Besarnya kuasa Allah, mengampun kesalahan hamba-Nya, walau sebesar gunung seluas lautan. Andai dosa itu antara kita dengan-Nya. Namun, ketika dosa kita jatuh ke tangan manusia, kita sebagai manusia terlalu lemah untuk menebusnya. Kita perlu kembali kepada Allah, yang memegang hati-hati manusia, untuk menggerakkan hati mereka agar melepaskan kita daripada dosa silam.
Semasa kecil, saya ‘dikutuk’ abang-abang saya kerana menjadi peminat Sharifah Aini. Saya akui saya amat meminati lagu-lagunya. Semasa kecil, apabila mendengar lagu Sharifah Aini, ada kalanya saya akan menutup mata dan berimaginasi tentang keindahan yang terungkap pada irama, kemudian lirik, yang ada dalam lagu-lagunya, terutamanya lagu asli Melayu Deli. Lagu Sharifah Aini adalah lagu yang memegang amanah memelihara takrif keindahan.
Sungguh nasibmu si bunga tanjung
Bagai cahaya ditutup mendung
Tiadalah tangan menyunting kamu
Menunggu gugur di angin lalu
Malang dudukmu di dahan tinggi
Kini bertabur di atas bumi
Saya masih ingat, saya bersama emak duduk di pentas persembahan Medan Kidd Ipoh pada suatu malam, kami menonton konsert Sharifah Aini hingga ke hujung acara. Kemudian abah ambil kami berdua sebab abah memang tidak suka apa-apa muzik. Abang-abang saya pula zaman itu sudah berada di alam Scorpion, Iron Maiden dan petikan gitar Michael Schenker.
Ini kisah akhir 1970’an dan awal 1980’an.
Zaman Sharifah Aini.
Tetapi apabila anak Sharifah Aini, Aliff Omar masuk sekolah tahfiz, saya jadi segan memikirkan minat saya kepada Sharifah Aini. Saya sendiri ketika itu menjadi pelajar sekolah agama. Sama ada kepada Aliff atau kepada Sharifah Aini, saya rasa saya perlu menghormati keluarga dua beranak itu. Tambahan lagi apabila Aliff menyambung pelajaran ke Madinah. Saya fikirkan Sharifah Aini sangat serius merancang kebaikan untuk hidupnya.
Capaian di Youtube: http://youtu.be/U1i_c95GloQ
Versi penuh di Youtube: http://www.youtube.com/watch?v=aMkEqm1risQ
Sebab itu, apabila Sharifah Aini menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam 7 Ramadan 1435H, di sisi Aliff sebagai anak yang soleh, di samping semua perancangannya untuk ‘mereka bentuk’ sebuah husn al-khatimah, pesanan Sharifah Aini di dalam program bersama Prof Muhaya ini, amat menyentuh hati. Moga Allah menggerakkan hati lebih ramai pihak untuk membantu Sharifah Aini, menutup kesalahan silamnya yang berada di tangan kita semua.
Sungguh menginsafkan…
Sempat bertaubat, berhijrah, berislah, beramal jariah…
Anakanda sendiri mengimamkan solat jenazahnya…
Jenazah diuruskan dengan memelihara aurat dan kehormatan diri…
Jenazah dikebumikan dengan baik, dan terpelihara daripada khurafat dan bid’ah…
Dan privasi pasca perkebumian yang diminta oleh Ustaz Aliff Omar, memeliharanya lagi daripada amalan-amalan yang tidak menepati ajaran Islam berkaitan dengan kematian…
Sesungguhnya amal itu terkira berdasarkan penghujungnya…
Amanlah Sharifah Aini di alam barzakh…
Lupakan dia sebagai Biduanita Negara. Ingati beliau sebagai hamba Allah yang mewasiatkan hajat besar kepada kita…
Amankan beliau daripada dosa silamnya, yang kini menjadi dosa kita, andai kita tidak mengendahkannya. Pelihara auratnya, dan aurat kita semua.
اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها…
Memikirkan hembusan akhir nafas seorang hamba, hancur segala ego, dan kemegahan hidup yang fana ini.
Apa yang tidak berharga di dalam kubur, tidak berharga di luar kubur.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
al fatihah…beruntung arwah mempunyai anak yang soleh
Salam takziah… al fatihah utk insan berjiwa besar ini….
Moga dapat mencontohi Ustaz Aliff. Ameen.
Ya Allah, jadikanlah aku seorang ibu yang beruntung seperti dia. Amin.
Masya Allah.Penulisan yang hebat. Sebagai penulis di akhbar arus perdana, saya sendiri seakan tidak termampu untuk berfikir ke sini….melupakan Sharifah Aini sebagai biduanita tetapi mengenangnya sebagai penegak syiar Islam di penghujung hayatnya.Itu lebih mulia. Kak Pah, damailah dikau di sana. Amin!
Sebuah noktah yang dicatit dengan titik bulat yang cantik.Al Fatihah jua.
betul tu ustaz. berharap sangat semua dapat menghormati permintaan arwah. terkilan sebab masih ada media yg menonjolkan wajah arwah sebelum berhijrah. semua org ada masa silamnya, dan berharap semoga kisah kita semua dilindungiNya.
amin
Setiap tulisan ustaz, pasti ada sisi lain yang perlu difikirkan. Alhamdulillah. Sebagai muhasabah kepada saya yang masih hidup ini.
اللهم اغفرلها وارحمها وادخلها في فسيح جنته
Bagi pedoman yg hidup tak mesti nya hidup dahulu buruk pasti ada dan buruk sbgai contoh bagi kita tauladani – alfatihah buat sharifah aini
Allah seperti memberi petanda kepada kita apabila Allahyarhamah SHarifah Aini, segala kebaikannya terbongkar hanya selepas beliau meninggal.Allahuakbar, Allah hantar bala tenteranya untuk bercerita tentang kebaikan nya sahaja.SubhanaalALlah…
kebesaran Allah yang tidak ada tandingan.