Ammar: Antara Tadbir Insani dan Takdir Ilahi

yildiz

Cuaca hari itu sejuk mengigit diri.

Salji turun tebal, melitupi bumi Istanbul semenjak beberapa hari.

Ia waktu yang enak untuk sesiapa sahaja melenakan diri di bilik, berselimut, berbual-bual kosong bersama teman, menunggu Zohor, Asar, hingga tenggelam matahari dan sehari berlalu, seperti sehari sebelumnya.

Namun bagi saya, setiap saat berada di Istanbul mesti saya manfaatkan. Seminggu yang diperuntukkan untuk lawatan kali itu, setiap detik, mesti ditentukan kegunaannya. Saya sedang mengumpul maklumat yang cukup tentang Sultan Abdul Hamid II, seorang sultan yang dianiaya umat terkemudian yang tidak mengenalinya.

Sultan merah.

Kuku besi.

Anti demokrasi.

Diktator.

Namakan apa sahaja gelaran jelek untuk seorang pemimpin, Sultan Abdul Hamid II dimomokkan sepuasnya.

Tidak banyak buku yang ditulis, untuk membela baginda. Di tanganku hanya ada tiga naskhah buku, kesemuanya ditulis dan diterjemahkan oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb. Beliau adalah sebahagian kecil daripada penyelidik dari Dunia Arab, yang menulis tentang Dawlah Uthmaniyyah dengan merujuk sumber-sumber Turki.

Al-Uthmaniyyun fi al-Tarikh wa al-Hadharah.

Walidi al-Sultan Abdul Hamid, oleh Aishah Osmanoglu, beliau terjemahkan.

Mudzakkirat al-Sultan Abdul Hamid, juga beliau terjemahkan.

Membaca sesuatu daripada penulisan seseorang, atau mendengar sesuatu daripada pengucapannya, kekal sebagai maklumat, bukan ilmu pengetahuan. Sehinggalah sumber ambilannya diketahui, dan kita membaca sendiri. Ilmu bukan apa yang kita dengar, tetapi apa yang kita pelajari. Biar pun buku-buku karya Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb amat bagus sebagai pembetul kefahaman tentang Dawlah Uthmaniyyah, saya tidak boleh sekadar menyandarkan pendirian hanya kepada beliau. Saya perlu mencari apa rujukan beliau. Memendekkan ‘sanad’ maklumat, hingga sampai ke sumbernya yang utama.

Itu yang membawa saya ke Istana Yildiz.

Perpustakaan IRCICA menyediakan maklumat yang cukup banyak.

Saya yang kekurangan masa. Saya bukan warga Istanbul. Saya anak Malaysia yang menuntut di Jordan. Tanggungjawab utama saya di situ. Namun hati saya sentiasa di sini. Di bumi Constantinople ini.

HAMBA DI SINI

joanhaslip

The Sultan oleh Joan Haslip [kredit Amazon]

“I am sure that the historians will vindicate me, and even if the Turkish historians do not do so I am certain that some foreign historian will do me justice.” [THE SULTAN: THE LIFE OF ABDUL HAMID. By Joan Haslip. London: Cassell, 1958]

Saya terkejut.

Ia ungkapan yang dipetik oleh Joan Haslip daripada catatan Sultan Abdul Hamid II semasa dalam buangan di Salonika.

Kata baginda, “Saya pasti ahli sejarah akan membela mempertahankan saya. Dan jika sejarawan Turki tidak melakukannya, saya yakin bahawa sejarawan asing akan menunaikan untukku sebuah keadilan!”

Secara spontan, saya bermonolog, “hamba di sini, tuanku!”

Kata-kata itu sungguh besar ertinya. Saya rasa seperti menerima watikah lantikan Sultan untuk menjadi seorang vakanuvis. Namun kali ini peranannya bukan sekadar seorang vakanuvis yang mencatat kejadian semasa. Sebaliknya sejarawan yang menelusi catatan vakanuvis semalam, untuk menyingkap kebenaran.

Harapan dan keyakinan Sultan Abdul Hamid II, tentang akan adanya nanti sejarawan asing yang membela baginda dan Dawlah Uthmaniyyah, menjadi pembakar semangat buat saya untuk mengkhususkan diri mengkajinya.

Turki dan Dawlah Uthmaniyyah masih sesuatu yang amat asing daripada masyarakat di tanah air. Tamadun 600 tahun itu bukan sekadar masjid dan istana indah yang hendak dibanggakan. Tetapi ia adalah pengalaman membangunkan sistem, merencanakan ideologi dan pemikiran, mengolah Islam mendepani cabaran modenisasi, mentadbir kepelbagaian agama, budaya dan bahasa, bekalan-bekalan yang diperlukan untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang padu reka bentuk dan pembinaannya.

Itu cita-cita saya.

TADBIR INSANI

Musim panas 1996, saya pulang bercuti ke tanah air.

“Ustaz Bukhari Lubis itu kawan pakcik. Biar pakcik temukan Hasrizal dengan dia” kata Pakcik Milatusamsi.

Semangat alumni Sekolah Izzuddin Shah itu selalu juga membantu.

Saya tidaklah begitu bersungguh untuk mendapatkan tempat di UKM. Ia masih terlalu jauh. Saya perlu menghabiskan pengajian Syariah di Jordan. Manakala kecintaan mendalam kepada bidang sejarah dan Dawlah Uthmaniyyah pula perlu diuruskan tanpa mengabaikan tanggungjawab utama. Tetapi Pakcik Milatusamsi amat berhajat. Beliau mahu saya berkenalan dengan Ustaz Bukhari Lubis, sahabatnya, pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM.

bukharilubis

Prof Bukhari Lubis [kredit: UPSI]

“Ana sangat bersetuju dan gembira dengan perancangan anta” kata Ustaz Bukhari Lubis.

Beliau nyata sangat gembira.

Matanya bercahaya galak. Mahukan saya meneruskan cita-cita itu.

Anak Malaysia, berbahasa Turki, belajar di Turki, sesuatu yang sukar dirancang oleh manusia, terjadi dengan aturan Ilahi.

Saya dibawa bertemu dengan pihak atasan, untuk berbual tentang peluang-peluang di masa hadapan.

“Maaf, kita sekarang di era apa yang tertulis di atas kertas. Ijazah anta di bidang Shariah. Bukan Sejarah atau Tamadun Islam” kata ketua di jabatan.

Saya mengangguk.

Terkilan tidak, gembira pun tidak. Mengambilnya sebagai maklumat, bahawa cita-cita saya itu menuntut diri untuk lebih berdikari.

Tetapi Ustaz Bukhari Lubis yang marah.

Beliau kecewa dengan reaksi ketuanya.

“Anta doakanlah ana naik pangkat jadi ketua jabatan. Biar ana ubah birokrasi-birokrasi yang merugikan itu. Bukan senang untuk mencari anak muda yang sanggup mengkaji apa yang anta kaji. Tetapi kerana birokrasi, itu sahajakah yang boleh dikata? Ustaz Bukhari Lubis merungut.

Kami sama-sama melangkah meninggalkan Fakulti Pengajian Islam UKM.

Beberapa butir nasihat beliau bekalkan.

Pertemuan pertama dan terakhir. Saya teruskan perjalanan.

Perjalanan mengkaji sejarah dan tamadun Dawlah Uthmaniyyah, untuk memulangkan kebaikan kepada masyarakat.

Tetapi perjalanannya terasa begitu sukar.

Apa yang dirancang, adalah tadbir insani.

Insan yang dibelenggu oleh pelbagai kemanusiaannya yang melemahkan sebuah perancangan.

Impian saya tidak menjadi.

Pengajian di Jordan bergelombang hingga ke hujung tanduk. Saya berhijrah ke Eropah, bekerja sebagai Imam. Pulang ke Malaysia, terjun ke alam pekerjaan, yang menjauhkan diri daripada impian semalam.

TANGGA KEMASYHURAN

283207_1456461307589_1715067555_664743_6194965_n

Saya mengukir nama di pelbagai bidang. Penulisan, motivasi, ustaz radio dan tv, biar pun perlahan, saya mendaki sedikit demi sedikit tangga kemasyhuran.

Kemasyhuran yang menjadi impian sesetengah orang.

Tetapi kemasyhuran yang mendera saya di dalam diam.

Ia bukan apa yang saya mahukan. Biar pun manfaat dan kebaikannya tidak saya nafikan, cinta saya kepada bidang sejarah tidak pernah padam. Saya mahu kembali ke buku dan kajian. Saya mahu sejarah dipelajari bukan sebagai bahan permainan.

Saya bukan ‘kecewa’ hanya untuk diri saya sendiri. Tetapi kecewa untuk masyarakat. Tanpa masyarakat sedari, ada keperluan mereka sendiri yang saya hampakan.

ayatayatcinta

Bersama Kang Abik dan Dr Raja Iskandar dalam forum di UTP

tv3-mhi

Malaysia Hari Ini TV3

Tambahan pula semakin lama, Turki semakin popular, tetapi hanya popular sebagai destinasi pelancongan. Berebut-rebut orang ke Turki melihat masjid, melihat istana. Pulang ke Malaysia, bersama foto dan cerita. Dan tamat begitu sahaja.

Turki bertambah popular, semakin ramai yang kenal Erdogan dan Davudoglu. Bertambah juga mereka yang menamakan anak masing-masing dengan al-Fatih.

Buku demi buku, artikel majalah demi artikel majalah, semakin banyak dihasilkan. Tetapi kebanyakannnya masih ‘permainan’ dan belum menjadi sebuah ILMU untuk tamadun bersandar. Dawlah Uthmaniyyah memerlukan pengkaji yang mengkaji dokumen-dokumen berjumlah lebih 92 juta itu. Dikaji untuk mencari knowledge gap yang tulen untuk diisi dengan ilmu yang dihalusi.

Dawlah Uthmaniyyah di Malaysia, masih jauh daripada kesarjanaan.

Profesor Mohd Redzuan Othman semakin senior. Generasi muda masih lengah menyambut tugasan.

KEMBALI KE MEJA BACA

Saya mencuba di UIAM.

Rezeki tidak di situ.

Biar pun pengajiannya amat bagus, berguna dan saya meletakkan penghargaan tertinggi pada setiap bait ilmu yang dikutip di taman ilmu dan budi itu, Dawlah Uthmaniyyah bukan pengkhususannya. Kelemahan saya, bidang itu tidak berakhir dengan baik. Saya gagal menamatkan pengajian, kecundang dalam peringkat penulisan tesis di sebuah universiti yang kurang melatih.

Saya kembali ke medan populis.

Medan yang memberikan banyak perkara yang saya perlu, tetapi semakin menjauhkan saya daripada apa yang saya mahu. Medan yang memberikan masyarakat banyak yang mereka mahu, tetapi semakin menjauhkan mereka daripada apa yang mereka perlu.

Akhirnya pada tahun 2012, saya nekad meninggalkan segalanya.

ukm

Saya kembali ke meja baca. Di UKM yang membuka laluan untuk saya mengejar cita-cita. Biar pun Prof Bukhari Lubis sudah lama meninggalkan UKM ke UPSI, pensyarah-pensyarah semasa tidak kurang handal mereka. Para pensyarah saya, memberikan galakan sepenuhnya, kepada tumpuan saya mengkaji Dawlah Uthmaniyyah.

Biar pun era Sultan Abdul Hamid II telah beralih ke zaman-zaman yang lebih awal kira-kira 300 tahun sebelumnya, tuntutannya masih serupa. Saya perlu mencari jalan untuk belajar semula Bahasa Turki. Syarat pertama untuk menjadi pengkaji sejati.

Ketika diri sudah berkeluarga, isteri berkerjaya dan empat cahaya mata, aturan fokus saya tidak lagi seperti sebelumnya. Saya mesti lebih selektif memberi tumpuan. Dan dalam pertambahan umur, rambut yang gugur di meja baca, dan yang putih bertambah di kepala, saya menginsafi batasan masa, bahawa saya sudah kehilangan banyak ruang usia.

HATI BERBUNGA-BUNGA

Namun hati saya kembali berbunga-bunga, apabila Februari 2013 saya dipertemukan dengan sekumpulan anak muda di Turki. Saya tidak kenal mereka. Mereka juga tidak kenal saya. Mereka datang ke Turki, untuk memenuhi sebuah tuntutan. Bahawa Malaysia memerlukan sarjana, kali ini mendapat latihan ilmiah di bumi Uthmaniyyah.

hatiberbungadiistanbul

Saya bertaaruf dengan anak-anak Malaysia yang sungguh mengujakan saya. Bersama Imad dan Azri yang menyambut saya di Lapangan Terbang Ataturk, saya bertaaruf pula dengan sebahagian lagi di kediaman mereka di Mobilyacilar. Sesuatu yang terlalu di luar jangkaan. Bahawa selepas lebih 10 tahun saya meninggalkan Turki, kini ada anak Malaysia yang belajar di sini. Malah dengan biasiswa oleh kerajaan Turki. Manakala sebahagiannya dengan biasiswa universiti.

Sesuatu yang hanya mampu saya lakarkan di dalam mimpi.

Dan antara yang ramai itu, pada malam pertama saya di Istanbul, saya berkenalan dengan dua anak muda yang belajar di bidang sejarah. Halim dan Ammar.

“Ayah ana masih ingat dengan ustaz. Beliau sedih juga sebab ustaz tidak terus mengkaji sejarah. Sedikit sebanyak, saya berada di Turki kerana kejadian pertemuan ayah dengan ustaz, di UKM dahulu!” kata Halim.

Saya terlopong.

Halim adalah anak Prof Bukhari Lubis.

Dan beliau juga adalah bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah, sekolah saya.

Halim masih di peringkat menghabiskan kursus persediaan bahasa beliau, sebelum menyambung pengajian di bidang sejarah di Universiti Bogazici, Istanbul.

“Ana baru selesai tahun satu di Universiti Marmara” kata anak muda yang nampak pendiam itu.

Ahmad Ammar memperkenalkan dirinya.

“Di Goztepe?” saya bertanya.

“Ya” beliau tersenyum.

Saya pernah ke Goztepe kira-kira 15 tahun yang lalu. Bertemu dengan pensyarah-pensyarah jabatan untuk mendapat nasihat mereka. Saya ke sana bersama Ustaz Adnan Cevik, pelajar PhD di situ.

Ahmad Ammar adalah anak kepada Tuan Haji Ahmad Azam, mantan Presiden ABIM. Saya mengetahui tentang beradanya Ammar di Istanbul melalui saudaranya yang saya temui di Dubai, semasa dalam perjalanan ke Istanbul.

“Beliau pelajar cemerlang SPM di RMC. Tetapi memilih ke Turki untuk belajar sejarah. Ustaz jumpalah dengan dia nanti” kata saudara Ammar, usai ceramah Maulidurrasul saya di Dubai sehari dua sebelumnya.

Saya teruja berkenalan dengan Ammar dan Halim.

Akhirnya impian saya, disambut oleh generasi adik-adik yang lebih mewah peluang dan masa. Impian Sultan Abdul Hamid II untuk melihat sejarawan asing membela kebenaran.

Sepatutnya saya cemburu. Tetapi saya terlalu tua untuk cemburu. Ia pantas menjadi sebuah rasa gembira, syukur dan bangga. Ungkapan saya kepada Ammar dan rakan-rakan, “kalian berjaya hidup dalam sebuah realiti hari ini yang merupakan impian saya semalam”

CABARAN TERSENDIRI

Semasa di Istanbul, saya meluangkan masa berbincang dengan Ammar, Halim dan sahabat-sahabat mereka yang menuntut di sana, tentang banyak persoalan.

Ammar menyuarakan keprihatinan beliau tentang program pengajian Sejarahnya yang ketiadaan elemen ‘Ilahiyat’ untuk membentuk pandangan hidup Muslim. Ia penting kerana Ammar bukan hanya mahu menjadi sejarawan, tetapi sejarawan yang jati diri dan dasar intelektualnya adalah ISLAM.

Elemen yang Ammar persoalkan itu adalah salah satu sebab mengapa saya bersyukur dengan laluan ‘bukan pilihan’ yang saya lalui sebagai pelajar Syariah di Jordan. Asas penting dalam ilmu Islam, untuk membentuk pandangan hidup (Weltanschauung) dan epistemologi tsaqafah (Wissenschaftslehre), akan menjadi cabaran besar buat Ammar, juga Halim, sebagai pelajar Sejarah semenjak peringkat sarjana muda.

Sejarah yang dipelajari dalam kerangka sains sosial tulen.

Hidup ini memang begitu.

Win some, lose some!

Namun di situlah saya ingin berperanan. Membantu adik-adik. Mereka tidak perlu sunyi dan terkapai-kapai seperti saya. Mereka tidak boleh mengulangi kesilapan saya.

Oleh kerana terlalu banyak persoalan yang timbul, masa perbualan kami membataskan perbincangan. Saya cadangkan kepada mereka, apabila pulang bercuti di Malaysia nanti, datanglah ke rumah saya. Dalam suasana yang lebih kondusif, saya merancang untuk menghimpunkan beberapa buah buku dan artikel, untuk saya serahkan khusus kepada Ammar dan Halim, juga untuk manfaat sahabat-sahabat yang lain, demi membentuk disiplin Islam dalam minda sejarawan mereka.

Saya juga mengambil peluang untuk menemukan mereka dengan beberapa kenalan saya, yang kebetulannya sudah menjadi orang-orang yang berpangkat, serta signifikan untuk kelancaran perancangan akademik mereka.

Semasa di Istanbul, saya temukan Halim dan Syafiq dengan Dr. Hasan Tuncay Basoglu di İslami Araştırmalar Merkezi (İSAM) . Hasan adalah bekas ahli rumah saya, dan kini memegang jawatan sebagai Timbalan Direktor di Pusat Kajian Islam berkenaan.

Selepas perjalanan ke Birgi bersama Nabhan dan Halim, saya membawa Saifuddin Shaharuddin, Halim Khayat dan Ammar yang datang dengan bas dari Istanbul ke Ankara, ke rumah sahabat saya, Dr. Cenksu Ucer. Cenksu adalah teman sebilik saya semasa di Jordan dan kini bertugas di Diyanet Vakfi, Ankara.

ankara

Kami berbual dan berbual.

Terlalu banyak persoalan berbangkit. Tidak sempat dibual sepenuhnya.

Saya kembali ke Malaysia, meneruskan pengajian di semester dua.

CUTI MUSIM PANAS

“Ana dan rakan-rakan akan balik bercuti di Malaysia pada musim panas ini. Harap dapat bertemu ustaz. Banyak yang kami hendak bincangkan” Ammar memberitahu saya melalui Facebook.

Arif juga ada memaklumkan perkara yang sama.

Halim Khayat, Saifuddin, Nabhan dan ramai lagi pelajar Malaysia yang saya temui di Turki, akan balik bercuti.

Hati saya begitu gembira, Saya ceritakan kegembiraan itu kepada pensyarah dan rakan di UKM. Saya membayangkan 5 ke 10 tahun akan datang, kekosongan bidang kajian Dawlah Uthmaniyyah akan mula terisi, dengan anak-anak muda ini.

Tetapi sepanjang cuti, Ammar dan rakan-rakan yang lain sibuk dengan pelbagai aktiviti. Saya terkenang pengalaman lama saya semasa menuntut di Jordan. Biar pun tiga bulan kedengarannya seperti panjang, masa itu akan berlalu begitu pantas. Tambahan pula, Ammar aktif mengikut ibu bapanya ke Indo China, Indonesia dan beberapa destinasi lain untuk program bantuan kemanusiaan. Saya memerhatikan dengan senyuman aktiviti-aktiviti itu melalui Facebook beliau dan rakannya.

Sempat juga sesekali saya menyapa ibu Ammar, Puan Nur Azlina, mengucapkan tahniah kepada beliau dan suami. Saya juga terkenang beberapa minggu sebelumnya saya sempat berforum bersama Profesor Shaharuddin, ayahanda Saifuddin di dalam sebuah program wacana politik pasca pilihanraya di Bangi.

Biar pun masih panjang cuti berbaki, tanpa diduga, saya pula terbang ke Istanbul untuk menyertai sebuah summer school anjuran IBA dan Yunus Emre Institute. Sebulan di sana, jadual saya begitu padat. Saya hanya sempat bertemu sebentar dengan Syafiq, Halim dan Imad di Istanbul.

Kami tidak sempat berjumpa.

bilkent

Biar pun ada rasa terkilan tidak sempat berjumpa, saya sentiasa gembira untuk mereka. Saya doakan agar perjalanan mereka dalam kelana menuntut ilmu dilindungi Allah dalam kebaikan.

Dua minggu lalu, Ammar menghantar mesej kepada saya menceritakan tentang pelan pengajian beliau bagi sesi 2013/2014 ini yang kelihatannya lebih menjurus dan mencabar.

lastmessage

SESUATU YANG TIDAK DIDUGA

Sabtu malam Ahad, 3 November 2013…

Saya terbaca kemaskini status di akaun Facebook Syafiq.

Seorang rakan sepengajiannya meninggal dunia dalam sebuah kemalangan.

Allah!

Siapakah dia. Saya mencari-cari maklumat.

Saya pantas terbaca pula di akaun Facebook adinda Muhammad bahawa anak muda yang dimaksudkan itu adalah Ahmad Ammar bin Ahmad Azam!

Pandangan saya gelap. Terasa bagai mimpi. Mustahil!

Sedikit demi sedikit saya mendapat tambahan maklumat daripada beberapa rakan yang lain, nyata ia bukan mimpi.

Ammar telah pergi.

Beliau telah dilanggar oleh sebuah ambulan ketika menyeberangi jalan.

mobilyacilar2

Kepahitan kehilangan lima sahabat dalam kemalangan jalanraya di Jordan pada tahun 1995 dahulu pantas menerjah memori. Sesungguhnya mati itu pasti.

Mati itu benar.

Kitalah si ‘bodoh’ yang sering alpa dan melupakannya.

Sepanjang malam saya tidak dapat melelapkan mata. Air mata degil untuk keluar. Kepala masih berdenyut sakit untuk memahami apa yang berlaku. Hinggalah keesokan paginya, apabila saya bersalam dan memeluk Tuan Haji Ahmad Azam, ayahanda Ammar dan bertemu dengan Puan Nur Azlina, bondanya, yang kedua-duanya berangkat ke Istanbul untuk menguruskan insiden ini, hati saya berkecai.

Saya menangis di dalam kereta.

Kemalangan dan kehilangan ini adalah sebuah tragedi yang terlalu besar buat mereka berdua sekeluarga. Selain Ammar sebagai satu-satunya anak tunggal lelaki dalam keluarga, beliau juga menempuh kehidupan yang terancang dengan baik untuk mendukung cita-cita ummah, yang dinobat sebagai cita-cita keluarga.

“Tidak mengapalah ustaz. Kita sudah rancang sebaik mungkin. Tetapi kehendak Allah itu lain. Kita carilah lagi anak-anak muda lain untuk meneruskannya” kata Tuan Haji Ahmad Azam.

Optimis, biar pun tergaris kesedihan yang mendalam pada riak senyumnya.

“Terima kasih ustaz kerana sudi datang. Ammar selalu sebut tentang ustaz kepada akak. Kita doakanlah dia” ujar Puan Nur Azlina.

Ibu yang sentiasa kuat dan tenang, pada memelihara perasaannya sebagai bonda yang kehilangan anak tersayang.

Pemergian Ammar adalah sebuah kedukaan yang tidak terungkap oleh kata-kata bagi ibu bapanya dan keluarga.

Namun untuk ‘orang luar’ seperti saya, kehilangan Ahmad Ammar adalah suatu kesedihan yang amat mendalam. Kesedihan bukan pada secebis KENANGAN yang singkat itu, tetapi pada sebuah HARAPAN, yang saya terlalu miskin untuk menunaikannya.

Mengapakah usaha untuk menghasilkan seorang sarjana sejarawan Melayu Muslim, yang bertutur di dalam bahasa Turki dan menguasai bidang kajian Dawlah Uthmaniyyah, terlalu sukar untuk dipenuhi? Sepertinya melahirkan seorang saintis dan jurutera bertaraf dunia itu lebih mudah daripada tugas fardhu kifayah yang satu ini!

Allah, ampunkan saya
Kesedaran pentingnya Dawlah Uthmaniyyah 
Jatuh ke hati manusia seperti saya
Yang terbelenggu oleh 1001 kelemahan
Tinggi harapan, terkeliru dengan angan-angan
Banyak bermain, yang disangkakan pekerjaan

18 tahun sudah terlalu lama
Bahasa Turki sepatutnya sudah fasih bicara
Kelulusan akademik seharusnya sudah mendapat lesen sarjana
Namun semuanya masih di awang-awangan
Terus menjadi bayang-bayang yang berkejaran

Ey Rabbim günahımı affet!

ammar



أن رسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم مُرَّ عليه بجنازةٍ، فقال: مُستريحٌ ومُستراحٌ منه . قالوا: يا رسولَ اللهِ، ما المستريحُ والمستراحُ منه ؟ قال: العبدُ المؤمنُ يَستريحُ من نَصَبِ الدنيا وأذاها إلى رحمةِ اللهِ، والعبدُ الفاجرُ يَستريحُ منه العبادُ والبلادُ، والشجرُ والدَّوابُّ

Sesungguhnya Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah dibawa melintas di hadapan baginda sekujur jenazah. Lalu Baginda bersabda:

Yang berehat (mustarih), dan yang berehat pihak lain daripadanya (mustarah minhu).

Sahabat bertanya, “wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan mustarih dan mustarah minhu itu?

Jawab Baginda, “seorang hamba yang mukmin, (apabila mati), dia berehat daripada kepenatan dunia dan kesakitannya, kepada rahmat Allah. Manakala hamba yang ingkar, (apabila mati), berehatlah daripadanya sekalian hamba yang lain, dan tanah air, pokok yang tumbuh, dan haiwan yang melata!” [Hadith riwayat al-Bukhari]

Tenanglah adinda Ahmad Ammar, dalam persemadian abadinya di pinggir Constantinople, di sisi Abu Ayyub al-Ansari radhiyallahu anhu.

“Andai aku syahid, kebumikan aku di pinggir Constantinople. Agar pada suatu hari nanti, apabila aku mendengar tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku, tahulah aku bahawa janji Nabi, telah tertunai!” – Abu Ayyub al-Ansari r.a. 44H

Salam rindu, hingga di Syurga nanti mudah-mudahan kita bertemu!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

 

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

27 comments

  1. salam ustaz, bercucuran air mata makngah sebaik selesai menekuni tulisan ustaz. makngah boleh memahami perasaan ustaz krn makngah juga amat mengharapkan ramai anak muda kita yg akn memperjuangkan kebenaran sejarah Islam yg sudah terlalu lama diputar belit olh musuh Islam termasuk sejarah negara kita sendiri. semoga lbh ramai ahmad ammar akn lahir……

  2. Salam Ustaz

    Moga Allah beri kelapangan buat ustaz meneruskan perjuangan ini, benar ramai yang berkunjung ke Turki tapi berapa ramai yang sedar apa yang tersirat di bumi alfatih. Luluh hati membaca catatan ustaz dan ramai lagi tentang ahmad ammar yang diambil kembali penciptanya. Walaupun tak pernah mengenalinya, pemergiannya benar-benar membuat saya tersedar pada hidup untuk memberi itu…Moga Allah tempatkan ammar dalam kalangan orang yang diredhai.

  3. Subhanallah…saya juga tidak mengenali arwah. Tapi saya mengenali abg iparnya, suhail. Saya juga spt tuan, tidak dapat melelapkan mata. Terlalu sedih. Sedih hati seorang ibu. Begitu besar cita2nya tapi kuasa Allah tiada siapa yg dapat menghalangnya. Semoga arwah tenang disana.

  4. Sangat kebetulan membaca kisah ustaz ini.Pertamanya saya mendapat tahu khabar pemergian Ammar ke rahmatullah melalui facebook seorang teman dimana kami pernah menjadi gurunya ketika di SERI Al Huda, Gombak. Ketika itu berasa kerdilnya diri kerana tersedar kembali ajal dan maut tidak mengira bilangan usia.Semoga Allah melimpahkan kesabaran kepada ibu bapa dan seluruh ahli keluarganya. Juga kesabaran kepada kita kerana kehilangan bakal pemimpin yang berjiwa besar.Semoga Allah merahmati Rohnya dan dikumpulkan bersama hamba-hambaNya yang soleh.amin.

  5. Al fatihah.. semoga ammar berada di kalangan orang beriman. Insya Allah

  6. “… Banyak bermain, yang disangkakan perkerjaan. …”

    Saya terkesan dengan setiap patah penulisan Ustaz. Keeps writing Ustaz, sungguh bermanfaat.

  7. Innalillahi wa inna ilaihi roji’un.. masyaAllah.. hebatnya Ammar.. umur sebaya, namun, aktiviti dan kerja2 berpahalanya utk Islam.. subhanallah.. moga2, kita mampu ada semangat dan keazaman tinggi sptnya dalam menuntut ilmu.. Allahummaghfirlahu warhamhu.. ustaz, doakan kami, anak2 muda terus berjuang dalam mencari ilmu di atas dunia ini, sementara nafas masih berfungsi..

  8. amat tersentuh mendengar berita tentang pemergian arwah. saya merupakan junior arwah sewaktu belajar di RMC dahulu..arwah seorg senior yang amat baik sekali dan sangat berbeza dari kalangan senior yang lain… apabila tamat sahaja pengajian di RMC sudah jarang sekali mendengar khabar tentang arwah..tetiba mendengar berita tentang pemergian arwah amat memeranjatkan kami junior-junior nya serta rakan-rakan sama batch dengan arwah…moga arwah tenang di sana dan tergolong dalam kalangan hamba-hambanya-Nya yang soleh..insha Allah..

  9. tak terkata.

    Inna lillah hi wa inna ilaihi rajiuun.

    🙁

  10. Salam Ustaz,

    Harapan kita indah andai tertunai. Perancangan Allah sempurna & pasti tertunai.

    ‘Sakit’ sy membaca tulisan ini walau tiada saya kenali siapa insan yang telah dipanggil pergi ini. Telah tertunailah janji Allah yang kita ini hakikatnya hamba. Alhamdulillah atas segala hal.

  11. Salam ya akhi,

    Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji’uuna.

    Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Kesedihan itu dikongsi bersama sekalipun diri ini tidak mengenali almarhum. Harapan yang disebutkan untuk melahirkan sarjana Melayu yang punya cukup segala ‘kelengkapan’ mengkaji Daulah ‘Uthmaniyyah masih tinggal harapan. Kita doakan lebih ramai lagi anak muda kita akan tampil dan mengambil langkah seperti almarhum memulakan pengajian di Turki.
    Apapun semoga ruhnya dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan di Jannah bersama para solehin.

  12. Allah, walaupun tak kenal, tapi rasa hati saya ter-robek baca tulisan Ustaz ni.

  13. subhanallah…tak pernah kenal..tak pernah tau…tapi tetap rasa terkilan dengan pemergiannya…al fatihah..

    • Alfatihah…..anak Tn Hj Azam rupanya
      Allah bagi pinjam 20 tahun sahaja
      setiap hamba akan diuji Allah

      smoga almarhum tergolong di kalangan hamba2 yg soleh

  14. al-Fatihah.pemergian beliau sedikit sebanyak membuka minda n hati anak2 muda Islam..terkesan dgn HARAPAN arwah Ahmad Ammar yg ustaz nyatakan..harapan utk ummah n Islam pastinya..terfikir,apa yg boleh sy sumbangkan utk UMMAH n ISLAM? Islam pasti menang akhirnya, hal itu pasti krn itu janji Allah, persoalannya adakah kita hanya mahu menyaksikan atau menjadi salah satu jiwa anak muda Islam yg membantu utk kebangkitan Islam?wallahu’alam.

  15. bila tahu tentang ammar, tak leh nak elak tertanya kenapa terlalu awal perginya dia,, namun, kita semua tahu ada hikmah di sebalik setiap kejadian,, insya ALLAH, beliau sudah bahagia di sana. amiin :'(

  16. Assalam ustaz,

    Linangan air mata membasai pipi tidak dapat menghalangi pemergian seorang mujahid menemui tuhannya..Seorang syahid pergi Insha ALLAH seribu lagi syahid akan bangkin…moga – moga rentetan perjuangan Ahmad Ammar ini membuka para belia dan ibu bapa di Malaysia untuk meneruskan legasi perjuangan Saudara Ahmad Azam dan Ustaz Insha ALLAH.

  17. Syafiq Marhisham

    Salam. ustaz,klau sy yg aliran sains n xambik bhsa arab dlm SpM,bleh tak klau nk smbg bljr dlm bidang mcm Allahyarham Ahmad Ammar?? Mmg mmbka jiwa sy stlh mnghayati kisah hidup arwah..alfatihah bt arwah

  18. Syafiq Marhisham

    Salam. ustaz,klau sy yg aliran sains n xambik bhsa arab dlm SpM,bleh tak klau nk smbg bljr dlm bidang mcm Allahyarham Ahmad Ammar? mmg tkesan di jiwa sy…

  19. Al Fatihah buat Almarhum Ammar..walaupun tidak mengenali beliau biarpun hanya melalui buku/fb. kami sekeluarga mendoakan arwah bahagia disana. Agar anak2 kita dapat mencontohi beliau. Insha’allah

  20. Greate post. Keep writing such kind of information on your blog.
    Im really impressed by it.
    Hey there, You have done an excellent job. I will definitely digg it and personally
    recommend to my friends. I am sure they will be benefited from this web
    site.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.