Friday, January 10th, 2025

Kaedah Mengurangkan ‘Campurtangan’ Kerajaan di Sekolah

Kenapa sekolah di Finland berbeza daripada sekolah di Malaysia?

Ada macam-macam cara untuk jawab soalan ini. Tetapi kali ini saya ingin cuba menjawabnya dengan penerangan secara sosiologi.

Secara sosiologinya, sekolah boleh berada di dalam satu daripada dua kategori (boleh ada pengkategorian yang lain juga). Sama ada sekolah itu berada di dalam kerangka FUNCTIONALISM, atau pun INTERACTIONISM.

Dalam kerangka FUNCTIONALISM, sekolah ialah alat kerajaan melaksanakan agendanya membentuk rakyat. Dalam kerangka ini, murid tidak begitu dilihat secara individu. Sebaliknya mereka adalah sekumpulan kanak-kanak yang perlu dibentuk agar nantinya menjadi rakyat yang berfungsi lagi berguna. Oleh itu, cabaran-cabaran yang dihadapi oleh murid di peringkat dirinya sebagai individu, kurang diberi perhatian.

KERANGKA FUNCTIONALISM

Di dalam kerangka FUNCTIONALISM juga, sekolah ada banyak birokrasinya, banyak formaliti. Ada pakaian seragam, ada ritual perhimpunan pagi, menaikkan bendera, membaca ikrar, menyanyi lagu kebangsaan dan sebagainya.

Paling penting, sekolah dalam kerangka FUNCTIONALISM mudah terkesan dengan perbualan orang politik. Apa-apa yang orang politik bincangkan, dan angkat sebagai agenda negara, mudah sekali untuk ia dijelmakan menjadi subjek, projek atau apa-apa agenda yang sekolah kena buat. 

Jika ramai orang dewasa kemalangan jalan raya, jadilah agenda kerajaan untuk tingkatkan keselamatan, dan akan keluarlah subjek atau kempen keselamatan jalanraya di kalangan kanak-kanak sekolah.

Jika ramai orang dewasa terlibat dengan rasuah, kerajaan akan angkat agenda memerangi rasuah. Mudah sekali untuk ada yang terfikir, ayuh mulakan pendidikan anti rasuah di kalangan murid sekolah.

Pentadbir yang melaksanakan agenda “saya yang menurut perintah” mungkin akan memberikan alasan hal ini kena diajar di sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Masalahnya, murid bukan rebung. Orang dewasa bukan buluh. Mereka manusia. 24 jam sehari, 8 ke 10 jam sehari di sekolah itu sudah terlalu sendat untuk semua benda hendak diajar di sekolah. Apabila berlambak-lambak subjek dan kandungan matapelajaran hendak diajar, ia bukan lagi melentur rebung. Ia sudah bertukar menjadi menggulai rebung. Tidak sempat menjadi buluh, semua rebung sudah dikunyah lumat dan diproses di dalam usus menjadi benda lain.

Sekolah di Malaysia duduk dalam kerangka FUNCTIONALISM. Saya pernah tulis mengenainya di dalam artikel ini: https://saifulislam.com/2017/04/pandangan-golongan-berjaya-terhadap-tujuan-sebuah-pendidikan-functionalism/

Tetapi di Finland, sekolah duduk dalam kerangka INTERACTIONISM.

KERANGKA FUNCTIONALISM

Dalam kerangka ini, sekolah bukan institusi agenda kerajaan. Ia adalah perkhidmatan yang kerajaan sediakan untuk pastikan murid dapat belajar. Guru perlu cari jalan macam mana hendak pastikan murid boleh belajar. Tiada agenda lain di sekolah yang tiada kena mengena dengan belajar. Murid di sekolah difikirkan sebagai manusia, bukan sebagai ‘rakyat’.

Sebab itu sekolah di Finland tidak banyak birokrasi dan formaliti. Jurang antara rumah dan sekolah dikecilkan. Tiada murid yang menjadi halimunan kerana setiap seorangnya dilihat sebagai individu.

Justeru, di sekolah seperti di Finland, guru tidak perlu memikul beban ko kurikulum, menjayakan kempen kerajaan dan sebagainya. Apa-apa yang orang politik bincang tentang negara, ada pelbagai kementerian lain yang kena fikir macam mana hendak menjayakannya, tetapi bukan Kementerian Pendidikan.

Di negara seperti Finland, sekolahnya percaya jika murid dapat belajar dengan baik, mereka dengan sendirinya akan prihatin dengan masalah negara dan berkeupayaan memikirkan solusi, tanpa perlu ia menjadi subjek, buku teks, kempen dan ko kurikulum.

BAGAIMANA MENGUBAHNYA?

Macam mana hendak ubah sekolah daripada kerangka FUNCTIONALISM ke INTERACTIONISM?

Saya tiada jawapan mudah. Ia berlaku perlahan. Ia terjadi apabila pendidikan dikategorikan sebagai hak asasi manusia. Negaranya berfikir apa yang ia boleh buat untuk kanak-kanak, dan meninggalkan paradigma lama pada menuntut kanak-kanak berfikir apa yang mereka perlu buat untuk negara.

Sebab itu tiada cara mudah untuk mengubah sistem pendidikan di Malaysia.

Jika kita ada menteri dan pasukan yang mahir dalam undang-undang, mungkin boleh dikaji punca kuasa sekolah dan di bawah bahagian manakah di dalam perlembagaan sekolah serta cabang-cabangnya berada. Mungkinkah pendidikan akan jadi lebih baik jika pendidikan dilepaskan daripada agenda kerajaan?

Ia semacam menuntut sebuah PENGORBANAN daripada POLITIK.

Mampukah?

Tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua.

Hasrizal
Naas, Ireland.

📌

Terima kasih seikhlas hati saya ucapkan kepada sahabat yang menyokong usaha-usaha pendidikan di platform media sosial saya. Juga rakan-rakan yang membantu di:

Patreon: https://www.patreon.com/hasrizal
Paypal: https://paypal.hasrizal.com
Revolut: https://revolut.me/hasrizal

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam

Dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang relevan dan efektif, kita sering mendengar pelbagai alasan untuk menolak model luar—kononnya model Finland “asing” bagi masyarakat kita, model Singapura “tidak sesuai” dengan konteks tempatan, manakala model Jepun “hanya sesuai” untuk keperluan kanak-kanak di Jepun. Namun, apabila kita meneliti dengan cermat, banyak idea-idea penting yang diketengahkan oleh sarjana Muslim terdahulu sebenarnya telah lama diamalkan secara produktif di negara-negara tersebut. Mereka tidak ambil pusing sama ada amalan itu berasal daripada cendekiawan Muslim atau bukan, atau sama ada dilabel “tempatan” atau “asing.” Sebaliknya, mereka memberi keutamaan kepada amalan yang terbukti berkesan menurut hasil kajian demi kesejahteraan proses pembelajaran kanak-kanak. Kita perlu menginsafi ego kita yang cenderung mempertahankan kelemahan dan menghiasinya dengan hujah “kita ada cara sendiri,” tanpa menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan “cara kita.” Jujurnya, jika kita mahu mengangkat jati diri sistem pendidikan sendiri, adalah lebih terhormat untuk bersikap terbuka dan menilai semula amalan yang wujud—bukannya menutup kelemahan dengan retorik lokaliti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content