Menghargai Mesej Profesor Jasser Auda di Dublin

Seumur hidup ini kali pertama saya berpeluang mendengar dan melihat kupasan Sheikh Jasser Auda secara langsung. Jiwa rasa seperti kanak-kanak melompat girang jumpa adiwira pujaan. Namun, saya simpan diam-diam dan fokus sahaja kepada mendengar, berfikir dan memproses dapatan persidangan.

Beliau adalah jemputan untuk menyampaikan ucap utama Islamic Cultural Centre of Ireland’s Annual Conference dengan tema “…With Insight” atau di dalam bahasa Arabnya, على بصيرة.

Selain beliau, pembentangan turut disampaikan oleh Dr. Basma Abdelgafar yang merupakan Vice President of Maqasid Institute dan Profesor of Public Policy. Mereka berdua menjadi tetamu yang diterbangkan khas dari Kanada. Manakala tokoh tempatan adalah Dr. James Carr, seorang ahli sosiologi di Universiti Limerick yang juga seorang Irish Muslim.

Selain bertegur sapa dan beramah mesra dengan Dr James selepas solat Asar, saya mencari peluang untuk berkomunikasi dengan Sheikh Jasser Auda.

Teringin hendak bersalam dan bergambar, tetapi orang terlalu ramai dan beliau nampak letih selepas majlis. Saya pun kena segera balik ke rumah. Justeru saya mengundur diri perlahan-lahan.

Treat people the way you want yourself to be treated.

Walaupun saya jauh lebih rendah, nak jadi tali kasut Sheikh pun tak layak, tapi saya rasa saya faham betapa berharganya tidak dikerumuni selepas penat membentang, apatah lagi sekadar swafoto.

Cuma…

Saya tersentuh hati melihat betapa kontroversinya pandangan-pandangan Sheikh Jasser Auda kepada hadirin. Soalan bertubi-tubi meminta beliau jelaskan lagi dengan panjang lebar apabila kata-katanya menggusarkan hadirin. Ramai yang kelihatannya masih berpegang dengan pemahaman yang agak ‘tradisional’ berkaitan Islam biar pun lama bermastautin di Ireland.

Berbeza dengan pendekatan Sheikh.

Jika kita halusi tujuan asas pensyariatan fiqh di dalam Islam, melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat, ia mudah mengundang kontroversi. Sheikh mengutamakan tujuan dan keperluan, berbanding memenangkan tafsiran atau aliran. Sheikh turut selitkan kupasan bagaimana aliran neo ini dan neo itu di negara Arab mencemar representasi Islam ke dunia semasa. Sesuatu yang panas untuk dihadam kecuali dengan membekalkan jiwa kita selaku pendengar dengan keikhlasan beragama kerana-Nya.

ٱلَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ ٱلْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ ١٨

“… mereka yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah golongan ulul albab.” [al-Zumar 39: 18]

PENDIDIKAN

Antaranya, Sheikh Jasser Auda menyebut, ada keperluan besar untuk kita di Ireland mengutamakan pilihan menghantar anak ke public school dan tidak terbatas di sekolah agama. Antara alasan yang beliau kemukakan ialah, dana awam (public fund) lebih kukuh berbanding private fund untuk kelangsungan operasi sekolah. Apa yang lebih utama pula ialah, keberadaan pelajar Muslim di sekolah awam akan menyebabkan polisi-polisi pendidikan boleh dipengaruhi untuk berubah menjadi lebih inklusif secara baik seperti ruang solat, makanan halal dan sebagainya.

Rakan saya di Roscommon menceritakan bagaimana kesan pengaruh Muslim, sekolah di bandar berkenaan tamat jam 12 hari Jumaat, membolehkan semua murid sekolah yang beragama Islam mengerjakan solat Jumaat tanpa masalah. Ia adalah perkembangan kesan jangka panjang impak komuniti Muslim kepada polisi awam di salah sebuah bandar utama di Midland Ireland.

Akan tetapi, ramai juga nampaknya tidak bersetuju.

“Pengaruh ‘barat’ kuat dan ini berisiko merosakkan anak-anak,” kata mereka.

Kebimbangan itu berasas.

Saya sendiri berada di kedua-dua daerah setuju dan tidak setuju.

Kami yang menghantar anak-anak ke sekolah awam di Ireland, malah semenjak di Finland lagi, mempunyai pengalaman yang rencam mengenai kesannya. Ada sisi positif dan ada juga negatifnya. Anak-anak yang confident dengan identiti mereka sebagai Muslim, mengamalkan asas-asas Islam walaupun tiada rakan Muslim di kelas atau di sekolah, sedikit sebagai membekaskan keislaman mereka kepada rakan dan guru. Bagi yang terlanjur mengikut pengaruh asing, berat kesannya kepada diri dan kami berdoa kepada Allah agar jalan pulang sentiasa kelihatan dan boleh dipilih hasil hidayah-Nya.

Secara peribadi, apabila saya berfikir jalan untuk menyalurkan pengetahuan dan pengalaman saya di dalam pendidikan di Ireland ini, ada masanya saya ingin memberi tumpuan kepada sekolah Islam. Kemudian pada yang sama masih terus mencari jalan untuk menyalurkan kebaikan di institusi awam yang lebih luas.

Terkenang 20 tahun yang lalu ketika mewakili masjid membentangkan topik Euthanasia kepada pelajar perubatan di Belfast. Semasa wakil-wakil agama lain mengemukakan hujah mengapa pastor dan chaplain perlu dibabitkan bersama ketika membuat keputusan dalam kes ‘mercy killing’ ini, saya pula memberi penekanan kepada siapa yang sepatutnya tidak terlibat, termasuk imam sendiri, apabila keputusan itu adalah keputusan perubatan dan bukan keputusan hukum agama. Ia membuka mata hadirin untuk memberi perhatian kepada dimensi tersebut agar conflict of interest dapat dicegah.

Itu hal pendidikan.

Politik pula, lain kisahnya.

POLITIK

Sheikh jelaskan bagaimana sebagai seorang warga minoriti dan imigran, Nabi Yusuf ‘alayhi al-salam berpatisipasi dalam politik di Mesir dan mempengaruhi dasar awam. Baginda menyertai politik dengan merit dan kepakarannya, bukan kerana hak dirinya sebagai minoriti.

Pengajaran ini dimodelkan oleh Dr Basma Abdelgafar sebagai ahli akademik dan politik di dalam kerajaan Kanada. Beliau berada di posisinya adalah dengan kepakaran, bukan kerana beliau seorang muslimah, berhijab atau minoriti.

Ramai hadirin gelisah memikirkan cara Muslim hendak berpatisipasi dalam politik Ireland. Tercabar dengan saranan panelis mengenai hal ini.

Bagaimana Muslim seharusnya memainkan peranan dalam isu krisis perumahan di Ireland, kenaikan kos sara hidup, kepincangan sosial dan sebagainya. Bagaimana soal Kesatuan Ireland?

Malah ia ada kaitan dengan budaya.

Sheikh kata, Islam juga bukanlah agama Nabi Muhammad ﷺ semata-mata. Ia adalah agama semua Nabi dan Rasul. Ia adalah pandangan alam yang Muslim di Barat mesti dengan yakin berpegang dengannya.

Islam itu tidak berlokasi, tidak berbangsa atau berbahasa. Ia boleh berfungsi di dalam pelbagai budaya.

Islam di Ireland bukan fenomena asing. Membawa Islam di Ireland bukan membawa sesuatu yang duduk di dalam kategori keperluan orang asing. Sebaliknya ia harus diterjemahkan kepada manfaat sejagat, sesuai dengan Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam.

Membawa Islam di Ireland tidak perlu meng’arab’kan Ireland atau mem’pakistan’kan negara ini. Biar Islam diamalkan oleh Muslim di Ireland dengan budaya Irish yang secara sendirinya tersistensis antara mana yang baik mana yang tidak, kesan beragama dengan agama Islam.

Ada beza yang jelas sekarang ini antara Canadian Islam berbanding American Islam, juga Turkish Islam dengan Arabian Islam dan Central Asian Islam seperti di China.

Kenyataan ini menimbulkan kontroversi sebab ramai yang hadir berpendapat Islam hanya satu. Tidak wujud Islam Irish, Islam Europah dan sebagainya. Penat juga Sheikh Jasser Auda diasak. Beliau pernah mengulas hal ini di dalam makalah Auda, J. (2016). Rethinking Islamic law for minorities: Towards a Western-Muslim identity.

Di dalam sesi Q&A, moderator dengan nada bergurau berkata, “dalam bab ini kita agak tidak bersetuju dengan pandangan Prof Jasser Auda dan kita ‘mengumpat’ di belakang-belakang.”

Hadirin ketawa mesra. Ia gurauan. Tapi saya rasa gurauan itu bukan gurauan kosong semata-mata. Memang jelas tidak setujunya mereka dengan pandangan Sheikh Jasser Auda.

Sheikh pun senyum sahaja.

RENUNGAN PERIBADI

Sejujurnya banyak pandangan saya tentang Islam selari dengan Prof Jasser Auda. Bukan semata-mata kerana latar belakang pengajian saya sebagai murid Syariah. Kerja pertama saya pasca menamatkan pengajian bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast, dan pengalaman hidup merantau termasuk di daerah ekstrim seperti di wilayah Artik Finland, menjadikan saya lebih mesra dengan idea-idea Sheikh Jasser Auda.

Mungkin itu boleh menjelaskan mengapa saya aman mengamalkan Islam ‘diam-diam’ di Ireland, berbanding mendepani debat keberagamaan di kampung halaman sendiri. Saya lelah dengan desakan tempatan, berbanding mengharungi cabaran asing.

Semasa belajar di Jordan dahulu, subjek yang paling berbekas ke atas diri saya adalah mata pelajaran Maqasid Syariah bersama Dr Abd al-Rahman al-Kilani. Kepakaran Dr Abd al-Rahman al-Kilani yang masih muda ketika itu, dikatakan bahawa siapa mengkritik beliau bererti mengkritik al-Imam al-Shatibi rahimahullah! Saya mengikut rapat subjek berkenaan kerana ia berkenaan merumuskan kefahaman fiqh saya selepas belajar fiqh melalui subjek Tafsir ayat Ahkam, dalam Hadith Ahkam, sejarah perkembangan Fiqh dan kemudian di dalam subjek Fiqh itu sendiri. Belajar benda yang sama menggunakan metodologi-metodologi yang pelbagai.

Bidang Maqasid Syariah ini adalah bidang dan kepakaran Prof Jasser Auda.

Selepas bertahun-tahun jiwa saya kontang tidak berpeluang hadir ke seminar sebegini, akhirnya Allah rezekikan saya menyertainya. Percuma pula!

Semoga Allah rahmati Profesor Jasser Auda dan sekalian panelis serta kita semua, amin.

Hasrizal Abdul Jamil
Clonskeagh, Dublin IE

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share