Malam itu sungguh sepi.
Saya mengintai ke luar melalui tingkap pansiyon.
Perkampungan Birgi tenang diselimuti kegelapan malam. Gelap yang membantu saya mendekati bayangan tentang suasana di sudut ini sekitar 500 tahun yang lalu.
“Siapa sebenarnya Imam Birgivi ini?” saya bertanya kepada diri.
Di Turki, beliau dikenali sebagai seorang Imam Sufi.
Pengkaji-pengkaji Barat melabel beliau sebagai seorang ideologue radikal. Dan selalunya, tanpa perincian yang panjang, Birgivi dilabel sebagai orang yang memberi idea radikal agama kepada Mehmed Kadızade, pengasas kepada gerakan Kadızadeli. Saya juga terperangkap dalam imej itu. Imej Birgivi yang saya kenali melalui tokoh paling berwibawa dalam kajian sejarah Dawlah Uthmaniyyah, Halil İnalcık.
Di dalam karya klasik beliau, The Ottoman Empire (pertama kali diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1973), Halil İnalcık memperuntukkan sebuah bab bertajuk “The Triumph of Fanaticism”. Di dalam bab ini, İnalcık telah menjelaskan bagaimana gerakan intelektual dan peradaban Daulah Uthmaniah yang begitu pesat berlaku pada kurun ke 15 dan ke 16 mengalami kemerosotan sehingga ke hujung hayat Dawlah Uthmaniyyah disebabkan oleh kemunculan gerakan agama yang radikal. İnalcık meletakkan punca utama kepada kemunduran itu ke atas gerakan Kadızadeli yang diasaskan oleh Mehmed Kadızade yang meninggal dunia pada tahun 1635. Gerakan Kadızadeli ini menurut İnalcık, mengambil inspirasi Imam Birgivi.
Gerakan fanatik dan ganas ini telah menyapu bersih tradisi awal masyarakat Daulah Uthmaniah yang pro kepada sains rasional seperti falsafah dan astronomi. Kemunduran intelektual ini telah membawa kepada kegagalan Daulah Uthmaniah bertindak balas secara positif kepada perkembangan Sains dan falsafah kemajuan yang sedang berkembang ketika itu di era Pencerahan Eropah.
Saya masih teringat, pada 4 Februari 2006, saya telah membentangkan sebuah kertas kerja bertajuk “Sumbangan Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Dalam Memelihara Kemurnian Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Ambang Keruntuhan Othmaniyyah: Pengajaran buat Ummah.” Kertas kerja itu dibentangkan di UIA.
Di sekitar tahun-tahun berkenaan, gerakan Salafi di Malaysia dengan mencanak naik di kampus-kampus dan ke tengah masyarakat. Dalam masa yang sama, timbul desas desus yang kuat mengatakan bahawa sahabat saya, Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) akan dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
Secara peribadi, saya ketika itu berasa tidak selesa dengan perkembangan semasa. Pendekatan berdamping dengan pemerintah oleh kumpulan Salafi di Malaysia pada masa tersebut mengingatkan saya kepada tragedi yang menimpa gerakan Kadızadeli. Gerakan islah sepatutnya berada di mana-mana kerana islah yang dilakukannya adalah islah kepada manhaj (metode) dan ia adalah sesuatu yang perlu berada di semua kumpulan. Tetapi apabila kumpulan Salafi berdamping dengan pemerintah dan berasa kuat dengan ‘kelebihan’ berkenaan, ia sedang menempa jalan yang pernah ditempa oleh kumpulan-kumpulan yang sama sebelumnya.
Dan ibrah daripada tragedi gerakan Kadızadeli mesti diteladani.
Pendekatan Imam Birgivi mesti dihindarkan!
Itu rumusan saya yang naif pada masa tersebut.
Penyataan tersebut dalam keterbatasan maklumat saya, telah menjadi fitnah ke atas Imam Birgivi. Fitnah yang berakar umbi pada kajian-kajian yang dianggap berkredibiliti kerana dihasilkan oleh orang yang bukan sebarangan. Biar pun kebanyakan contoh fanatisme adalah pada tragedi-tragedi membabitkan gerakan Kadızadeli, hati saya kuat terdorong untuk menyiasat dengan lebih mendalam tentang Imam Birgivi.
Benarkah Imam Birgivi radikal?
Apa sebenarnya yang beliau sampaikan?
Benarkah Mehmed Kadızade anak murid Birgivi?
Sejauh manakah agresifnya gerakan Kadızadeli adalah kerana ajaran Birgivi?
Dan lanjutan daripada itu, benarkah gerakan Kadızadeli yang menjadi punca kemerosotan sains dan teknologi Dawlah Uthmaniyyah?
HAKIKAT SEJARAH
Apabila soalan-soalan yang ‘hidup’ ini membabitkan orang yang telah mati, hakikatnya kita tidak tahu apa-apa. Ia perkara ghaib. Kita mustahil mengetahui apa-apa mengenainya, kecuali dengan pemberitahuan oleh sumber.
Maka untuk mencari maklumat, saya perlu berdamping dengan sumber.
Dari mana saya mengetahui tentang Birgivi?
Jika saya mengetahuinya melalui Halil İnalcık, daripada manakah Halil İnalcık mengetahui tentang Birgivi? Sumber manakah yang beliau rujuk?
HALANGAN TAASUB
Sebelum menjawab soalan ini, ada satu isu penting yang perlu diselesaikan.
Isu taasub.
Sesungguhnya Islam tertegak di atas hujah, bukan sahsiah. Menyelidik sumber rujukan Halil İnalcık boleh disalah tanggap sebagai menghina kesarjanaan beliau.
“Engkau siapa mahu mempersoalkan Halil İnalcık?” soalan yang boleh timbul rentetan isu ini.
Sebagai lepasan bidang Shariah, saya akur bahawa permasalahan taasub ini sangat mudah membelenggu murid-murid seperti kami. Sedikit sebanyak, sudah tentu guru-guru kami di Universiti Mu’tah banyak membantu kami menetapkan sikap yang sejahtera dalam menghalusi kepelbagaian pendapat dan maklumat. Mereka dahulu menyediakan banyak ruang untuk kami bersoal jawab, membenarkan kami tersilap, mengajar kami memuliakan kebenaran, mengatasi insan.
Seperti kata-kata Imam Malik rahimahullah, “kalam setiap orang boleh diterima dan ditolak, kecuali tuan yang berada di maqam ini (yakni Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam).
Demikian juga dalam disiplin sejarah, kekuatan hujah adalah sangat bergantung kepada bukti-bukti sebagai sandaran, dan penafsiran bukti berbekalkan garis panduan yang sistematik dalam kajian kuantitatif juga kualitatif. Taasub, akan awal-awal lagi mengkucar-kacirkan sebuah kajian.
KAJIAN MEMBUKA MATA
Antara kajian paling utama yang telah membuka mata saya terhadap isu ini adalah sebuah makalah ilmiah bertajuk The Myth of “The Triumph of Fanaticism” in the Seventeenth-Century Ottoman Empire” (Mitos “Kemenangan Fanatisme Pada Kurun ke-17 Empayar Uthmaniah”) . Ia dihasilkan oleh Khaled El-Rouayheb dan disiarkan di jurnal Die welt des Islams 48 (2008) 196-221.
Khaled El-Rouayheb melihat kewibawaan yang ada pada Halil İnalcık telah menyebabkan pendapatnya itu menjadi sandaran kepada pengkaji-pengkaji lain untuk turut berpendapat dengan pendapat yang sama, seperti yang dilakukan oleh Marshall Hodgson di dalam karya besar tiga jilidnya yang bertajuk The Venture of Islam.
Apa yang menimbulkan rasa kesal pada Khaled El-Rouayheb ialah kewibawaan Halil İnalcık dan Marshall Hodgson telah menyebabkan pandangan yang sedemikian rupa diterima seakan muktamad oleh pengkaji-pengkaji yang lain.
Khaled El-Rouayheb telah membuktikan bahawa pendapat Halil İnalcık itu adalah tidak benar. Kecacatan pada pendapat Halil İnalcık itu menurut El-Rouayheb, adalah berpunca daripada rujukan Halil Inalcik kepada pendapat tokoh sejarawan Uthmaniah, Ahmed Taşköprüzade (meninggal dunia 1560) dan tokoh bibliografi Uthmaniah, Kâtip Çelebi (meninggal dunia 1657). Ia membataskan pemahaman Halil İnalcık tentang realiti sebenar, terutamanya perkembangan-perkembangan di luar Istanbul yang tidak diberi perhatian oleh sumber itu tadi.
Gerakan Kadızadeli, menurut Khaled El-Rouayheb, telah digambarkan oleh Halil İnalcık lebih besar daripada realiti yang sebenar. Kemunculan gerakan itu tidak memberikan impak yang cukup besar untuk mencetuskan kemerosotan minat masyarakat ketika itu kepada sains. El-Rouayheb menjelaskan, fokus utama gerakan Kadızadeli adalah pada memerangi idea dan ritual golongan sufi. Seandainya gerakan Kadizadeli begitu berpengaruh, sudah tentu ‘mangsa’ utamanya adalah perkembangan kelompok sufi ini.
Namun catatan sumber tidak menunjukkan demikian.
Kemunculan gerakan mistik oleh Ismail Rusukhi Ankaravi (meninggal dunia 1631), gerakana Sari Abdullah Efendi (meninggal dunia 1661), gerakan Abdullah Bosnavi (meninggal dunia 1644) dan seterusnya gerakan Hakki Bursevi (meninggal dunia 1724) adalah di antara gerakan-gerakan mistik kelompok sufi yang begitu luas penyebarannya di era sezaman dan lokasi setempat dengan gerakan Kadızadeli. Seandainya gerakan Kadızadeli tidak berhasil pada menundukkan sasaran utamanya, bagaimana mungkin kita gambarkan keupayaan gerakan tersebut untuk mencetuskan keadaan yang menyebabkan kehilangan minat masyarakat kepada ilmu Sains, yang bukan merupakan sasaran utama serangan gerakan radikal Kadizadeli?
Malah, penghujahan Halil Inalcik turut dipersoalkan oleh Khaled El-Rouayheb kerana Mehmed Kadızade merupakan anak murid kepada Imam Birgivi, seorang tokoh yang secara jelas menyatakan sokongan dan galakan beliau kepada usaha mempelajari cabang-cabang ilmu sains seperti logik, dialektik, matematik dan astronomi. Ini dinyatakan oleh Imam Birgivi di dalam Tariqah Muhammadiyyah:
“… manakala ilmu matematik, ia diperlukan di dalam banyak permasalahan, misalnya hal-hal pewarisan harta (faraid), justeru kerana itulah mereka (alim ulama) berpendapat bahawa matematik itu adalah satu perempat ilmu dan satu perdua daripada ilmu faraid. Dengan itu tidak sulit untuk diterima bahawa matematik itu adalah fardhu kifayah, sebagaimana yang telah dinayatakan secara jelas oleh al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulum al-Din…”
Mehmed Kadızadeli yang menjadikan Tariqah Muhammadiyyah sebagai rujukan utama misinya, tidak dapat digambarkan mengambil sikap menentang pembelajaran ilmu Sains, yang sangat bertentangan dengan mesej yang terkandung di dalam buku itu.
Manakala kenyataan Mehmed Kadızade di dalam sebuah khutbah seperti yang direkodkan oleh Kâtip Çelebi menyebut, “siapakah yang hendak menitiskan air matanya apabila seorang ahli kalam mati!” telah dihujahkan oleh Halil Inalcik sebagai bukti sikap anti Sains beliau. Khaled El-Rouayheb berpendapat, penghujahan itu bersifat agak ‘membesar-besarkan’.
Tindakan gerakan Kadızadeli mendesak Ketua Mufti agar Balai Cerap Uthmaniah dirobohkan pada tahun 1580 sebagai hujah sikap anti Sains mereka juga perlu diteliti semula.
kredit foto www.aip.org
Sebagaimana yang telah diketahui, tujuan asal pembinaan Balai Cerap Uthmaniah di bawah seliaan ketuanya, Taqi al-Din Muhammad ibn Ma’ruf (meninggal dunia 1585) adalah untuk perkembangan ilmu astronomi (falak). Tetapi Taqi al-Din telah membuat ramalan berpandukan peristiwa terhempasnya tahi bintang pada tahun 1577 bahawa Dawlah Uthmaniah akan berjaya mengalahkan Safavid di dalam peperangan. Ia dianggap oleh gerakan Kadızadeli sebagai satu bentuk penyelewengan motif kerana astronomi sebagai satu cabang ilmu sains Islam telah bertukar kepada astrologi yang bercanggah dengan ajaran Islam. Inilah alasan utama mengapa gerakan Kadızadeli mendesak Ketua Mufti ketika itu agar Balai Cerap Uthmaniah dirobohkan.
Khaled El-Rouayheb mempersoalkan Halil Inalcik , apakah anti Sains yang didakwa olehnya itu, merujuk kepada astroloji? Malah Khaled El-Rouayheb melihat, pendapat Halil Inalcik yang sedemikian rupa banyak berpunca daripada kebergantungan beliau kepada kenyataan-kenyataan Taşköprüzade dan Kâtip Çelebi yang tidak mencerminkan keseluruhan situasi pada masa tersebut.
Seandainya rujukan dibuat kepada sumber-sumber yang lebih luas, kita akan melihat, apa yang berlaku di era itu adalah sebaliknya. Ilmu sains telah berkembang dengan pesat, terutamanya melalui penelitian yang dibuat oleh sejarawan pada era yang sedikit terkehadapan, apabila mereka dapat melihat dengan lebih jelas tentang corak tersebut, berbanding dengan Taşköprüzade dan Kâtip Çelebi yang melihatnya dari dalam.
Misalnya Muhammad Ali b Allan al-Siddiqi (meninggal dunia 1648), Mehmed Saçaklızade Mar’aşı (meninggal dunia 1732-3) memperlihatkan perkembangan pesat yang berlaku kepada ilmu mantiq cabang-cabang sains yang lain pada kurun yang berikutnya. Penghujahan Saçaklızade kukuh pada merumuskan bahawa minat kepada falsafah telah berkembang pesat pada kurun ke-17 dan ke-18 di Daulah Uthmaniah. Kemunculan tokoh-tokoh falsafah Parsi Sunni, Azeri dan Kurdi turut menyumbang kepada perkembangan ini.
Khaled El-Rouayheb telah menyenaraikan ramai tokoh berkenaan di dalam penulisan beliau dan ini juga sejajar dengan pertambahan jumlah sekolah di dalam Daulah Uthmaniah, ketika mana antara subjek teras yang diajar di sekolah-sekolah itu adalah ilmu sains sendiri. Khaled El-Rouayheb telah membuat kesimpulan, pembuktian-pembuktian yang cuba menyokong idea kemerosotan minat kepada ilmu Sains di Daulah Uthmaniah pada kurun ke-17 adalah suatu mitos. Pendapat-pendapat yang menjadi sandaran, adalah bersifat serpihan dan tidak menggambarkan keseluruhan situasi pada masa tersebut. Penghujahan juga telah membesar-besarkan beberapa insiden seperti kemunculan gerakan Kadızadeli serta perobohan Balai Cerap Uthmaniah. Malah apa yang berjaya dibuktikan oleh Khaled El-Rouayheb adalah sebaliknya, iaitu kurun yang ke-17 Uthmaniah adalah kurun yang menyaksikan kesuburan minat masyarakat kepada bidang sains itu sendiri.
SEBELUM MELELAPKAN MATA
Kredit foto: Birgi Çınaraltı Pansiyon
Halim dan Nabhan sudah nyenyak tidur.
Saya masih menatap ipad dalam kegelapan malam, melayan fikiran yang ligat berputar.
Saya yakin, kajian terhadap Imam Birgivi, bukanlah sekadar memenuhi sebuah disertasi akademi pengajian Sarjana saya. Tetapi rezeki daripada Allah, tokoh yang saya kaji ini banyak mendidik saya untuk menjadi insan yang lebih baik.
Saya yakin, Imam Birgivi bukan radikal atau pelampau.
Ketegasannya bukan pencetus kekacauan.
Sebaliknya sejarah perlu dihalusi.
Bukan hanya untuk Imam Birgivi, tetapi ramai lagi tokoh islah dan tajdid yang terfitnah oleh umat Islam yang kepetahannya mencemuh lebih pantas berbanding kecergasannya meninjau sumber, dengan jiwa yang bersih daripada ketaksuban yang memusnahkan diri.
Tersentuh saya membaca catatan Imam Birgivi di dalam Bab al-Ghadab (Marah):
“Sungguh! Terdapat sebahagian alim ulama dan guru yang mengajar kebenaran di dalam agama dengan cara yang kasar. Mereka menyalahkan para pendengar dengan dosa-dosa yang mungkin mereka tidak lakukan. Malah turut mengugut pendengar dengan bencana seksaan daripada Allah. Mereka yang seperti ini, menjadi punca kepada kemarahan. Sedangkan rumah Allah (masjid) bukan tempat untuk kemarahan. Mereka yang mengapi-apikan hal ini, tidak lain dan tidak bukan adalah golongan munafiq, sombong, angkuh dan mementingkan diri sendiri. Sekali pun apa yang mereka sebutkan itu adalah benar, namun dengan nada ucapan yang sedemikian rupa, ucapan itu sesungguhnya menjadi kata-kata mereka semata, dan bukan lagi kalam dari Allah. Mereka kemudiannya bukan mencegah manusia daripada melakukan dosa, sebaliknya telah menyebabkan orang ramai jadi berdosa kerana dihasut dengan kemarahan”
Semoga sembuh rakyat di tanah airku daripada meja-meja kuliah di masjid dan surau yang berapi-api dengan kebencian dan kemarahan.
Amin.
Hasrizal@ www.saifulislam.com
43000 BSP
Jzklh ustaz. Panduan yang baik untuk tidak taksub. Semoga kita diberikan lekuatan untuk menyampaikan pencerahan mengenai kepentingan sumber dan akibat buruk kerana menerima semua fakta semata-mata kerana sahsiah.
Akak juga amat tertarik dengan kata-kata Imam Birgivi itu. Cara penyampaian yang tidak benar seperti dengan kemarahan mahu pun gurauan yang berlanjutan memberi kesan kepada hati dan sikap pendengar.
Jzklh sekali lagi ustaz. Semoga terus diberi kekuatan untuk berkongsi dengan kami, bekas penuntut madrasah SIO sebelum fenomena FB. InsyaAllah kami tidak taksub.
Terima kasih Kak Ija.
Proses kembali semula ke blog ini berdepan dengan banyak cabaran dalaman, terutamanya untuk meninggalkan kebiasaan membaca feedback. Tanpa maklum balas, adakalanya kita tertanya-tanya adakah yang ditulis ini baik, sesuai dengan dengan masyarakat dll.
Terima kasih atas konsistensi Kak Ija membantu SIO
Assalamualaikum wbt.
Dlm. ustaz meneliti buku The Path of Muhammad (versi Inggeris), ustaz ada menterjemah bbrp. bahagian dari buku tersebut ke dlm bahasa Melayu. Adakah ustaz bercadang utk. menulis terjemahan buku tersebut, supaya dpt dikongsi dgn pembaca lain?
TQ
Wsalam WBT.
Terjemahan, memerlukan kemahiran yang khusus dan kesabaran di tahap yang tinggi. Saya kekurangan kedua-duanya. Moga ada perubahan pada masa hadapan. Terjemahan di dalam bahasa indonesia sudah ada. Namun saya masih belum berhasil memiliknya. Boleh dibaca di link http://books.google.com.my/books?id=n59o1lIyFsEC&pg=PT5&dq=serambi+birgivi&hl=en&sa=X&ei=npTgUsLyAcmPrQfG24D4BA&redir_esc=y# yang diberikan oleh Tuan Muhammad di bawah
Assalamualaikum Ustaz,
Ust ada perancangan tak utk muatkan pengemberaan ustaz yg terbaru ini ke dalam bentuk travelog seperti buku2 yg terdahulu ? Terima kasih dan teruskan menulis 🙂
Wsalam WBT. Inshaallah. Begitulah perancangannya. Doakan sukses 🙂
Terbaik ustaz !! Looking forward for your latest book. All the best !
terjemahan karya Imam Birgivi ke dalam Bahasa Indonesia,
http://books.google.com.my/books?id=n59o1lIyFsEC&pg=PT5&dq=serambi+birgivi&hl=en&sa=X&ei=npTgUsLyAcmPrQfG24D4BA&redir_esc=y#v=onepage&q=serambi%20birgivi&f=false
http://books.google.com.my/books?id=-rA78fkip0QC&printsec=frontcover&dq=serambi+arabi&hl=en&sa=X&ei=65TgUoXsNovArAeUw4CoAw&redir_esc=y#v=onepage&q=serambi%20arabi&f=false
Salam,
Terima kasih ustaz atas perkongsian ilmu selama ini. And as usual, I’m impressed with your passion and interest with history. Masih ingat, ketika persekolahan dahulu, ideanya dikalangan kami, pelajar aliran sains bahawa subjek sejarah hanya perlu lulus. MasyaAllah, rupanya, apabila semakin berusia, semakin berfikir, sejarah juga adalah satu cabang ilmu yang sangat penting untuk dipelajari. All the best with your writings.
Wsalam SFSMD. Sama-sama kita hidupkan usaha ini. Umat tanpa sejarah, tiada masa depan. Ia bukan klise
Thank you Ustaz for actively writing in your blog again. The former medium ie facebook is not for sustained interest and passion. I have enjoyed reading your pieces and looking forward for many more to come. May Allah make it easy for you in your personal and academic quests.
Thank you Dr for your support and wishes. And thank you so much for remain patient until the blogger return to his blog. It wasn’t that bad being on Facebook but yes, it is now overcrowded, no longer as it was during my first year in 2007. Inshaallah I hope the momentum will continue. Thank you again for your visit. Allah bless us all, amen
salam ustaz..maafkan saya,saya baru belajar ilmu agama..saya ingin bertanya apakah yang ustaz maksudkan dengan :meja-meja kuliah di masjid dan surau yang berapi-api dengan kebencian dan kemarahan.”..adakah bermaksud tidak boleh ada marah kketika berceramah atau marah dalam konteks yang lain..marah bagaimana yanng tidak dibolehkan itu..mohon penjelasan ustaz.syukran ustaz.
wsalam.
Berapi-api itu maksudnya keterlaluan.