
“Kamu tahu apa tentang pendidikan?” soalan itu menerpa luar dan dalam.
Dari luar, ia dilempar oleh warga internet tatkala saya menyoal tentang amalan pendidikan semasa.
Dari dalam, saya sendiri menyoal apa yang saya tahu mengenai pendidikan.
Memang benar, ketika itu saya baru mula bercakap mengenainya. Ia datang daripada kebimbangan saya tatkala melihat anak sulung yang mula bersekolah. Hebat sungguh penangan sekolah, enam tahun kami mendidik anak di rumah, sekolah memerlukan hanya sebulan dua untuk mengubah anak kami. Perkataannya mula melibatkan kalimah asing yang rumah kami tidak menggunakannya. Tingkah lakunya mula hadir bersama perbuatan yang kami tidak amal di rumah.
Sedangkan kami sudah mengambil langkah alternatif.
PERJALANAN AWAL SEBAGAI IBUBAPA
Kami asalnya mendaftar anak untuk bersekolah di sekolah kebangsaan berdekatan. Kami tanya-tanya kenalan dan ahli keluarga yang berada di dalam bidang pendidikan, untuk memilih sekolah. Alhamdulillah kami mendapat akses ke sekolah rendah yang jauh sedikit daripada rumah, tetapi menawarkan kualiti lebih baik. Akan tetapi, saya secara tidak sengaja menimbulkan soalan yang mengubah segala-galanya kepada Guru Besar sekolah.
“Anak cikgu sekolah di sini jugakah?” saya bertanya.
“Ishh, saya tidak akan sama sekali menyekolahkan anak di sini!” jawabnya.
Saya tergamam. Bingung dengan jawapan beliau.
“Habis, anak cikgu sekolah di mana?” saya ingin tahu.
Beliau menyebut nama sebuah sekolah agama swasta berdekatan. Beliau jelaskan bagaimana masalah akhlak murid semakin membimbangkan dan sekolahnya tidak mempunyai jawapan bagaimana hal berkenaan boleh dirawat. Sekolah semakin sibuk dengan akademik sedangkan masalah akhlak merosot dan terus merosot.
Perbualan ringkas semasa mengisi borang permohonan sekolah anak itu berimpak besar. Saya dan isteri hilang keyakinan. Saya anak cikgu, isteri pun anak cikgu. Kami juga ‘produk’ sekolah kebangsaan, sekolah yang ibu bapa kami mengajar, sekolah tempat kami belajar. Tetapi zaman sudah berubah. Andai Guru Besar sendiri menolak sekolah di bawah kepimpinannya, siapa kami untuk menidakkan hal tersebut. Kami mengambil keputusan mendaftarkan anak di sekolah yang sama dengan sekolah anak-anak Guru Besar berkenaan.
Akan tetapi, nyata sekali masalah akhlak dan pemikiran anak-anak lebih besar daripada sekadar memilih sekolah. Tatkala perjalanan memahami cabaran pendidikan bermula, saya sampai kepada peringkat menjadi pendidik sepenuh masa. Fikrah ketika itu bukan berlegar hanya pada menyampaikan kandungan subjek. Ada sesuatu yang perlu dibuat pada pendekatan mengajar. Ada banyak isu yang perlu disuarakan berkenaan kandungan subjek yang diajar.
Pertanyaan dan kritikan yang saya timbulkan sering dibalas dengan reaksi meremehkannya dengan alasan saya tidak tahu apa-apa mengenai pendidikan. Saya mengaku, ilmu saya kosong mengenai pendidikan. Tetapi, saya tahu apa yang saya lihat bukan ilusi. Masalah ada di depan mata.
Semasa itulah saya mencari-cari ilmu yang saya perlu.
Mencari buku.
PERMISSION TO FORGET OLEH LEE JENKINS
Dalam perjalanan awal saya membentuk cara berfikir sebagai seorang pendidik lebih sedekad yang lalu, buku Permission to Forget datang kepada saya pada saat yang sangat menentukan. Pada waktu itu, saya sedang berusaha memahami pendidikan bukan sekadar melalui pengalaman mengajar, tetapi sebagai satu bidang ilmu yang memerlukan penelitian, analisis, dan integriti intelektual.
Daripada keseluruhan buku, perkara yang paling memberi kesan mendalam kepada saya ialah kritikan penulis terhadap obsesi sebahagian guru terhadap pengalaman mereka. Penulis menegaskan bahawa pengalaman memang mengajar, tetapi ia bukan sumber pembelajaran terbaik. Malah pengalaman itu sendiri sering menghalang pembaikan apabila dianggap sebagai autoriti mutlak. Idea ini membuka mata saya kerana ia bertepatan dengan realiti yang saya hadapi ketika itu.
Ketika saya terlibat dalam perbincangan dan perdebatan tentang isu pendidikan, tentangan yang paling kuat datang daripada kelompok yang menjadikan pengalaman sebagai hujah utama. Mereka sering menekankan betapa lamanya mereka mengajar dan betapa sedikitnya pengalaman saya, seolah-olah tempoh berkhidmat itu sendiri sudah cukup untuk menutup ruang analisis dan menafikan keabsahan hujah. Fokus perbincangan lebih banyak berkisar pada siapa yang lebih lama berada di lapangan, bukan pada integriti ilmu, logik, atau kualiti idea yang dibincangkan.
Di sinilah buku ini memainkan peranan penting dalam proses pembentukan pemikiran saya. Ia memberi bahasa, kerangka, dan keyakinan untuk memahami bahawa pengalaman, jika tidak disemak dengan data, refleksi, dan ujian hipotesis, boleh menjadi penghalang kepada pembelajaran profesional. Buku ini mengajar saya bahawa seorang pendidik perlu sentiasa terbuka kepada pembaikan, tidak terikat dengan kefahaman lama, dan bersedia menilai semula pengalaman sendiri secara kritikal.
Kata Lee Jenkins:
“A big problem is that our folklore keeps saying experience is the best teacher… It is thus an uphill battle to convince people that testing hypotheses is the number one way to learn… Experience is a teacher, just not the best teacher… My argument is that education will not be able to make great strides until it ranks learning methods as (1) learn from testing hypotheses, (2) learn from mentors, and (3) learn from experience… Educators can quickly discount research and live by their experience… It is completely understandable why the majority of educators don’t believe that testing hypotheses is the best way to learn. Their experience has not been positive… Because educators are now continually faced with real-time data, they quickly realize that experience is not as accurate as previously thought… Then, and only then, will educators no longer accept that experience is the best teacher… Their experience tells them so… They have been taught from childhood that experience is the best teacher.”
Maksudnya:
“Satu masalah besar ialah kepercayaan umum kita yang terus mengatakan bahawa pengalaman ialah guru yang terbaik… Oleh itu, menjadi satu usaha yang sangat sukar untuk meyakinkan orang bahawa menguji hipotesis ialah cara utama untuk belajar… Pengalaman itu guru, tetapi bukan guru yang terbaik… Hujah saya ialah pendidikan tidak akan mampu mencapai kemajuan yang besar selagi ia tidak menyusun kaedah pembelajaran mengikut tertib (1) belajar melalui pengujian hipotesis, (2) belajar daripada mentor, dan (3) belajar melalui pengalaman… Para pendidik boleh dengan mudah mengetepikan penyelidikan dan hidup berdasarkan pengalaman mereka… Adalah sangat difahami mengapa majoriti pendidik tidak percaya bahawa menguji hipotesis ialah cara terbaik untuk belajar. Pengalaman mereka tidak positif… Oleh sebab para pendidik kini sentiasa berhadapan dengan data masa nyata, mereka cepat menyedari bahawa pengalaman tidak setepat yang disangkakan sebelum ini… Hanya pada ketika itu barulah para pendidik tidak lagi menerima bahawa pengalaman sebagai guru yang terbaik… Pengalaman merekalah yang memberitahu demikian… Sejak kecil lagi mereka telah diajar bahawa pengalaman ialah guru yang terbaik.”
Dalam Permission to Forget, Lee Jenkins menolak kepercayaan umum bahawa pengalaman adalah guru yang terbaik. Menurut beliau, pengalaman sememangnya mampu mengajar, namun ia bukan sumber pembelajaran yang paling tepat atau paling berkesan bagi pendidik.
Jenkins menjelaskan bahawa kepercayaan ini sebahagiannya berpunca daripada budaya popular yang memuliakan pengalaman. Beliau menulis bahawa “folklore keeps saying experience is the best teacher”, namun menegaskan bahawa kepercayaan ini telah mewujudkan halangan besar kepada peningkatan kualiti pendidikan. Dalam analisisnya, Jenkins menyusun kaedah pembelajaran dalam satu hierarki yang jelas:
- Menguji hipotesis ialah cara pembelajaran paling utama.
- Belajar melalui mentor berada di tempat kedua.
- Belajar melalui pengalaman berada di tempat ketiga.
Penulis menekankan bahawa pengalaman mengajar, tetapi ia kerap kali tidak tepat, bersifat terhad, dan mudah membentuk anggapan salah tanpa disedari. Beliau menyatakan bahawa apabila guru mula menggunakan data pembelajaran secara masa nyata, mereka “cepat menyedari bahawa pengalaman tidak setepat seperti yang disangkakan”. Ini menunjukkan pengalaman sering menghasilkan keyakinan yang tidak diuji, lalu mengekalkan amalan bilik darjah sedia ada walaupun amalan tersebut tidak membawa kepada peningkatan pembelajaran murid.
Selain itu, Jenkins mengkritik kecenderungan guru untuk bersandar pada pengalaman kerana pengalaman memberikan justifikasi yang mudah.
Beliau menghuraikan bahawa guru sering menyimpulkan kegagalan murid sebagai akibat faktor luar selepas “kami sudah memberikan yang terbaik!” berdasarkan pengalaman mereka.
Situasi ini mengukuhkan naratif bahawa guru telah melakukan segala yang perlu, sekali gus menutup ruang refleksi mendalam terhadap amalan sendiri. Sikap ini menghalang guru daripada mencuba, menilai, dan menyesuaikan pendekatan baharu berdasarkan analisis bukti.
Jenkins juga menjelaskan bahawa pengalaman mempunyai kuasa kelembaman yang kuat. Pengalaman menjadikan guru cenderung mengekalkan status quo, memandang sinis hasil kajian pendidikan, dan meremehkan nilai penyelidikan empirikal.
“Tak habis-habis berteori!”
“Falsafah ini, falsafah itu. Mari sini, ambil kelas ini dah cuba ajar!”
“Kami sudah bertahun-tahun buat. Kami lebih tahu!”
Ini adalah reaksi popular yang ramai guru suarakan. Kita berempati bahawa keluhan itu bukan seratus peratus salah. Malah, intonasinya jelas menggambarkan kepenatan para guru dan lelahnya mereka dengan idea demi idea yang disumbat oleh ‘orang luar’ yang tidak berada di dalam bilik darjah mereka.
Kepenatan itu merumitkan usaha membantu. Guru menolak terlebih dahulu saranan yang dikemukakan, beralasankan pengalaman, melainkan ada ruang untuk fikiran dan hati disapa petunjuk Ilahi seperti yang Allah ﷻ nyatakan di dalam al-Quran:
ٱلَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ ٱلْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ ١٨
Mereka yang berusaha mendengar terlebih dahulu perkataan-perkataan yang sampai kepadanya, kemudian memilih serta menurut apa yang sebaik-baiknya, mereka itulah golongan yang diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab, orang-orang yang berakal sempurna.
(Al-Zumar 39:18)
Sayangnya, ramai guru, menurut Lee Jenkins, “cepat menolak penyelidikan dan hidup dengan pengalaman mereka”. Hal ini menyebabkan bilik darjah menjadi tempat yang jarang sekali berlaku eksperimen sistematik terhadap pedagogi yang lebih berkesan.
Dalam konteks ini, pengalaman bukan sahaja gagal menjadi “guru terbaik”, malah berpotensi menghalang peningkatan profesional. Tanpa penggunaan data, refleksi sistematik, dan budaya menguji hipotesis, pengalaman berubah menjadi rutin, bukan penambahbaikan. Justeru, Jenkins menyeru kepada perubahan budaya dalam profesion perguruan: daripada amalan bersandarkan pengalaman yang tidak diuji, kepada amalan membina pengetahuan melalui eksperimen kecil, bimbingan rakan sekerja, penggunaan data, dan refleksi saintifik.
Secara keseluruhan, Jenkins menempatkan pengalaman sebagai sumber pembelajaran yang bernilai, namun tidak memadai untuk memacu pembaharuan pendidikan. Pengalaman hanya memberi manfaat apabila disaingi, diuji, dan diimbangi dengan kaedah pembelajaran yang lebih tinggi kesahihannya. Tanpa pembetulan ini, pengalaman mudah menjadi penghalang, bukan pemangkin, kepada pembelajaran profesional pendidik.
PESONA PENGALAMAN
Pengalaman telah dijadikan alasan untuk masyarakat jahiliah meremehkan nasihat Ibrahim AS. Baginda disindir sebagai anak muda, yang tidak tahu apa-apa.
قَالُوا۟ سَمِعْنَا فَتًۭى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُۥٓ إِبْرَٰهِيمُ ٦٠
Sesetengah mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda yang namakan dikatakan bernama Ibrahim, mengkritik mereka”.
(Surah al-Anbiya’ 21:60)
Kata-kata itu bernada sindirian. Ibrahim AS diremehkan sebagai budak muda. Apa yang dia tahu.
Pengalaman juga telah disalah ambil oleh Quraish Mekah untuk menolak dakwah Nabi Muhammad ﷺ .
Sesungguhnya pengalaman tidak mengajar apa-apa sehinggalah kita beri nilai pelajaran kepada pengalaman itu.
Pendidik yang hendak melakukan islah, mesti bekerja keras membina pengalaman demi kematangan, dan menyanggah pengalaman tatkala pengalaman menghalang perubahan.
Hasrizal Abdul Jamil
www.hasrizal.com
Saifulislam.Com Pendidikan Jalan Islah