Persinggahan Imam Mazhab di Serambi Kerajaan ‘Abbāsi

baytalhikmah

Bayt al-Hikmah [kredit foto: Wikipedia]

Selain daripada perkembangan sains dan seni kesusasteraan, Daulah ‘Abbāsiyyah juga menyaksikan perkembangan yang rancak di dalam perkembangan bidang Fiqh.  Keempat-empat imam utama di dalam mazhab Fiqh memainkan peranan dan menyumbang secara signifikan di era awal pemerintahan Daulah ‘Abbāsiyyah.

Akan tetapi, pergeseran di antara ‘ulama dan umara turut berlaku dari semasa ke semasa.

Berikut adalah sebahagian catatan mengenainya:

MALIK BIN ANAS

Imam Malik ibn Anas (711 – 795M) lahir  di Madinah di zaman pemerintahan khalifah Bani Umayyah al-Wālid ibn ‘Abd al-Mālik (705-715M). Biar pun kesarjanaannya tertumpu di Madinah, Imam Malik ibn Anas telah berhadapan dengan konflik yang terjadi antara beliau dengan khalifah ‘Abbāsiyyah, Ja’far al-Mansūr. Sungguh pun perselisihan itu berlarutan hingga membawa kepada tindakan kekerasan yang dikenakan ke atas Imam Malik, ia akhirnya berjaya diselesaikan. Khalifah al-Mansūr telah mengunjungi Imam Malik semasa musim Haji dan memperbaiki hubungan sesama mereka.

Walaupun Imam Malik berpendapat bahawa khalifah pada masa itu tidak melaksanakan ajaran Islam dengan sempurna, beliau memilih untuk tidak menentangnya, sebaliknya meneruskan proses nasihat dan surat menyurat menegur kesilapan pemerintah. Antara sumbangan besar Imam Malik kepada perkembangan Fiqh dalam hayatnya adalah penghasilan Kitab al-Muwatta’ pada tahun 159H. Buku ini mendokumentasikan Fiqh ahli Madinah dan menganjak tradisi dan amalan ahli Madinah yang sebelum itu hanya diwarisi secara lisan dan tidak dibukukan sebagai rujukan.

Sebahagian sejarawan berpendapat penulisan buku ini adalah atas permintaan khalifah al-Mansūr namun beliau tidak sempat melihat buku itu disempurnakan kerana telah meninggal dunia sebelumnya.

ABU HANIFAH

Seterusnya, Imam Abu Hanifah (699-767M), berketurunan Parsi dan membesar di Kufah, telah hidup selama 42 tahun di bawah pemerintahan Bani Umayyah dan 18 tahun di bawah Daulah ‘Abbāsiyyah. Komitmennya kepada Daulah ‘Abbāsiyyah teruji di zaman pemerintahan khalifah al-Mansūr apabila pelbagai konflik berlaku di antara pendapat beliau dengan al-Mansūr.

Biar pun Imam Abu Hanifah tidak menulis buku di bidang Fiqh, koleksi hadith yang diriwayatkan daripada beliau terkumpul di dalam Musnad yang dinisbahkan kepadanya. Legasinya di dalam Fiqh telah diwarisi kepada anak muridnya yang utama iaitu Abu Yūsuf dan al-Shaybāni. Abu Yūsuf telah menulis Kitab al-Ātsār yang menghimpunkan fatwa-fatwa Imam Abu Hanifah di Kufah. Manakala al- Shaybāni pula mengarang Kitab al-Masbut yang menghimpunkan jawapan Imam Abu Hanifah sendiri kepada soalan-soalan yang diajukan kepadanya.

AL-SHAFI’I

Begitu juga dengan Imam al-Shāfi’ī (767-820M). Dalam pengalaman beliau hidup di bawah pemerintahan Daulah ‘Abbāsiyyah,  cabaran getir bermula apabila Daulah ‘Abbāsiyyah bertindak tegas menentang pemberontakan kelompok ‘Alawi. Interaksi yang wujud antara Imam al-Shāfi’ī dan ‘Alawi ini telah menimbulkan prasangka kepada gabenor ‘Abbāsiyyah di Yaman, yang mengesyaki Imam al-Shāfi’ī sebagai pro ‘Alawi.  Beliau telah memaklumkan hal ini kepada khalifah Hārūn al-Rashīd. Beliau bersama sembilan orang ‘Alawi dipanggil mengadap khalifah, dan hanya beliau yang terselamat ketika itu.

Biar pun Imam al-Shāfi’ī berhadapan dengan pelbagai masalah di Baghdad, beliau memilih untuk terus tinggal di Baghdad dan mengaji dengan al-Shaybāni, anak murid Imam Abu Hanifah. Semasa ke Mekah dan mengajar di al-Masjid al-Haram, Imam al-Shāfi’ī telah bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal. Beliau kemudiannya pulang ke Baghdad dan mengarang Kitab al-Risālah.

Apabila khalifah al-Ma’mun menaiki takhta, Imam al-Shāfi’ī tidak senang dengan bertambahnya pengaruh kaum Parsi ketika itu. Beliau telah meninggalkan Baghdad dan berhijrah ke Mesir sehingga meninggal dunia di Fustat bersama tinggalan karya pentingnya Kitab al-Umm.

AHMAD BIN HANBAL

Imam Ahmad ibn Hanbal (780–855M) merupakan anak kelahiran Baghdad. Kemiskinan yang dialami oleh keluarganya tidak menghalang beliau daripada menuntut ilmu dan menjadi salah seorang sarjana terkemuka di era berkenaan. Ujian bermula apabila khalifah al-Ma’mun menaiki takhta. Beliau telah menerima pendapat Muktazilah yang mengatakan bahawa al-Quran itu adalah makhluk. Al-Ma’mun mengisytiharkan bahawa semua ulama mesti menerima pendapat tersebut.

Imam Ahmad bin Hanbal telah menolak kepercayaan itu dan ini telah menyebabkan beliau ditangkap dan dibawa mengadap al-Ma’mun dalam keadaan dirantai. Akan tetapi al-Ma’mun telah meninggal dunia sebelum sempat berkonfrontasi dengannya. Khalifah al-Mu’tasim yang menggantikan tempat al-Ma’mun, turut berpegang dengan pendapat Muktazilah itu. Beliau bertindak keras terhadap Imam Ahmad ibn Hanbal dan kemudian memenjarakannya selama 28 bulan. Selepas dibebaskan daripada tahanan, Imam Ahmad ibn Hanbal meneruskan aktiviti mengajarnya namun terganggu kembali apabila khalifah al-Wāthiq menaiki takhta. Khalifah telah memutuskan yang Imam Ahmad ibn Hanbal tidak boleh berada di lokasi yang sama dengan khalifah, atau akan menerima tindakan keras olehnya. Imam Ahmad ibn Hanbal bersembunyi di Baghdad sehingga khalifah al-Wāthiq sendiri meninggal dunia. Antara sumbangan terpenting Imam Ahmad ibn Hanbal adalah Musnad beliau.

Era Daulah ‘Abbāsiyyah adalah era yang penting berkaitan dengan perkembangan bidang Fiqh.  Biar pun sebahagian daripada khalifah ‘Abbāsiyyah itu menzalimi dan menganiaya para sarjana Islam, ia tidak menghalang mereka daripada terus memainkan peranan yang signifikan pada membangunkan ilmu Fiqh dan cabang-cabangnya dan legasi kepada usaha itu kekal hingga ke hari ini.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Check Also

Menamatkan Pendidikan Kiasu

Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini. Setelah anak nekad terjun membunuh …

3 comments

  1. Daripada pembacaan sejarah , ternyata yang membuatkan Allah mencabut kekuasaan daripada orang2 Islam adalah kerana perbuatan tangan mereka sendiri. Itulah sebab utama……….yahudi dan kuffar adalah sebab sekunder/tertier…Benih kejatuhan telah ditanam jauh lebih lama dari saat kejatuhan kerajaan2 Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share