Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. Pembentangan itu dibuat di dalam Webinar Keibubapaan anjuran Yayasan Pendidikan Khalifah secara dalam talian.
Dr. Haidt menyatakan bahawa Generasi Z, iaitu generasi yang lahir antara tahun 1996 hingga 2012, adalah generasi pertama dalam sejarah manusia moden yang menempuh alam remaja, lebih spesifiknya ketika usia akil baligh, dalam keadaan mereka menghadap skrin telefon pintar masing-masing. Fenomena ini boleh dianggap sebagai satu epidemik yang melanda hampir seluruh dunia.
Semasa topik ini saya lontarkan di media sosial, agak ramai yang memberi reaksi kurang senang kerana ia seolah-olah menyalahkan Gen Z. Walhal, Gen Z itu adalah di bawah tanggungjawab generasi yang melahirkan, membesarkan, mendidik dan memberi pelajaran kepada mereka.
Rasa kurang senang itu ada benarnya.
Cuma, semasa saya nukilkan kajian Dr. Jonathan Haidt itu, ia bukanlah untuk mengecam atau mengkritik Generasi Z, mahupun untuk membela generasi Boomers, Generasi X, atau Generasi Y sebelumnya. Itu bukan isu yang hendak dibincangkan. Malah memang tidak salah jika ada yang menuding jari mengatakan bahawa masalah yang melanda Generasi Z ini adalah hasil daripada tindakan generasi sebelumnya.
Apa yang cuba saya sampaikan ialah perbincangan ini bukan untuk mencari siapa yang bersalah, tetapi untuk bersama-sama memikirkan solusi bagi mendepani cabaran besar ini. Walaupun dapatan Dr Haidth menerima pelbagai kritikan pada ketepatan menghurai data-data statistik yang diketengahkan (seperti kritikan Dr. Candice L Odgers), kita sebagai ibu bapa dan mendidik, tidak dapat menolak kebimbangan terhadap masalah yang sememangnya sedang berlaku di depan mata, melibatkan anak-anak kita sendiri. Masalah itu benar, dan kita mahu faham punca, dan berusaha mencari solusinya.
Sebagai seorang Muslim, kita tidak lari daripada memikirkan isu media sosial dan penggunaannya yang mendatangkan pelbagai masalah kepada kesihatan mental generasi muda pada hari ini, daripada perspektif ajaran agama kita, yakni al-Quran dan Sunnah Nabi ﷺ. Berubahnya alat tulis, cara menulis, cara ilmu disampaikan dan diterima bukan perkara kecil. Ia merupakan salah satu perkara yang Allah SWT bersumpah mengenainya dalam al-Quran. Dalam Surah al-Qalam, Allah SWT berfirman:
“Nun. Demi Pena dan demi apa yang mereka catatkan.” (Al-Qalam 68 : 1)
Apabila Allah SWT bersumpah dengan sesuatu, ia bermaksud perkara itu amat besar makna, peranan dan kesannya dalam kehidupan kita.
Hal ini diperkukuhkan lagi oleh hadis Nabi ﷺ yang menyebut tentang tanda-tanda kiamat, di mana salah satunya berkait dengan tersebarnya pena, iaitu alat tulis.
Sabda Baginda ﷺ:
“Tatkala menjelangnya Kiamat, akan berlaku suasana memberi salam secara selektif, berkembang pesatnya perniagaan sehingga isteri terheret sama membantu suaminya berniaga, terputusnya silaturahim, tersebarnya pena, berleluasanya kesaksian palsu, serta menyembunyikan kesaksian yang benar.”
(Hadis riwayat al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad : 1049)
Tersebarnya pena, tidak berlaku secara terpencil. Ia terjadi bersama-sama pelbagai bencana lain yang membabitkan individual, unit keluarga, muamalat, institusi, kemasyarakatan dan kehakiman. Ia sebahagian daripada masalah yang sistemik. Jika tersebarnya pena dirujuk sebagai cabaran internet, dunia digital dan media sosial semasa, isu ini bukan masalah yang terhad kepada pilihan kehidupan Generasi Z, X, atau Y sebelumnya, tetapi membabitkan semua pihak.
Apa yang kita perlu ingat bersama ialah mangsa utama yang terkesan dengan masalah ini ialah Generasi Z dan mungkin juga generasi selepasnya.
Dalam hadis di atas, Nabi ﷺ menyatakan beberapa tanda kiamat. Antaranya ialah (تسليم الخاصة), iaitu fenomena apabila masyarakat hanya memberi salam secara selektif. Salam hanya diberikan kepada kelompok tertentu yang dianggap layak, bukan lagi sebagai satu hak sesama umat Islam. Keadaan ini menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat.
Tanda kedua ialah (فشوّ التجارة), yakni berleluasanya urus niaga sehingga seorang isteri terheret sama membantu suaminya berniaga. Isu ini bukan sekadar mengenai siapa berniaga dan siapa yang membantu, tetapi tentang implikasinya terhadap keluarga dan hubungan sosial.
Tanda ketiga ialah (قطع الأرحام), yakni terputusnya silaturahim. Unit keluarga yang seharusnya akrab menjadi rapuh, dan fenomena ini mencerminkan kerosakan dalam masyarakat. Sesuatu berubah di dalam diri, pemikiran, dan sosialisasi kita.
Seterusnya ialah (فشوّ القلم), tersebarnya pena. Fenomena ini menggambarkan perubahan sistemik dalam cara ilmu ditulis dan disebarkan, yang kini menjadi ketara dengan perkembangan teknologi. Ia bukan semata-mata digitalisasi ilmu dan maklumat. Ia meninggalkan kesan yang jauh lebih besar dan saya petik sebagai fokus induk kajian Dr. Jonathan Haidth berkenaan.
Tanda lain yang disebut ialah (ظهور الشهادة بالزور), iaitu tersebarnya kesaksian palsu. Kesaksian angkat sumpah di dalam kandang saksi mahkamah, sepatutnya berdasarkan kebenaran, tetapi kehilangan tidak menghalang ramai pihak membuat kenyataan palsu dan menjadi alat penipuan. Sebaliknya, (كتمان شهادة الحق) pula yang terjadi. Menyembunyikan kesaksian benar. Bencana demi bencana, dari rumah, ke tempat mencari rezeki, menuntut ilmu dan mendapatkan maklumat, hubungan kekeluargaan, krisis yang membawa kepada jenayah dan pembelaan, menjadi caca merba.
Berbalik kepada isu di awal perbincangan kita, Dr Jonathan Haidt dalam bukunya The Anxious Generation membuktikan punca utama melonjaknya penyakit mental golongan muda semenjak 2012, adalah berubahnya kehidupan kita secara sistemik iaitu apabila:
- Hilangnya zaman kanak-kanak yang berasaskan aktiviti bermain secara bebas.
- Digantikan dengan zaman kanak-kanak yang berasaskan telefon pintar.
Perubahan ini bukanlah semata-mata terjadi apabila ibu bapa daripada Generasi Baby Boomers dan Generasi X memberi telefon pintar kepada anak-anak mereka. Kelahiran teknologi telefon pintar seiringan dengan perubahan politik dunia dan kemerosotan ekonomi, meningkatnya jenayah dan kurangnya rasa selamat untuk anak-anak bermain di luar rumah, berubahnya bentuk kemasyarakatan daripada kehidupan desa kepada kehidupan individualistik dan urbanisasi yang rencam.
“Asyik menyalahkan anak-anak, sedangkan ibu bapa yang sentiasa mengadap telefon!”
“Cikgu pun di sekolah sudah hilang fokus sebab sibuk berniaga menambah pendapatan!”
“Generasi mana yang mencipta telefon pintar itu dan memberinya kepada kami?”
Apabila komen-komen itu timbul, ia tidak salah. Banyak kebenarannya. Tetapi ia tidak membantu kita mendepani masalah yang sudah pun di depan mata malah sekeliling kita. Ia tidak mendekatkan kita kepada penyelesaian. Pada masa ini, yang penting ialah memastikan perbincangan tidak tersimpang atau mudah mencetuskan perselisihan. Fokus kita haruslah pada penyelesaian, bukan saling menyalahkan.
Masalah ini adalah sistemik dan memerlukan kerjasama semua pihak merentas generasi, umur, dan latar belakang untuk mencari jalan penyelesaian yang menyeluruh.
Wallahualam.
Hasrizal
Naas, Ireland.