“Hasrizal?” tanya dua anak muda itu.
“Ya saya. Terima kasih kerana menyambut saya” saya menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Iyi bayramlar” saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada mereka berdua.
“Türkce biliyormusunuz?” mereka bertanya.
Adakah saya boleh berbahasa Turki?
“Yok. O kadar biliyorum” saya menafikannya. Itu sahaja yang sebenarnya saya tahu.
Mereka ketawa.
Alhamdulillah.
Penerbangan Turkish Airlines malam tadi agak mengharukan. Malaysia masih dalam mood Aidilfitri. Tetapi saya pada hari raya ke-3, sudah terpaksa meninggalkan keluarga selama hampir sebulan untuk ke Istanbul.
Saya menerima tawaran untuk menyertai Summer School di Istanbul selama tiga minggu. Ia dianjurkan oleh Istanbul Bilimler Akademisi (IBA) dengan kerjasama Yunus Emre Enstitut serta Istanbul Medeniyet Universitesi.
Saya tidak menyangka yang saya boleh terpilih. Program ini hanya menyediakan 20 kerusi penyertaan bersama pembiayaan biasiswa untuk semua perbelanjaan di Turki. Asalnya ia dibuka hanya untuk pelajar Amerika Syarikat. Tetapi tiba-tiba penyertaannya dibesarkan kepada pelajar daripada seluruh dunia. Mungkin kerana rusuhan di Gezi Park menyebabkan penganjur sukar mendapat peserta dari USA.
Saya menghantar permohonan betul-betul pada tarikh akhir penyertaan. Berdoa kepada Allah agar peluang ini berhasil, kerana mahu mengejar khasiatnya yang mungkin datang sekali seumur hidup.
Di dalam kursus ini kami diberi peluang mengikuti kursus secara intensif mempelajari Bahasa Turki Uthmaniah (Osmanlı Türkçesi) iaitu bahasa Turki klasik yang ditulis di dalam huruf Arab, seperti mana yang digunakan oleh Daulah Uthmaniah, sebelum penggugurannya pada tahun 1928. Kursus ini juga akan menyediakan bengkel intensif untuk beberapa tajuk teras bagi kajian Sejarah Uthmaniyyah.
Murid tua.
Terlanjur usia.
Mengapa harus mereka memilih saya?
Tetapi saya beranikan diri memohon, dengan keyakinan kajian di peringkat sarjana saya penting bukan hanya untuk kami di Malaysia yang jauh dari dunia Uthmaniyyah, tetapi untuk Turki juga. Saya masih ingat, penyelia ada memberikan satu perspektif yang valid untuk dipertimbangkan.
“Anta nak jadi pakar Dawlah Uthmaniyyah, di Turki pun sudah berlambak pakar. Ana rasa anta mesti letakkan sasaran untuk menguasai sejarah wilayah kita, mungkin berkaitan dengan Uthmaniyyah, demi memposisikan diri dalam dunia akademik dengan baik” kata Ustaz Ezad semasa saya meminta tanda tangan sokongan beliau.
Betul juga.
Saya akur kepada nasihat itu.
Walaupun begitu, saya melihat kajian tentang sejarah Dawlah Uthmaniyyah di Turki sendiri, ada kekurangannya. Antara aspek yang masih memerlukan banyak penerokaan adalah Sejarah Pemikiran. Mengambil seorang tokoh, lalu dikaji pemikirannya dan dibina pensejarahan berasaskan kepada pemikiran tersebut. Sahabat saya Ahmet Kaylı, di dalam tesis sarjana beliau bertajuk A Critical Study Of Birgivi Mehmed Efendi’s (D.981/1573)Works And Their Dissemination In Manuscript Form, menyatakan bahawa intellectual history masih merupakan cabang pengajian yang asing di jabatan-jabatan sejarah Turki.
Sebab itulah, mengkaji pemikiran Imam Birgivi, bukan hanya penting untuk disertasi saya, malah membantu mengisi kelompangan ilmu di Turki sendiri.
“Kita naik bas ini menuju ke asrama penginapan, ya” jelas wakil IBA yang menyambut saya.
“Ada peserta lain yang perlu diambil hari ini?” saya bertanya.
“Jika di Lapangan Terbang Atatürk, tiada. Ada seorang sudah tiba semalam dari Los Angeles. Beberapa yang lain akan tiba lewat malam ini” jawabnya.
“Inshaallah” saya membalas.
“Inshaallah” beliau tersenyum.
Saya rasa agak kekok. Saya sudah datang ke Istanbul dan Turki sendiri lebih 20 kali. Berdasarkan maklumat penginapan yang telah diberikan, rasanya saya boleh pergi sendiri sambil menikmati udara segara fajar bumi Khilafah ini. Tetapi saya rasa malas. Terasa mahu dimanjakan. Ambil sahaja dari lapangan terbang. Beg saya pun berat!
Selat Bosphorus indah disimbah cahaya mentari keemasan yang baru hadir bersama sebuah hari yang baru. Hari yang penuh kebaikan bagi yang rajin berusaha. Hari yang memendekkan usia bagi yang hanya bersila melambai masa.
Trafik pagi Ahad memang mendamaikan. Tiada banyak kenderaan.
“Apa khabar semua di rumah? Abi doakan Umi dan anak-anak semua dalam keadaan baik. Abang sudah selamat sampai di Istanbul. Sekarang dalam perjalanan menuju ke hotel penginapan”
Saya menghantar sms kepada isteri.
Besar pengorbanannya. Februari lalu beliau melepaskan saya ke Turki untuk mengkaji tentang Imam Birgivi. Kali ini sekali lagi pengorbanan yang sama diberikan. Semoga Allah merahmati isteri saya dan memelihara kami sekeluarga.
Sepatutnya kami menginap di Adile Sultan Kasrı iaitu sebuah istana kurun ke-19 yang didedikasikan untuk Mihrişah Valide Sultan, bonda kepada Sultan Selim III. Tetapi saya dimaklumkan bahawa istana berkenaan telah ditutup untuk renovasi. Maka kami akan menginap di sebuah rumah penginapan guru pelatih di dalam kompaun istana berkenaan iaitu di Validebağ Öğretmenevi.
Saya telah diberikan bilik 405 dan kami juga difahamkan yang kami akan berkongsi bilik dengan seorang lagi peserta program. Satu bilik, dua orang.
Siapa agaknya yang bakal menjadi rakan sebilik saya?
Timbul rasa berdebar kerana ia sebenarnya pengalaman pertama saya menyertai sebuah program yang pesertanya datang dari seluruh dunia, berbilang bangsa dan agama. Tentu sahaja ada cabaran-cabaran sosial yang memerlukan kecekapan dan TAQWA yang tinggi untuk mengendalikannya. Cabaran yang sepatutnya dialami oleh remaja 20’an. Bukan bapa budak anak empat seperti saya ini.
Bilik masih kosong.
Saya dapatkan katil yang dekat dengan sumber elektrik kerana setiap malam rutin saya adalah mengecas beberapa gajet. Macbook, Ipad, telefon, Powerbank, saya penagih elektrik.
Aug 11, 2013 | Keeking from Istanbul. Safely landed. 3 weeks, for Ottoman Culture and History Summer School #istanbul by hasrizalabduljamil on Keek.com
Barang-barang juga saya susun dengan sebaiknya. Saya bercerita kepada isteri bahawa semasa zaman saya bujang-bujang dahulu, bilik saya adalah bilik yang sangat kemas. Saya tidak boleh tidur kalau almari plastik untuk baju saya itu tidak dizip hingga ke atas dengan sempurna. Pen, remote tv dan radio, ketayap, kunci, semuanya ada tempat tetap untuk mereka bermalam.
“Habis tu, kenapa sekarang jadi penyemak?” tanya isteri saya.
“Sebab abang bahagia” saya menjawab.
Mencampak barang di sana sini, memberikan rasa bahagia bagi lelaki middle age seperti saya. Setelah seluruh hidup di pejabat, di jalanraya, di pasaraya, di masjid, semuanya kena patuh dengan pelbagai peraturan, di rumahlah tempat sang suami melepaskan keletihannya. Berehat, tak payah fikir peraturan.
“Teruklah kalau macam tu!” balas isteri saya.
“Sebenarnya tidak semak pun. Kesemua barang abang, dicampak ke tempat-tempat yang spesifik. Ia adalah structured mess!” saya berfalsafah.
“Structured mess?” terkejut isteri saya mendengar istilah tersebut.
Tetapi pagi ini, tidak bolehlah semak. Malu saya kepada rakan sebilik nanti. Maka terpaksalah saya kembali menyusun semua barangan dengan teratur. Termasuk toiletries di bilik air.
Wajah isteri dan anak-anak segera menerjah fikiran. Melepaskan mereka di KLIA malam tadi, hati saya berbelah bagi. Inilah susahnya hendak menuntut ilmu dalam keadaan sudah berumahtangga. Kita sayangkan keluarga. Namun rutin belajar tidak dapat menghalang kita daripada bermusafir. Menyelami kesukaran emosi melakukan hal-hal ini, saya selalu berpesan kepada anak muda supaya jangan cepat sangat bernikah, kalau menuntut ilmu diambil bukan sekadar menghabiskan silibus.
Kena mengembara.
Kena meneroka.
Kena tidur di masjid.
Kena tidur dalam bas.
Kita mungkin gagah. Tetapi tidak semestinya buat isteri dan anak-anak.
Dalam merenung hal berkenaan, saya terlelap.
RAKAN SEBILIK TIBA
“Alo!” seseorang memanggil dari luar.
Saya terbangun. Astaghfirullah, lama pula tertidurnya. Jam sudah pukul 12 tengah hari.
“Ya, silakan” saya membuka pintu.
“Hai, saya Eric” seorang anak muda berdiri di hadapan pintu.
“Saya Rizal. Silakan masuk” saya mempersilakan beliau masuk ke bilik kami.
Rakan sebilik saya adalah Eric David Halsey. Beliau adalah warga Amerika Syarikat dan merupakan pemegang biasiswa Fullbright.
“Awak tiba dari USA?” saya bertanya.
“Oh, tidak. Sebenarnya saya kini menetap di Bulgaria. Saya mengajar Bahasa Inggeris sambil menyelesaikan kajian saya di Sofea” kata beliau.
Kami berbual seketika dan saya memberitahu Eric supaya selesakan diri di bilik ini. Nampaknya beliau seorang anak muda yang tertib. Tetapi barangnya sangat banyak. Sulit sekali hendak menyusunnya.
Eric berasal dari Washington DC.
“Oh tidak, saya tertinggal wayar Macbook Pro saya di hotel” Eric merungut.
“Saya juga menggunakan Macbook Pro. Awak boleh pakai sahaja wayar ini” saya menawarkan bantuan.
“Walau macam mana pun, sudahnya saya perlu juga mendapatkan wayat tersebut. Adakah ia masih berada di hotel?” beliau yang berpeluh-peluh dan muka merah seperti udang terbakar mengipas-ngipas diri dengan naskhah surat khabar.
“Pakai telefon saya, dan hubungi hotel berkenaan” saya cuba untuk membantu.
“Terima kasih” Eric menerima pelawaan saya.
Selepas mendapat pengesahan hotel bahawa wayar itu masih ada, Eric mengambil keputusan untuk pergi semula ke Taksim, lokasi hotel berkenaan. Letih juga sebenarnya. Saya juga mengambil kesempatan untuk ke kedai di hadapan rumah penginapan kami, untuk mendapatkan bekalan air minum dan sedikit snek.
Malam itu, semua peserta berkumpul untuk makan malam. Buat pertama kalinya kami semua saling berkenalan. Nyata, saya wakil tunggal dari Malaysia. Bersama saya, adalah rakan-rakan peserta daripada Finland, Itali, Jerman, Sepanyol, Bulgaria, Greece, Indonesia, USA, Kanada, United Kingdom, Morocco, Mesir, Pakistan, Algeria dan Ethiopia.
Sungguh mengagumkan, untuk saya melihat para peserta yang rata-ratanya terdiri daripada anak muda pelbagai latar belakang bangsa, agama dan pendidikan, mempunyai minat yang begitu mendalam kepada Daulah Uthmaniah. Sebahagiannya sudah boleh bertutur di dalam bahasa Arab, mula mempelajari bahasa Turki sebagai ‘bayaran’ untuk mendapat ‘ilmu’.
Buat masa ini, saya menghadkan kajian saya berkenaan Imam Birgivi kepada Tariqah Muhammadiyyah. Ia ditulis di dalam bahasa Arab dan saya tidak mendapat banyak kesulitan untuk memahami teks buku berkenaan. Tetapi untuk kajian lanjutan, kebanyakan syarah kepada Tariqah Muhammadiyyah adalah di bahasa Turki Uthmaniyyah. Maka mahu tidak mahu, saya mesti memaksa diri mempelajari bahasa Turki moden, dan juga bahasa Turki Uthmaniyyah.
Saya tidak mempunyai kemewahan peluang untuk mempelajarinya secara sepenuh masa di Turki. Kursus tiga minggu inilah pelaburan yang mudah-mudahannya diberkati Allah.
Biar pun program ini, bukan program agama, saya bermohon kepada Allah agar ia menjadi tempat saya melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu alat bagi menjayakan sebuah jihad ilmu.
Usai solat Isyak’, kami semua tidur, tidak berlengah lagi.
Menunggu ketibaan hari pertama sekolah!
Bismillah.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP