Tuesday, February 18th, 2025

Nilai Kata-kata di Sini dan di Sana

Kata-kata adalah produk diri yang besar dalam kehidupan kita. Kata-kata menjadi asas akad jual-beli, perkahwinan, dan sandaran hukum di mahkamah.

Malah al-Quran sendiri, sisi mukjizatnya adalah pada kekuatan kata-kata.

Kata-kata juga menjadi medium yang boleh membawa kita kepada reda Allah atau sebaliknya.

Dalam era digital ini, kita sering terlupa bahawa setiap patah perkataan yang kita ucapkan atau tulis adalah amanah.

Impaknya besar.

Lebih-lebih lagi, semasa petah berkata-kata, kita terlupa bahawa kepetahan itu bermula dengan Allah ﷻ sendiri sebagai Tuhan yang mengajar manusia berkata-kata.

Jika seseorang berbahasa kesat, dan sedar akan kesatnya bahasa yang dilantun, mudah-mudahan terbuka hatinya, dan hati kita semua, untuk bertaubat, berhenti daripada terus melakukannya.

Namun, kita khuatir andai kita berkata-kata di dalam topik agama, menyangka sedang membela dan mempertahankan agama, tetapi dengan bahasa kesat yang menjauhkan manusia daripada agama. Menjadi fitnah ke atas agama.

Betapa porak perandanya masyarakat hari ini dengan kebingitan debat agama yang bermula dengan niat untuk membela agama, tetapi bertukar menjadi sebab perpecahan dan perselisihan.

Firman Allah ﷻ :

“Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara urusan agama yang Dia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Musa serta Isa, iaitu: “Dirikan agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya“. Berat bagi orang-orang musyrik untuk menerima seruan yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya dengan ketaatan. (surah al-Shura 42 : 13)

Perjuangan Bahasa Melangkaui Politik

Masyarakat kita sering dan mudah terperangkap dalam debat memartabatkan bahasa kebangsaan berbanding bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain masyarakat Malaysia. Pada masa yang sama, kita perlu lebih bimbang dengan merosotkan budi pekerti dalam apa jua bahasa yang masyarakat hari ini guna, baik yang muda, mahu pun yang tua.

Kita boleh berkomunikasi, berdakwah, mengajar dan belajar di dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab, Mandarin atau Tamil. 

Kita juga boleh mencarut, memaki hamun, memfitnah, sakit menyakit, menggunakan bahasa kebangsaan, bahasa ibunda masing-masing, bahasa penjajah, malah bahasa Arab Mekah atau Madinah.

Akal budi kita perlu melangkaui soal bahasa apa.

Ia perlu mencermati baik dan buruk, pahala dan dosa, manfaat dan mudarat, dalam semua bahasa yang dipilih untuk dituturkan hari ini.

Kata-kata yang dilempar secara lisan, itu satu hal.

Kata-kata yang unik untuk era kita, adalah yang bertebaran dalam bentuk tulisan.

Adakalanya, kita sangka kata-kata yang dilontar amat bersahaja. Tetapi di dalamnya ada kebaikan dan ia menjadikan Allah reda dengan kita. Di sisi pelbagai amal ibadah lain yang besar, agung, susah, mahal dan diperjuangkan, kata-kata itu yang Allah ambil untuk hantar kita ke Syurga.

Pada masa yang sama, kita juga menyangka komen sepatah dua di Facebook, Youtube, TikTok, X, WhatsApp, Telegram, SnapChat dan lain-lain itu hanyalah rutin biasa. Sepatah dua berbanding banyak lagi komen yang kita tinggalkan di sana sini. Kita bayangkan ia seumpama sehelai daun kering yang terbang hilang dibawa angin yang berhembus. Tidak ada apa-apa makna.

Rupa-rupanya kata-kata itu menjadikan Allah ﷻ sangat murka. Semasa kita angkuh meleteri kegagalan orang lain beragama mengikut standard yang kita desak dalam komen-komen sinis di sana sini, dosa kata-kata itulah yang menjadikan Allah ﷻ amat murka, dan menghumban kita ke Neraka.

Nauzubillah.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالاً، يَرْفَعُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ، وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالاً يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ ‏”

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda,

“Seorang hamba mungkin mengucapkan satu kalimat yang diredai Allah, tanpa menyedari nilainya, lalu Allah mengangkat darjatnya. Seorang hamba juga mungkin mengucapkan satu kalimat yang dimurkai Allah, tanpa memikirkan akibatnya, lalu dia dilemparkan ke dalam neraka.” (Sahih al-Bukhari 6478)

Kita beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Justeru jika ingin berkata-kata atau menulis komen, coretkan yang baik-baik.

Andai tiada apa-apa perkara baik yang hendak dan boleh diungkap, pilihlah DIAM.

Moga kita semua berjaya berhimpun di dalam reda Allah, di Syurga-Nya nanti, amin.

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Jatuh Orang Alim, Jatuhlah Alam

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content