Pendidikan Melangkaui Peperiksaan

Pengenalan

Pendekatan pendidikan yang berorientasikan peperiksaan telah lama menjadi kebiasaan. Namun, semakin ramai pendidik menegaskan bahawa pendidikan sejati harus melangkaui sekadar pencapaian akademik. Dalam sesi Redup 2 anjuran Komuniti Guru Mandiri, Hasrizal Abdul Jamil mengupas idea ini dengan mendalam.

Soalan pertama, apakah latar belakang keterlibatan beliau di dalam pendidikan, dan mengapa PENDIDIKAN JALAN ISLAH?

Bagaimana Terjun ke Dunia Pendidikan?

Semuanya bermula ketika saya menuntut di Universiti Mu’tah, Jordan, dalam bidang Syariah. Saya berusaha menjuruskan diri ke bidang Syariah kerana sebagai remaja di zaman itu, saya percaya agama penting bukan sahaja untuk hubungan dengan Allah swt, tetapi menjawab soalan-soalan kritikal tentang kehidupan dan kemasyarakatan.

Akan tetapi, selepas menyempurnakan pengajian, saya mendapati bahawa pemahaman agama sahaja tidak mencukupi untuk menjawab persoalan-persoalan mendalam yang saya hadapi tentang kehidupan dan masyarakat. Ketika membuat keputusan memulakan pengajian peringkat sarjana sekembalinya saya ke Malaysia, saya memilih bidang History and Civilisation di Kulliyyah Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Banyak persoalan diteroka melalui modul program ini.

Jika hudud hendak dilaksanakan pada abad ke-21 ini, bagaimanakah perlaksanaannya di era baginda ﷺ , al-Khulafa’ al-Rasyidin, Bani Umayyah, Abbasiyyah, hingga ke Uthmaniyyah? Mengapa begitu kecil jumlah kes yang direkodkan diputuskan mahkamah di bawah peruntukan hukum jenayah Islam? Semua ini penting untuk memperincikan mekanikal aplikasi hukum berkenaan di zaman sekarang. Tidak cukup sekadar berslogan, teori dan amali semasa mesti komprehensif dan jawapan sejarah adalah sebahagiannya.

Pembelajaran yang tidak ditamatkan dengan tesis ini terbengkalai jalan akademiknya. Namun persoalan-persoalan yang timbul kekal menuntut penjelasan.

Saya bertindak mencuba sekali lagi dengan menyambung pengajian di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Ia juga di bidang sejarah. Bezanya dengan UIAM, pengajian di UKM ini adalah berpaksikan kerangka teori sejarawan Muslim. Ia melengkapkan latihan saya di bidang sejarah dengan menggabungkan kerangka teori eurocentric dengan tradisi kesarjanaan sejarawan Muslim yang tersendiri.

Ilmuan Muslim sepanjang sejarah aktif di dalam bidang masing-masing. Akan tetapi, tinjauan sejarawan mengenal pasti tema Islah dan Tajdid. Tokoh di dalam kategori ini, walaupun tidak semestinya berinterasi secara langsung merentas masa dan geografi, seruan mereka sering terfokus kepada tiga sendi dakwah Islah ialah:

  1. Kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah untuk keaslian mesej dan ajaran Islam.
  2. Menjauhkan diri daripada khurafat dan bid’ah.
  3. Menggalakkan ‘ijtihad’.

Saya letakkan perkataan ‘ijtihad’ itu kerana saya berpendapat mesej berkenaan bukanlah semestinya di dalam kerangka ijtihad. Jika istilah ijtihad yang dipakai, ia berbunyi urusan terhad melibatkan ilmuan yang khusus semata-mata. Sebaliknya, seruan tokoh-tokoh Islah dan Tajdid menekankan kepentingan menjaga upaya akal dan operasi mantik.

Di UKM, saya juruskan pengkhususan kepada intellectual history, iaitu menyelidik pemikiran seorang tokoh dan memetakan sejarah era berkenaan melaluinya. Tokoh yang dikaji adalah Imam Birgivi, rahimahullah. Idea-idea islah Imam Birgivi menyampaikan saya kepada pentingnya keberagamaan terbina di atas asas akal sihat yang Allah kurniakan untuk Bani Adam. Kecelaruan upaya berfikir menyumbang kepada kemerosotan akhlak, tersebarnya syirik dan khurafat, melemahkan jati diri Muslim terutamanya di era Uthmaniyyah mendepani perkembangan Eropah abad ke abad.

Ia memberi kekuatan kepada diri saya yang ketika itu sangat khuatir dengan kemerosotan upaya berfikir terutamanya di kalangan pelajar sekolah. Maklumat yang banyak dan internet yang canggih tidak memandaikan masyarakat apabila pancaindera memahami semua itu bermasalah. Seumpama berada di lokasi yang sangat indah, mentari elok bersinar, ada kamera yang sangat canggih untuk merakam, tetapi individu yang terpilih berada di situ matanya rabun, juling, berselaput, malah tidak tahu apa yang hendak dilihat kerana faktor-faktor yang rencam di belakang bebola matanya.

Saya ketika itu sedang gundah gulana memikirkan hal pendidikan.

Yayasan Pendidikan Khalifah telah mengajak saya menjadi kakitangan sepenuh masa. Projek besarnya adalah untuk merekabentuk semula sekolah menengah yang baru sahaja beroperasi. Tugas saya sebagai Pengarah Pendidikan, menjadi sebab saya terjun ke bidang pendidikan, mendalami teori-teori pembelajaran dan operasi sekolah. Ketika itulah saya tertarik untuk ke Finland dan berkursus selama sebulan di Helsinki. Saya tertarik dengan Finland kerana negara berkenaan berani melaksanakan perkara-perkara yang tidak dibuat di tempat lain. Ada antaranya pula, adalah apa yang dinasihatkan oleh ilmuan Muslim sendiri. Ibn Abbas r.a. mengingatkan agar antara dua sesi belajar, kita wajar menjarakkan masa agar murid-murid ada ruang beraktiviti bebas. Secara saintifiknya, ia amalan yang berguna besar untuk meregulasi emosi, sosial dan beban kognitif murid. Finland berani melakukannya secara sistematik apabila 45 minit slot belajar di sekolah rendah, menengah, hingga ke pengajian sarjana, perlu diselangkan dengan 15 minit waktu senggang.

Julai 2015 saya berada di Helsinki selama sebulan.

Ogos 2016 saya meninggalkan tanahair untuk belajar sepenuh masa di Oulu, Finland. Pengajian di UKM juga tidak berjaya saya lunaskan di peringkat penulisan tesis.

Blog Saifulislam.Com yang bermula semenjak tahun 1997, berubah motonya daripada Erti Hidup Pada Memberi, kepada Setia Dengan Kebenaran, dan akhirnya menjadi Pendidikan Jalan Islah.

Hendak mengislah masyarakat, usaha mesti pergi hingga ke akar umbi permasalahan, iaitu pada upaya akal berfikir, yang dibentuk oleh pendidikan, dan keibubapaan. Kedua-duanya adalah saling berkait. Ada sistem. Ia sistemik.

Surah Hud, ayat 88 menggariskannya melalui lisan Nabi Hud a.s: 

“Aku tidak bermaksud melainkan untuk melakukan islah sedaya upayaku”. 

Walaupun bidang ini bukan lagi bidang Syariah, agendanya tidak pernah berubah.

Ia jalan islah.

Nota pembentangan program Redup 2 ini boleh ditinjau di redup2024.hasrizal.com

PEMANSUHAN UPSR: BAGAIMANA MELIHAT ISU INI MELANGKAUI SOAL PEPERIKSAAN?

Kehilangan motivasi belajar adalah isu kompleks di sekolah hari ini. Mengembalikan UPSR tidak semestinya boleh mengembalikan motivasi yang hilang, seandainya kehilangan motivasi itu bukan berpunca daripada ada atau tiadanya peperiksaan. Desakan mengembalikan UPSR, membabitkan sekurang-kurangnya tiga domain penting pendidikan iaitu:

  1. Apa itu motivasi?
  2. Apa itu proses pembelajaran?
  3. Apa itu peperiksaan / pentaksiran?

1. MOTIVASI

Motivasi adalah komponen penting dalam pendidikan, dan isu ini menjadi semakin hangat apabila masyarakat di Malaysia mendesak agar UPSR dikembalikan. Tuntutan ini sering kali berasaskan dakwaan bahawa pelajar kehilangan motivasi apabila tiada peperiksaan berimpak tinggi. Namun, persoalannya lebih kompleks daripada sekadar membawa kembali UPSR atau tidak.

Motivasi pelajar melibatkan hubungan emosi yang mendalam antara mereka dan pembelajaran. Ia terbahagi kepada dua jenis utama: motivasi dalaman (intrinsic motivation) dan motivasi luaran (extrinsic motivation). Motivasi dalaman terbit daripada keinginan peribadi pelajar untuk belajar kerana mereka ingin memahami dunia atau mencapai sesuatu yang bermakna. Keinginan peribadi atau personal goal, bermaksud keinginan yang dibina sendiri oleh murid dan bukan ditetapkan oleh orang lain.

Sebaliknya, motivasi luaran biasanya berkait dengan ganjaran atau hukuman seperti gred, pujian, atau tekanan dari luar. Motivasi luaran ini cenderung lebih berkesan pada kanak-kanak yang lebih muda. Semakin seseorang meningkat dewasa, motivasi dalaman menjadi lebih penting kerana ia berkait rapat dengan rasa makna dalam pembelajaran.

Jika UPSR dianggap sebagai satu motivasi, ia adalah motivasi ekstrinsik. Kecuali ia berhasil diambil oleh murid sebagai apa yang mereka mahu, apa yang mereka anggap penting lagi bermakna.

Sayangnya, sebelum sampai ke UPSR di penghujung enam tahun persekolahan di sekolah rendah, anak-anak sudah ribut dengan pelbagai masalah pembelajaran. Antaranya adalah soal kurikulum. Silibus subjek-subjek kita semakin tidak mesra umur. Sesuatu yang kita belajar di sekolah menengah, ditarik ke sekolah rendah. Keutamaan induk pendidikan awal diabaikan secara sistematik dengan kehilangan ruang masa yang cukup untuk pengenalan, pengukuhan, dan intervensi. 3M tidak sempat dibangun, atau didesak terbangun lebih awal di peringkat pra sekolah.

Ia jenayah dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Saya mengesyaki bahawa salah satu punca utama kepada masalah ini adalah salah faham tentang konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). KBAT sepatutnya membantu pelajar memperolehi pengalaman deep learning melalui topik yang sesuai dengan usia mereka. Tetapi versi KBAT yang dilaksanakan kini kelihatan membawa topik yang dahulunya diajarkan pada usia yang lebih matang ke peringkat usia yang lebih awal. Ia diburukkan pula dengan mentaliti jika ada 5% pelajar yang mampu menguasainya, manakala selebihnya didesak agar “berusaha lebih keras,” tanpa empati.

Ini adalah satu bencana.

Pelajar akhirnya merasakan bahawa sekolah bukan lagi tempat untuk mereka meneroka rasa ingin tahu bersama semangat pembelajaran yang ada semenjak lahir. Sebaliknya, ia menjadi medan untuk menangani item-item dalam kurikulum yang dipilih oleh orang dewasa, sering kali berorientasikan essentialisme. Ini adalah satu bentuk “chauvinisme orang dewasa” (adult chauvanism). Keperluan dan perspektif pelajar diabaikan demi memenuhi standard yang ditetapkan berasaskan kebolehan segelintir pelajar yang mampu dan bertuah.

Oleh itu, sebelum kita membuat kesimpulan mudah tentang keberkesanan mengembalikan UPSR, kita perlu memahami bagaimana motivasi pelajar sebenarnya terbentuk, dan apakah perubahan yang perlu dilakukan untuk menjadikan sekolah relevan dan bermakna kepada mereka.

2. PROSES PEMBELAJARAN

Salah satu aspek terpenting dalam pendidikan adalah memahami bagaimana manusia belajar. Ilmu pembelajaran (learning sciences) menyediakan pandangan mendalam tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam minda dan emosi pelajar semasa mereka belajar. Bidang ini, yang mendapat manfaat besar daripada kemajuan psikologi kognitif dan teknologi, telah membuka maklumat yang sebelum ini tidak dapat dilihat dengan jelas; misalnya beban kognitif (cognitive overload) dan proses memori. Sayangnya, ramai guru di seluruh dunia tidak menyedari betapa pentingnya konsep-konsep ini, terutamanya beban kognitif, yang menjadi salah satu halangan utama untuk pembelajaran yang efektif.

Beban kognitif merujuk kepada keadaan di mana otak pelajar terlalu sarat dengan maklumat hingga sukar untuk memproses dan memahami apa yang dipelajari. Kajian saintifik menunjukkan bahawa apabila pelajar menghadapi kurikulum yang terlalu sukar atau tidak sesuai dengan tahap perkembangan mereka, beban kognitif meningkat, menyebabkan rasa tertekan dan tidak berminat (Sweller, 1988). Beban kognitif dalam kalangan kanak-kanak adalah cabaran besar dalam pendidikan yang mempengaruhi keberkesanan pembelajaran. Penyelidikan mendapati bahawa guru sering kekurangan pemahaman tentang teori beban kognitif, yang membawa kepada strategi pengajaran yang kurang berkesan (September, 2018).

Teori beban kognitif menunjukkan bahawa pengajaran menjadi lebih berkesan apabila dirancang mengikut limitasi memori kerja (September, 2018; Siregar, 2021). Tanpa pemahaman ini, guru dan sistem pendidikan cenderung menyalahkan pelajar dengan label seperti malas, tidak berusaha, tidak bermotivasi, atau tidak bertanggungjawab, sedangkan masalah sebenarnya adalah struktur pembelajaran itu sendiri.

Sebelum UPSR mentaksir pelajar di tahun keenam persekolahan, masalah pedagogi dan kurikulum yang berasaskan sains pembelajaran sudah terlebih dahulu mencengkam. Sebahagian guru berusaha gigih, manakala sebahagian yang lain terperangkap dengan glorifikasi pengalaman lalu yang tidak relevan, bersama intuisi peribadi yang jarang diuji dengan bukti saintifik. Guru-guru yang memiliki kefahaman lebih baik tentang sains pembelajaran, dihimpit oleh kurikulum deskriptif yang terlalu terperinci, dipantau dengan ketat atas nama standard dan kualiti. Namun, pendekatan ini sebenarnya menghalang kreativiti dan kecekapan berkembang secara organik.

Dalam segala kerencaman itu, aspek ini adalah peluang kita bertindak secara berdikari untuk memperkasa diri sendiri. Salah satu langkah penting adalah melengkapkan diri dengan ilmu tentang “HOW PEOPLE LEARN” untuk kegunaan guru dan ibu bapa. Pada tahap peribadi, inilah yang saya cuba lakukan dan tekankan melalui perkongsian di media sosial saya. Usaha ini bertujuan untuk menyederhanakan kajian saintifik, membumikannya dan menggalakkan guru untuk mengimbangi intuisi mereka dengan bukti saintifik di bilik darjah, serta ibu bapa di rumah.

Ibu bapa digalakkan untuk menggunakan sains pembelajaran dalam pendekatan keibubapaan di rumah. Dengan pendekatan yang berdasarkan bukti, kita boleh membantu anak-anak menyelaraskan pembelajaran di sekolah dengan kehidupan di rumah. Strategi seperti “retrieval practice” – pelajar digalakkan untuk mengingati semula maklumat yang telah mereka pelajari – menjadi alat penting untuk memperkukuhkan pemahaman dan memindahkan maklumat dari memori jangka pendek ke memori jangka panjang. Jika guru cuba menggunakan Kahoot! di hujung sesi mengajar, ibu bapa pula boleh mengajak anak menceritakan kembali apa yang dipelajarinya di sekolah beberapa jam yang lalu.

Tetapi lebih daripada itu, suasana pembelajaran harus dirancang supaya relevan dengan kehidupan pelajar, bukannya hanya memenuhi keperluan kurikulum atau peperiksaan semata-mata. Pendidikan mestilah mendorong rasa ingin tahu, memberikan makna, dan memupuk semangat untuk belajar sepanjang hayat.

Sesuai dengan ajaran Islam!

3. PEPERIKSAAN / PENTAKSIRAN

Pada tahun 2016, saya ada mengulas mengenai konsep peperiksaan menurut pandangan Islam. Peperiksaan atau pentaksiran hendaklah dibangunkan di dalam kerangka semangat muhasabah. Rakaman Youtube pengisian berkenaan saya sediakan di sini:

Peperiksaan perlu berfungsi sebagai alat muhasabah (assessment for learning) yang membantu pelajar mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka. Ia adalah peluang untuk pelajar memahami di mana mereka berada dalam perjalanan pembelajaran mereka dan bagaimana mereka boleh memperbaiki diri.

Pendekatan formatif seperti “penilaian untuk pembelajaran” memainkan peranan penting dalam membolehkan pelajar menerima maklum balas yang bermakna dan berguna. Maklum balas ini bukan sekadar memberi tahu pelajar apa yang salah, tetapi juga menunjukkan bagaimana mereka boleh memperbaiki kelemahan mereka dan mengukuhkan kekuatan mereka. Dalam konteks ini, peperiksaan bukan hanya alat pengukuran tetapi juga satu mekanisme untuk meningkatkan pembelajaran.

Inilah sebenarnya apa yang cuba diterapkan melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di Malaysia. Semua kajian terkini menunjukkan kualiti maklumat yang boleh diperoleh daripada pentaksiran jenis ini. Namun, sebelum kita memikirkan tentang melaksanakan PBD secara meluas, ada beberapa soalan penting yang perlu ditanyakan: Sejauh mana kita benar-benar mengutamakan kebenaran tentang kemajuan sebenar dan pencapaian pelajar kita? Sejauh mana guru bebas melaporkan apa yang sebenarnya berlaku? Adakah terdapat pihak-pihak yang cuba menjadikan laporan pelajar sebagai KPI mereka, yang akhirnya terikat dengan pertaruhan tinggi seperti kerjaya dan belanjawan? Berapa ramai pelajar yang kita ada dalam setiap bilik darjah untuk guru menilai dan melaporkan secara teliti? Dan lebih penting lagi, adakah kita benar-benar menghormati dan mempercayai guru sebagai profesional?

Lebih daripada sekadar memberikan gred atau markah, pentaksiran perlu menjadi pengalaman yang mendidik pelajar. Ia harus dirancang untuk memberi makna dan relevansi kepada pelajar, menjadikan mereka lebih sedar tentang proses pembelajaran mereka sendiri. Walaupun pentaksiran formatif seperti PBD menawarkan maklumat yang lebih kaya tentang kemajuan pelajar, pentaksiran sumatif tidaklah salah. Ia masih berfungsi sebagai alat penting, walaupun mungkin tidak memberikan maklumat yang mendalam tentang perkembangan pelajar. Namun, ia tetap lebih baik daripada laporan PBD yang tidak tepat atau “sugar coating” yang menghancurkan niat asal untuk menilai pelajar secara jujur.

Kita perlu menyelesaikan dilema kronik ini sebelum mempercayai bahawa menghapuskan atau mengembalikan UPSR akan memudahkan hidup kita, apatah lagi kehidupan anak-anak kita, yang seharusnya menjadi sebab utama kita terlibat dalam usaha pendidikan ini. Pentaksiran perlu menjadi jambatan antara apa yang pelajar tahu dan apa yang mereka perlu pelajari, membawa mereka ke tahap pemahaman yang lebih tinggi dan memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat.

USAHA BERSAMA

Peranan Ibu Bapa

Sebagai ibu bapa, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu anak-anak menetapkan matlamat peribadi yang bermakna. Perbualan santai tetapi mendalam dengan mereka tentang impian, harapan, dan cita-cita mereka boleh membantu membentuk motivasi dalaman yang kukuh. Motivasi ini sangat penting untuk menjadikan pembelajaran mereka lebih bermakna dan relevan dengan kehidupan sebenar. Selain itu, ibu bapa juga perlu bijak dalam memilih persekitaran sekolah yang sesuai dengan keperluan anak-anak. Sekolah yang selaras dengan nilai keluarga dan keperluan individu anak-anak boleh menjadi asas penting dalam mencipta pengalaman pendidikan yang positif.

Penelitian menunjukkan bahawa kerjasama antara ibu bapa dan guru sangat penting untuk menyokong pendidikan anak-anak, terutamanya semasa krisis (Yasir Imam et al., 2020). Sebagai guru pertama bagi anak-anak mereka, ibu bapa memainkan peranan utama dalam membentuk nilai pendidikan anak-anak. Hubungan yang kukuh antara sekolah dan keluarga boleh memberikan kesan yang lebih besar kepada perkembangan moral dan akademik anak-anak berbanding usaha yang dilakukan secara bersendirian (Lickona, 1988). Pandemik COVID-19 telah menyerlahkan pentingnya kerjasama erat antara sekolah dan ibu bapa dalam memperkukuh hubungan ini (Bonell et al., 2021).

Ibu bapa juga boleh mengambil inisiatif untuk memahami asas-asas sains pembelajaran. Dengan ilmu ini, mereka boleh memainkan peranan aktif dalam membantu anak-anak menyelaraskan pembelajaran di sekolah dengan pengalaman di rumah. usaha seperti membentuk kumpulan sokongan ibu bapa, mencapai konsensus komuniti sekolah tentang nilai bersama, dan menyokong program pendidikan boleh membantu mencipta persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif dan relevan (Lickona, 1988; Zgureanu, 2021).

Peranan Guru

Guru memainkan peranan penting dalam mencipta persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif, dan menyokong perkembangan pelajar secara holistik. Mereka adalah individu yang pelajar perlu percayai, tempat mereka boleh meluahkan cabaran, aspirasi, dan kebimbangan tanpa rasa takut. Kepercayaan ini adalah asas kepada hubungan guru-pelajar yang berkesan, tetapi ia boleh mudah terhakis jika budaya negatif wujud, seperti berbahasa kesat, mengumpat pelajar atau memperkecilkan usaha mereka. Amalan sebegini bukan sahaja merosakkan hubungan tetapi juga melemahkan keyakinan pelajar, memadamkan rasa ingin tahu, dan semangat pembelajaran dalam diri mereka.

Sebaliknya, guru harus menjadi pembimbing yang menginspirasikan, memberi motivasi, dan menunjukkan empati. Dengan memahami bahawa setiap pelajar adalah unik dengan cabaran dan potensi tersendiri, guru dapat membina hubungan yang positif dan produktif. Melalui pendekatan ini, pelajar bukan sahaja berasa dihargai tetapi juga terdorong untuk berkembang secara akademik dan peribadi.

Sebagai pendidik, guru perlu memperkayakan diri dengan ilmu tentang bagaimana manusia belajar. Pemahaman tentang konsep seperti beban kognitif dan cara memori berfungsi adalah penting untuk merancang pengajaran yang lebih berkesan. Guru juga harus diberikan kebebasan profesional untuk menyesuaikan pendekatan mereka berdasarkan keperluan unik pelajar di dalam kelas mereka. Sistem pendidikan yang menghormati guru sebagai profesional dapat menghasilkan pelajar yang lebih bermotivasi dan berdaya saing.

Kesimpulan

Pendidikan melangkaui peperiksaan adalah tentang memahami bahawa pembelajaran adalah proses berterusan yang melibatkan penanaman nilai, pembinaan akhlak, dan pengembangan potensi manusia secara menyeluruh. Ia adalah usaha bersama yang memerlukan kerjasama antara ibu bapa, guru, dan pelajar sendiri. Ssistem pendidikan kita perlu sentiasa dinilai semula, dari semasa ke semasa.

Ketika saya meninggalkan Finland pada tahun 2020, negara itu sangat menekankan integrasi teknologi dalam pendidikan, didorong oleh tahap kesalinghubungan tinggi dan keyakinan terhadap teknologi pendidikan. Namun kini, Finland, bersama Denmark, Sweden, Norway, dan banyak negara lain, bergerak ke arah yang bertentangan. Pandemik menjadi pencetus untuk mereka menilai semula sistem pendidikan dan merancangnya semula.

Kini, negara-negara ini mula bergerak untuk kembali kepada penggunaan buku, pensel, dan pen, serta mengurangkan penggunaan peranti digital dalam persekitaran pembelajaran. Mereka memahami bahawa sistem persekolahan pasca-pandemik tidak boleh diteruskan seperti biasa, “business as usual“. Ini adalah contoh bagaimana sistem yang bertanggungjawab dan dinamik harus beroperasi.

FINLAND:

SWEDEN:

DENMARK:

Umar r.a pernah berkata: “Muhasabahlah diri kita sebelum kita dimuhasabah.”

Muhasabah ini besar.

Bukan sahaja di dunia ini, tetapi juga di akhirat!

Kita perlu mewujudkan persekitaran pendidikan yang inklusif dan relevan, yang memberi makna kepada pelajar dan mendorong mereka untuk belajar sepanjang hayat.

Semoga usaha kita diberkati Allah SWT.

Pendidikan adalah tanggungjawab bersama, jalan islah untuk ummah, generasi akan datang.

Hasrizal
Naas, Ireland.

Check Also

Jin Turkiye dan Krisis Pandangan Alam Kita (Sebagai Muslim)

Soalan ini menimbulkan kerumitan kepada anak rakan saya kerana beliau tidak pernah merenung isu tersebut secara mendalam. Baginya, perkara-perkara ghaib ini tidak relevan dalam kehidupan sehariannya kerana tidak pernah bertembung dengan situasi yang memerlukan beliau membuat pendirian. Kehidupan moden di kota besar seperti Istanbul terasa begitu jauh dan tiada kaitan dengan hal ehwal jin dan syaitan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.