Saturday, January 11th, 2025

Hadith Paling Susah Hendak Diamal

Pesimis.

Optimis.

Positif.

Kita teraba-raba mencari kekuatan untuk dapat melihat sinar di hujung terowong.

Saya sedar dengan peranan algorithm dalam menyumbat berita. Justeru, saya cuba berhati-hati agar tidak terjebak ke daerah catastrophic thinking hingga cicak disangka buaya, cacing dipandang ular.

Tetapi apa yang diketahui secara benar, tidak perlu lebih besar daripada sekadar satu laporan sahih mengenainya.

Melihat kerosakan, kepincangan, keingkaran, bertali arus, hingga bencana pun tidak mendatangkan pulih dan kesembuhan.

Rasanya inilah hadith paling susah bagi saya untuk mengawal diri agar dapat beramal dengannya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ح وَحَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى قَالَ قَرَأْتُ عَلَى مَالِكٍ عَنْ سُهَيْلِ بْنِ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah sallallāh ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “jika seseorang itu berkata manusia sudah rosak maka sesungguhnya dialah yang paling rosak di kalangan mereka (jika dibaca secara marfu’ yakni فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ)” atau “… maka sesungguhnya dialah punca yang yang merosakkan manusia itu (jika dibaca secara mansub yakni فَهُوَ أَهْلَكَهُمْ). (HR Muslim)

Sama ada orang itu paling rosak, atau dia punca masyarakat rosak, kedua-duanya celah dan menakutkan.

Namun, saat menjenguk ke huraian Imam Nawawi rahimahullah berkenaan hadith ini, dapatlah serba sedikit panduan buat menyuluh jalan.

Kata Imam Nawawi:

Ulama’ bersepakat bahawa kecelaan ini adalah terhadap mereka yang mengungkapnya dengan maksud memandang rendah kepada orang ramai dan memaki mereka, kemudian pada masa yang sama mengecualikan dirinya sebagai yang lebih baik berbanding mereka, serta menghina hal ehwal orang ramai itu. Rasionalnya, dia yang berkata sedemikian rupa hakikatnya tidak mengetahui rahsia Allah dalam penciptaan-Nya. Mereka (para ulama) juga berpendapat bahawa ada pun mereka yang menyebut ungkapan manusia sudah rosak itu kerana bersedih melihat keadaan dirinya dan masyarakat yang cacat penuh kekurangan dalam keberagamaan mereka, maka tidaklah mengapa untuk berkata begitu. Ia sama seperti seseorang berkata, “aku tidak kenal sesiapa di kalangan umat Nabi Muhammad sallallāh ‘alayhi wa sallam melainkan mereka semuanya bersembahyang”

Al-Imam al-Nawawi rahimahullah semasa mensyarahkan hadith ini di dalam Sahih Muslim

Semoga semasa berdukacita dengan hal ini hingga terasa seperti giving up on humanity, perasaan itu lahir daripada kesedihan atas kelemahan diri tidak berupaya melakukan sesuatu yang signifikan untuk mengubah keadaan. Bukan kerana angkuh dan sombong atau memandang rendah manusia kerana berasa diri tinggi lagi mulia.

Ya Allah, kuatkan hati kami menempuh ujian demi ujian di hujung masa ini, amin.

Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam

Dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang relevan dan efektif, kita sering mendengar pelbagai alasan untuk menolak model luar—kononnya model Finland “asing” bagi masyarakat kita, model Singapura “tidak sesuai” dengan konteks tempatan, manakala model Jepun “hanya sesuai” untuk keperluan kanak-kanak di Jepun. Namun, apabila kita meneliti dengan cermat, banyak idea-idea penting yang diketengahkan oleh sarjana Muslim terdahulu sebenarnya telah lama diamalkan secara produktif di negara-negara tersebut. Mereka tidak ambil pusing sama ada amalan itu berasal daripada cendekiawan Muslim atau bukan, atau sama ada dilabel “tempatan” atau “asing.” Sebaliknya, mereka memberi keutamaan kepada amalan yang terbukti berkesan menurut hasil kajian demi kesejahteraan proses pembelajaran kanak-kanak. Kita perlu menginsafi ego kita yang cenderung mempertahankan kelemahan dan menghiasinya dengan hujah “kita ada cara sendiri,” tanpa menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan “cara kita.” Jujurnya, jika kita mahu mengangkat jati diri sistem pendidikan sendiri, adalah lebih terhormat untuk bersikap terbuka dan menilai semula amalan yang wujud—bukannya menutup kelemahan dengan retorik lokaliti.

One comment

  1. May Allah bless.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content