Sudah lama saya membaca dan cuba memahami tentang sejarah Daulah Uthmaniah.
Membaca kerana ingin tahu, membaca kerana berminat, membaca kerana jatuh cinta, dan menterjemahkan hasil bacaan itu dalam tulisan, ceramah dan perbualan harian.
Masanya sudah tiba, pembacaan naik ke peringkat mengkaji.
Mengkaji bukan hanya berbekalkan kerajinan membaca, tetapi mengkaji dengan cara yang betul, tahu membezakan antara sumber yang benar dengan sumber yang salah, boleh membezakan di kalangan sumber yang benar itu, mana yang lebih utama antara satu sama lain.
Mengkaji bukan sekadar mengandai-andai sendiri maksud fakta yang ditemui, tetapi menafsir dan membahaskannya berdasarkan asas yang benar.
PERJALANAN AKADEMIK YANG BERLIKU
Saya selalu seperti tidak begitu ‘bernasib baik’ di dalam akademik. Ijazah sarjana muda saya mengambil masa yang amat lama untuk selesai. Untuk pengajian di peringkat sarjana (masters), saya diterima di QUB Belfast di dalam bidang Sosiologi Agama, tetapi menghadapi kekangan kewangan. Saya tidak mendaftar. Kemudian saya menyambung pengajian sarjana di The Open University UK, di bidang Pendidikan. Baru separuh jalan, saya ditimpa penyakit TB yang menyerang kelenjar limfa dan terpaksa dirawat selama 6 bulan. Pengajian terbantut. Tahun berikutnya saya menyambung semula pengajian yang sama, tetapi terpaksa kembali ke tanah air dan pengajian itu ditinggalkan.
Saya telah menyambung pengajian sarjana di UIAM pada tahun 2006 di bidang Sejarah di bawah Sains Sosial, telah menyempurnakan coursework dengan cemerlang, tetapi terkandas di peringkat penulisan tesis. Mungkin kerana kurangnya penekanan kepada kaedah penyelidikan, peringkat menulis amat sukar dan progresnya perlahan. Penyelia saya keluar dari UIAM dan saya juga terkandas tanpa menamatkannya.
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Usia bertambah. Masa terus berjalan. Minat kepada sejarah tidak pernah pudar. Tahun 2012 saya mendesak diri untuk memulakan kembali langkah. Saya mendaftar sebagai pelajar sepenuh masa di Fakulti Pengajian Islam UKM di dalam program Sarjana Pengajian Islam pengkhususan Pengajian Arab dan Tamadun Islam. Fokus saya masih dengan Daulah Uthmaniah.
Hikmahnya UKM sebagai universiti penyelidikan, semenjak hari pertama pengajian saya dan rakan-rakan sudah diasak dengan penyelidikan. Kami dilatih tubi untuk tahu membuat tinjauan literatur, menganalisanya, mencari lompang pengetahuan (gap of knowledge) di dalam kajian masing-masing, menimbulkan problem statement yang tulen dan seterusnya kami dilambakkan dengan assignment demi assignment yang amat berat.
Namun keperitan ini sangat dialu-alukan. Ia benar-benar menepati pepatah kita yang menyebut:
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Semester 1 selesai dengan baik, Alhamdulillah. Keputusan peperiksaan juga memberangsangkan. Terima kasih kepada pensyarah-pensyarah yang tekun mengajar, menyelia, menegur malah sering juga menghiburkan hati kami. Saya juga semakin fokus dan jelas arah kajian yang hendak dihala. Biar pun dari kaca mata kerjaya, saya tidak pasti apa prospek pekerjaan pada masa ini dan di masa hadapan, saya tekad untuk memberi sepenuh jiwa dan raga kepada tuntutan akademik ini.
Semasa cuti semester, saya terbang ke Turki selama 3 minggu untuk mengumpul bahan-bahan rujukan untuk penulisan disertasi. Sama seperti ramai rakan yang lain, adakalanya kami kena seimbangkan di antara impian dan kemampuan. Kajian saya untuk disertasi membabitkan kajian biografi, bibliografi dan seterusnya sejarah intelektual seorang tokoh yang hidup pada kurun ke 16 Daulah Uthmaniah. Rujukan-rujukan primer serta kajian-kajian semasa mengenainya hampir tiada di tanah air. Saya perlu ke Turki untuk mencarinya.
Syukurlah, Allah memberikan begitu banyak kemudahan. Dalam kekangan kewangan, masa, komitmen keluarga, Allah temukan saya dengan ramai insan berbudi dan mulia hati, membantu saya di dalam perjalanan tersebut. Alhamdulillah, 3 minggu di Turki, saya berjaya mengumpulkan bahan-bahan rujukan yang diperlukan.
Semester kedua datang bersama enam lagi subjek untuk disempurnakan. Cabarannya sama seperti di semester satu, namun kejelasan fikiran terhadap kajian, bertambah dengan baik.
Tidak saya nafikan, bebanan fizikalnya sungguh luar biasa. Hingga saya berdoa kepada Allah agar janganlah saya diserang sakit jantung, kerana keletihan yang melampau terutamanya di musim peperiksaan dan menyiapkan tugasan akademik. Saya kira, bukanlah kerana pengajian itu terlalu sukar, tetapi lebih kepada kelemahan saya untuk segera menyesuaikan diri dengan mood akademik serta meninggalkan kehidupan silam yang kasual.
Alhamdulillah, semester dua juga sudah selesai. Tugasan akademik semua sudah dihantar. Keputusan masih belum keluar. Mudah-mudahan lulus semuanya. Proposal disertasi juga sudah diterima dan diluluskan oleh jabatan. Kini tiba masa yang kritikal untuk saya menulis disertasi. 6 bab perlu disempurnakan. Saya diberi masa 2 bulan oleh penyelia untuk menyelesaikan pembacaan ke atas kitab al-Tariqah al-Muhammadiyyah oleh Birgivi Mehmed Efendi serta mencerakinkan isi kandungannya.
SUMMER SCHOOL DI ISTANBUL
IBA OTTOMAN CULTURE AND HISTORY SUMMER SCHOOL
Tanpa disangka-sangka, satu lagi rezeki akademik datang menggolek.
Saya telah menerima tawaran untuk menyertai Summer School yang dianjurkan oleh Istanbul Sciences Academy (IBA) di Istanbul. Program ini asalnya dibuka hanya kepada pelajar USA, tetapi kemudiannya ditawarkan ke peringkat antarabangsa. Persaingan begitu sengit kerana hanya 20 kerusi yang ditawarkan untuk calon seluruh dunia. Saya juga menghantar borang pada hari penutup permohonan berbekalkan keputusan peperiksaan semester 1, surat sokongan penyelia dan proposal disertasi.
Program ini merupakan sebuah kursus intensif yang dianjurkan oleh IBA untuk memberi latihan akademik dan penyelidikan kepada pengkaji-pengkaji sejarah Daulah Uthmaniah membabitkan kursus Bahasa Turki Uthmaniah (Osmanlica), Ottoman Art and Culture, Ottoman Political History, Ottoman Social and Economic Life, Ottoman History of Science and Thought.
Insha Allah saya akan berlepas ke Istanbul pada 10 Ogos 2013 akan datang dan akan berada di sana selama kira-kira tiga minggu. Semoga kursus ini mengukuhkan keupayaan akademik saya, bukan sekadar untuk menyempurnakan pengajian sarjana yang dijadualkan tamat pada Jun 2014, malah untuk peringkat doktor falsafah dan jika ada rezeki, menjadi ahli akademik yang berbakti untuk ilmu dan ummah.
Sudah tentu, pengorbanan besar adalah di balik tabir semua ini. Kesabaran isteri dan anak-anak sama ada ketika melayan stress memuncak saya, mahu pun semasa pemergian ke Istanbul tempoh hari dan kali ini. Saya tiada perkataan untuk mengungkapkannya, kecuali sejuta penghargaan, dan segunung doa agar Allah merahmati kami sekeluarga.
Program Summer School ini disertakan bersamanya biasiswa untuk yuran program, penginapan, makan minum, kos seminar, dan lawatan-lawatan yang diadakan sepanjang pengajian. Peserta dikehendaki menyediakan sendiri tambang penerbangan ke Istanbul, takaful kesihatan dan perbelanjaan poket untuk diri sendiri dan membeli buku-buku berdasarkan keperluan masing-masing.
Semoga Allah murahkan rezeki dan membantu mengekalkan istiqamah saya dalam menyempurnakan pengajian kali ini. Demikian juga buat rakan-rakan sepengajian saya yang saya kasihi semua.
Salam Ramadan.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Semoga berjaya, ustaz. Bukan senang sambung belajar semasa sudah berkeluarga. Harap ustaz dapat sampai ke cita2 ustaz.
Terima kasih sahabat.
Semoga Ustaz terus memecut ke garisan penamat. Semoga Allah memurahkan rezeki Ustaz.
Āmīn, terima kasih ustaz. Perjalanan masih jauh. Namun sentiasa membawa bekalan yang ustaz bekalkan selama ini
Semoga Allah permudahkan perjalanan di sana. balik nanti kena buat liqa’ kongsi pengalaman 3minggu di sana. tentu sangat2 menarik…
Terima kasih ustaz. Balik nanti insha Allah kita buat kuliah bersiri untuk topik Daulah Uthmaniah, ok tak?
Selamat maju jaya Ustaz. Menarik sekali saya baca liku perjalanan akademik Ustaz. Moga Allah permudahkan. Ameen.
Āmīn. Terima kasih sahabat. Semoga Allah maqbulkan doa sahabat-sahabat yang soleh
Syukur & tahniah Ustaz, kerana terpilih menyertai kursus IBS. Semoga perjalanan pengajian ustaz dipermudahkan oleh-NYA. Di harap ilmu yang diperoleh dapat di kongsi bersama. Insya Allah.
Āmīn. Terima kasih sahabat. Semoga Allah maqbulkan doa sahabat-sahabat yang soleh. Erti hidup pada memberi dan terus berkongsi
Alhamdulillah dan tahniah ustaz.semoga dipermudahkan semua urusan ustaz.Semoga kembali nanti ustaz sudi berkongsi pengalaman di sana seperti mana ustaz kongsikan pengalaman di Turki dalam program Sembang Santai Secangkir Teh Pengubat Letih di UKM tak lama dulu.
InsyaAllah
oh.. 10hb Ogos.. Tahniah ustaz, Moga berjaya & meneruskan perjalanan dengan baik insyaAllah!
ustaz dah ilang di pesbuk.. 🙁
membawa diri, ke arah yang lebih baik mudah-mudahannya 🙂
Alhamdulillah, tahniah atas peluang ini ustaz. Semoga Allah mempermudahkan urusan dan cita-cita ustaz! Ameen.
Doakan juga zaujah ana berjaya dalam Viva first year (interim) pada Ogos ini ya ustaz, supaya beliau dapat meneruskan langkahan ke tahun kedua dan seterusnya.
Seeru ala barakatillah ya ustaz habib
Assalamu’alaikum Ustaz,
Saya juga pelajar pasca siswazah sebagaimana ustaz. Agak lama tidak menjenguk Saifulislam.com kerana sibuk menyiapkan kerja-kerja penyelidikan. Dalam masa sama timbul gusar dalam hati kerana bakal menyambut zuriat pertama tidak beberapa lama lagi. Benar, menyambung pengajian pasca siswazah dalam keadaan berkeluarga amat mencabar.
Kadang-kala ada rasa mahu mengalah, namun, alhamdulillah membaca tulisan ustaz kali ini sedikit sebanyak mengingatkan saya penerangan ustaz berkenaan konsep ‘nafar’ ke medan ilmu dalam buku ustaz sebelum ini.
InshaAllah, kejayaan yang kita cari ini bukan sekadar segulung ijazah, tetapi nilai dan pengalaman yang kita tempuh.
Terima kasih ustaz kerana berkongsi, semoga Allah merahmati Ustaz sekeluarga.
Semoga Ust Hasrizal (Dr. to be) berjaya hendaknya. Kami sentiasa mendoakan.
Bismillahirahhmannirahim.
Assalamualaikum.
Ustaz, saya mahfuzah ingin menyambung pelajaran dalam bidang tamadun islam dan masih mencari universiti yang sesuai. Untuk pengetahuan, saya memegang ijazah sains pentadbiran dan memang tiada latar belakang khusus dalam pengajian islam kecuali semasa disekolah menengah dulu. Sejak dulu saya memang berminat dalam bidang sejarah namun, keinginan untuk belajar dalam pengajian tamadun islam membuak apabila membaca buku kisah ahmad ammar yang meninggal di bumi turki. Harap ustaz boleh memberikan sedikit komen atau panduan dalam niat saya untuk mempelajari bidang tamadun islam.
TQ.
Waalaikum al-salam WBT. Ada dua tempat di Malaysia yang boleh saya cadangkan iaitu Masters of Human Sciences in History and Civilization di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (kampus Gombak). UIAM boleh menerima pelajar yang latar belakang pendidikannya berbeza bidang, asalkan pelajar mengambil beberapa subjek pra syarat tambahan sebagaimana yang akan mereka tentukan.
Keduanya ialah institusi baru iaitu CASIS di UTM Jalan Semarak. Saya tiada banyak maklumat, namun saya yakin institusi ini juga sesuai dengan hajat saudari.
Selamat maju jaya.
bagaimana untuk memhon biasiwa kerajaan turk dalam kos ottoan history.terima kasih