Berbelas tahun yang lalu saya membeli buku al-Bayan wa al-Tabyin oleh al-Jahiz ini.
Hampir tidak pernah mendakapnya. Hanya membaca sepintas lalu, dan meletakkannya kembali ke rak buku.
Hari ini saya membukanya kembali. Menyelak lembaran demi lembaran, kerana rupa-rupanya al-Jahiz ada mendedikasikan bab khusus di dalam buku ini, pada membicarakan tentang guru, sekolah, pendidikan, pedagogi dan kurikulum. Saya menerima tugasan akademik minggu ini di dalam program Islamic Teacher Education Program (ITEP), untuk membuat laporan bacaan berkenaan idea al-Jahiz sebagai seorang tokoh pendidikan di era klasik Islam.
Tidak banyak yang saya tahu tentang al-Jahiz, selain kelucuan-kelucuan ceritanya di dalam Kitab al-Hayawan, dan kisah popular tentang al-Jahiz yang meninggal dunia kerana dihempap buku. Kematian yang amat tragis, tetapi cukup unik untuk menjelaskan siapa al-Jahiz dalam dunia kesarjanaan Islam.
Nama sebenarnya adalah Abū ʿUthman ʿAmr ibn Baḥr al-Kinānī al-Baṣrī , dilahirkan di Basrah pada tahun 776 dan meninggal dunia pada tahun 868/869, pada usia lebih 90 tahun. Seorang tokoh pemikir terkenal dalam trend Muktazilah, idea-idea beliau banyak yang kontroversi. Namun pendapat beliau tentang guru cukup menarik.
Ingin saya kongsikan isi-isi penting berkenaan idea pendidikan oleh al-Jahiz, sebagaimana yang terkandung di dalam kitab al-Bayan wa al-Tabyin, serta kupasan Profesor Sebastian Günther dari University of Göttingen tentang beliau.
Visual artis berkenaan al-Jahiz
Al-Jahiz mempertahankan keutamaan kedudukan guru di institusi sekolah, melebihi status sosial golongan-golongan lain yang turut mengajar, seperti tutor peribadi golongan bangsawan dan istana, dan yang seumpama dengannya. Al-Jahiz menjelaskan bahawa para guru adalah insan-insan mulia yang berpengetahuan, tekun, rajin dan bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan mereka. Mereka sangat bersemangat dan menghayati pekerjaan mereka, malah turut berasa dukacita dan sedih apabil anak murid mereka tidak maju sebagaimana yang sepatutnya. Menurut al-Jahiz, sepatutnya ibu bapa tidak menyalah guru sekolah apabila anak mereka lemah di sekolah. Sebaliknya mereka sepatutnya mempertimbangkan faktor kelemahan mental anak mereka sendiri!
Dari sudut manakah pendidikan memberi impak yang besar kepada manusia?
Al-Jahiz menjawab persoalan ini dengan mengenengahkan pandangan beliau tentang implikasi penulisan kepada tamadun manusia. Beliau menganggap pertuturan (bahasa) dan penulisan, merekodkan maklumat dan ilmu pengetahuan, demikian juga aktiviti mengira, semua itu adalah rukun kepada tamadun silam dan semasa. Kata al-Jahiz, pemikir-pemikir ternama dahulu tidak gemar dengan pembelajaran yang bergantung kepada hafalan kerana ia menyebabkan minda cuai terhadap keunikan dan perbezaan. Belajar secara menghafal juga menyebabkan seseorang itu hanya bersandar dan bergantung kepada pencapaian sarjana silam, tanpa membuat analisis dan rumusan sendiri untuk konteks semasa. Walaupun begitu, al-Jahiz tetap akur kepada kepentingan memori kerana ia masih sebuah keperluan di dalam proses belajar. Tanpa memori yang baik, sesuatu yang kita tahu, tidak kekal lama di dalam fikiran.
Apa yang penting bagi penuntut ilmu, adalah kebolehan berakal fikiran, yang menggabungkan nalar deduktif dengan berfikir secara kendiri. Ada pun penghafal, mereka jadi peniru, menyalin sahaja hasil fikir orang lain, dan melumpuhkan kebolehan berfikir seseorang. Namun, perlu dicari titik seimbang antara keduanya. Mereka yang belajar hanya dengan menghafal, ia merosakkan logik seseorang. Ada pun bagi yang belajar dengan hanya bergantung kepada nalar deduktif, ia menjejaskan upayanya menghafal, ketika mana menghafal itu juga turut mempunyai kedudukan yang penting. Seseorang yang mengabaikan proses memantulkan makna secara rasional, akan mengalami kesulitan untuk mendapat idea tentang sesuatu. Tiada buah fikiran. Ada pun yang mengabaikan hafalan, pengetahuannya tidak lama menghuni dirinya. Hilang dan lupa.
Kedua-duanya, adalah berbeza.
Proses belajar secara menghafal itu berbeza.
Proses belajar secara nalar deduktif itu juga berbeza.
Tetapi kedua-duanya menurut al-Jahiz, mempunyai tujuan yang sama dan sepatutnya disedari, iaitu:
- melahirkan akal yang kendiri
- menjadikan seorang penuntut ilmu itu mencintai hanya satu perkara iaitu belajar.
Andai berhasil lahirnya dua perkara ini, maka sejahteralah seseorang penuntut ilmu itu dan lahirlah kebaikan daripadanya.
Al-Jahiz juga menyenaraikan ilmu-ilmu yang diperlukan oleh penuntut ilmu, iaitu:
- penulisan
- arithmetic
- undang-undang
- rukun Islam
- al-Quran
- nahu (grammar)
- ‘Arudh (prosody)
- syair (poetry)
Selain daripada itu, al-Jahiz menekankan tentang pentingnya penuntut ilmu memiliki kebolehan membahas serta mendebat idea menggunakan kepintaran berfikir. Sangat perlu bagi penuntut ilmu arif tentang hujah-hujah ilmuan silam, gaya penulisan mereka serta memiliki kosakata yang luas.
Pelajar perlu diajar supaya tahu mengungkapkan apa yang mereka fikir dan rasa, dan difahami oleh orang lain. Dalam berbicara, termasuk dalam urusan pengucapan awam, pelajar juga menurut al-Jahiz, mestilah sedar bahawa isi kandungan adalah lebih utama berbanding gaya penyampaian. Oleh yang demikian, guru-guru perlu menunjukkan contoh teladan yang baik. Apabila memilih tajuk untuk dibincangkan di dalam kelas, janganlah dipilih topik yang bersimpang siur dan rumit di sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran/
Al-Jahiz juga mengingatkan para guru supaya mengambil kira tentang keupayaan mental anak murid mereka. Justeru, gunakanlah bahasa yang anak murid fahami.
Guru juga mestilah melayan anak murid dengan baik dan lemah lembut, penuh kasih sayang serta berusaha menawan hati anak murid mereka semasa mengajar. Al-Jahiz merumuskan bukunya berkenaan guru ini dengan menjelaskan kelebihan dan keutamaan melayan anak murid dengan baik, tenang, elok budi pekerti, tidak memaksa-maksa mereka hingga mereka menjadi liar dan tidak suka kepada adab sopan, dan jangan sesekali mengabaikan mereka. Sesungguhnya menurut al-Jahiz, murid-muridmu itu wajar menerima perhatian dan kesungguhanmu, wahai guru.
Demikianlah sebahagian daripada pandangan al-Jahiz tentang sekolah, guru, murid, pendidikan dan pendekatan. Pandangannya sangat seimbang, ramuannya seakan-akan diformulasi untuk kegunaan 1000 tahun selepas zamannya. Betapa sesungguhnya pendidikan, adalah sebuah jihad, tempat berputihnya sebuah harapan, sebenar-benar harapan.
Semoga Allah mencucurkan rahmat-Nya ke atas al-Jahiz, dan tokoh-tokoh ummah yang telah mendahului kita, ameen.
HASRIZAL
43000 BSP
Terima kasih memperkenalkan al jahiz sang pengagum ilmu.Setiap titis tinta seorang penulis adalah darah bg perubahan PERADABAN.Tiada penghambat menulis yg lebih besar dari KETAKUTAN DINILAI.Tiada kendali yg lebih baik dr KETAKUTAN MENEBAR KEBATILAN. Untuk ustaz, penulisan ustaz sangat bermakna bg KAMI yg tak mampu mencari ilmu seserius ustaz.
Ustaz, adakah senarai ilmu-ilmu yang diperlukan oleh sesorang penuntut seperti yang dikemukakan oleh al-Jahiz di atas hanya untuk penuntut-penuntut aliran tertentu sahaja atau secara umum untuk semua penuntut?