Saturday, January 11th, 2025

Reindeer Kebuluran dan Banjir Yang Menggila

Baru-baru ini, akhbar BBC melaporkan ribuan reindeer di Lapland hilang daripada ladang mereka.

Reindeer ini terpaksa merayau-rayau ratusan kilometer kerana mencari sumber makanan di musim sejuk agar tidak kebuluran.

Di musim sejuk, reindeer biasanya makan lichen (disebut sebagai jäkälä di dalam bahasa Finnish). Lichen ini tumbuh di tanah, di batang-batang kayu, dan pada musim sejuk, reindeer akan menggali salji untuk mendapatkan sumber makanan utama mereka ini. Tetapi perubahan iklim dunia menyebabkan cuaca jadi tidak menentu. Apabila salji cair pada masa yang tidak sepatutnya, kemudian membeku semula sehari dua kemudian, ia membentuk lapisan ais yang keras, tidak memungkinkan reindeer ini mendapatkan lichen untuk dimakan.

Perubahan iklim dunia menjejaskan seluruh penghuni bumi ini, dan kebanyakan penyumbang kepada keadaan ini adalah perbuatan tangan kita para manusia, yang sepatutnya menjadi khalifah memakmurkan bumi mengikut aturan Pencipta-Nya. Malangnya, manusia yang kenal Allah pun turut sama menjahanamkan bumi Allah ini, kadang-kadang dengan nama Allah.

Malang sekali.

Cairnya bongkah ais di Artik dan Antartika, naiknya paras air laut, sukarnya air sungai masuk ke laut, hutan ditarah hingga tanah gunung dan bukit masuk ke sungai mencetekkannya, dan apabila banjir, ia hadir bersama selut yang luar biasa.

Perkongsian saya ini tiada konklusinya. Ia hanya peringatan buat diri saya, dan anda juga yang sudi mengambil peringatan, agar berfikir tentang nasib rumah tunggal kita, planet bumi ini.

يَـٰمَعْشَرَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ إِنِ ٱسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا۟ مِنْ أَقْطَارِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ فَٱنفُذُوا۟ ۚ لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَـٰنٍ

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)! (al-Rahman: 33)

Walaupun ayat al-Quran tidak menyebut secara jelas, saya percaya kita para manusia didestinasikan menghuni hanya planet bumi ini, dan tiada kediaman lain walaupun ada usaha untuk meneroka rumah baru di Marikh dan sebagainya.

Buatlah sesuatu.

Kecil, kalau yang melakukannya 100 orang, seribu, sejuta atau satu billion… mungkin ada kesan yang baik.

Covid sudah pernah memberhentikan pergerakan manusia di pusingan awal dahulu. Bolehkah kita melakukannya atas pilihan sendiri?

Pelajar-pelajar sekolah Khalifah sentiasa mengangkat ikrar bahawa sebagai khalifah, tanggungjawab kita ada tiga iaitu:

  1. Make ourselves good (memilih menjadikan diri kita baik)
  2. Help others become good (membantu orang lain menjadi baik)
  3. Keep the physical world good, clean and beautiful, pleasing to Allah (mengekalkan dunia ini baik, bersih dan elok, disukai Allah).

Hasrizal
Naas, Ireland
www.saifulislam.com

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam

Dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang relevan dan efektif, kita sering mendengar pelbagai alasan untuk menolak model luar—kononnya model Finland “asing” bagi masyarakat kita, model Singapura “tidak sesuai” dengan konteks tempatan, manakala model Jepun “hanya sesuai” untuk keperluan kanak-kanak di Jepun. Namun, apabila kita meneliti dengan cermat, banyak idea-idea penting yang diketengahkan oleh sarjana Muslim terdahulu sebenarnya telah lama diamalkan secara produktif di negara-negara tersebut. Mereka tidak ambil pusing sama ada amalan itu berasal daripada cendekiawan Muslim atau bukan, atau sama ada dilabel “tempatan” atau “asing.” Sebaliknya, mereka memberi keutamaan kepada amalan yang terbukti berkesan menurut hasil kajian demi kesejahteraan proses pembelajaran kanak-kanak. Kita perlu menginsafi ego kita yang cenderung mempertahankan kelemahan dan menghiasinya dengan hujah “kita ada cara sendiri,” tanpa menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan “cara kita.” Jujurnya, jika kita mahu mengangkat jati diri sistem pendidikan sendiri, adalah lebih terhormat untuk bersikap terbuka dan menilai semula amalan yang wujud—bukannya menutup kelemahan dengan retorik lokaliti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content