Saturday, January 11th, 2025

Harapan Sumber Kekuatan Bertahan

Lelaki itu terperangkap di atas bumbung rumahnya. Air banjir semakin naik menenggelamkan sekeliling. Ikhtiar beliau adalah dengan menelefon bantuan kecemasan.

“Bertahan. Jangan bimbang. Kami ada di kampung sebelah. Sejam lagi kami tiba!” kata anggota pasukan penyelamat.

Walaupun sejam itu lama, tetapi sejam itu padanya ada harapan.

Lelaki itu boleh mengira.

55 minit.

45 minit.

5 minit.

Kerana ada harapan, ada keyakinan.

Ada keyakinan, ada kekuatan.

Berbeza pula kisahnya dengan lelaki kedua. Apabila rumahnya ditenggelami air, beliau segera mencapai telefon dan cuba menghubungi pihak keselamatan.

“Awak berada di mana?” tanya petugas.

“Saya ada di kam….! Tuttttttttttt……”

Belum lengkap memberi maklumat, telefonnya kehabisan bateri.

Pasukan penyelamat mungkin ada tidak jauh daripadanya. Tetapi kerana dia tiada kepastian, tiada harapan.

Tanpa harapan, tiada keyakinan.

Tanpa keyakinan, hilanglah kekuatan.

Sebelum air menenggelamkan keseluruhan rumah dan lelaki itu, dia menenggelamkan dirinya ke dalam air kerana putus asa!

Demikianlah cara mudah untuk kita faham betapa pentingnya sebuah keyakinan dan harapan untuk menjadi sumber kekuatan dan bertahan.

Apabila tindak tanduk dan fokus mereka yang sepatutnya membantu gagal mewajahkan keyakinan bahawa kesusahan yang sedang dialami ini ada jalan keluarnya, masyarakat berputus asa dan hilang kekuatan. Semasa ini, kita perlu ingat bagaimana Allah sendiri apabila menjemput kita menyembah-Nya, Dia berkata “… dan sembahlah Tuhan rumah ini yang telah memberi makan kepada mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan!” (Surah Quraish ayat 3-4).

Keimanan kepada Allah bukan hanya dengan mengangkat tangan berdoa kosong. Ia perlu bersama usaha yang betul dan bersungguh pada menyampaikan keperluan kepada yang memerlukan.

Ya Allah, selamatkan kami daripada putus asa dan lemah upaya bertahan. Bantulah kami keluar daripada bencana ini.

Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam

Dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang relevan dan efektif, kita sering mendengar pelbagai alasan untuk menolak model luar—kononnya model Finland “asing” bagi masyarakat kita, model Singapura “tidak sesuai” dengan konteks tempatan, manakala model Jepun “hanya sesuai” untuk keperluan kanak-kanak di Jepun. Namun, apabila kita meneliti dengan cermat, banyak idea-idea penting yang diketengahkan oleh sarjana Muslim terdahulu sebenarnya telah lama diamalkan secara produktif di negara-negara tersebut. Mereka tidak ambil pusing sama ada amalan itu berasal daripada cendekiawan Muslim atau bukan, atau sama ada dilabel “tempatan” atau “asing.” Sebaliknya, mereka memberi keutamaan kepada amalan yang terbukti berkesan menurut hasil kajian demi kesejahteraan proses pembelajaran kanak-kanak. Kita perlu menginsafi ego kita yang cenderung mempertahankan kelemahan dan menghiasinya dengan hujah “kita ada cara sendiri,” tanpa menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan “cara kita.” Jujurnya, jika kita mahu mengangkat jati diri sistem pendidikan sendiri, adalah lebih terhormat untuk bersikap terbuka dan menilai semula amalan yang wujud—bukannya menutup kelemahan dengan retorik lokaliti.

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content