
BERITA BUKU IQRA’ (2026)
Alhamdulillah, hari ini siaran langsung di TikTok untuk memperkenalkan buku baharu saya untuk tahun 2026 ini berjalan lancar. Bismillah, buku ketiga puluh saya ini bertajuk IQRA’: Panduan Berfikir Dalam Menghadapi Krisis Kejahilan Moden.
Buku ini mula dicerakin melalui sebuah webinar yang diadakan pada tahun 2023. Ia bukanlah topik yang menyeronokkan untuk dibincangkan, malah tajuk webinar itu agak keras; MEMBEDAH KEBODOHAN.
Ia bermula dengan kata-kata Neil Postman:
Inilah strategi yang saya cadangkan kepada para pendidik: hentikan usaha yang kabur, bersifat angkuh, dan akhirnya sia-sia untuk “menjadikan” kanak-kanak cerdas, dan sebaliknya tumpukan perhatian kepada usaha membantu mereka mengelakkan kebodohan. Anda mungkin menyangka bahawa ini sekadar permainan bahasa atau helah semantik. Mungkin. Namun, ini bukan helah semantik yang remeh. Perubahan cara kita mentakrifkan peranan guru menetapkan batas yang jelas serta matlamat yang realistik dan boleh dicapai.
Kembali kepada analogi perubatan: seorang doktor memahami penyakit dan mampu memberikan arahan yang khusus untuk mencegahnya. Jangan merokok, hadkan pengambilan garam dan lemak tepu, ambil ubat pada dos dan waktu yang ditetapkan, dan sebagainya. Saya mencadangkan agar pendidikan mengangkat paradigma yang sama. Pendidik perlu menjadi pakar tentang kebodohan dan mampu menetapkan langkah-langkah konkrit untuk mengelakkannya.
Postman, Neil. Conscientious Objections: Stirring Up Trouble About Language, Technology and Education (hlm. 98). Edisi Kindle.
Mengungkai kebodohan menurut kupasan ilmu agama dan sains ini bukanlah dilakukan oleh golongan yang terselamat daripada kebodohan. Saya meneroka topik ini dengan penuh debaran, memohon kepada Allah SWT agar saya terlebih dahulu terjaga daripada racun kebodohan, kemudian terjaga hati daripada menyangka panduan buku ini adalah untuk orang lain dan tidak diri sendiri. Buku ini saya tulis untuk memindahkan kegusaran hati daripada terus berenang-renang di dalam perasaan dan fikiran, kepada perkataan yang boleh dibaca dan dibincangkan.
Cabaran seterusnya, mencegah buku ini daripada berat, sukar dibaca, dan mencetus belenggu murung atau putus asa. IQRA’, wahyu pertama yang telah menyelamatkan umat suatu ketika dahulu, saya usulkan tinjauan semula kepadanya di dalam bab 7 dan 8 sebagai solusi untuk kita wacanakan bersama.
Sahabat boleh mendapatkan maklumat mengenai buku ini, jualan dan acara berkaitan diskusi mengenainya, melalui halaman IQRA.HASRIZAL.COM
Iqra’ wahyu pertama
Juga terakhir tiada sesudahnya
Tali insan dengan Pencipta
Dipegang erat ke hujung masa
Iqra’ memang kisah cinta
Asmara insan dengan makna
Makna wujud, makna hidup, makna kelana
Tidak berubah arah kembara
Iqra’ juga amaran Tuhan
Iman jangan ikut-ikutan
Jauh sekali berkiblat perasaan
Tenggelam dalam mabuk kemahuan
Bacalah, dengan nama Tuhan
Tuhan kamu, bukan tuhan-tuhan rekaan
Tuhan Pencipta yang mencipta semua
Yang kerana-Nya wujudnya kita
Saifulislam.Com Pendidikan Jalan Islah