Monday, December 15th, 2025

Lima Idea Penting daripada Weapons of Mass Instruction: Membuka Jalan kepada Pemikiran Pendidikan yang Lebih Merdeka

“Saya mahu menjadi pejuang pendidikan. Buku apa yang saya patut baca?” seorang anak muda bertanya.

“Perjuangan, sama ada dalam pendidikan atau bidang apa sekali pun, tidak boleh diada-adakan. Kita berjuang apabila kita jumpa apa yang perlu kita perjuangkan. Buku dan menjadi pejuang pendidikan, itu datang kemudian,” saya jawab.

“Apa yang menyebabkan ustaz jadi pejuang pendidikan?” soalnya lagi.

“Saya tidak pasti adakah saya pejuang pendidikan atau tidak. Saya seorang pendidik. Pada hari-hari biasa, saya mendidik. Apabila berjumpa halangan, saya cuba atasi. Apabila berjumpa sekatan, saya cuba runtuhkan. Apabila berjumpa ‘musuh’, baru saya melawan,” saya menjawab secara kasual. Antara serius dan bergurau.

“Wah, siapa musuh itu, sampai ustaz kena lawan?” tanya beliau.

“Hmm… ada yang kelihatan, ada yang tidak kelihatan. Ada yang sama spesis, ada yang berbeza. Spesis berbeza dan tidak kelihatan adalah setan!” saya ketawa.

“Hah, setan musuh pendidikan? Apa salah setan?” beliau pun ketawa sama.

“Syaitan hasut supaya lihat pendidikan sebagai peluang mendapat habuan peribadi. Mungkin tidak kaya sebab pendidikan susah nak menyebabkan sesiapa kaya. Papa kedana lagi ada la! Tapi melalui pendidikan, ego kita terlayan, dapat pujian, dapat nama, dapat kedudukan. Malah di dunia ‘halal’ sekali pun, pendidikan berubah menjadi komoditi dan aset peribadi. Akibatnya kita hilang keikhlasan. Bukankah Iblis berazam dan bersumpah mahu sesatkan kita semua. Satu-satunya manusia yang setan kalah, adalah manusia yang ikhlas. Kalau ikhlas mula pudar, kejutkan diri, dan lawan setan!” saya berceloteh.

Anak muda itu termenung panjang.

Pendidikan adalah pendidikan. Tetapi kepada setiap manusia, statusnya boleh berubah-ubah. Ia boleh sekadar pekerjaan untuk gaji. Ia boleh soal jawatan, apabila kita mula membina pangkat dan kerjaya. Pendidikan juga boleh jadi medan penyelidikan, permainan data dan analisis, apabila pendidikan sekadar bidang akademik. Manakala bagi orang politik, ia boleh menjadi mileage yang berharga untuk naik dari satu anak tangga ke anak tangga menuju puncak kerjaya.

Dalam sejarah Malaysia, Kementerian Pendidikan selalu menjadi kementerian yang bakal Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri singgah.

Akan tetapi, andai pendidikan itu hendak diperjuangkan, ia mesti diperjuangkan kerana kita berdepan dengan sesuatu yang tidak akan selesai kecuali ia dibela, diperjuang dan dipertahankan. Modalnya, ilmu, dan ikhlas.

“Oklah, saya mudahkan soalan. Saya hendak baca buku mengenai pendidikan. Buku apa yang ustaz baca, mula-mula dahulu, sehingga ustaz berfikir di luar kotak, mengenai pendidikan?” tanya anak muda itu.

“Haha, saya faham sahaja soalan awak tadi. Sengaja saya putar belit ke sana sini.” saya menjawab.

Buku pertama tentang pendidikan yang membuka mata saya kepada idea alternatif ialah Weapons of Mass Instruction oleh John Taylor Gatto. Melalui pengalaman puluhan tahun sebagai guru, Gatto mencabar asas persekolahan moden dan menunjukkan bagaimana sekolah hari ini lahir daripada ‘logik pengurusan’, bukan keperluan pendidikan manusia. Beliau mengkritik pendidikan sebagai seorang guru dengan puluhan tahun pengalaman. Beliau juga sudah diiktiraf pengalamannya hingga menjadi tokoh guru. Selepas semua itu, beliau mula ‘menyembelih’.

Berikut ialah lima idea penting yang dapat kita pelajari daripada bukunya, berserta petikan asal untuk memberi gambaran jujur terhadap kritikan John Taylor Gatto mengenai sistem persekolahan moden yang kita kenal hari ini:

PERTAMA: Sekolah moden dibina untuk menghasilkan kepatuhan, bukan kemerdekaan diri

Gatto berhujah bahawa sekolah moden bukanlah lahir secara neutral, tetapi dibentuk oleh kepentingan negara dan industri untuk menghasilkan masyarakat yang patuh, mudah dikawal dan terlatih dalam rutin. Dalam perbincangannya, beliau menekankan bagaimana sistem sekolah dicipta bagi membentuk tabiat tunduk kepada autoriti, bukan tabiat berfikir secara kritis atau mengurus kebebasan diri.

Beliau mengingatkan bahawa apabila kanak-kanak dibiasakan untuk menerima arahan tanpa soal, dan menghabiskan masa berjam-jam dalam struktur yang ketat, mereka akhirnya membina hubungan yang lemah dengan motivasi dalaman. Mereka tahu bagaimana untuk mengikut arahan, tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengurus diri secara autonomi.

Katanya:

“Compulsory schooling on this continent was intended to be just what it had been for Prussia in the 1820s: a fifth column into the burgeoning democratic movement that threatened to give the peasants and the proletarians a voice at the bargaining table. Modern, industrialized, compulsory schooling was to make a sort of surgical intervention into the prospective unity of these underclasses. Divide children by subject, by age-grading, by constant rankings on tests, and by many other more subtle means, and it was unlikely that the ignorant mass of mankind, separated in childhood, would ever re-integrate into a dangerous whole.”

Terjemahan:
“Pendidikan wajib di benua ini sebenarnya dimaksudkan untuk menjadi seperti peranannya di Prusia pada tahun 1820-an, iaitu sebagai pasukan kelima yang menyusup masuk ke dalam gerakan demokratik yang sedang berkembang, yang pada ketika itu mengancam untuk memberikan suara kepada golongan tani dan proletariat di meja rundingan. Persekolahan moden yang berperindustrian dan diwajibkan ini bertujuan untuk melakukan suatu bentuk pembedahan sosial ke atas potensi kesatuan kelas bawahan tersebut. Pisahkan kanak-kanak mengikut mata pelajaran, penggredan umur, kedudukan berasaskan ujian, serta pelbagai kaedah halus yang lain, dan adalah tidak mungkin kelompok besar manusia yang tidak terpelajar itu, setelah dipisahkan sejak kecil, akan kembali bersatu menjadi suatu kelompok yang berpotensi (melawan dan) berbahaya.”

Gatto menunjukkan bahawa sistem ini terbina secara sengaja melalui jadual ketat, arahan bertubi-tubi dan penilaian yang sebenarnya berfungsi sekadar mengukur sejauh mana murid menurut kehendak serta arahan.

KEDUA: Struktur sekolah memecah dan memutuskan pembelajaran yang organik

Salah satu kritikan paling tajam Gatto ialah bagaimana sekolah memisahkan pembelajaran daripada kehidupan. Jadual harian yang terpecah kepada subjek, loceng yang berbunyi setiap 40 atau 50 minit, dan usia pelajar yang disusun secara ketat mengikut umur, semuanya menghalang pembentukan tumpuan mendalam dan perkembangan yang menyeluruh.

Menurut Gatto, pembelajaran hakiki berlaku melalui pengalaman yang mengalir dalam kehidupan, bukan melalui pengasingan generik yang direka-reka. Kanak-kanak belajar dengan baik apabila mereka berada dalam komuniti, menghadapi dunia sebenar, dan bekerja dengan tempo yang selari dengan irama perkembangan diri. Apabila pembelajaran dipecahkan kepada serpihan yang tidak berkaitan, ia menghasilkan kefahaman yang dangkal dan kebergantungan kepada arahan.

Katanya:

“School disconnects, as it was charged to do. It is Caesar’s ‘divide and conquer’ strategy brought to peak efficiency. Children are divided from their families, their traditions, their communities, their religions, their natural allies – other children – their interests and on ad infinitum.”

Dan

“Schooling is organized by command and control from without; education is self-organized from within; school disconnects its clientele from other primary sources of learning. It must do that to achieve administrative efficiency.”

Terjemahan:
“Sekolah memutuskan hubungan, sebagaimana yang ditugaskan kepadanya. Ia merupakan strategi ‘pecah dan perintah’ Caesar yang dibawa ke tahap kecekapan paling tinggi. Kanak-kanak dipisahkan daripada keluarga, tradisi, komuniti, agama, rakan semula jadi mereka – iaitu kanak-kanak lain – minat mereka, dan seterusnya tanpa penghujung.”

Dan

“Persekolahan diatur melalui arahan dan kawalan dari luar; sedangkan pendidikan pula tersusun sendiri dari dalam. Sekolah memisahkan pelanggannya daripada sumber-sumber utama pembelajaran yang lain. Ia mesti berbuat demikian demi mencapai kecekapan pentadbiran.”

Menurut Gatto, standardisasi mengubah pelajar menjadi penghafal fakta, bukan pencari makna.

KETIGA: Kurikulum seragam menumpulkan bakat, minat dan kreativiti individu

Gatto memberi amaran bahawa kurikulum standard dan peperiksaan besar-besaran telah menghapuskan kerencaman manusia. Apabila setiap pelajar diukur melalui acuan yang sama, kita kehilangan peluang untuk melihat keunikan masing-masing. Standardisasi membunuh imaginasi; ia mendorong pelajar untuk menghafal fakta, tetapi tidak menguasai makna.

Beliau juga menyatakan bahawa latihan menghafal dan rutin yang berulang-ulang melemahkan keupayaan intelektual. Pembelajaran yang hidup memerlukan pertanyaan, penerokaan, dan kesediaan untuk mencipta, bukan sekadar mengingat. Namun, struktur sekolah sering memberi ganjaran kepada kepatuhan dan hafalan, bukan kepada kreativiti dan pemikiran analitis.

Katanya:

“We will discard standardized testing entirely but not standards of high quality. Standardization cripples imagination and imagination has always been the real driving engine of our powerful economy.”

Dan

“The new forced schooling octopus taught… that inert knowledge – memorizing the dots – is the gold standard… It set out to create reflexive obedience… Twelve to twenty years of stupefying memorization drills weaken the hardiest intellects.”

Terjemahan:
“Kita akan mengetepikan ujian berstandard sepenuhnya tetapi tidak menolak piawaian berkualiti tinggi. Standardisasi melumpuhkan daya imaginasi, sedangkan imaginasi sentiasa menjadi pemacu sebenar kepada kekuatan ekonomi kita.”

Dan

“Rangkaian persekolahan paksa yang baharu itu mengajarkan bahawa pengetahuan yang ‘mati’; menghafal titik-titik maklumat, itulah dia piawaian emas. Ia bertujuan menghasilkan ketaatan refleksif. Dua belas hingga dua puluh tahun latihan hafalan yang membodohkan ini melemahkan minda yang paling teguh sekalipun.”

Ini mencerminkan pandangan Gatto bahawa sekolah berfungsi sebagai alat sosial untuk menghalang integrasi intelektual dan politik masyarakat.

KEEMPAT: Pendidikan sebenar tumbuh daripada komuniti, pengalaman, dan penyertaan diri

Antara sumbangan paling penting Gatto ialah pemisahan jelas antara schooling dan education. Bagi beliau, sekolah ialah mekanisme sosial yang mengawal, tetapi pendidikan ialah proses yang membebaskan. Pendidikan tidak terjadi apabila pengetahuan dituangkan daripada guru kepada murid; ia berlaku apabila murid bergerak dalam dunia sebenar, berinteraksi dengan manusia pelbagai peringkat umur, mencuba dan gagal, dan membina pembelajaran melalui pengalaman.

Gatto menekankan pentingnya pendidikan yang bersifat komuniti, iaitu melalui aktiviti sebenar kehidupan. Anak belajar tentang ekonomi apabila membantu perniagaan keluarga, tentang tanggungjawab sosial apabila menyertai masyarakat, dan tentang nilai apabila hidup dalam hubungan yang bermakna. Dunia sebenar memberi peluang pembelajaran yang tidak boleh digantikan oleh lembaran kerja atau peperiksaan.

Katanya:

“Reflecting on what I learned that way without effort tells me the most powerful educations are always put together open-source. They can’t be achieved from somebody else’s idea of which controlled inputs under which artificial conditions produce the best outputs.”

Dan

“Education must be largely self-initiated, a tapestry woven out of broad experience, constant introspection, ability to concentrate on one’s purpose in spite of distractions, a combination of curiosity, patience, and intense watchfulness… and it requires substantial trial and error risk-taking, along with a considerable ability to take feedback from the environment.”

Terjemahan:
“Apabila saya merenung kembali apa yang saya pelajari dengan cara itu tanpa paksaan, saya sedar bahawa bentuk pendidikan yang paling berkuasa sentiasa terbina berasaskan sumber terbuka. Ia tidak dapat dicapai melalui idea orang lain tentang input terkawal di bawah keadaan buatan yang kononnya menghasilkan keluaran terbaik.”

Dan

“Pendidikan mesti sebahagian besarnya dimulakan oleh diri sendiri, suatu anyaman yang terbentuk daripada pengalaman luas, introspeksi berterusan, keupayaan menumpukan perhatian terhadap tujuan diri walaupun terganggu, gabungan rasa ingin tahu, kesabaran dan kepekaan yang tajam… serta memerlukan percubaan dan kesilapan yang signifikan, bersama keupayaan besar untuk menerima maklum balas daripada persekitaran.”

Gatto menegaskan bahawa ramai tokoh besar dunia tidak bergantung pada pendidikan formal untuk mencapai keunggulan mereka. Pendidikan massa berada di belakang hilangnya peranan pendidikan pada melahirkan tokoh yang berimpak dalam sejarah manusia moden hari ini.

KELIMA: Keluarga dan komuniti perlu merebut kembali agensi pendidikan

Gatto melihat sekolah moden sebagai institusi yang semakin mengambil alih semua fungsi pembentukan insan. Peranan keluarga melemah apabila terlalu banyak bergantung pada definisi pendidikan versi sekolah. Hal ini, menurutnya, menyebabkan generasi demi generasi kehilangan keupayaan untuk membimbing anak secara semula jadi.

Beliau menyeru agar masyarakat kembali memahami bahawa pendidikan adalah hak dan tanggungjawab bersama keluarga dan komuniti, bukan hanya sekolah. Ini bukan menyeru kepada penghapusan sekolah, tetapi penilaian semula tentang bagaimana keluarga, masyarakat, dan pelbagai institusi boleh saling melengkapi dalam memakmurkan potensi anak-anak.

Katanya:

“School works against other roads to development besides itself. Family? A retrograde institution. Replace it. The synthetic families of utopian fiction must be superior because they were conceived by experts. Church? Off with its head! … And the damage school does to conceptions of individual sovereignty or ideals of liberty grows progressively more irreparable as each generation is robbed of its ability to parent the next.”

Dan

“Any type of change… will involve less school time, less homework, a merging of schooling with community life… reform must come from the bottom, not the top; from millions of acts of productive sabotage on the part of parents and students.”

Terjemahan:
“Sekolah menentang semua jalan perkembangan lain selain dirinya. Keluarga? Institusi mundur. Gantikan.
Keluarga sintetik dalam fiksyen utopia dianggap lebih baik kerana ia direka oleh para pakar. Gereja? Hapuskan! … Dan kerosakan yang dilakukan oleh sekolah terhadap konsep kedaulatan individu atau cita-cita kebebasan menjadi semakin tidak dapat dipulihkan apabila setiap generasi kehilangan keupayaannya untuk membesarkan generasi berikutnya.”

Dan

“Sebarang bentuk perubahan… akan melibatkan masa persekolahan yang lebih sedikit, kerja rumah yang lebih sedikit, penggabungan persekolahan dengan kehidupan komuniti… pembaharuan mesti datang dari bawah, bukan dari atas; daripada jutaan tindakan sabotaj produktif oleh ibu bapa dan para pelajar.”

Dalam pandangannya, sekolah telah menjadi institusi total yang menelan kehidupan pelajar, sehingga menjadikan masyarakat bergantung sepenuhnya kepada sistem.

Penutup: Sebuah permulaan kepada perjalanan yang panjang

Weapons of Mass Instruction adalah buku pertama yang membawa saya keluar daripada kepompong persekolahan tradisional, lalu membuka pintu kepada ribuan buku lain yang saya baca dari Timur dan Barat, tempatan dan antarabangsa, klasik dan moden, ilmiah dan popular. Dari situlah saya belajar bahawa pendidikan bukan setakat menguasai teori, tetapi menterjemahkan gagasan ke dalam amalan dalam kehidupan peribadi, keluarga, profesion dan kerjaya.

Saya tidak semesti bersetuju sepenuhnya dengan Gatto, dan tidak perlu bersetuju pun. Tetapi buku ini mengajarkan satu perkara penting: jangan berhenti berfikir, jangan berhenti menyoal, dan jangan berhenti mencari kemungkinan lain tentang bagaimana manusia boleh belajar dan berkembang. Pendidikan tidak statik. Ia hidup, berkembang, dan menuntut keberanian untuk melihatnya secara merdeka.

Ia buku pertama saya untuk idea reformasi pendidikan. Reaksi awal, terasa seperti mahu keluarkan anak daripada sistem persekolahan moden dan melakukan homeschooling atau unschooling. Buku Gatto ini memang terkenal di dalam komuniti homeschooling. Ia pilihan yang berasas.

Saya tidak memilih homeschooling. Saya memilih jalan lain iaitu merombak sekolah dan persekolahan.

Ia jalan panjang penuh liku.

Saya ada seluruh umur untuk melakukannya. Bagi saya, pendidikan, adalah jalan islah.

Hasrizal Abdul Jamil
www.hasrizal.com

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Solidariti Yang Hakikatnya Seruan Jahiliah

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

One comment

  1. Pernah baca Islamization of Knowledge? Gagasan ustad ni dah hampir menyamai:
    https://en.wikipedia.org/wiki/Islamization_of_Knowledge_(book)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.