Untuk berasa tenteram secara konsisten, kita perlu selaraskan apa yang kita percaya dengan apa yang kita buat.
Apabila kepercayaan kita diuji dengan kejadian-kejadian yang tidak selaras dengan apa yang kita percaya, timbul rasa tidak tenteram dan berlaku perang dalaman (ketidak serasian kognitif atau cognitive dissonance).
Contoh:
- Saya menyertai gerakan Islam kerana gerakan Islam itu mendidik saya menjadi baik. Dahulu saya kurang kenal agama, kurang faham agama, dan akhlak pun kurang baik, kini dengan gerakan Islam yang saya sertai, saya menjadi lebih baik.
- Gerakan Islam membantu saya membuat kebaikan
- Gerakan Islam membantu saya berjuang menentang kezaliman
- Di dalam gerakan Islam, saya dipimpin oleh orang baik yang menyebarkan kebaikan, mengajar kebaikan, menolak kejahatan dan menentang kejahatan.
- Gerakan Islam ini adalah kebaikan dan saya bersyukur menjadi sebahagian daripadanya.
Kelima-lima perkara di atas adalah ‘attitude’, ‘behaviour’ dan ‘cognitive’ ‘saya’.
Attitude: saya sayangkan Islam
Behaviour: saya menyertai gerakan Islam
Cognitive: menyertai gerakan Islam adalah kerana sayangkan Islam dan memperjuangkannya.
UJIAN TIBA
Kesemua perkara yang saya pegang dan telah menjadi kebiasaan selama ini diuji. Di dalam gerakan Islam kepincangan berlaku. Kebaikan bercampur kejahatan. Banyak benda salah dilakukan. Korupsi menyelinap masuk. Akhlak merosot. Musuh bertambah. Hati semakin tidak tenteram.
Hal ini berlarutan selama bertahun-tahun dan keadaan terus menerus menjadi semakin membimbangkan. Saya menjadi semakin tidak tenteram kerana apa yang saya pegang, semakin tidak serasi dengan apa yang saya lakukan.
PILIHAN UNTUK MENGEMBALIKAN KETENTERAMAN
1. Ubah pegangan
Saya ada kepentingan peribadi yang perlu diutamakan. Keselesaan hidup lebih utama. Kebaikan atau kejahatan itu subjektif (jika salah pun, Allah Maha Pengampun). Saya sudah lama berjuang untuk orang lain. Kini saya perlu juga memikirkan kepentingan diri sendiri yang selama ini telah saya letak di belakang.
2. Ubah perbuatan
Gerakan Islam ini tidak lagi membantu saya dalam kebaikan, ia tidak lagi membantu saya menolak kejahatan. Apa yang saya mahukan adalah Islam dan kebaikan, bukan gerakan Islam itu sendiri.
Saya telah cuba bertahun-tahun dan bersungguh-sungguh mengubah, memberi peringatan sesama sendiri sebelum melarat, tetapi tidak diendahkan.
Maka saya tinggalkan gerakan ini kerana gerakan ini bukan lagi gerakan Islam.
3. Ubah persepsi perbuatan
Kesilapan itu bukan kesilapan, ia adalah perspektif masing-masing. Kalau kita teruk sekali pun, kelompok lain jauh lebih teruk. Tidak salah berbohong demi mempertahankan perjuangan kerana peperangan adalah helah. Kepimpinan pasti lebih arif dan mustahil mereka melanggar hukum kerana mereka orang berilmu dan bertaqwa. Semua yang dihebahkan itu adalah propaganda musuh. Lihatlah betapa tidak konsisten dan penipunya lawan kita. Jika bersetuju, kita kawan, jika melawan, kita lawan.
NATIJAH
Rasa tidak tenteram itu berkurang dan kini saya tenteram kerana saya telah sama ada
1. mengubah kepercayaan
2. mengubah perbuatan, atau
3. mengubah persepsi perbuatan
HASRIZAL
OULU Finland
One comment
Pingback: ‘Confirmation Bias’: Helah Minda Dalam Mencari Hujah – Saifulislam.Com