“Bagaimanapun ini tidaklah boleh dibiarkan sahaja, tentu masih ada sebahagian kecil disebabkan mereka tiada motivasi dan kepercayaan untuk menduduki peperiksaan SPM. Kalau ambil SPM pun sudah pasti gagal kuat dalam fikiran mereka.”
— Dr. Anuar Ahmad, UKM (Berita Harian, Mei 2024)
Kemudian pada awal tahun 2025, isu yang sama kembali menjadi kontroversi.
Pada 8 Januari 2025, Free Malaysia Today (FMT) melaporkan gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) agar semua pihak tidak memanipulasi data serta tidak menimbulkan isu berhubung 10,000 pelajar yang gagal hadir bagi kertas Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024. Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Saigon, mengakui jumlah tersebut tinggi namun menjelaskan perkara ini turut berkait rapat dengan kesedaran pelajar dan ibu bapa, yang seharusnya lebih berperanan mendidik anak-anak sejak kecil.
Fouzi turut memaklumkan bahawa angka tidak hadir bagi kertas Bahasa Melayu 1 berkurang lebih 4,000 orang berbanding SPM 2023. Menurut beliau, jumlah 9,733 calon yang tidak hadir ini adalah paling rendah dalam tempoh empat tahun. Namun begitu, beliau menekankan kecuaian ibu bapa dalam mendidik dan memantau perkembangan anak sebagai antara faktor penyumbang kepada fenomena ini.
Salah siapa semua ini berlaku?
Di mana silapnya hingga fenomena ketidakhadiran ini berulang?
Perdebatan mengenai kadar ketidakhadiran calon SPM bukanlah isu baharu. Kenyataan Dr. Anuar Ahmad pada tahun 2024 di atas turut menegaskan bahawa terdapat segelintir memilih untuk tidak hadir kerana:
- Tiada motivasi untuk menduduki peperiksaan.
- Menganggap diri mereka akan gagal, lalu memilih untuk tidak mencuba.
Situasi ini menggambarkan masalah yang lebih mendalam dalam sistem pendidikan kita. Pelajar yang memilih untuk tidak hadir mencerminkan hilangnya kepercayaan terhadap sistem, diri mereka sendiri, dan masa depan. Ia menunjukkan fenomena learned helplessness (keputusasaan yang dipelajari) dalam kalangan pelajar.
SINDROM ANAK GAJAH
Learned Helplessness merupakan satu konsep psikologi yang digunakan untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran, terutama bagi menyokong pelajar yang berhadapan dengan pelbagai kesukaran. Konsep ini mengingatkan kita kepada Baby Elephant Syndrome, yang menggambarkan bagaimana kepercayaan diri seseorang boleh dibentuk melalui pengalaman awal yang negatif.
Dalam kisah ini, seekor anak gajah yang ditambat pada sebatang tiang dengan seutas tali kecil terus-menerus gagal melepaskan diri kerana tenaganya yang terhad. Akan tetapi, selepas anak gajah itu membesar, fizikalnya sudah jauh lebih kuat, dia sudah berhenti mencuba. Walaupun dengan sekali rentap, tali yang mengikatnya boleh terputus dan memberikan kebebasan, beliau kekal tertambat. Yang menambatnya bukan tali itu, tetapi sesuatu yang tidak kelihatan di dalam fikirannya.
Fikiranlah yang sebenarnya menambat abang gajah itu. Kegagalan demi kegagalan, menyebabkan dia yakin, dia tidak akan berjaya. Dia berputus asa.
Putus asa yang dipelajari.
Anak gajah menjadi abang gajah yang telah belajar berputus asa.
Itulah yang dinamakan sebagai fenomena LEARNED HELPLESSNESS.
Kita ingin meneroka fenomena ini, apakah ia berada di belakang ramai calon SPM yang tidak menduduki peperiksaan tersebut. Keadaan ini mencerminkan learned helplessness (keputusasaan yang dipelajari), iaitu apabila pengalaman kegagalan awal mencetuskan kepercayaan bahawa tiada apa yang boleh diubah, walaupun sebenarnya terdapat peluang untuk berjaya.
Robert dan Myrna Gordon dalam buku The Turn of Child: Learned Helplessness and School Failure menjelaskan bagaimana fenomena learned helplessness dalam bilik darjah terbentuk melalui pengalaman kegagalan berulang. Walaupun kajian mereka berpusat di Amerika Syarikat, keadaannya mencerminkan banyak realiti di negara kita. Apabila pelajar kerap gagal dalam peperiksaan atau sentiasa berada di kedudukan bawah, mereka mula mempercayai bahawa kelemahan mereka adalah kekal. Akibatnya, mereka kehilangan motivasi untuk mencuba, dan keyakinan serta penghormatan diri turut merosot.
Fenomena ini lebih menyedihkan apabila berlaku secara meluas.
Pelajar yang belajar untuk tidak belajar mencerminkan kelemahan bukan hanya dalam kemampuan individu, tetapi juga kegagalan sistem pendidikan. Polisi yang terlalu menekankan prestasi kognitif tanpa mengambil kira keperluan emosi pelajar sering mengabaikan domain affective yang penting untuk menyokong pembelajaran berkesan. Sistem sebegini tidak hanya meminggirkan pelajar lemah tetapi juga mengukuhkan rasa putus asa mereka.
Definisi Learned Helplessness
Terdapat beberapa definisi yang dikemukakan oleh para penyelidik tentang learned helplessness:
- Robert N. Wallace (1990)
“Learned helplessness describes children who believe that they have no control over the learning process and have experienced multiple failures in attempting to negotiate a pleasurable environment. They perceive effort as having little effect on desired outcomes and consequently they show a decrease in effort and persistence and in thinking.”– Secara ringkas, kanak-kanak ini percaya bahawa mereka tidak mempunyai kawalan terhadap proses pembelajaran. Bagi mereka, tiada apa yang boleh diubah untuk mencapai hasil yang lebih baik. Akibatnya, mereka menjadi semakin pasif dan kurang berusaha. - Dweck and Elliot (1988)
“Learned helplessness is a term used to describe the problem of the child who, after experiencing failure or being labeled by the school system as learning disabled, engages in non-productive thoughts about his or her ability.”– Di sini, kesan kegagalan berulang atau pelabelan negatif oleh pihak sekolah menyebabkan pelajar terperangkap dalam pemikiran tidak produktif. Mereka percaya bahawa diri mereka sememangnya tidak mampu untuk berjaya. - Greer and Weather (1987)
“Learned helplessness is a phenomenon wherein people are repeatedly exposed to situations beyond their control. Such exposure results in passivity, decreased interest, and a reduction in the initiation of responses.”– Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan pelajar sekolah, tetapi juga orang dewasa. Apabila manusia berkali-kali terdedah kepada keadaan di luar kawalan mereka, mereka menjadi pasif, semakin kurang berminat, dan semakin jarang memberi tindak balas. - Dr. Martin Seligman
“Learned helplessness is a state of inaction and depression arising from a realization that one’s efforts are ineffectual in attaining one’s goal.”– Maksudnya, ia adalah keadaan tidak bertindak (inaction) dan kemurungan yang terbit daripada kesedaran bahawa segala usaha tidak membawa sebarang kesan terhadap pencapaian matlamat.
Asal-Usul Kajian Dr. Martin Seligman
Konsep learned helplessness dikembangkan oleh Dr. Martin Seligman pada tahun 1960-an melalui satu siri uji kaji, yang kini dianggap kejam dan tidak dibenarkan lagi. Dalam uji kaji tersebut, seekor anjing diberikan renjatan elektrik selepas dibunyikan loceng. Lama-kelamaan, bunyi loceng sahaja sudah cukup membuatkan anjing itu berkelakuan seolah-olah menerima renjatan elektrik, walaupun tiada renjatan diberikan.
Di fasa seterusnya, anjing itu ditempatkan dalam sebuah sangkar yang mempunyai dua bahagian: satu bahagian dikenakan renjatan elektrik, satu lagi selamat. Anjing yang telah ‘belajar’ bahawa ia tidak dapat melarikan diri memilih untuk pasrah, tidak melompat ke bahagian selamat, dan hanya menahan renjatan itu. Sebaliknya, anjing lain yang tidak melalui pengalaman sebelumnya terus melompat ke bahagian selamat. Inilah asasnya konsep learned helplessness, apabila seseorang (atau haiwan) mempercayai bahawa apa-apa tindakan pun tidak berguna untuk mengubah keadaannya.
Kesan Learned Helplessness: Motivasi, Kognitif dan Emosi
Apabila seseorang mengalami learned helplessness, ia mempengaruhi tiga fungsi utama individu yang sering kali tidak kelihatan kecuali jika kita mempunyai ‘mata’ untuk mengenalinya:
- Motivasi
Kanak-kanak kehilangan keazaman untuk mencuba dan tidak berminat membuat sebarang usaha kerana mereka percaya proses pembelajaran berada di luar kawalan mereka. “Tiada guna mencuba” menjadi kepercayaan yang tertanam. Tanda-tanda seperti keengganan mengambil bahagian dalam aktiviti atau menyerah awal pada cabaran hanya boleh diperhatikan oleh guru yang peka. - Kognitif
Pelajar mula melihat kegagalan sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan, kehilangan keupayaan untuk memahami kaitan logik antara usaha dan kejayaan. Mereka sering menunjukkan pemikiran negatif seperti “berusaha atau tidak, sama sahaja.” Guru boleh mengesan ini melalui corak ucapan yang pesimis atau jawapan yang bersifat menyerah. - Emosi
Pelajar meragui keupayaan diri, menyebabkan harga diri menurun dan berpotensi membawa kepada kemurungan. Tanda-tanda seperti sikap menarik diri, kekurangan keyakinan untuk mencuba perkara baharu, atau reaksi berlebihan terhadap kritikan mungkin menjadi petunjuk penting jika diperhatikan dengan teliti.
Tanda-Tanda Pelajar Mengalami Learned Helplessness
Sebagai guru dan ibu bapa, keupayaan untuk mengenal pasti tanda-tanda learned helplessness amat penting bagi membantu pelajar yang memerlukan perhatian:
- Motivasi rendah dan pasif dalam kelas
Guru dapat melihat pelajar yang tidak berminat dalam pembelajaran melalui sikap pasif yang konsisten dalam kelas. Contohnya, mereka jarang memberi perhatian, tidak mengambil bahagian dalam aktiviti kumpulan, atau tidak menyelesaikan tugasan. Di rumah, ibu bapa boleh memerhatikan jika anak-anak menunjukkan ketidaksungguhan dalam membuat kerja rumah atau belajar sendiri. - Jarang bertanya soalan
Pelajar yang tidak menunjukkan minat atau semangat untuk belajar cenderung untuk tidak bertanya soalan. Mereka hanya menjadi pemerhati pasif dalam perbincangan. Ibu bapa mungkin mendapati anak mereka jarang meminta bantuan walaupun menghadapi kesukaran, menandakan kemungkinan hilangnya rasa ingin tahu atau keyakinan. - “Saya tak tahu” tanpa berfikir
Guru sering berhadapan dengan pelajar yang memberikan respons seperti “Entah” atau “Tak tahu” tanpa cuba terlebih dahulu memikirkan jawapan. Di rumah, ibu bapa boleh mengesan ini apabila anak-anak cepat menyerah tanpa mencuba dahulu. - Cepat putus asa apabila dibetulkan
Apabila pelajar dianggap gagal atau ditegur, mereka mudah kecewa dan terus menyerah kalah. Guru boleh memerhatikan pelajar yang kelihatan terganggu secara emosi apabila menerima komen negatif. Di rumah, ibu bapa boleh melihat tanda ini apabila anak-anak tidak mahu mencuba semula selepas gagal. - Gagal mendapat gred baik tidak mengganggu mereka
Pelajar yang sudah terbiasa dengan kegagalan tidak lagi berasa terganggu apabila mendapat keputusan yang buruk. Guru boleh mengenal pasti ini melalui reaksi pelajar terhadap keputusan peperiksaan. Ibu bapa pula boleh melihat jika anak mereka tidak menunjukkan usaha untuk memperbaiki keputusan selepas gagal. Mengugut pelajar, “kalau tidak lulus SPM nanti…!” tidak memberi apa-apa makna dan kesan kepadanya.
Kedua-dua guru dan ibu bapa perlu bekerja bersama untuk mengenal pasti tanda-tanda ini. Guru harus mengambil inisiatif dengan memerhatikan tingkah laku pelajar di dalam bilik darjah, sementara ibu bapa boleh memberi perhatian terhadap perubahan tingkah laku anak-anak di rumah. Komunikasi yang konsisten antara guru dan ibu bapa juga penting untuk memastikan pelajar menerima sokongan yang diperlukan.
Bagaimana Guru dan Ibu Bapa Boleh Membantu?
Langkah-langkah berikut harus dimulakan dengan refleksi: adakah budaya bilik darjah dan rumah kita membantu pelajar mengatasi rasa putus asa, atau adakah ia secara tidak sedar menyumbang kepada masalah ini? Sebelum menyalahkan calon SPM yang tidak hadir, kita perlu memastikan tindakan dan pendekatan kita mencerminkan sokongan yang sebenar.
1. Aspek Motivasi
- Hargai usaha, bukan hanya hasil
Pelajar perlu tahu bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Guru dan ibu bapa perlu menghargai usaha mereka walaupun hasilnya tidak sempurna. Adakah kita memberi ruang kepada pelajar dan anak-anak untuk belajar dari kesilapan tanpa rasa takut? - Elak kritikan yang meruntuhkan semangat
Fokus pada memberi maklum balas membina. Guru di kelas dan ibu bapa di rumah perlu bertanya: Adakah maklum balas kita mendorong mereka untuk mencuba lagi atau membuat mereka berhenti mencuba? - Kenali pelajar atau anak yang diam
Pelajar dan anak yang tidak bersuara mungkin memendam rasa putus asa. Guru perlu mendekati mereka secara peribadi di kelas, dan ibu bapa perlu bertanya khabar serta meluangkan masa berbual secara santai di rumah. Refleksi: Adakah kita cukup peka terhadap mereka?
2. Aspek Kognitif
- Tanamkan growth mindset
Tekankan bahawa kejayaan datang dari usaha dan pembelajaran berterusan, bukan semata-mata bakat. Guru dan ibu bapa boleh memberikan contoh peribadi tentang bagaimana usaha telah membawa kepada kejayaan. Adakah kata-kata dan tindakan kita menyokong idea ini? - Gunakan analogi yang mudah difahami
Jelaskan konsep harapan dan perubahan dengan cara yang mudah, seperti analogi suis lampu: usaha dapat menghidupkan kembali cahaya harapan. Guru dan ibu bapa harus memastikan pendekatan mereka cukup jelas dan relevan untuk pelajar dan anak-anak.
3. Aspek Emosi
- Bina keyakinan secara beransur-ansur
Berikan tugasan kecil yang boleh dicapai untuk membina keyakinan pelajar secara perlahan. Di rumah, ibu bapa boleh memberikan tanggungjawab kecil yang dapat membantu anak merasa berjaya. Refleksi: Adakah kita memberi mereka kemenangan kecil yang dapat meningkatkan keyakinan diri?
Muhasabah Bersama
Guru sering dibebankan dengan keperluan menghabiskan silibus, dan ibu bapa dengan tanggungjawab harian. Namun, meluangkan masa untuk mengenal pasti pelajar dan anak yang bermasalah adalah pelaburan yang penting. Refleksi diri adalah langkah pertama untuk memastikan kita mencipta bilik darjah dan rumah yang menyokong, bukan yang menekan.
Sebelum kita menuding jari kepada pelajar atau anak-anak, kita perlu bertanya: Adakah kita telah menjadi sebahagian daripada penyelesaian?
Ada pun mereka di pejabat pentadbiran, baik daerah, negeri mahu pun pusat:
Guru adalah kakitangan anda.
Ibu bapa adalah customers anda.
Murid-murid adalah pengguna produk anda.
Pusing ke mana pun, tanggungjawab anda tidak bertindan dengan tanggungjawab pekerja, pelanggan dan pengguna.
Own the problem, lillahi ta’ala.
Hasrizal
Naas, Ireland.