Taburan Muslim Sunni dan Syiah di Seluruh Dunia – sumber: Wikipedia
“Jika topik Syiah hendak diperkatakan dari perspektif Aqidah atau Fiqh, perbezaan manhajnya dengan Sunni adalah jelas. Tetapi jika perkara ini didatangi dari sudut sejarah, timbullah banyak masalah” saya bercerita.
“Ustaz ada pengalaman berkaitan?” tanya Imad.
“Pengalaman tidak banyak. Cuma ana teringat kepada pengalaman semasa di UK dahulu. Para pelajar, semasa sama-sama saling mentarbiah antara senior dan junior, menggunakan Sirah untuk mengajak kepada perjuangan. Khususnya Sirah al-Khulafa’ al-Rashidin. Tetapi apabila ana dengar, pada penceramah hendak membela sesetengah sahabat, mereka menghina sahabat yang lain. Jika sesekali, ia mungkin kejahilan. Tetapi jika konsisten dan ada pattern, ia menjadi indikasi sesuatu?” saya berkongsi.
Teringat saya semasa di Jordan dahulu.
Semasa saya keluar 3 hari bersama jemaah tabligh, kami berkampung di Madinah al-Hujjaj, Zarqa’. Pada satu waktu dhuha, saya mendengar bayan yang disampaikan oleh tuan rumah. Kisahnya begini:
“Pada suatu ketika, Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu semasa menjawat jawatan khalifah telah memerintahkan seorang utusan untuk ke Syam bagi menyiasat kezuhudan Abu Ubaydah al-Jarrah radhiyallahu ‘anhu selepas beliau dilantik menjadi gabenor di Syam.
Kata Umar, “jika Abu Ubaydah masih zuhud, maka hadiahkanlah beliau seuncang emas ini”
Apabila utusan berkenaan tiba di Syam, beliau masuk ke rumah Abu Ubaydah selepas mendapat keizinan. Beliau tidak dapat melunjurkan kaki dan tidak juga mampu berdiri dek kecilnya rumah Abu Ubaydah. Nyatalah gabenor Syam itu masih zuhud. Lalu, lelaki berkenaan memperkenalkan dirinya kepada Abu Ubaydah bahawa beliau adalah utusan Umar dan beliau diamanahkan menyampaikan uncang emas berkenaan sebagai hadiah tanda penghargaan Umar atas zuhudnya Abu Ubaydah.
Abu Ubaydah tersentak.
Kata beliau, “jika Abu Ubaydah masih zuhud, bagaimana pula dengan Umar? Dari manakah beliau mendapat uncang emas ini?”
Abu Ubaydah telah ke Madinah dan menangis di maqam Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam. Kata beliau, “ya Rasulullah, engkau telah berusaha untuk membuang dunia dari hatiku. Tetapi Umar mahu memasukkannya kembali”
Kebetulan Umar ketika itu berada di belakang Abu Ubaydah. Beliau menangis dan memohon ampun kepada Allah atas keterlanjurannya”
Saya yang mendengar kisah berkenaan terkasima. Saya tidak dapat mendiamkan diri. Pantas sahaja saya mengangkat tangan dan bertanya kepada si pemberi tazkirah, “sahihkah cerita ini?”
Beliau bertanya kembali kepada saya, “kamu ada masalahkah dengan cerita tadi?”
Saya menjawab, “sudah tentulah. Semasa tuan menceritakan kezuhudan Abu Ubaydah untuk kami teladani, tuan memburuk-burukkan Umar bin al-Khattab. Sebab itu saya bertanya, sahihkah cerita ini?”
Pertanyaan tersebut terbang begitu sahaja.
Mahu tidak mahu, apabila sesuatu kisah berkaitan para sahabat hendak disampaikan, ia mesti dipelihara sumbernya. Biarlah kelemahan ilmu kita menjadikan kita hanya mampu mengulang beberapa cerita yang sama. Itu lebih baik daripada mendatangkan cerita-cerita sensasi yang orang tidak pernah dengar, dan kita pun tidak pasti di mana sumbernya. Itu sahaja pesanan yang saya ulang-ulang berkaitan sahabat di dalam jemaah Tabligh sebab saya sangat sayangkan keikhlasan serta kesabaran mereka dalam berdakwah. Saya jauh tertinggal di belakang. Cuma, keikhlasan mestilah disertakan juga dengan asas ilmu yang betul.
Bukanlah yang berat-berat sangat.
Asalkan, apa sahaja yang kita hendak cakap, kita tahu sumbernya.
Itu ajaran agama kita.
Dan itu juga disiplin paling asas dalam bidang sejarah.
“Tetapi contoh tadi itu, pada pendapat ana, ia adalah kerana kesilapan. Mungkin selama ini tidak perasan tentang betapa pentingnya kita berhati-hati dalam hal-hal Sirah ini. Ia bukan dengan niat yang tidak baik. Tetapi kes di UK dahulu berbeza. Penceramah yang asyik mengkritik sahabat Rasulullah sallalahu alayhi wa sallam itu sendiri akhirnya meninggalkan jemaahnya dan menjadi Syiah yang sempurna” saya menyelak kembali memori silam di bumi Inggeris sana.
Adalah sukar untuk dicari kesepakatan terhadap penentuan tarikh mula munculnya gerakan Syiah. Ia berpunca daripada perbezaan pandangan pelbagai pihak di dalam menentukan pengasas atau pencetus kepada gerakan itu sendiri. Kontroversi yang membabitkan Syiah terus diperbaharui zaman berzaman dan ia berlanjutan hingga kepada era pasca Revolusi Iran yang menjadi suatu lagi batu tanda di sepanjang lebuh perjalanan sejarah Syiah. Apakah sebenarnya status hubungan masyarakat dunia dengan Syiah? Persoalan ini tidak hanya membabitkan keperluan semasa, malah penting untuk menjadi asas kepada ramalan terhadap masa depan tamadun insan, khususnya di persekitaran Timur Tengah sebagai ‘pusat dunia’.
Justeru itu, wajarlah persoalan ini digarap dengan bekalan sejarah kerana di situlah akan terserlah skrip sebenar kepada realiti pertembungan di antara Syiah dan Ahli Sunnah wa al-Jamaah.
ERA ABDULLAH BIN SABA’
Abdullah bin Saba’ atau juga dikenali sebagai Ibn Sawda’ adalah seorang Yahudi dari San’a di Yaman yang telah menzahirkan keislamannya di zaman Uthman bin Affan RA. Beliau adalah watak yang paling utama memainkan peranan menimbulkan kehuru-haraan di Madinah, Iraq, Syam dan Mesir secara khusus. Dakyah yang berlaku di dalam bentuk penyebaran pendapat siasah bahkan aqidah yang menyimpang, telah mencetuskan fitnah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman RA pada 18 Dzulhijjah 35H.
Ibn Sawda’ telah menyebarkan pelbagai idea yang kontroversi di kalangan umat Islam khususnya yang berkaitan dengan penyelewengan-penyelewengan yang dinisbahkan kepada Uthman bin Affan. Gerakannya telah mencetuskan pemberontakan di empat penjuru tanah air umat Islam.
Beliau juga telah mempopularkan idea kelayakan Saidina Ali RA sebagai pengisi jawatan Khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW dengan apa yang diistilahkan sebagai wasiat Rasulullah SAW. Abdullah bin Saba’ juga menjadi orang pertama yang secara terang-terangan mencela Abu Bakr, Umar, Uthman dan sekalian sahabat. Hal ini diakui sendiri oleh ilmuan Syiah seperti Saad bin Abdullah al-Qummi di dalam al-Maqalaat wa al-Firaq. Tidak terhenti setakat itu, kepercayaan karut tentang kebangkitan semula Rasulullah SAW dan pelbagai fahaman yang kemudiannya menjadi usul teras golongan Syiah, telah dipelopori oleh Abdullah bin Saba’.
Inilah puncanya mengapa ramai pihak yang sudah tidak lagi mampu untuk menyembunyikan kecelaan sejarah Abdullah bin Saba’, cuba untuk menanamkan prasangka bahawa beliau tidak wujud secara pasti di dalam sejarah. Idea yang tidak berasas ini didokong oleh sekumpulan Orientalis dan pengkaji Arab serta ramai dari kalangan Syiah semasa [Dr. Muhammad Amahzun, Tahqiq Mawaqif as-Sahabah fi al-Fitnah min Riwaayaat al-Imam at-Thabari wa al-Muhadditheen, Maktabah al-Kauthar, Riyadh, 1994].
Hal ini mustahil dapat diterima akal kerana penyebutan kisah Abdullah bin Saba’ bukan hanya terdapat di dalam satu atau dua karangan ilmuan Ahli Sunnah wa al-Jamaah seperti Tarikh al-Imam at-Thabari malah ia turut disebut secara meluas di dalam sejumlah besar tulisan ulama pelbagai zaman, sama ada oleh Ahli Sunnah mahu pun Syiah sendiri. Tegasnya, Abdullah bin Saba’ adalah merupakan pelopor dan pengasas kepada timbulnya krisis di antara pengikut ajaran Islam sebenar dengan kumpulan Syiah yang berlarutan hingga ke hari ini.
Kerugian yang menimpa umat Islam di dalam Peperangan Jamal dan Siffin, pembunuhan Ali RA, anakandanya Husain RA dan pelbagai lagi siri perang dalaman yang tercetus semenjak kematian Uthman bin Affan RA, adalah hasil suntikan fitnah yang dimulakan oleh seorang penjenayah bernama Abdullah bin Saba’.
ERA KHILAFAH BANI UMAYYAH
Muawiyah bin Abi Sufyan RA telah mengambil alih kepimpinan Islam selepas pembunuhan Ali RA dan berundurnya Hasan RA dari memangku jawatan yang ditinggalkan oleh ayahandanya. Kesatuan umat Islam telah dapat dihasilkan, namun kewujudan kelompok yang mendukung idea Ibn Saba’ terus wujud dan sentiasa menjadi api di dalam sekam. Sikap keras lagi tegas Muawiyah dan para Khalifah Bani Umayyah terhadap golongan Syiah ini menjadikan mereka terpinggir dari arus perdana untuk beberapa ketika.
Analisa terhadap punca yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan Bani Umayyah memperlihatkan sekurang-kurang empat kelompok musuh. Mereka adalah penduduk Arab berketurunan Yaman yang tinggal di Khurasan, golongan Mawali (bukan Arab) yang juga berpusat di sekitar Khurasan, kelompok Syiah yang sentiasa berdendam dengan Bani Umayyah, dan golongan keempat adalah terdiri daripada mereka yang menzahirkan diri sebagai Muslim tetapi masih berdendam terhadap Islam serta terus berpegang dengan fahaman pra Islam seperti Rawandiyyah dan sebagainya.
Namun, penglibatan Syiah di dalam propaganda Revolusi Abbasiyyah adalah faktor terpenting ke arah tumbangnya Khilafah Bani Umayyah.
Muhammad bin Ali telah mewarisi gerakan Revolusi Abbasiyyah yang diasaskan oleh Ali bin Abdullah bin Abbas bin Abd al-Muttalib. Muhammad bin Ali menyokong perjuangan Abu Hasyim bin Muhammad bin Ali al-Hanafiah yang merupakan seorang Imam Syiah. Ketika Abu Hasyim di ambang kematiannya, beliau telah mewasiatkan supaya Muhammad bin Ali mengambil alih tempatnya sebagai Imam dan semenjak itulah beliau mengepalai gerakan Hasyimiah atau Abbasiyyah.
Selepas kematian Imam Muhammad bin Ali pada tahun 125H, berlaku peralihan kepimpinan Revolusi Abbasiyyah hinggalah ke tangan Abu Muslim al-Khurasani yang melancarkan Revolusi Abbasiyyah secara terbuka. Pada masa itu nama Imam Ibrahim yang menggantikan tempat ayahandanya Imam Muhammad bin Ali masih dirahsiakan. Apabila rahsia ini terdedah, Imam Ibrahim telah ditangkap dan dibunuh di Harran (132H) dan beliau telah mewasiatkan supaya saudaranya Abu al-Abbas as-Saffah menggantikan tempatnya sebagai Imam. Walaupun mendapat tentangan daripada Abu Salamah al-Khallal, akhirnya calon yang disokong oleh keluarga Abbas dan Syiah iaitu Abu al-Abbas as-Saffah telah terpilih. Berhasillah kehendak Syiah di masa itu dan akhirnya kepimpinan ummah beralih daripada Bani Umayyah kepada Abu al-Abbas as-Saffah yang mengasaskan Kerajaan Abbasiyyah (132H).
ERA KERAJAAN ABBASIYYAH
Walaupun kerajaan Abbasiyyah itu tertegak atas kehendak dan maslahah golongan Syiah, mereka masih mengekalkan sikap oportunis dan hanya berpihak kepada kuasa yang boleh memenuhi kemahuan mereka semata-mata.
Perpecahan yang serius di antara bangsa-bangsa Muslim mengundang kelemahan yang membunuh kerajaan Abbasiyyah. Namun, kemunculan Hulagu, cucu kepada Genghiz Khan ke Baghdad adalah peristiwa yang paling bersejarah. Di zaman Bani Buwaih, mazhab Khilafah Abbasiyyah adalah Syiah. Namun selepas berpindah kepada Seljuk, mazhab kerajaan kembali kepada Sunni. Akan tetapi, para khalifah di era penghabisan kerajaan Abbasiyyah masih terus percaya kepada tokoh-tokoh Syiah, seperti Mu’ayyid ad-Deen bin al-Alqami. Atas perbalahan yang berlaku di antara Sunni dan Syiah, Mu’ayyid telah menjemput Hulagu mengisi cita-citanya menawan Baghdad. Beliau yang sepatutnya menjalankan tugas mewakili Khalifah untuk berbincang dengan Hulagu, telah berpaling tadah dan seterusnya membuka laluan kepada Hulagu menyerang Baghdad hingga ke akar umbi pada tahun 656H. Ibn Kathir meriwayatkan bahawa, 1,800,000 penduduk Baghdad telah terbunuh di tangan Hulagu dan tenteranya. Suatu insiden yang hitam di dalam sejarah kemanusiaan.
ERA PRA FATIMIYYAH DAN AYYUBIYYAH
Kerajaan Fatimiyyah yang bermazhab Syiah merupakan kerajaan kecil pertama yang mengisytiharkan ketuanya sebagai Khalifah yang bebas merdeka daripada pemerintahan Abbasiyyah. Walaupun kerajaan Fatimiyyah mempunyai sumbangannya yang banyak terutamanya kepada aspek pembangunan tamadun material Islam, namun era tersebutlah yang menyaksikan berleluasanya penyebaran fahaman dan amalan syiah yang khurafat, sehinggalah ia ditamatkan dengan kejayaan Salahuddin al-Ayyubi memimpin Mesir dan membawanya kembali kepada mazhab Sunni di bawah kepimpinan Kerajaan Abbasiyyah (567H).
ERA OTHMANIYYAH
Selepas kejatuhan Baghdad pada tahun 656H / 1258M, kepimpinan umat Islam telah diambil alih oleh Khilafah Turki Othmaniyyah yang diasaskan pada tahun 1299M. Ketika pemerintahan Othmaniyyah berada di kemuncak kegemilangan mereka, wilayah Parsi telah menyaksikan kemunculan kerajaan Syiah Safavid yang diasaskan oleh Shah Ismail I pada tahun 1500. Buat kali pertamanya, tanah air Parsi telah diisytiharkan secara rasmi menganut fahaman Syiah sebagai mazhab rasmi.
Sejarah telah memperlihatkan sekali lagi sikap Syiah yang sentiasa memusuhi Ahli Sunnah. Kerajaan Safavid telah melancarkan propaganda menghasut penduduk wilayah Othmaniyyah di timur supaya bangkit memberontak. Malah mereka juga bekerjasama dengan Hapsburgs dari Austria untuk menentang Kerajaan Othmaniyyah. Dalam pada itu, Mesir yang ditadbir oleh kerajaan kecil Mamluki yang mengambil alih pemerintahan dari Ayyubiyyin, turut bekerjasama dengan Safavid menentang Othmaniyyah.
Sesungguhnya krisis ratusan tahun di antara Safavid Syiah di Iran terhadap Kerajaan Othmaniyyah telah banyak memberikan implikasi negatif kepada perkembangan kuasa Othmaniyyah yang mewakili Ahli Sunnah itu. Sultan Abdul Hamid II (Khalifah Daulah Othmaniyyah 1876 – 1908) pernah berkata, “Sesungguhnya permusuhan di antara Kerajaan Safavid (Syiah) dan Othmaniyyah (Sunni) tidaklah untuk kepentingan umat Islam bahkan untuk kemaslahatan kufur dan kaumnya”
ERA PASCA OTHMANIYYAH
Di ambang kejatuhan kerajaan Othmaniyyah, perjuangan Imam Syamil di Daghistan menentang Russia turut menghadapi konspirasi golongan Syiah yang sentiasa menjadi gunting di dalam lipatan. Mereka akan sentiasa berpihak kepada kuasa yang dirasakan boleh menang dan menjamin kepentingan Syiah.
Hal ini menjadi lebih kronik selepas perjanjian Sykes-Picot ditandatangani pada 16 Mei 1916. Tanah air umat Islam yang dirampas dari Khilafah Othmaniyyah telah di’faraidh’kan oleh Britain dan Perancis mengikut kehendak mereka. Peta-peta sempadan negara baru dilukis dengan mengambil kira strategi yang diyakini boleh mengekalkan kelemahan umat Islam. Bangsa Kurdi sinonim dengan Salahuddin al-Ayyubi berserta rekod bersih mereka terus setia bersama kerajaan Othmaniyyah, telah ditempatkan sebagai kaum minoriti di semua negara. Sykes-Picot telah melukis peta secara bengkang bengkok supaya bangsa Kurdi menjadi kaum minoriti di Turki, Syria, Iraq, Iran dan Armenia. Ini akan melemahkan mereka dan membolehkan pengaruh mereka dibunuh.
Malah sejumlah besar penganut Syiah menjadi penduduk Iraq yang Sunni dan begitu juga, Ahli Sunnah menjadi warga Iran yang didominasi oleh Syiah. Semuanya bertujuan untuk melemahkan umat Islam sedunia.
Namun Syiah terus berkembang dengan sikap pragmatik mereka, turut memainkan peranan yang penting sehingga tercetusnya peperangan Pakistan Barat dan Pakistan Timur pada tahun 1971.
ERA REVOLUSI IRAN
Tahun 1978 / 1979 telah menyaksikan kebangkitan besar-besaran pengaruh Syiah di bawah kepimpinan Ayatullah Khomeini menjatuhkan kepimpinan diktator Shah Iran, Muhammad Reza Pahlavi. Pengisytiharan Khomeini terhadap penubuhan Republik Islam Iran bagi menggantikan kerajaan Shah Iran, dilihat oleh dunia sebagai pencetusan suatu momentum besar terhadap kebangkitan semula kuasa Islam di dunia.
Namun, penelitian yang dibuat terhadap Republik Islam Iran telah memperlihatkan realiti yang berbeza. Ia adalah sebuah kebangkitan yang amat khusus mewakili kelompok Syiah Imamiah semata-mata tanpa sebarang perkongsian visi dan misi dengan Sunni.
Al-Marhum Sa’id Hawwa yang memimpin gerakan Islam di Syria telah berkunjung ke Iran untuk bertemu sendiri dengan Khomeini dan meneliti sejauh mana Khomeini serius di dalam usahanya membebaskan bumi Palestin yang terjajah. Akan tetapi, hakikatnya adalah sangat mengejutkan. Bagi Sa’id Hawwa, Khomeini dan Revolusinya itu, hanyalah lanjutan kepada makar Syiah yang dusta. Sekembalinya beliau dari Iran, Sa’id Hawwa telah menulis sebuah makalah bertajuk al-Khomeiniyyah : Syudzuz fi Al-‘Aqaid wa Al-Mawaqif (Khomeinisma: Keganjilan Pada Aqidah dan Pendirian Politik). Khomeini telah melanjutkan celaan Syiah terhadap para Sahabat malah peminggiran secara berpelembagaan terhadap ajaran Ahli Sunnah dan identiti selain Syiah telah dilakukan secara terang-terangan.
Sa’id Hawwa telah menghuraikan dengan terpeinci segala perkembangan semasa golongan Syiah pasca Revolusi Iran di tanah air umat Islam. Hakikat Hizbullah dan Harakah Al-Amal, perkembangan di Lubnan, Syria, Turki, Pakistan dan India, pemisahan Pakistan Timur (Bangladesh), bahkan mengunjur hingga ke Afrika, semuanya menggambarkan siapakah sebenarnya pendukung Khomeinisma dan apakah hakikat mereka. Catatan paling hitam peperangan Iran- Iraq telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada kekuatan umat di rantau berkenaan.
Beliau juga menjelaskan tentang kerjasama-kerjasama sulit Iran dengan negara-negara seperti Libya, Lubnan, bahkan dengan Israel dan Soviet Union. Sa’id Hawwa menekankan tentang lawatan berterusan wakil-wakil kerajaan Soviet Union ke Iran yang mana semua itu bercanggah sama sekali dengan laungan-laungan Khomeini di era Revolusi Iran yang diperjuangkannya.
Kekayaan umat Islam terbuang semata-mata untuk menghadapi gejala ini, bahkan kebangkitan Umat Islam juga mengalami kerugian akibat penglibatan Syiah di dalam gelanggang kebangkitan umat. Anasir-anasir kekuatan umat Islam banyak dipengaruhi Syiah lantas kelebihan itu tersalur ke arah yang bukan membawa kepada matlamat sebenar perjuangan umat, bahkan ke arah kepentingan Syiah semata-mata. Penampilan proses perlaksanaan Islam yang salah berlaku di Iran, apabila perlembagaan Iran mengaktakan mazhab sebagai dasar negara.
Jika sebahagian Syiah bersikap melampau di dalam prinsip taqiyyah (berpura-pura) mereka, kini di era Khomeini dan Revolusi Iran, taqiyyah itu menjangkau kepada penglibatan senjata api. Di suatu masa, Khomeini melaungkan penentangannya terhadap penguasaan Yahudi di Palestin tetapi di dalam masa yang sama, mengadakan kerjasama sulit dengan pihak musuh itu dan memberikan kemaslahatan kepada mereka.
PERTEMBUNGAN DI MASA HADAPAN
Sikap luar biasa Syiah yang memperlihatkan kecurigaan di sepanjang zaman tidak memungkinkan kita untuk meletakkan sebarang harapan dan simpati. Malah perkembangan di Iraq pasca serangan Bush dan penggantungan Saddam, mendedahkan kepada kita betapa lunaknya Syiah dengan sebarang peluang yang membolehkan mereka berkuasa, walaupun di atas kebinasaan orang lain.
Hal ini bakal menyulitkan lagi usaha untuk tidak mengaitkan Iran dengan fitnah umat Islam di akhir zaman kerana hadith ke 2944 di dalam Sahih Muslim menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Dajjal itu akan keluar dengan diikuti bersamanya Yahudi dari Esfahan (sebuah wilayah di Iran) seramai 70 ribu, mereka itu memakai Tayalisah (jubah-jubah yang besar)”.
Apakah kesudahan pengkhianatan Syiah terhadap Ahli Sunnah? Semuanya di dalam pengetahuan Allah. Namun, untuk melihat mereka sebagai sandaran harap, tiada catatan sejarah yang menyokong, malah apa yang berlaku adalah sentiasa sebaliknya.
Semoga Allah menyelamatkan kita semua daripada kekeliruan di zaman yang serba mencabar ini.
“Mohon ramaikan pelajar di Jabatan Sejarah” itu konklusi akhir sembang panjang tentang Syiah ini.
ABU SAIF
28 Februari 2007
Terima kasih atas pencerahan ustaz. Sangat menghargainya. 🙂
assalamualaikum,ustaz,mohon pendapat ustaz,bagaimana sekiranya terdapat pelajar yang membawa fahaman syiah,maksud saya dalam alam sekolah,dan apa pendapat ustaz tentang isu terkini syria yang dizalimi pemimpinnya sendiri yang syiah,apa cara kita untuk menghulurkan bantuan..selain dengan berdoa..sebabnya jika nak dibandingkan dengan palestine,rakyatnya diserang oleh pihak luar,israel,tapi rakyat syria yg sunni diserang oleh pemimpinnya sendiri..jadi berlakunya sekatan bantuan dari luar..mohon penjelasan…
Salam Ustaz,
Melihat kepada perang Iran-Iraq itu sendiri merupakan perang Sunni-Syiah.
Palestin hanya menjadi mainan Syiah yang tidak sama sekali berhasrat untuk membantu.
Kekal bersama ahli sunnah wal jamaah, amin..
Salam…sy mengerah otak memikirkan tentang pertanyaan Ali r.a ketika khaibar….”Ya Rasulullah! , atas dasar apakah kita memerangi manusia ? ”
Dlm hadith ini dah terjawab tetapi memerlukan “hikmah” di sebalik peristiwa sejarah ini dalam kita mengagungkan syiar yang “maadhin ilaa qiamissa’ah “. Sy jd takut melanggar perintah Allah dalam gejolak penghinaan yang terlalu banyak samaada dr dalam Islam, para pengkritik islam yg merasa leceh dalam masa sama masi mahu mengaku2 mebawa nama islam dan kemanusiaan termasuk munafik yang tidak diketahui dan berbangga dgn perjuangn yg di bawanya(kata2nya bnyak menjadikan kuffar “bersarang” di sisinya, sehingga mereka rasa disebelahi” )…..dan kaum putus harapan kafir, murtaddin, atheist, dajjal dan semisalnya yg xdpt dibendung lagi……
Assalamualaikum w.b.t Ustaz..
Kesan tindakan Abdullah B. Saba’ ini menjadi luka yang amat dalam kepada umat Islam sehingga hari ini.. Malah lebih memeritkan apabila segelintir pengkaji sejarah yang menjadikan buku ‘Maqtal Utsman’ (Pembunuhan Utsman) yang ditulis oleh Abu Mikhnaf Luth Bin Yahya dan buku ‘Ar-Riddah wa Ad-Daar’ yang ditulis oleh Muhammad Bin Umar Al-Waqidy sebagai rujukan apabila menghuraikan rentetan kejadian yang berlaku sebelum pembunuhan Saiyidina Utsman r.a. hinggalah naiknya Muawiyah Bin Abu Sufyan ke tampuk pemerintahan negara Islam sebagai seorang khalifah.
Karya Abu Mikhnaf Luth Bin Yahya, seorang Syiah ini ditulis pada 157H manakala buku yang ditulis oleh Muhammad Bin Umar Al-Waqidy pula ditulis pada tahun 207H, satu tempoh yang lama selepas berlakunya peristiwa pembunuhan Saiyyidina Utsman r.a. Oleh sebab yang demikian, tulisan mereka bukanlah layak dijadikan sumber rujukan.
Kebetulan saya membaca buku yang ditulis oleh Dr. Yusuf Al Isy’, seorang pakar sejarah Islam telah menulis sebuah buku bertajuk Dinasti Umawiyah dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Menurut Dr. Yusuf Al Isy’, beliau menyatakan dan menerangkan maklumat yang sahih dan terpenting haruslah dirujuk kepada riwayat oleh Abu Said Maula Abu Usaid As-Sa’idy Al-Anshari dan Ahnaf Bin Qais (meninggal dunia tahun 70H dan riwayatnya dicatat oleh An-Nasai’). Mereka berdua adalah segelintir dari penduduk Madinah yang melalui dan menyaksikan sendiri peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang krisis tersebut.
Saya sekadar menyampaikan rumusan dan pandangan dalam 2 artikel yang ditulis http://uniprof.wordpress.com setelah membaca buku tulisan Dr. Yusuf Al Isy dan Tarikuddin Hj Hassan.. Saya juga membuat sedikit rujukan silang dengan beberapa sumber seperti Sejarah Islam oleh Dr. Mahyuddin Hj Yahya dan juga Sejarah Ummat Islam oleh Buya Hamka..
Benar kata Ustaz, kita perlu meramaikan lagi generasi muda yang mempunyai kecenderungan untuk mempelajari, mengkaji dan menganalisis semula fakta-fakta dalam bidang sejarah.. Banyak hasil penulisan sejarah terutama yang memetik sumber orientalis harus disemak dan diperbetulkan semula..
Wallahu’alam bissawab (والله أعلمُ بالـصـواب)..
salam ya akhi saya tertarik dengan hadis ini :
“Dajjal itu akan keluar dengan diikuti bersamanya Yahudi dari Esfahan (sebuah wilayah di Iran) seramai 70 ribu, mereka itu memakai Tayalisah (jubah-jubah yang besar)”.
bukankah ia merujuk kepada empayar yahudi kazar? mohon pencerahan