“Lena tidur malam tadi?” saya bertanya.
Dua anak muda itu tersenyum.
Pagi ini rasa begitu damai. Jauh dari hiruk pikuk kota. Kami tergesa-gesa menghabiskan sarapan pagi kerana tidak sabar untuk keluar ke taman dan melihat rupa paras Birgi. Kami tiba ketika matahari telah tenggelam dengan sedikit cahaya yang tersisa. Tidak sempat menatap Birgi yang disebut-sebut semenjak dari Bangi.
“Dari Bangi ke Birgi!” saya mengomel.
Sedap juga disebut begitu. Teringat filem Dari Jemapoh ke Manchester pada tahun 1996 dahulu. Sungguh saya juga tidak menyangka, boleh sampai ke sini.
Dalam cuaca pagi yang nyaman, kami bertiga duduk di pinggir Sungai Sarıyar yang membelah Birgi kepada dua. Biar pun sungai itu menjadikan Birgi terbahagi antara kiri dan kanan, pembahagian pekan ini lebih dikenali sebagai Upper Birgi dan Lower Birgi. Jika di kampung saya, Birgi ini mungkin disebut Birgi Darat dan Birgi Baruh, istilah yang tenggelam daripada pengetahuan generasi muda hari ini.
Indah!
Subhanallah!
Dari sungai, kami dapat melihat beberapa lapisan binaan yang menampakkan sejarah perkembangan Birgi dari zaman awalnya hingga ke hari ini, menempuh satu tamadun demi satu tamadun. Rumah-rumahnya adalah rumah Uthmaniyyah yang awal, dengan beberapa unit yang menampakkan interaksi dengan pemodenan. Ada senibina Selcuk yang ketara pada beberapa bangunan lama yang belum saya kenali dan sayup-sayup di belakang sana, kelihatan Banjaran Bozdağ yang putih diliputi salji.
“Ustaz, apa plan kita hari ini?” tanya Nabhan.
“Hmm. Masa kita tidak panjang. Kita hanya ada setengah hari di sini sebab perjalanan ke Ankara sangat jauh. Ana tengok di peta, hampir 600km. Itu sudah seperti Johor Bharu ke Sungai Petani” saya menyemak ipad di tangan.
“Maafkan kami ustaz. Menyusahkan ustaz pula dengan urusan di Ankara” kata Halim.
“Eh, takde apa-apa. Jangan begitu. Antum dah banyak tolong ana. Di Istanbul, dan kemudian meneman perjalanan ini. Tidak terbalas rasanya. Bawakan antum ke Ankara untuk urusan pasport, moga ana boleh menumpang pahala. Siapa yang confirm akan ke Ankara?” saya bertanya.
“Halim Khayat, Ammar, Saifuddin. Inshaallah mereka akan naik bas malam ini ke Ankara” jelas Nabhan.
“Inshaallah pagi esok kita jumpa mereka. Baiklah, di Birgi ini, keutamaan tertinggi kita ialah Makam Imam Birgivi, kemudian Madrasah Imam Birgivi. Selebihnya, kita tengok pada masa. Lepas subuh tadi, ana tengok di internet, tarikan utama di Birgi ini ialah Çakırağa Mansion. Tak pasti di mana. Ana rasa, kita check out sekarang, kemudian kita pergi ke Belediye untuk cuba dapatkan peta serta maklumat-maklumat berkaitan” saya mengemukakan cadangan.
Saya, Halim dan Nabhan masuk ke dalam dan berkemas. Alhamdulillah sarapan juga sudah selesai. Kami akan memulakan misi yang sudah dirancang sejak sekian lama. Sesungguhnya kita merancang, namun Allah jualah yang menjayakannya.
Alhamdulillah.
Usai meninggalkan hotel, kami memandu perlahan-lahan menuju ke bangunan Birgi Belediyesi. Seronok juga apabila pakcik-pakcik pencen yang duduk minum teh di tepi jalan memerhatikan kami. Saya sengaja membuka tingkap kereta kerana mahu menikmati udara pagi yang segar. Berselang-seli pula dengan bau asap kayu dari serombong rumah-rumah di sepanjang jalan Sultan Muhammad al-Fatih yang comel ini.
Orientasi otak saya mengatakan Birgi pada hari ini berbentuk U. Jalanraya di Birgi tidak bertar, sebaliknya ia berturap dengan batu. Ini sesuai untuk kawasan yang menerima empat musim yang agresif. Lagi pun, jalan di sepanjang Birgi yang curam, lebih selamat berbatu begini.
Di Belediye, seorang pegawai menyambut kami. Beliau bermurah hati memberi kepada kami goodie bag yang terkandung di dalamnya VCD tentang Birgi, beberapa buah buku dan leaflet berbahasa Inggeris dan Turki serta peta untuk rujukan.
DERVİŞ AĞA CAMİ / DARUL HADİS
Destinasi pertama kami adalah masjid paling hampir dengan bangunan Belediye iaitu Derviş Ağa Camii. Sebuah masjid yang kelihatan tidak jauh berbeza daripada kebanyakan masjid Uthmaniyyah. Masjid ini dibina pada kurun ke-17 sebagai pelengkap kepada sebuah komplek yang berada tidak jauh daripadanya iaitu Derviş Ağa Darul Hadis, sebuah pusat pengajian Hadith yang penting bagi di Anatolia pada masa tersebut.
“Anta tahu masjid ini dibina pada tahun berapa?” saya bertanya kepada Nabhan dan Halim.
“Di dalam buku ini, dinyatakan 1663” Nabhan menunjukkan kepada saya buku panduan yang Belediye berikan.
“Kalau buku ini tidak ada, bagaimana hendak tahu?” saya menduga.
“Macam mana?” soal Halim.
Saya juga sebenarnya tidak tahu. Tetapi semasa kamera pintar Samsung saya zoom ke menara masjid, saya ternampak ukiran di puncak menara, bertulis ١٦٦٣ (1663). Ia saya tunjukkan kepada mereka dan kami bersetuju bahawa untuk menjadi sejarawan yang sukses, mata mesti tajam seperti burung helang mencari maklumat.
AYDINOĞLU MEHMET BEY CAMİ (ULU CAMİ)
Kami meneruskan perjalanan melawat bangunan utama di tengah-tengah pekan Birgi iaitu Aydınoğlu Mehmet Bey Cami yang juga dikenali sebagai Ulu Cami. Masjid ini dibina oleh Aydınoğlu Mehmet Bey pada tahun 1312. Beliau merupakan
“Allah, kunci pula!” saya berasa sedih kerana tidak dapat masuk ke masjid ini.
Pastinya kami tidak boleh menunggu sehingga waktu zohor kerana perlu bergerak segera.
Dari luar, Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey yang berusia 700 tahun ini memperlihatkan kepada kita seni bina Selcuk dan Uthmaniyyah yang awal. Pada pandangan kasar, masjid tersebut tidak ada apa-apa keunikan yang berbeza daripada masjid lain di Anatolia. Tetapi apabila mata kita mengamati dengan teliti, seni bina masjid ini mempunyai 1001 cerita untuk dikisahkan mewakili perjalanan masa.
Batu batan yang diguna pakai untuk membina masjid ini adalah batu batan yang diambil daripada runtuhan Prygium Rom yang telah sampai ajalnya. Ia memperlihatkan sikap teliti dalam memanfaatkan sumber, serta mencegah pembaziran. Bukan itu sahaja, di bucu luar masjid tersebut ada seketul batu yang berbentuk seekor singa dilekatkan bersama binaan masjid tersebut. Ia menceritakan sesuatu.
“Anta nampak tak singa tu?” saya memanggil Halim dan Nabhan.
“Ye lah, pelik kan” kata mereka.
“Ana pun tidak tahu apa kisahnya. Tetapi ukiran singa seperti ini ada dalam pelbagai tamadun. Eropah, Asia, Afrika, di al-Hambra. Yang ini pula, apa?” saya sendiri tidak pasti.
Pembacaan lanjutan saya memberikan pemahaman bahawa ukiran singa itu juga adalah sebahagian daripada runtuhan binaan tamadun sebelumnya, sebagaimana binaan masjid itu sendiri yang menggunakan Roman columns. Aydınoğlu Mehmet Bey meletakkan patung singa itu di bucu luar masjid sebagai simbol kekuasaannya membina tamadun Islam di atas runtuhan tamadun sebelumnya.
Tetapi mempunyai patung singa di masjid, memang menghairankan.
Akan tetapi, Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey ini menyimpan khazanah paling berharganya di bahagian dalam. Mentaliti pelancongan, boleh menjadikan mimbar masjid ini sebagai satu-satunya sebab yang cukup berbaloi untuk orang datang ke Birgi.
Mimbar Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey dibuat daripada kayu pohon walnut (juglans) dengan ukiran halus berbentuk poligon serta dibina tanpa menggunakan paku atau gam pelekat. Teknik ini di dalam sejarah senibina Turki dikenali sebagai teknik Kündekâri. Mimbar yang dihasilkan oleh Sheikh Muzafferadin bin Abdülvahid pada tahun 1323 di masjid ini, adalah yang paling sempurna dan cantik di seluruh Anatolia.
KES KECURIAN PINTU MIMBAR
Birgi juga pernah menjadi tajuk utama berita pada tahun 1993.
Pintu mimbar tersebut telah hilang secara misteri pada bulan Mei tahun 1993. Ia mustahil dapat diangkat oleh seorang. Bagaimana ia hilang, masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.
Namun, siasatan besar-besaran telah dilakukan. Kehilangannya telah diwar-warkan oleh Interpol ke seluruh dunia kerana mimbar itu dipercayai menjadi mangsa penyeludupan barang-barang antik yang begitu berleluasa di Turki.
Rezekinya pada masa itu, mimbar ini telah banyak dirakam dalam bentuk foto serta didokumentasikan dengan baik pemilikannya kepada Masjid. Gambar pintu mimbar berkenaan telah disebarkan ke lokasi-lokasi lelongan dan akhirnya seorang pekerja di pusat lelongan barangan antik Christie’s mengecamnya, melalui foto yang tersebar. Pintu itu berada di dalam gudang Christie’s selama 2 tahun dan hampir dilupakan sehinggalah pekerja berkenaan terserempak dengannya.
Pihak polis Turki dan Scotland Yard UK telah dimaklumkan berkenaan dengan penemuan pintu mimbar berusia 700 tahun itu pada 15 Mei 1995. Mereka mendapati pintu mimbar berkenaan telah diseludup keluar dengan penerbangan kargo British Airwars dari Istanbul ke Sofia, ibu negara Bulgaria. Ia kemudiannya diterbangkan ke kota London.
Selepas pelbagai masalah birokrasi, akhirnya pintu mimbar Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey yang dihasilkan oleh Sheikh Muzafferadin bin Abdülvahid itu kembali ke lokasinya di Birgi pada 9 November 1995.
Alhamdulillah.
Perbuatan mencuri artifak sejarah seperti ini merosakkan sumber ilmu pengetahuan.
Kami menjenguk seketika maqam Aydınoğlu Mehmet Bey yang berada di perkarangan masjid dan mendoakan beliau maghfirah serta rahmah. Pemimpin yang berjuang pada masanya, dan kita menjadi mata rantai menyambung misi yang sama, hari ini.
İMAMI BİRGİVİ MEDRESESİ
“Inikah Madrasah Imam Birgivi?” saya bertanya kepada Halim.
“Mungkin, ustaz. Nanti saya tanyakan” Halim bertanya kepada beberapa orang peniaga yang berada di luar bangunan empat segi di sebelah masjid tadi.
Saya tidak begitu pasti buat masa ini, apakah faktor yang mendorong Imam Birgivi memilih Birgi sebagai lokasi bermastautin beliau selepas berhijrah meninggalkan Edirne dan Istanbul. Mengapa tidak pulang sahaja ke Balıkesir. Tetapi apa yang saya pasti ialah, apabila Kanuni Sultan Suleyman mangkat dan pemerintahan Dawlah Uthmaniyyah digantikan oleh anak baginda iaitu Sultan Selim II, murabbi kepada Sultan Selim II ini adalah Sheikh Ataullah Efendi, yang berasal dari Birgi.
Mungkin melalui persahabatan beliau dengan Sheikh Ataullah Efendi, Birgi menjadi pilihan untuk beliau berhijrah. Sheikh Ataullah Efendi telah mengemukakan saranan beliau untuk Imam Birgivi memimpin sebuah institusi pengajian tinggi yang ingin beliau bangunkan di Birgi. Imam Birgivi telah menyambut saranan ini dan Dârul-Hadîs telah beroperasi sebagai pusat pengajian yang rancak pada masa tersebut. Imam Birgivi diberi gaji sebanyak 60 akçes, iaitu jumlah yang agak tinggi untuk jawatan sepertinya pada era berkenaan.
Imam Birgivi berhijrah ke Birgi tidak lewat daripada tahun 1562 atau 1563.
“Ustaz, bukan rezeki kita nampaknya. Komiti yang mengendalikan bangunan madrasah ini berada di Izmir. Mereka sedang mengendalikan program di sana. Jadi, bangunan ini berkunci. Tak dapatlah kita nak masuk meninjau” Nabhan dan Halim memaklumkan saya mengenainya.
“Sayang” sedih juga.
Kami datang dari jauh. Masjid berkunci. Madrasah atau sebenarnya Universiti itu, juga berkunci.
“Tetapi kata pakcik itu tadi, di kawasan maqam Imam Birgivi ada sebuah kompleks baru yang dibina betul-betul sebagai salinan kepada bangunan Madrasah ini. Boleh kita tengok” ujar Halim.
“Inshaallah. Ayuh kita ke sana. Jam pun sudah hampir pukul 10” saya masuk ke dalam kereta.
Kami tinggalkan kawasan Meydan di hadapan Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey. Sungguh banyak mata yang memerhatikan kami. Bukan sahaja kawasan ini agak terpencil, malah mungkin ‘spesis’ seperti kami juga tidak pernah mereka temui. Mungkin.
Di tepi kedai kopi, ada lorong yang selari dengan Sungai Sarıyar . Itulah lorong untuk ke maqam Imam Birgivi yang terletak kira-kira 1km daripada masjid sebentar tadi. Saya sejujurnya sangat takjub dengan keindahan pemandangan di Birgi. Pemandangan sekeliling sangat klasik dan memudahkan kita membayangkan bagaimanakah kehidupan di era Dawlah Uthmaniyyah suatu ketika dahulu.
DI MAQAM IMAM BIRGIVI
Orang Turki mengenang beliau sebagai Sufi.
Pengkaji Barat melabel beliau sebagai Salafi, antagonis Sufi.
Bagaimanakah rupa maqam Imam Birgivi? Macam-macam cerita yang saya dengar. Ada yang kata kuburnya dipenuhi khurafat, yang sudah semestinya amat bercanggah dengan apa yang Imam Birgivi serukan semasa hayatnya.
Kini saya sudah berada di lokasi.
Kawasan itu adalah kawasan perkuburan untuk penduduk Birgi. Ganjil juga apabila hendak masuk ke kompleks berkenaan, kita perlu membayar TL1.5 untuk tiket masuk. Tetapi mungkin duit itu berguna untuk menjaga kompleks berkenaan. Mungkin pengecualian diberikan kepada penduduk tempatan yang menziarahi pusara ahli keluarga dan saudara mereka di situ.
“Alhamdulillah” saya terharu dan bersyukur.
Lega melihat maqam Imam Birgivi begitu sederhana, di pangkal sebatang pokok yang besar, tiada binaan-binaan dibina, tiada unsur pemujaan atau sembahan. Hanya pagar kecil untuk menjaga kawasan berkenaan. Sebagaimana pesanan beliau di dalam Vasiyetname.
Bersebelahan maqam Imam Birgivi adalah maqam anakanda beliau yang juga seorang alim penyambung legasinya, Sheikh Fazlullah Efendi yang menurut catatan di batu nesan, lahir pada tahun 1560 dan meninggal dunia pada tahun 1622.
“Assalamualaikum penduduk negeri kaum yang beriman. Sesungguhnya kami akan menyusuli kalian” saya memberi salam, seperti yang diajar oleh Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam.
Hati saya menjadi sayu.
Terima kasih Allah kerana menemukan saya dengan Imam Birgivi, yang hilang dari lipatan pengetahuan generasi semasa.
Seorang alim yang berpegang dengan kalimah La Ilaha Illallah, menjadikan Allah sebagai keutamaan tertinggi hidupnya. Di kemuncak kerjaya dan kemasyhuran, Imam Birgivi tidak mengabaikan bisikan hatinya yang memberitahu beliau betapa ada sesuatu yang tidak kena. Bukan sebarangan untuk seseorang itu meninggalkan jawatan dan kemasyhuran, memulangkan seluruh gaji yang diterima selama dalam perkhidmatan, demi mempertahankan erti menjadi hamba Allah yang tidak sujud kecuali kepada-Nya.
Imam Birgivi datang ke lembah di celah pergunungan ini.
Beliau mengajar, mendidik anak murid yang datang dari seluruh pelusuk negeri dan mengarang puluhan kitab sebagai panduan untuk umat.
Semasa meneliti beberapa risalah kecil yang beliau karang, seperti Jilâu al-Qulûb dan Inqâzi al-hâlikîn, Imam Birgivi sebagai insan biasa meluahkan keperitan hidupnya kepada Ataullah Efendi. Hidup dalam kemiskinan, dan pandangan mata yang semakin kabur, Imam Birgivi menempuh hujung usianya dalam keadaan yang agak dhaif. Teringat saya kepada Ibn Khaldun yang sangat terkenal, namun juga seorang yang ‘gagal’ dalam kerjaya, dihimpit kemiskinan dan kesusahan.
Biar pun telah berhijrah ke lembah Birgi ini, Imam Birgivi masih berulang alik ke istana di Istanbul, bertemu dengan Sadr al-A’zam Sokullu Mehmed Paşa untuk menyampaikan pendapatnya tentang kepincangan pentadbiran semasa. Ramai pengkaji semasa skeptis dengan menganggap keberadaan beliau di luar sistem menyebabkan pandangannya jumud, tidak seperti Sheikh al-Islam Ebussuud Efendi yang berada di dalam sistem. Saya perlu lebih mengkaji, namun boleh memuktamadkan motif Imam Birgivi yang tulus pada menyampaikan kebenaran.
Pada 21 September 1573 (Jumada al-Ula 981H), kira-kira dua tahun selepas sahabatnya Sheikh Ataullah Efendi meninggal dunia, Imam Birgivi menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika dalam perjalanan menuju ke Istanbul buat kesekian kalinya. Pada usia sekitar 50 tahun, Imam Birgivi kembali ke rahmatullah akibat penyakit taun yang banyak berlaku pada masa tersebut.
Tidak jauh dari maqam Imam Birgivi, bersemadi juga beberapa tokoh penting di Birgi ini. Antaranya ialah Ibrahim Efendi (1310 – 1370), Karslı Kara Davud (1663 – 1771), Seyfullah Efendi (1660 – 1717) dan Kara Davud Oğlu Omer Efendi (1696 – 1757).
“Ya Allah, rahmatilah Sheikh Mehmed Efendi ini. Jadikan pengalaman hidupnya sebagai pedoman diriku yang berada di persimpangan diri ini. Pada usiaku menjelang 40, rasa gementar menyelubungiku kerana tertanya-tanya apakah pilihan hidupku untuk usia yang berbaki” saya larut dalam muhasabah di sisi maqam Imam Birgivi.
Rasanya mahu lebih lama lagi di situ.
Bukanlah maqam itu yang mendamaikan.
Tetapi fikiran saya yang berkecamuk. Datang ke satu sudut tersembunyi di Anatolia ini, Allah memakbulkan doa saya untuk mendapat waktu bertenang, berhenti dari kesibukan kerja dan rutin kehidupan yang mencengkam.
Usai melawat maqam, saya bersama Nabhan dan Halim menjenguk İmam Birgivi Külliyesi. Ia merupakan sebuah komplek pengajian dan tekke yang dibina pada tahun 1998 sebagai replika kepada Madrasah Imam Birgivi. Hari ini ia digunakan sebagai pusat pengajian agama. Saya tidak bertemu dengan sesiapa untuk bertanya. Namun kesempatan yang ada, saya gunakan dengan menjenguk serta meneliti bahan bacaan seperti buku dan nota-nota kelas yang kedapatan.
Selain rekabentuk bangunannya menebus kesedihan saya tidak dapat masuk ke Madrasah Imam Birgivi, saya juga tertarik apabila mendapati antara buku yang ada di dalam bilik-bilik pengajian Tarekat di situ adalah kitab Tafhim al-Quran oleh Abu al-A’la al-Mawdudi.
“Sufi mana pulalah ya yang mengaji kitab Mawdudi ini? Pelik sungguh” saya menunjukkan kitab berkenaan kepada Halim dan Nabhan.
Teringat saya kepada perbualan bersama anggota Tarekat Helvati Jarrari di Istanbul minggu lalu. Beliau mengatakan bahawa gurunya berpesan “bagi mereka yang tidak bertarekat, sekurang-kurangnya bacalah kitab Tariqah Muhammadiyyah oleh Imam Birgivi”
Jarang sekali guru Tarekat memberi option untuk orang tidak bertarekat. Biasanya mereka akan menegaskan tentang peri pentingnya setiap Muslim bertarekat. Tetapi pembawaan golongan Sufi kumpulan Helvati Jarrahi yang mendalami karya Birgivi, seperti lebih terbuka, berbanding dengan kumpulan-kumpulan lain yang pernah saya temui.
Sayang sekali, saya tidak sempat hadir ke majlis zikir dan pengajian kumpulan berkenaan yang berlangsung secara mingguan pada hari Khamis malam Jumaat. Moga ada rezekinya suatu hari nanti, Inshaaallah.
CAKIRAĞA MANSION
Maqam Imam Birgivi jarang menjadi sebab membawa pelancong ke Birgi.
Selain Masjid Aydınoğlu Mehmet Bey dan legasinya, daya tarikan utama di Birgi ini adalah sebuah mansion yang dibina pada tahun 1761 oleh Şerif Ali Ağa. Beliau adalah seorang peniaga barangan kulit dan hartanah. Bangunan yang berwarna warni ini menceritakan kepada kita kesan budaya Eropah kepada seni bina dan hiasan dalam kerana corak yang ditemui menyerupai bangunan-bangunan yang kita pernah lihat di Paris dan Venice.
Rumah agam ini terus berfungsi sebagai lokasi kediaman turun temurun sehingga ke tahun 1950’an dan pada tahun 1975 ia dipindah milik kepada pihak kerajaan untuk tujuan pemuliharaan. Dua puluh tahun kemudian, bangunan ini dibuka sebagai sebuah muzium.
Apa yang paling menarik, selain seni arkitekturnya, adalah lukisan gambar Izmir dan Istanbul di dalam dua bilik tidur utama.
Şerif Ali Ağa mempunyai dua orang isteri. Seorang berasal dari Izmir dan seorang lagi berasal dari Istanbul. Untuk mengubat kerinduan para isterinya terhadap kampung halaman masing-masing, di bilik jelitawan Izmir itu dilukis gambar pemandangan Izmir manakala rupawan Istanbul itu pula, biliknya berhias dengan lukisan pemandangan di Istanbul.
MENINGGALKAN BIRGI
Biar pun masih terlalu banyak yang ingin saya terokai di Birgi, kami tidak memiliki peluang berkenaan pada hari itu.
Saya bersama Nabhan dan Halim perlu segera bertolak ke Ankara yang jaraknya kira-kira 600km.
“Inshaallah, ana akan sampai ke sini lagi” saya mengepal azam.
Sesungguhnya Imam Birgivi termasuk di kalangan ulama yang meninggal dunia pada usia muda. Seperti Imam Nawawi dan ramai yang seperti mereka. Akan tetapi keberkatan ada pada usia pendek mereka, hingga kematian tidak mematikan mereka.
Teringat saya kepada pesanan Imam Birgivi di dalam Tariqah Muhammadiyyah pada bab yang ke-10 berkaitan dengan Angan-angan.
“Berangan-angan adalah penyakit hati yang berakar umbi daripada keinginan untuk hidup lebih lama, dengan mengabaikan hakikat kematian. Manusia yang ditimpa penyakit ini tidak mempunyai sebarang keinginan untuk memperbaiki kerohaniannya dan tidak memikirkan tentang bencana yang bakal menimpa diri.
Bencana itu ada empat:
Pertamanya, orang itu akan mensesiakan masa dan kehidupannya dengan mengumpul bahagian dunia. Semasa melakukan itu, dia terlupa kepada hakikat kehidupan yang menanti di Akhirat sana.
Keduanya, dia akan mengabaikan sepenuhnya kematian dan kehidupan selepas kematian. Ini akan mengeraskan hatinya, hingga tiada rasa ingin berlaku ihsan kepada orang lain di sekelilingnya.
Ketiganya, beliau akan menangguh-nangguhkan kewajipan. Walaupun dia sedar perbuatannya salah dan dia perlu bertaubat, segala itu akan ditangguh hingga hilang daripada kesempatan apabila penghujung hayatnya tiba.
Keempat, dia akan meninggalkan solat serta perintah agama yang lain. Biar pun dia berkudrat melakukannya, manusia yang berangan-angan ini tidak dapat menghayati kepentingannya.
Orang yang berangan-angan dengan kehidupan ini menyangka dia akan hidup selama-lamanya…”
Kucing-kucing comel di Birgi itu saya tinggalkan.
Jika pada kurun ke-17 dahulu Evliya Çelebi singgah di Birgi dan mencatat banyak perkara penting sebagai rujukan umat mendatang, saya bermohon kepada Allah agar persinggahan Hasrizal Çelebi pada Februari 2013 ini, membantu umat Islam di tanah airnya mengambil manfaat daripada mutiara hikmah dan panduan hidup yang diwariskan oleh Mehmed Efendi, anak Balıkesir bersemadi menuju negeri Abadi di Birgi, lalu dikenali sebagai Imam Birgivi, rahimahullah rahmatan wasi’an.
Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? [Al-An’am 6: 32]
Teringat saya kepada mimpi bertemu al-marhum abah tidak lama selepas beliau meninggal dunia pada 13 April 1993. Biar pun ia sekadar mimpi, pesanan di dalam mimpi tersebut sungguh melekat di hati.
Kata abah di dalam mimpi itu, “sesungguhnya kubur itu gelap. Hidup ini, jangan main-main”
Mimpi yang realiti.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Allahu Rabbi. 4 hari baru siap menaip bahagian ini. Sungguh mencabar.
Indeeed! It has been written so well, I can even feel that I was there when Imam Birgivi is still alive. Jzklh Ustaz, we have to share the moral of the story with the youngsters and the not so young one like me. Trapped in a system where Allah & Rasulullah is not part of the vision & mission.
Thank you Kak Ija for the feedback. Hopefully the idea to insert some reflections and quotations from Birgivi’s work between paragraphs will benefit the reader. I hope I can finish writing the book by another one week, and to publish it this April. Pray for me, and thank you again.
Masyaalah, ana sokmo mengikuti tulisan ustaz dari bumi syam, mgisi kekosongan hati.
and again, thank you Ustaz for sharing your journey with us. I like the way you narrate your story and as always your article is written meticulously. Semoga segala usaha Ustaz dipermudahkanNya.