Kerana aku seperti air
Kubisa mencari jalan mudah merupa diri
Mengikut bentuk bejana yang ada
Lalu sama seperti yang biasa
Tetapi kerna diriku umpama air
Hiduplah daku tak henti mengalir
Melimpah, menyerap, menghakis, menembus
Memenuh setiap ruang kosong tatkala tiba
Benih kering di dataran tandus yang kontang
Kusiram kupujuk bertunas berakar tunjang
Jadi pohon payung merendang
Tempat berteduh terik membahang
Kerana aku seperti air
Hidupku bisa cangkat cetek pendek seketika
Berkolam kecil lumpur lopak tak dipandang siapa
Hidupnya tanpa makna menuju kering masa
Tapi kerana aku seperti air
Kupilih untuk gagah mengalir
Dari pancaran anak batu di hulu belantara
Meliku, melengkok, membelah desa dan kota
Baruh dan darat, selatan dan utara
Kerana aku seperti air
Hidupku bisa terbentang tanpa rahsia
Tiada tersirat semua tersurat kosong makna
Mengalir dangkal sejengkal dari pangkal
Semuanya segera, kering hilang terserap ke udara
Aku laut misteri beribu tanda tanya
Dilayar kadang tenang, kadang beliung menggila
Namun yang tekun mencari makna
Selami ke dasar sepi gelita dan bebal sekaki dua
Kan bertemu indahnya mutiara, inginku kongsi bersama
Riwayat aku seperti air
Di hari subur berbakti pada alam dan manusia
Di hari gersang mikraj ke langit dengan perintah-Nya
Dalam kelembutan, ada ketegasan dan kecekalan
Menyantun, menyubur, selagi bernyawa nafas menghela
Lagu dan lirik: Hasrizal
Saifulislam.Com Pendidikan Jalan Islah