Saturday, January 18th, 2025

The Holdovers (2023) DAN STOISISME: Pendidikan Bermula Apabila Sekolah Tutup

Selepas beberapa minit menonton, saya tidak pasti sama ada filem ini baharu atau lama. Namun, setiap elemen—dari warna sinematik yang suram tetapi memikat, pilihan pakaian yang sangat terperinci, hinggalah kepada subteks yang diolah dengan penuh cermat—semuanya memperlihatkan usaha untuk mencipta semula suasana awal tahun 1970-an. Apa yang menarik ialah filem ini, walaupun baharu, seolah-olah berjaya melompat kembali ke era yang diceritakan, menjadikan kita seakan menonton karya klasik yang tidak pernah ditemui sebelum ini. Gaya sinematografi dan naratifnya mengingatkan saya kepada Love Story (1970), Dead Poets Society (1989), dan Good Will Hunting (1997), yang mana setiap satunya telah meninggalkan kesan mendalam dalam sejarah filem.

Menonton filem ini mengingatkan saya kepada kekuatan persembahan pelakon hebat. Ia mengembalikan kenangan kepada lakonan ikonik seperti Christopher Reeve yang, hanya dengan mencabut dan memakai semula cermin matanya, berjaya membawa penonton dari Superman ke Clark Kent dalam sekelip mata.

Pada minit-minit awal, para pelakon utama sudah mula menyampaikan watak mereka dengan begitu mendalam dan meyakinkan. Semua ini menunjukkan bahawa filem ini bukan sekadar menarik perhatian secara visual, tetapi juga boleh memberikan pengalaman emosional yang sukar dilupakan.

Setelah Manchester by the Sea (2016) yang menambat hati saya, sukar untuk mencari filem yang benar-benar mengutamakan naratif dan lakonan secara keseluruhannya. The Holdovers muncul sebagai jawapan, membuktikan bahawa cerita yang kuat dan watak-watak unik adalah asas kepada filem yang berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada penontonnya. Saya mengambil keputusan untuk meneruskan tontonan.

LATAR BELAKANG CERITA

Berlatarbelakangkan Akademi Barton semasa cuti Krismas, filem ini memusatkan perhatian kepada tiga watak utama: Paul Hunnam (lakonan cemerlang Paul Giamatti), seorang guru Ancient Civilisations yang pahit dan sinis; Mary Lamb (Da’Vine Joy Randolph), pengurus kafeteria yang membawa beban emosi kehilangan anaknya; dan Angus Tully (Dominic Sessa), seorang remaja bermasalah yang mencari arah hidupnya.

Awal-awal lagi kita sudah mengesan ‘politik dalaman’ sesama guru di sekolah elit ini, kelas-kelas sosial, dan jika anda bekas pelajar sekolah berasrama, anda dengan segera boleh menghayati apa rasanya tinggal di asrama semasa semua pelajar pulang ke kampung menyambut hari raya bersama keluarga. Doa-doa yang dibaca secara formal di dalam majlis, pesan-pesan rasmi yang dipesankan oleh guru, belum tentu masuk ke dalam jiwa membentuk kekuatan sebenar yang segera diperlukan untuk ujian ini.

Kebanyakan pelajar pulang bersama keluarga masing-masing, kecuali beberapa pelajar termasuk Angus dan rakan-rakannya, serta beberapa kakitangan sekolah yang terpaksa tinggal bersama mereka.

TEMA UTAMA: STOISISME (STOICISM)

Soalan pertama saya ialah, apakah tema utama filem ini?

Ia dijawab dengan indah melalui sebuah babak yang menyentuh hati dan sarat makna simbolik. Salah seorang pelajar junior, Alex Ollerman, mendedahkahkan bahawa Teddy Kountze sebagai punca pergaduhan yang terjadi antara beliau dan Angus. Kountze yang tidak dapat menerima perkara itu, bertindak balas dengan merampasl salah satu sarung tangan Ollerman dan mencampakkannya ke dalam sungai. Ini meninggalkan Ollerman hanya dengan satu sarung tangan. Ia menjadi simbol beban yang mencengkam emosi dan tidak mudah dilepaskan. Namun, daripada terus membiarkan perkara ini membebani dirinya, Ollerman membuat keputusan berani untuk kembali dan melemparkan sarung tangan yang tinggal itu ke sungai.

Penonton diperkenalkan kepada tema utama filem: stoisisme.

Mmelepaskan keterikatan kepada perkara yang tidak dapat dikawal, menerima apa yang telah berlaku dengan jiwa yang tenang, dan terus melangkah ke hadapan dengan penuh keberanian dan integriti.

Menurut definisi Marcus Aurelius dalam Meditations, stoisisme adalah kemampuan untuk memusatkan perhatian pada apa yang berada dalam kawalan kita, menerima apa yang tidak dapat kita ubah, dan menjalani hidup dengan kebijaksanaan, keberanian, keadilan, dan pengendalian diri (Marcus Aurelius, Meditations). Naskhah berkenaan muncul beberapa kali di dalam filem ini.

Sebagai panduan kita, stoisisme menurut Kamun Dewan:

Definisi : ketabahan, rasa tabah: he faced certain death with the ~ we had come to expect from him, dia menghadapi kematian yg pasti itu dgn ketabahan yg sudah kami jangka. (Kamus Inggeris-Melayu Dewan)

WATAK-WATAK UTAMA

Paul Hunnam (Paul Giamatti)
Paul ialah seorang guru yang kecewa dengan sistem elitis Barton tetapi masih berusaha untuk mendidik pelajarnya dengan integriti. Melalui Paul, kita dapat melihat kejujuran manusia yang kompleks — beliau sinis, tegas dan pedas, tidak disukai murid, tetapi sebenarnya penuh inspirasi. Paul Giamatti, yang sebelum ini memukau dalam Sideways (2004) dan Cinderella Man (2005), membawakan watak ini dengan kepakaran mendalam, menghidupkan perjuangan dalaman seorang pendidik yang gigih. Namun, beliau turut menanggung gelora dalaman yang tersembunyi di sebalik wataknya di hadapan murid dan kakitangan sekolah yang lain.

Mary Lamb (Da’Vine Joy Randolph)
Mary ialah seorang ibu yang memikul kesedihan mendalam akibat kehilangan anaknya. Curtis juga bekas pelajar Barton. Tetapi kemiskinan tidak memungkinkan beliau menangguhkan khidmat ketenteraan ke Vietnam, seperti alumni Barton yang lain. Pilihan yang bukan pilihan itu berakhir dengan kematian Curtis dalam perang tersebut.

Da’Vine Joy Randolph, yang pernah memikat hati penonton dalam Dolemite Is My Name (2019), berjaya membawa watak Mary sebagai ibu Curtis dan tukang masak sekolah dengan tulus. Dalam satu adegan, apabila salji mula turun, Mary terhenti seketika dan melihat ke luar tingkap. Hanya melalui ekspresi wajahnya, kita dapat rasa kesedihan yang membungkam hatinya. Riak mukanya cukup mencerminkan perjuangan dalaman Mary yang masih belum mampu melepaskan masa lalu.

Ujian kepada tema utama filem ini, stoisisme.

Angus Tully (Dominic Sessa)
Angus ialah remaja yang bijak tetapi penuh konflik. Lakonan Dominic Sessa menyerlah, terutama dalam membawakan watak seorang remaja yang memberontak semasa mencari identiti dirinya. Sebagai pelakon pendatang baru, Sessa menunjukkan kedalaman emosi dan kematangan yang jarang ditemui pada usia muda. Wataknya menggambarkan pergelutan seorang pelajar yang terpaksa mendewasakan diri dalam persekitaran yang penuh cabaran, menjadikan perjalanan emosinya menarik dan berkesan.

Ayah kandungnya dikatakan telah meninggal dunia. Beliau sepatutnya bercuti bersama ibunya ke sebuah lokasi percutian mewah di Carribean. Tetapi ibunya menelefon memberitahu yang beliau mahu pergi berdua dengan suami baharunya kerana mereka belum sempat berbulan madu dengan baik dek kesibukan tugas. Ibunya berpesan agar beliau bersabar bercuti di asrama pada musim Krismas ini dan menunggu musim panas nanti untuk percutian keluarga.

Angus mewakili sebuah realiti kehidupan seorang anak muda yang ada segala-galanya dalam kemewahan material hidup, tetapi menjadi remaja bermasalah dek beberapa keperluan asas manusia hilang tidak berganti. Berjayakah Paul mencungkil kebaikan Angus dalam cuti terpaksa (holdovers) ini?

Bagaimanakah stoisisme mencorak watak Angus?

HUMOR, EMOSI DAN REFLEKSI

Walaupun temanya berat, filem The Holdovers ini tidak kekurangan momen humor yang mengimbangi naratifnya. Saya sangat menyukai jenis humor yang dipaparkan dalam filem ini. Ia bukan sekadar sarcasm biasa, tetapi sarcasm yang benar-benar memerlukan tahap intelek yang tinggi untuk menjadikannya kedengaran cerdas. Dalam masyarakat kita yang semakin mengagungkan sarcasm sebagai lambang kepintaran, filem ini menunjukkan bagaimana sarcasm boleh dihidangkan dengan bijak, tanpa kedengaran ‘bodoh sombong’ atau menyakitkan hati.

Filem ini juga menyentuh tema keluarga dengan keindahan emosi yang menyentuh hati.

Keindahan tema keluarga ini menjadikan filem ini lebih dari sekadar sebuah cerita; ia adalah cermin kepada penonton, memantulkan nilai-nilai yang sering kita abaikan dalam kehidupan seharian. Cerita filem ini bergerak ke arah suasana yang lebih intim antara Paul, Mary, dan Angus. Pada satu ketika, Paul berkata, “Well, let’s make the best of it, shall we?” mencerminkan falsafah stoik yang Paul sendiri sedang berusaha untuk amalkan.

Kita mula melihat benih-benih sebuah keluarga yang ditemui.

Paul, Mary, dan Angus berkumpul di hadapan TV bersama, mencipta momen hangat yang tidak dapat dibeli dengan wang.

Mary mempersoalkan rasionalisasi Paul, yang berkata, “I like being alone.

Walaupun Paul cuba membandingkan dirinya dengan seorang sami, Mary tidak menerima alasan tersebut. Sebaliknya, dia dengan penuh kelembutan dan ketegasan, memujuk Paul untuk menghidupkan kembali impian lamanya untuk mengembara ke Greece, Itali, Mesir, Carthage, dan Tunisia. Bahkan, cita-cita Paul untuk menulis sebuah monograf dan bukannya sebuah buku penuh turut menjadi perhatian Mary, yang menyindir dengan penuh makna, “You can’t even dream a whole dream, can you?

Mary tidak membiarkan Paul terus berada dalam kekecewaan dan ilusi. Kata-katanya menjadi pemangkin kepada perubahan besar dalam diri Paul. Transformasi ini mula kelihatan apabila Paul berkongsi biskut Krismas dengan Mary dan Angus—tindakan yang kecil tetapi sangat bermakna. Senyuman yang terukir di wajah Mary, seiring dengan alunan lagu “Crying, Laughing, Loving, Lying” oleh Labby Sifri, menunjukkan bahawa ada kebaikan dalam momen-momen kebahagiaan yang sederhana.

Filem ini tidak hanya berbicara tentang stoisisme yang rasional, tetapi juga menunjukkan bagaimana kebahagiaan boleh dicapai melalui tindakan kecil yang menghubungkan manusia. Ia menjadi permulaan kepada penyembuhan emosi mereka.

Sementara itu, Angus yang terdesak untuk meninggalkan asrama, akhirnya dicekup oleh Paul ketika cuba membuat tempahan hotel di Boston kerana mahu melarikan diri. Hubungan mereka terbina keluar daripada rutin biasa di sekolah apabila Paul bersetuju membawa Angus ke Boston.

MANIFESTASI STOISISME DALAM DIRI PAUL, MARY DAN ANGUS

Paul, sebagai seorang pendidik dan akademik, mendapati dirinya terperangkap dalam kepahitan dan sinisme. Dia berjuang untuk mengekalkan prinsip stoisisme yang dipegangnya, tetapi sering terpesong disebabkan oleh ketidakadilan dan ketidaksamaan di sekelilingnya—isu-isu besar yang berada di luar kawalannya. Sukar menjadi ideal.

Keadaan dirinya yang semakin mengecewakan itu menyebabkan dia tidak lagi dapat mempraktikkan nilai-nilai stoik seperti ketenangan dan pengendalian diri. Sebaliknya, Paul terjebak dalam kebiasaan buruk minum arak bertambah-tambah, menunjukkan betapa sukarnya untuk mencapai kestabilan dalaman ketika dibelenggu oleh dunia luar yang tidak terkawal. Teringat saya kepada perbualan bersama rakan-rakan di Ireland tentang tabiat minum arak mereka. Alasan yang diberi ialah mereka perlu mabuk dari semasa ke semasa kerana kekal sober sepanjang masa itu amat meletihkan. Dunia penuh tekanan dan kepayahan, araklah caranya untuk berehat seketika!

Mary pula, seorang ibu dan pekerja bawahan, memaparkan sisi yang lebih emosional dan manusiawi dalam memahami stoisisme. Kehilangan anaknya menjadi tamparan paling besar yang boleh dialami seseorang. Mary membawa gambaran seorang stoik moden, tetapi dengan beban emosi yang sukar dikawal. Setelah lama mengawal diri, Mary akhirnya meletup, menangis seperti hilang akal semasa hadir ke jamuan makan malam Krismas di rumah rakan. Semasa melepaskan emosi terpendamnya, ia bukan tanda kelemahan. Sebaliknya, ia langkah yang perlu untuk meneruskan hidup. Dalam pandangan stoik, menerima dan mengekspresikan perasaan mendalam bukanlah bertentangan dengan prinsip stoisisme, tetapi cara untuk menghadapi realiti dengan lebih jujur dan rasional. Mary menunjukkan bahawa penyembuhan boleh bermula dengan menerima kesakitan sebagai sebahagian dari hidup.

Bagi Angus, seorang pelajar dari keluarga kaya yang secara lahiriah memiliki segala-galanya, pergelutannya adalah berbeza. Dia tidak berdepan kemiskinan material, tetapi kekurangan dalam aspek emosi dan kasih sayang. Hidupnya dilimpahi kemewahan tetapi kosong daripada sokongan emosional yang sebenar. Dia terpaksa menghadapi perasaan kehilangan, kesunyian, dan kesukaran dalam memahami nilai dirinya. Sepanjang filem, hubungan dengan Paul dan Mary membantu Angus menyedari bahawa kawalan sejati bukanlah tentang apa yang dimilikinya, tetapi tentang keberanian untuk menerima keadaan dan berusaha mengubah dirinya dengan hati yang tenang. Inilah titik tolak di mana Angus mula menemukan makna dan arah hidup yang sebenar.

Sepanjang perjalanan mereka, ketiga-tiga watak ini memberikan renungan mendalam tentang realiti manusia. Bagaimana kita memilih untuk bertindak ketika berdepan dengan cabaran yang di luar kawalan kita? Adakah kita melepaskan rasa pahit, dan memilih untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna? Paul, Mary, dan Angus masing-masing memberi jawapan mereka, dengan cara yang sering menyentuh dan kadang-kadang menyakitkan, tetapi akhirnya mengajarkan kita sesuatu tentang keperluan untuk berdamai dengan kehidupan dan diri kita sendiri. Filem ini membuktikan bahawa nilai-nilai ini boleh memberikan inspirasi yang mendalam, membantu kita menjalani hidup dengan lebih tenang, lebih rasional, dan lebih bermakna.

MELIHAT DIRI SENDIRI DI DALAM WATAK PAUL

Panjang sungguh saya menulis kali ini.

Ia tanda saya amat menghayati filem ini, dan merenung panjang terhadap pelajaran-pelajaran yang terkandung di dalamnya.

Mungkin watak paling memberi kesan ke atas diri saya adalah Paul. Bukanlah semata-mata kerana beliau seorang guru, sebaliknya kerana jalan hidup beliau yang terserlah semasa Paul dan Angus terserempak dengan bekas rakan sepengajiannya semasa di Harvard.

Paul berbohong tentang tempat dia mengajar.

“Saya kini ditempatkan di Antwerp!” kata Paul.

Mengomel bahawa dirinya adalah ahli akademik di institusi pengajian tinggi swasta, mendapat pembiayaan penyelidikan di luar negara dan pelbagai kisah yang membingungkan Angus tatkala mendengar di sebelahnya. Angus mengikut sahaja pembohongan itu. Dia tidak benar-benar memahami apa yang sedang berlaku, tetapi dia berpura-pura dan memuji Paul di hadapan kawannya itu.

“Ini pakcik saya. Dia sedang menyiapkan buku terbaharunya (bukan monograf seperti yang kita semua tahu)!”, kata Angus.

Interaksi ini membolehkan kita memahami mengapa Paul sangat marah dengan priviledge dalam kelas sosial dan budaya elit. Kita sedang sampai ke punca masalahnya. Paul rupa-rupanya diusir dari Harvard kerana menjadi mangsa fitnah, dituduh menipu secara palsu. Rakan yang berdiri di hadapan Paul dan Angus itulah pembohong sebenar ketika itu, tetapi sebagai anak orang kaya penyumbang dana ke universiti, beliau terlepas begitu sahaja.

Paul tidak pernah menamatkan pengajiannya di Harvard. Dia mendapat pekerjaan sebagai guru di Barton sebagai bantuan daripada Dr. Green yang percaya kepada kebijaksanaan dan keupayaannya, tanpa sekeping ijazah akademik. Dari situ, Paul terperangkap di Barton sejak sekian lama. Paul sepatutnya menjadi profesor Ivy League, tetapi disebabkan insiden itu, dia cuma ‘cikgu sekolah’!

Dia tidak dapat melupakan perkara itu. Dia bertindak balas secara emosi terhadap elitisme dan ia mengaburkan penilaiannya serta menghalangnya daripada menjadi pendidik yang berkesan. Geram dengan anak-anak orang kaya yang menjadi anak muridnya di Barton. Kemarahan ini menghalangnya daripada mencapai cita-cita stoiknya, dan ia menghantui hidupnya.

Saya sedar, dengan kegagalan demi kegagalan akademik, saya tidak dapat lagi melihat latar belakang akademik semasa di sekolah dahulu sebagai sesuatu yang membanggakan. Saya berasa rendah diri setiap kali melintasi kawan-kawan sepengajian yang kini sudah menjadi profesor dan hebat-hebat belaka. Rezeki saya menjadi warga kerja Yayasan Pendidikan Khalifah, adalah lebih kepada kepercayaan CEO kami, biar pun saya masih berulang kali gagal dalam pengajian.

Saya tidaklah menyalah sesiapa. Malah tidak menyalah ADHD saya.

Tetapi saya faham makna gagal. Saya tahu pahitnya menanggung gagal dan malu. Saya simpati kepada murid-murid yang banyak kepayahan dalam pembelajaran mereka. Saya sangat marah dengan sekolah dan sistem pendidikan yang elit.

Elit bukan hanya pada institusi. Tetapi elit pada kurikulum. Elit pada sikap penggubal dasar dan pelaksana yang berfikiran, pelajar lemah adalah kerana mereka kurang berusaha. Sedangkan mereka membina pendidikan yang lantainya hanya boleh dikecap nikmat oleh mereka yang bersepatukan kemewahan dan kelebihan diri serta keluarga. Sesuatu yang tidak dimiliki oleh majoriti pelajar. Saya juga melawan orang-orang pendidikan seperti Dr Green, yang kerana wang dan survival institusi, mengorbankan nilai utama kewujudan asal sekolah seperti Barton. Walaupun saya faham, apabila seorang idealis menyarung sut formal masuk ke pejabat-pejabat daerah, negeri dan pusat, dia boleh berubah menjadi seorang yang kita tidak kenal lagi. Faktor yang adakalanya menyebabkan saya berlapang dada, ada sebab barangkali Allah letakkan aku sebagai lelaki 50an yang miskin. Sesungguhnya memperjuangkan prinsip sambil bergelumang dengan survival diri, bukanlah sesuatu yang mudah.

PENGHUJUNG

Paul tahu.

Di hujung perjalanan filem, Paul terpaksa membayar harga yang amat mahal.

Demi menyelamatkan Angus, Paul terpaksa menerima takdir dirinya dipecat daripada jawatannya di Barton. Kegagalan seterusnya dalam hidup beliau. Di usia yang manusia semakin sukar bertoleransi dengan kejayaan. Semasa beliau meneguk arak sebelum memandu masuk ke jalan utama, saya berasa bimbang apakah Paul memilih jalan tragis untuk menamatkan kegagalan dan gelapnya hidup beliau pasca meninggalkan Barton?

Saya serahkan bahagian akhir filem The Holdovers ini untuk diteroka sendiri oleh pembaca. Hadiah untuk mereka kerana sangat hebat membaca tulisan saya yang panjang lebar mengenai stoisisme sebagai tema utama filem terbaik tahun ini.

Hasrizal
Naas, Ireland.

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Panduan Berinteraksi Dengan Anak Mengenai Konflik Palestin

“Lebih setahun telah berlalu sejak peperangan di Gaza bermula pada 7 Oktober 2023,” saya terfikir …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Skip to content