tempatan” atau “asing.” Sebaliknya, mereka memberi keutamaan kepada amalan yang terbukti berkesan menurut hasil kajian demi kesejahteraan proses pembelajaran kanak-kanak. Kita perlu menginsafi ego kita yang cenderung mempertahankan kelemahan dan menghiasinya dengan hujah “kita ada cara sendiri,” tanpa menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan “cara kita.” Jujurnya, jika kita mahu mengangkat jati diri sistem pendidikan sendiri, adalah lebih terhormat untuk bersikap terbuka dan menilai semula amalan yang wujud—bukannya menutup kelemahan dengan retorik lokaliti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content