Ujian Diagnostik Awal Persekolahan: Menelusuri Konflik di Tampere dan Tuntutan Keadilan Islam

An infographic comparing educational controversy in Tampere with Islamic principles of justice, titled "Tampere: Three Core Concerns (2013-2015)" on the left and "Islamic Principles: Justice ('Adl) & Equity" on the right.

Sebahagian ibu bapa melihat dasar ini sebagai peluang untuk anak-anak yang menunjukkan perkembangan awal. Namun kebimbangan yang lebih mendalam turut timbul: adakah kita sedang menginstitusikan penapisan akademik pada usia yang terlalu muda, dan seterusnya mengukuhkan jurang sosioekonomi yang sedia ada?

Hujah Rasmi KPM dan Naratif Dasar Negara

Dalam beberapa laporan media arus perdana, KPM menegaskan bahawa saringan yang dicadangkan bukan bertujuan menyingkirkan kanak-kanak, tetapi untuk memastikan kesediaan perkembangan selaras dengan keperluan kurikulum Tahun 1. Kenyataan ini perlu dibaca bersama kerangka lebih besar RPM 2026–2035 yang bertema “Merapatkan Jurang, Meningkatkan Mutu, Meraih Kejayaan Bersama”.

RPM 2026–2035 secara jelas menekankan akses dan ekuiti sebagai tumpuan utama, dengan komitmen untuk memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat peluang pendidikan bermutu tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, geografi atau keupayaan. Dalam dokumen Ringkasan Eksekutif RPM, konsep keluwesan dan pentaksiran pintar disebut sebagai pemboleh daya, namun pada masa yang sama menuntut agar pentaksiran tidak menjadi mekanisme pengecualian awal.

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan berkaitan pelancaran kerangka Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, menekankan bahawa pendidikan mesti menjadi wahana mobiliti sosial dan keadilan, bukan alat reproduksi ketidaksamaan. Nada ini konsisten dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menuntut ihsan dan keseimbangan antara kecekapan sistem dan kemanusiaan.

Sumber: https://www.bernama.com/en/general/news.php?id=2514993

Perbincangan ini boleh diberikan nilai tambah untuk memaknakannya, apabila dibandingkan dengan sebuah pengalaman Finland yang mirip kepada isu ini. Di bandar Tampere, melalui institusi Finnish International School of Tampere (FISTA) atau Tampereen kansainvälinen koulu, pihak sekolah pada awal 2010-an bercadang melaksanakan soveltuvuuskoe iaitu ujian kesesuaian atau bakat bagi kemasukan murid ke aliran bahasa Inggeris.

Isu ini mendapat perhatian serius Pejabat Canselor Keadilan Finland (Office of the Chancellor of Justice, Oikeuskanslerinvirasto). Timbalan Canselor Keadilan (Apulaisoikeuskansleri) ketika itu, Mikko Puumalainen, melalui keputusan rasmi rujukan OKV/677/1/2012, menegaskan bahawa ujian saringan umum bagi kanak-kanak sekolah rendah di sekolah awam bercanggah dengan prinsip perlembagaan Finland.

Hujah utama yang dikemukakan ialah berkisar kepada perkara berikut:

1. Prinsip Yhdenvertaisuus (Kesamarataan)

Puumalainen berhujah bahawa pendidikan asas dibiayai oleh dana awam dan mesti terbuka kepada semua. Apabila sekolah mengadakan ujian untuk memilih murid “terbaik”, ia mewujudkan segregasi. Beliau menyifatkan proses ini sebagai cream-skimming (mengambil yang terbaik sahaja), yang mana sekolah memilih murid, bukannya murid memilih sekolah. Ini bertentangan dengan Seksyen 6 Perlembagaan yang menjamin kesamarataan.

2. Ancaman Terhadap Lähikouluperiaate (Prinsip Sekolah Kejiranan)

Satu konsep suci dalam pendidikan Finland ialah lähikouluperiaate, iaitu hak setiap kanak-kanak untuk bersekolah di sekolah yang paling hampir dengan rumah mereka. Konflik di Tampere timbul apabila kanak-kanak yang tinggal berjiran dengan FISTA tetapi gagal dalam soveltuvuuskoe terpaksa dihantar ke sekolah lain yang lebih jauh.

Puumalainen menegaskan bahawa hak kanak-kanak untuk mendapat pendidikan di kawasan kejiranan mereka tidak boleh dinafikan hanya kerana mereka gagal satu ujian pada usia 7 tahun. Situasi ini, menurut beliau, meletakkan kanak-kanak dalam kedudukan yang tidak adil semata-mata kerana kemampuan akademik mereka belum terserlah.

3. Impak Psikologi dan Sosial

Selain daripada aspek perundangan, perdebatan di Tampere pada waktu itu turut didorong oleh kebimbangan ibu bapa dan pakar psikologi. Laporan berita tempatan (seperti dari Helsingin Sanomat dan Aamulehti) merekodkan keresahan ibu bapa mengenai tekanan yang dihadapi oleh anak-anak kecil.

Istilah yang sering muncul dalam wacana ini ialah kebimbangan mengenai “pelabelan”. Apabila seorang kanak-kanak seawal usia prasekolah diberitahu bahawa mereka “gagal” ujian masuk, ia memberi impak kepada self-esteem (jati diri). Kanak-kanak dikategorikan kepada dua kelompok:

  • Kelompok “Bakat” yang layak ke sekolah khusus.
  • Kelompok “Biasa” yang ditolak.

Selain itu, timbul isu ketidakadilan sosial. Kritikan yang dilontarkan kepada sistem soveltuvuuskoe ialah ia sebenarnya bukan mengukur bakat semulajadi kanak-kanak, tetapi mengukur latar belakang keluarga. Anak-anak dari keluarga berpendidikan tinggi di Tampere didapati lebih cenderung lulus ujian kerana mereka telah didedahkan dengan buku dan bahasa Inggeris di rumah, manakala anak dari keluarga pekerja kurang berkemampuan sering kali tersisih.

Resolusi Konflik di Tampere

Hasil daripada ketegasan Apulaisoikeuskansleri Mikko Puumalainen, bandar Tampere dan FISTA terpaksa akur untuk menyemak semula kriteria kemasukan mereka. Walaupun ujian tersebut tidak dimansuhkan sepenuhnya, ia tertakluk kepada syarat yang amat ketat.

Pihak sekolah tidak lagi dibenarkan menguji “kecerdasan umum” atau “kesediaan akademik” secara menyeluruh. Ujian tersebut mesti diubah suai menjadi ujian kemahiran bahasa yang spesifik semata-mata untuk memastikan murid boleh memahami arahan guru. Sebarang elemen yang memberi kelebihan kepada murid yang “dilatih tubi” (coaching) cuba diminimumkan.

Keadilan dalam Perspektif Islam: ‘Adl dan Penolakan Zulm

Sebagai sebuah negara dengan Islam sebagai agama rasminya, wacana keadilan pendidikan di Malaysia tidak boleh dipisahkan daripada kerangka nilai Islam. Al-Quran menegaskan prinsip keadilan sebagai asas kehidupan bermasyarakat:

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَـٰنِ

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan.”

(Surah al-Nahl 16:90)

Keadilan (‘adl) dalam tradisi Islam difahami sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya yang wajar. Lawannya ialah zulm, iaitu meletakkan beban atau tuntutan di luar kemampuan yang hak. Dalam konteks pendidikan awal, memaksa kanak-kanak enam tahun melalui ujian yang berisiko melabel dan menyingkirkan mereka boleh tergolong sebagai zulm sistemik.

Rasulullah ﷺ turut mengingatkan tentang amanah dan keadilan dalam memegang tanggungjawab:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya.”

(Sahih al-Bukhari, no. 893; Sahih Muslim, no. 1829)

Guru sebagai Murabbi, Bukan Penapis Awal

Sarjana pendidikan Islam awal seperti Ibn Sahnun (w. 256H) menekankan bahawa guru wajib berlaku adil terhadap murid tanpa membezakan latar belakang keluarga atau kemampuan awal. Dalam karya dan perbahasan yang dihuraikan oleh Sebastian Günther, keadilan pedagogi merupakan asas kepada keberkatan ilmu dan keberkesanan pendidikan.

Begitu juga al-Zarnūjī dalam Ta‘lim al-Muta‘allim mengingatkan bahawa ilmu adalah amanah Ilahi, bukan komoditi eksklusif. Menutup pintu pembelajaran terlalu awal bercanggah dengan semangat pendidikan sebagai proses penyuburan potensi, bukan perlumbaan saringan.

Jika kita mengambil pendekatan “saring dan asing” (seperti yang cuba dilakukan di Tampere), kita menolak peranan Murabbi ini. Kita memberitahu kanak-kanak tersebut: “Kamu tidak cukup bagus untuk kami.” Ini bertentangan dengan sirah Nabi ﷺ dan para sahabat yang meraikan pelbagai tahap keupayaan sahabat, dari yang menghafal seluruh wahyu hingga kepada yang sederhana kemampuannya namun tetap dimuliakan.Pelajaran Buat Malaysia: Ujian Diagnostik Tahun 1

Bagaimanakah pengalaman di Tampere ini relevan dengan cadangan KPM untuk membenarkan kemasukan awal ke Tahun 1 di Malaysia? Walaupun konteksnya berbeza, prinsip asasnya adalah sama: Kita sedang menilai kanak-kanak pada usia yang sangat muda untuk menentukan laluan pendidikan mereka.

Berikut adalah sebahagian analisis mengenai risiko yang perlu ditangani oleh Malaysia, berpandukan pengalaman Tampere:

1. Definisi “Diagnostik” vs “Penyingkiran”

Di Tampere, soveltuvuuskoe menjadi alat penyingkiran. Di Malaysia, KPM menggunakan istilah “ujian diagnostik”. Kita perlu berhati-hati agar ujian ini tidak berevolusi menjadi alat gate-keeping.

Jika ujian ini hanya mengukur kemahiran membaca dan mengira (3M) yang tinggi, kita akan mengulangi kesilapan Tampere: meminggirkan kanak-kanak yang mungkin cerdik tetapi lambat berkembang (late bloomers) atau tidak pernah ke prasekolah mahal. Ujian diagnostik Malaysia perlulah bersifat holistik, menilai kematangan emosi, sosial, dan fizikal, bukan sekadar akademik.

Semasa artikel ini ditulis (Januari 2026), kita belum mempunyai maklumat terpeinci bagaimanakah rupabentuk ujian diagnostik yang diperkatakan itu.

2. Fenomena “Ibu Bapa Kiasu” dan Industri Tuisyen

Di Finland, walaupun budayanya agak santai, wujud juga golongan ibu bapa yang cuba melatih anak untuk ujian FISTA. Di Malaysia, budayanya jauh lebih kompetitif.

Jika kemasukan awal Tahun 1 dilihat sebagai satu “status simbol” kecerdikan anak, kita bakal menyaksikan wujudnya kelas tuisyen atau “bootcamp” untuk kanak-kanak umur 5 tahun bagi persediaan ujian diagnostik KPM. Ini akan memberi tekanan psikologi yang dahsyat kepada kanak-kanak yang sepatutnya masih dalam fasa bermain. Malaysia perlu belajar dari amaran Puumalainen: jangan bebankan zaman kanak-kanak dengan birokrasi pemilihan.

3. Jurang Ekuiti: Bandar vs Luar Bandar

Seperti hujah yhdenvertaisuus (kesamarataan) oleh Puumalainen, Malaysia juga perlu memikirkan nasib murid di luar bandar.

Murid di bandar yang dihantar ke tadika swasta berasaskan kurikulum antarabangsa mungkin mudah melepasi ujian diagnostik ini pada usia 6 tahun. Bagaimana pula dengan murid di pedalaman yang hanya bergantung pada pendidikan asas? Adakah dasar ini akan menyebabkan kelas Tahun 1 di sekolah bandar dipenuhi murid berusia 6 tahun (yang dianggap elit), manakala murid 7 tahun dianggap “lewat”? Ini berisiko mewujudkan segregasi sosial yang tidak sihat dalam jangka masa panjang.

Kesimpulan

Kisah dari Tampere, Finland, bukanlah kisah kejayaan pendidikan yang romantis. Ia adalah kisah pergelutan undang-undang untuk mempertahankan hak kanak-kanak daripada dikelas-kelaskan terlalu awal.

Tindakan tegas Mikko Puumalainen mengingatkan kita bahawa institusi pendidikan, walaupun dengan niat baik untuk menawarkan pendidikan berkualiti (seperti FISTA), boleh secara tidak sengaja melanggar hak asasi kesamarataan jika mekanismenya tidak dikawal.

Apabila Malaysia melangkah ke arah membenarkan kemasukan fleksibel umur 6 tahun, KPM harus memastikan “ujian diagnostik” tersebut benar-benar tulus untuk mengenal pasti kesediaan, bukan untuk menyaring kepintaran. Jangan biarkan sistem kita menghukum kanak-kanak kerana mereka “belum bersedia”, dan jangan biarkan ujian tersebut menjadi kayu ukur kemuliaan ibu bapa.

Pendidikan awal sepatutnya menjadi padang yang rata untuk semua, bukan perlumbaan yang hanya dimenangi oleh mereka yang mampu bersedia awal.

Menzalimi masa depan kanak-kanak melalui pelabelan awal bukan sahaja bercanggah dengan prinsip pendidikan moden, tetapi juga dengan tuntutan keadilan yang ditegaskan oleh agama. Pendidikan yang adil tidak bermula dengan menapis, tetapi dengan menyantuni.

Bacaan Lanjut dan Rujukan

  • Keputusan Undang-undang Finland:
    • Pejabat Canselor Keadilan Finland (Oikeuskanslerinvirasto): Keputusan No. OKV/677/1/2012 mengenai Oppilasvalinta perusopetuksessa (Pemilihan murid dalam pendidikan asas). Dokumen ini menjadi asas kepada pengharaman ujian bakat umum di sekolah rendah Finland.
  • Punca Kuasa Sekolah Semasa:
    • City of Tampere & FISTA: Polisi kemasukan semasa yang menetapkan penggunaan ujian bahasa (kielikoe) yang spesifik. Boleh dirujuk di laman rasmi City of Tampere – FISTA Admissions.
  • Rujukan Akademik Pendidikan Islam:
    • Günther, S. (2005). “Advice for teachers: The 9th century Muslim scholars Ibn Sahnun and al-Jahiz on pedagogy and didactics”. (Artikel ini dirujuk dan disenaraikan dalam bibliografi buku: Günther, S. (Ed.). (2020). Knowledge and Education in Classical Islam: Religious Learning between Continuity and Change. Brill).
    • Rosenthal, F. (1970). Knowledge Triumphant: The Concept of Knowledge in Medieval Islam. Leiden: Brill. (Dirujuk dalam Berkey, J.P., Madrasas Medieval and Modern, hlm. 34).
    • Al-Zarnūjī, Burhān al-Dīn. (1947). Ta’līm al-muta’allim ṭarīq al-ta’allum (Instruction of the Student: The Method of Learning). Trans. G.E. von Grunebaum. (Teks klasik mengenai etika pelajar dan guru, dirujuk dalam Berkey, J.P., Madrasas Medieval and Modern, hlm. 35).

Hasrizal Abdul Jamil
Pengarah Pendidikan
Yayasan Pendidikan Khalifah

About Hasrizal

An educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and personal growth. While locally rooted, his advocacy remains global, informed by his lived experiences and professional insights.

Check Also

Al-Rasul al-Mu’allim: Nabi Muhammad ﷺ Sebaik-baik Cikgu

HasrizalAn educator, author, and advocate for inclusive education with a career spanning leadership, innovation, and …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.