Friday, December 5th, 2025

Muhasabah Reformasi Pendidikan di Tahun 2025

Selain memberi tumpuan menghabiskan fasa akhir penulisan tesis, saya kurang mengulas mengenai isu pendidikan semasa kerana saya sudah tidak pasti apa yang hendak dikongsi. Terima kasih kepada beberapa sahabat yang rajin repost perkongsian saya yang dulu-dulu.

Pilihanraya umum semakin hari semakin hampir. Saya suka hendak mendengar ulasan-ulasan oleh semua parti dan pendukung-pendukung yang ada, apa agenda masing-masing untuk mengubah keadaan pendidikan negara kita. Idea-idea yang berasaskan ilmu, penyelidikan, dan realiti upaya semasa.

Saya rasa, kabinet PMX dibentuk dari awal dalam keadaan banyak perkara yang tidak stabil, susulan perubahan politik pasca 2018. Keutamaan mungkin pada mengukuhkan kestabilan dan kelangsungan. Ahli politik kena pentingkan faktor-faktor itu. Tanpanya, dan jika kerajaan berubah lagi, apa sahaja hasrat perubahan dan kemajuan yang hendak dibuat tidak akan menjadi, tanpa mandat dan kuasa. Umumnya, saya rasa kerajaan PMX berjaya daripada segi itu.

Tetapi jika ia juga bermaksud Kementerian Pendidikan Malaysia jangan drastik buat perubahan, kekalkan status quo, saya membayangkan kesannya boleh berada di tahap menteri-menteri dan ahli politik masing-masing tidak boleh recover daripada impak negatifnya, walaupun lama selepas tidak lag menjadi orang politik, suatu hari nanti. Apatah lagi jika kritikan demi kritikan (yang sudah ada semenjak sebelum kerajaan semasa), dibalas secara defensif.

Ia merugikan, secara jangka pendek, dan jangka panjang.

Awal-awal dahulu, saya ada pesan-pesankan jika ada apa-apa sumbangan yang boleh saya berikan, saya amat berbesar hati. Saya tahu saya tidak punya apa-apa kelayakan akademik yang hebat. Saya berada di dalam Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) dahulu bukan berbekalkan kelayakan akademik. Saya pengamal, orang ‘industri’, mengoperasikan sekolah, secara reflektif, berdikari, dan bebas daripada kongkongan birokrasi (setakat yang termampu). Sekolah kami adalah ‘Model School’. Hasrat penubuhannya semenjak hari pertama, adalah memodelkan pendidikan mithali. Kami guna Metode Khalifah, dan ia label yang tidak statik. Masih belajar, terus belajar, serta kongsi melalui advokasi.

Saya tidak pandang siapa sekali pun, dan parti apa sekali pun yang menerajui kerajaan semasa, kerana pendidikan melangkaui semua itu. Pendidikan, jika dipengaruhi kepentingan politik partisan, ia khianat. Itu pendirian saya.

Tetapi lama kelamaan, saya fikir adalah lebih baik saya teruskan usaha fokus kepada benda-benda kecil yang boleh dan perlu dilakukan, iaitu bantu Yayasan Pendidikan Khalifah mengoperasikan Khalifah Model School – Primary dan Khalifah Model School – Secondary dengan baik. Sentiasa semak apa yang perlu dibetulkan dan ditambah baik.

Saya masih ingat pada tahun 2016, semasa hendak berlepas ke Finland, saya tanya bos kami, “bagaimana kalau saya ke Finland ini bermaksud saya tidak lagi kembali ke Malaysia?

Bos kata, beliau sudah lama tahu. Maksudnya, sebelum saya cakap, beliau sudah membayangkan saya akan ke Finland bermakna saya pergi tidak kembali.

Akan tetapi, pesan bos kami ,saya ingat sampai bila-bila.

Kata beliau, “we don’t own you. You belong to the people. Whatever you learn in Finland, continue sharing them to the community. We will continue to support you and engage by whatever means we have.”

Sekitar itu maksudnya.

Walaupun kini saya sekeluarga menjadi penduduk tetap di Ireland, separuh kaki saya masih di Malaysia. Cuma, tidaklah sebagai sesiapa di peringkat atas-atas sana. Apa yang lebih baik untuk jangka panjang ialah, jayakan hasrat KMS dan KMSS memodelkan pendidikan yang baik berasaskan Khalifah Method, dan teruskan advokasi agar sesiapa jua, baik sekolah kerajaan, sekolah swasta, cikgu, mak ayah, pendakwah atau sesiapa pun, apabila mendapat sesuatu daripada advokasi kami, mereka cuma melakukannya dalam kapasiti masing-masing.

Slowly, but surely.

Reformasi pendidikan, whole system reform, macam Prof Michael Fullan ungkap 2011 dahulu sebagai “Choosing the wrong drivers for whole system reform” tu, saya serahkan kepada masa dan keadaan untuk menentukannya.

Kita tidak menunggu Imam Mahdi, sebab Imam Mahdi ada tanggungjawabnya di hadapan Allah dan kita juga ada tanggungjawab kita masing-masing.

Macam tu juga dengan reformasi pendidikan. Jangan tunggu-tunggu apa-apa keajaiban. No more waiting for Superman.

Kita kena usahakan sendiri masing-masing, pada semua yang kita perlu dan mampu.

Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland

#saifulislamdotcom #ustazhasrizal #hasrizalabduljamil #hasrizal #pendidikanjalanislah #pendidikanfatamorgana #pendidikaninklusif #jomkeireland🇮🇪🇲🇾

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Pendidikan Yang Mengabaikan Sebuah ‘Abasa

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.