Kerajaan dan Sekolah: Dari Era ‘Laissez Faire’ ke Sentralisasi

Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat dan memastikan kesinambungan pembangunan sebuah negara. Namun, cara pendidikan diurus dan dijalankan, sama ada melalui sistem centralised (berpusat) atau decentralised (tidak berpusat), mencerminkan falsafah dan keutamaan polisi sesebuah kerajaan. Di Malaysia, sistem pendidikan telah melalui pelbagai fasa perkembangan sejak era pra-kemerdekaan, dan hari ini, kita berada di salah satu sistem yang paling berpusat di dunia. Adakah pemusatan ini memberi manfaat atau lebih banyak menimbulkan cabaran? Artikel ini akan membincangkan persoalan ini dengan mengambil kira contoh dari dalam dan luar negara.

Sejarah Pendidikan di Malaysia: Dari Era Laissez-Faire ke Pemusatan

Sebelum kemerdekaan, pendidikan di Malaysia berjalan dalam keadaan yang boleh disifatkan sebagai polisi laissez-faire 1. Pihak berwajib, iaitu kerajaan Inggeris pada masa itu, tidak campur tangan dalam urusan pendidikan. Institusi-institusi pendidikan seperti sekolah gereja dan sekolah pondok wujud dan berfungsi secara bebas. Namun, selepas kemerdekaan, pendidikan dilihat sebagai alat penting untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum, agama, dan latar belakang. Justeru, usaha besar-besaran untuk memusatkan pendidikan dilaksanakan dengan harapan dapat membina sebuah identiti nasional yang kukuh.

Usaha pemusatan ini diteruskan sehingga kini. Kajiselidik Antarabangsa OECD mengenai Pengajaran dan Pembelajaran (TALIS) melibatkan 23 negara mendapati autonomi sekolah di Malaysia adalah antara yang terendah berbanding negara maju dan membangun (World Bank, 2013). Kajian Eunice Heredia-Ortiz pada tahun 2007 pula menyebut Malaysia sebagai salah satu daripada tiga negara dengan sistem pendidikan paling berpusat di dunia, bersama Uruguay dan Turkiye 2. Walaupun pemusatan ini ada manfaatnya, terutamanya di peringkat awal pembentukan negara bersama agenda solidariti sosial, ia kemudian membawa cabaran besar, terutamanya apabila keperluan masyarakat semakin kompleks dan rencam.

Manfaat dan Cabaran Sistem Pendidikan Berpusat

Sistem pendidikan berpusat mempunyai kelebihan dari sudut kawalan dan penyelarasan. Ia membolehkan kerajaan menetapkan standard pendidikan yang seragam, memastikan bahawa semua pelajar menerima akses kepada pendidikan asas yang berkualiti tanpa mengira lokasi atau latar belakang. Dalam konteks Malaysia, yang berbilang kaum dan agama, penyelarasan ini membantu mewujudkan integrasi sosial, seperti yang digariskan dalam teori Functionalism. Pendidikan berpusat dapat dilihat sebagai mekanisme untuk mengekalkan kestabilan masyarakat, membina identiti nasional, dan menyemai nilai-nilai bersama yang penting untuk keharmonian.

Manfaat Sistem Berpusat

Dari sudut Functionalism sebagai teori kemasyarakatan di era permulaan pembentukan negara kita, sistem pendidikan berpusat memainkan peranan dalam memenuhi fungsi sosial utama, seperti:

1. Integrasi Sosial: Pendidikan menjadi alat untuk menyatukan masyarakat majmuk dengan menyebarkan nilai bersama, seperti toleransi dan perpaduan. Silibus kebangsaan, misalnya, bertindak sebagai platform untuk memupuk rasa identiti kolektif.

2. Penyelarasan Sumber: Sistem berpusat membolehkan pengagihan sumber yang lebih sistematik. Dalam teori Functionalism, ia memastikan semua pelajar di kawasan bandar atau luar bandar dapat menerima pendidikan asas yang sama tanpa wujud jurang besar.

3. Pengukuhan Nilai dan Struktur Sosial: Sistem berpusat menyokong peranan pendidikan sebagai institusi sosial yang membantu memindahkan nilai-nilai kepada generasi akan datang. Ia menstabilkan masyarakat dengan mempersiapkan individu untuk mengambil peranan mereka dalam ekonomi dan kehidupan sosial.

Cabaran Sistem Berpusat: Ketidakserasian dengan Kerencaman

Namun, dari perspektif Functionalism, cabaran utama sistem berpusat adalah kesukaran menyesuaikan diri dengan kerencaman dan keperluan lokal yang berbeza. Functionalism menekankan keperluan harmoni antara institusi dan keperluan sosial. Jika pendidikan gagal memenuhi keperluan pelajar dari pelbagai latar belakang, fungsi sosial pendidikan akan terganggu, dan ketidakseimbangan sosial mungkin berlaku. Contohnya:

1. Konteks Tempatan yang Tidak Dipenuhi: Keputusan yang dibuat di peringkat pusat mungkin tidak relevan untuk keperluan tempatan. Kita andaikan misalnya dalam kes jerebu di Kedah; keputusan yang dibuat untuk menutup sekolah atau tidak dilakukan oleh pihak berkuasa di Putrajaya. Ia berisiko menjadi tidak efisyen, tidak mengambil kira keadaan di lapangan, mencetuskan ketidakpuasan dan ketidaksesuaian tindakan.

2. Cultural Capital dan Ketidaksamaan Peluang: Kanak-kanak dari kawasan bandar biasanya membawa lebih banyak cultural capital ke sekolah, termasuk kemahiran dan sokongan yang berkait rapat dengan pencapaian akademik. Sebaliknya, kanak-kanak dari kawasan luar bandar mungkin menghadapi kekurangan sokongan ini. Sistem berpusat yang tidak fleksibel gagal menangani jurang ini, menyebabkan ketidaksamaan peluang semakin melebar.

3. Kurangnya Autonomi Tempatan: Pendidikan adalah sebahagian daripada sistem sosial yang kompleks. Apabila autonomi tempatan tidak diberikan, sekolah tidak dapat menyesuaikan kurikulum atau pendekatan pengajaran mengikut keperluan pelajar mereka. Ini berlawanan dengan prinsip Functionalism yang mengutamakan keupayaan institusi untuk memenuhi fungsi sosialnya secara holistik.

Walaupun sistem pendidikan berpusat memberikan kestabilan dan penyelarasan yang diperlukan untuk masyarakat seperti Malaysia, ia perlu menjadi lebih fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan keperluan lokal dan kerencaman masyarakat. Dari sudut Functionalism, pendidikan hanya boleh memenuhi peranannya jika ia mampu memberi reaksi kepada keperluan unik setiap komuniti, memastikan semua kanak-kanak diberi peluang yang sama untuk berkembang. Dengan mengimbangi pemusatan dan desentralisasi, sistem pendidikan Malaysia boleh menjadi lebih inklusif, efektif, dan responsif terhadap perubahan sosial.

Teladan Disentralisasi Dari Finland

Finland telah mengalami beberapa insiden tembakan di sekolah yang membawa kepada perubahan dalam pendekatan pendidikan dan keselamatan. Pada 7 November 2007, seorang pelajar berusia 18 tahun melakukan tembakan di Sekolah Menengah Jokela, menyebabkan sembilan kematian termasuk dirinya sendiri. Kurang dari setahun kemudian, pada 23 September 2008, seorang pelajar berusia 22 tahun menembak mati sepuluh orang di sebuah kolej vokasional di Kauhajoki sebelum membunuh diri. 

Insiden-insiden ini ditangani dengan mengambil manfaat daripada polisi kerajaan Finland memberi lebih banyak autonomi untuk menyesuaikan program mereka bagi memenuhi keperluan khusus komuniti setempat. Ia membolehkan sekolah bertindak balas dengan lebih fleksibel terhadap cabaran unik yang mereka hadapi. 

Sebagai contoh, selepas insiden tembakan di Jokela, pengetua sekolah tersebut menekankan pentingnya pendidikan dalam kemahiran pengurusan konflik dan sokongan emosi, bukan sekadar pencapaian akademik 3. Keputusan ini mencerminkan kelebihan sistem desentralisasi yang membolehkan setiap sekolah menyesuaikan pendekatan mereka berdasarkan keperluan komuniti masing-masing. 

Pendekatan Finland dalam menangani insiden tembakan di sekolah menunjukkan bagaimana sistem pendidikan yang fleksibel dan responsif dapat membantu komuniti pulih daripada tragedi dan memperkuat keselamatan serta kesejahteraan pelajar.

Sekolah Tanpa Koridor di Finland

Reka bentuk sekolah memainkan peranan penting dalam menyokong pedagogi dan keselamatan pelajar. Di Finland, terdapat trend untuk menghapuskan koridor tradisional dalam seni bina sekolah, menggantikannya dengan ruang pembelajaran terbuka yang fleksibel. Pendekatan ini bertujuan mengurangkan risiko kemalangan dan kes buli yang sering berlaku di kawasan koridor sempit, sambil menyokong kaedah pengajaran moden yang menekankan pembelajaran kolaboratif dan multidisiplin. 

Sebagai contoh, Sekolah Komprehensif Jätkäsaari di Helsinki direka tanpa koridor tradisional. Sebaliknya, ia mempunyai ruang lobi pusat yang dikelilingi oleh ruang pembelajaran di tiga tingkat, meminimumkan keperluan untuk koridor dan mewujudkan persekitaran yang lebih terbuka dan selamat 4

Semasa berada di Finland, saya sering mengulang pesanan agar rombongan melawat Finland, janganlah terhad hanya kepada warga pendidik. JKR dan Bomba juga perlu mengambil peluang. Lawatan pula jangan tertumpu hanya kepada sekolah dan bilik darjah, teruja dengan apa yang dilihat dan mahu melaksanakan perkara yang sama di bilik darjah Malaysia. Sedangkan polisi, amalan urus tadbir, tidak dihalusi dan disemak untuk penambahbaikan.

Pergilah melawat agensi pendidikan di Helsinki, dan pejabat pentadbiran pendidikan di Oulu City Council.

Fikirkan semula polisi-polisi pendidikan. Termasuk soal tuntutan keselamatan dalam rekabentuk bangunan.

Pakar-pakar senibina bangunan sekolah di Malaysia juga maklum akan perkara ini. Tetapi kepakaran mereka tidak dapat diterjemahkan kepada rekabentuk bangunan terbaik, kerana pembinaan sekolah masih terikat kepada kehendak polisi pihak berwajib. Sayangnya polisi berkenaan tidak rancak dikemaskini berdasarkan kajian dan dapatan terkini.

Pendekatan Finland dalam menghapuskan koridor tradisional dan memperkenalkan ruang pembelajaran terbuka menunjukkan bagaimana reka bentuk fizikal sekolah boleh diselaraskan dengan keperluan pedagogi dan keselamatan semasa. Dengan mengambil inspirasi daripada amalan terbaik ini, Malaysia boleh mempertimbangkan untuk mengemas kini garis panduan reka bentuk sekolah agar selaras dengan penemuan terkini dalam seni bina pendidikan, memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan efektif untuk pelajar.

Model Pendidikan Finland: Inspirasi untuk Pembiayaan Pendidikan yang Saksama

Sistem pendidikan Finland terkenal dengan prinsip kesamarataan, di mana semua pelajar menerima pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Salah satu ciri utama sistem ini ialah pembiayaan awam yang sama rata, termasuk untuk sekolah swasta. Walaupun kurang daripada 3% sekolah komprehensif di Finland adalah swasta pada tahun 2019 5, institusi ini tetap menerima dana kerajaan yang setara dengan sekolah kerajaan.

Sekolah swasta di Finland dikategorikan sebagai “bergantung kepada kerajaan,” bermaksud mereka memerlukan lesen untuk beroperasi, dibiayai oleh kerajaan, dan tertakluk kepada pengawasan pihak berkuasa. Mereka juga diwajibkan mematuhi kurikulum teras nasional dan keperluan kelayakan yang ditetapkan oleh Agensi Pendidikan Nasional Finland. Dengan pembiayaan awam ini, sekolah swasta dapat menyediakan pendidikan tanpa membebankan ibu bapa dengan yuran tambahan, memastikan akses pendidikan yang setara untuk semua.

Pendidikan di Finland adalah percuma di semua peringkat, dari prasekolah hingga pendidikan tinggi. Perkhidmatan seperti buku teks, makan tengah hari, rawatan kesihatan, kebajikan pelajar, dan pengangkutan disediakan secara percuma. Pada tahun 2022, Finland memperuntukkan €13.5 bilion untuk pendidikan 6. Perbelanjaan purata bagi setiap pelajar di sekolah komprehensif adalah sekitar €9,818. Untuk pendidikan menengah atas, sekolah am menerima €8,105 setiap pelajar, manakala pendidikan vokasional diperuntukkan €7,993 bagi setiap pelajar 7.

Pendekatan pembiayaan menyeluruh ini membolehkan kedua-dua institusi awam dan swasta menyediakan pendidikan berkualiti tanpa menambah beban kewangan kepada keluarga. Model ini memastikan semua pelajar mendapat peluang pendidikan yang sama, tanpa mengira jenis sekolah yang dihadiri.

Harapan Untuk Malaysia

Di Malaysia, sekolah swasta sering dilihat sebagai pesaing kepada sekolah kerajaan dan tidak menerima pembiayaan awam yang setara, walaupun ibu bapa pelajar di sekolah swasta turut menyumbang kepada dana pendidikan melalui cukai. Ini menyebabkan keluarga yang memilih sekolah swasta menanggung beban kewangan yang tinggi, menjadikannya pilihan yang kurang inklusif.

Dengan meneliti model Finland, Malaysia wajar mempertimbangkan untuk mengkaji semula dasar pembiayaan pendidikan. Pembiayaan yang berdasarkan pelajar, tanpa mengira jenis sekolah, boleh memastikan semua institusi pendidikan—awam dan swasta—mempunyai sumber yang mencukupi untuk menyediakan pendidikan berkualiti. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan jurang antara sistem awam dan swasta, tetapi juga menjamin kesaksamaan akses kepada pendidikan yang sepatutnya menjadi hak semua rakyat.

Menuju Sistem Pendidikan yang Lebih Fleksibel

Sistem centralised bukanlah sesuatu yang perlu dihapuskan sepenuhnya, tetapi ia memerlukan reformasi. Dalam konteks Malaysia, memberi lebih banyak autonomi kepada sekolah boleh menjadi langkah pertama ke arah sistem pendidikan yang lebih fleksibel dan responsif. Ini termasuk memberikan kuasa kepada sekolah untuk menentukan keperluan mereka sendiri, berdasarkan konteks tempatan.

Sebagai contoh, pasca pandemik, beberapa sekolah di Sweden telah memutuskan untuk meminimumkan penggunaan peranti digital dan kembali kepada kaedah tradisional seperti buku dan pen. Keputusan ini tidak diselaraskan secara nasional tetapi dilaksanakan berdasarkan keperluan individu sekolah. Perubahan seperti ini mungkin relevan untuk sekolah-sekolah di Malaysia yang menghadapi cabaran unik masing-masing.

Sistem pendidikan yang berkesan harus mampu memenuhi keperluan semua pelajar, tanpa mengira lokasi, latar belakang, atau status ekonomi mereka. Untuk mencapai matlamat ini, Malaysia perlu mengkaji semula sistem pendidikan kita, mengambil pengajaran daripada negara-negara seperti Finland dan Sweden, dan mengadaptasi pendekatan yang sesuai dengan konteks tempatan.

Dengan memberi lebih banyak kebebasan kepada sekolah dan mendengar suara masyarakat tempatan, kita dapat memastikan bahawa setiap anak di negara ini mendapat pendidikan terbaik yang mereka layak terima. Pendidikan bukan sekadar alat untuk mencapai pencapaian akademik tetapi juga asas untuk membina masyarakat yang adil dan inklusif.

Bukankah adil itu nilai induk bangsa dan ummah kita?

Wallahualam.

Hasrizal
Naas, Ireland

RUJUKAN:

  1. Johari, Z. K., & Chan, N. (2017). The need for decentralization: A historical analysis of Malaysia’s education system. In Policies and Politics in Malaysian Education (pp. 198-214). Routledge. ↩︎
  2. Heredia-Ortiz, E. (2007). The impact of education decentralization on education output: A cross-country study. ↩︎
  3. Oksanen, A., Nurmi, J., Vuori, M., Räsänen, P. (2013). Jokela: The Social Roots of a School Shooting Tragedy in Finland. In: Böckler, N., Seeger, T., Sitzer, P., Heitmeyer, W. (eds) School Shootings. Springer, New York, NY. https://doi.org/10.1007/978-1-4614-5526-4_9 ↩︎
  4. Jätkäsaari School · Finnish Architecture Navigator. (n.d.). https://finnisharchitecture.fi/jatkasaari-school/ ↩︎
  5. Organisation of private education. (n.d.). https://eurydice.eacea.ec.europa.eu/national-education-systems/finland/organisation-private-education ↩︎
  6. Current expenditure on education in real terms increased in 2022 | Statistics Finland. (2024, July 5). https://stat.fi/en/publication/cln2sp52y2dsm0bvzj32022cn ↩︎
  7. Statista. (2024, May 14). Expenditure on primary education per pupil in Finland 2012-2022. https://www.statista.com/statistics/1133987/expenditure-on-comprehensive-school-education-per-pupil-in-finland/ ↩︎

Check Also

Jin Turkiye dan Krisis Pandangan Alam Kita (Sebagai Muslim)

Soalan ini menimbulkan kerumitan kepada anak rakan saya kerana beliau tidak pernah merenung isu tersebut secara mendalam. Baginya, perkara-perkara ghaib ini tidak relevan dalam kehidupan sehariannya kerana tidak pernah bertembung dengan situasi yang memerlukan beliau membuat pendirian. Kehidupan moden di kota besar seperti Istanbul terasa begitu jauh dan tiada kaitan dengan hal ehwal jin dan syaitan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.