Idea Pendidikan Oleh Ilmuan Muslim Silam


Kali pertama saya membaca hadis ini, saya adalah seorang pelajar Syariah. Perhatian kami tertumpu kepada konotasi fiqh riwayat ini bahawa seorang yang lebih berusia adalah lebih afdal menjadi imam solat.

Dua puluh tahun kemudian, saya kembali membaca hadis ini tetapi sebagai pelajar sains pembelajaran. Mata saya tidak dapat lari daripada tertangkap untuk memerhati dan menghargai kayanya pedagogi guru agung ini di dalam sesi baginda ﷺ bersama Malik bin al-Huwairith r.a dan anak-anak muda yang bersamanya.

Kisah ini terjadi pada abad ke-7. Abad yang masih diselubungi kegelapan di banyak penjuru alam. Akan tetapi, padang pasir itu menyaksikan cahaya yang terang bersinar. Ia bukan hanya sinar kebenaran mesej dan ajaran. Tetapi juga sinar kaedah dan pendekatan. Islam bukan hanya tersebar dengan kekuatan ‘silibus’ dan ‘kurikulum’, tetapi juga pedagoginya.

Bagaimana urusan pedagogi boleh tercicir daripada keutamaan dan perhatian kita hari ini? Tercicir daripada prinsip-prinsip yang membentuk bukan hanya pendidikan dan persekolahan umum, malah dalam pendidikan Islam sendiri.

Khilaf sunnah.

Semasa menulis, saya bertukar-tukar antara istilah Islamic education dan Muslim education. Pada pandangan saya, kedua-dua istilah ini memiliki konotasi yang kadang kala sama, kadang kala berbeza. Muslim education merujuk kepada apa yang sebenarnya diamalkan oleh umat Islam (walaupun adakalanya belum tentu tepat dengan acuan Islam), sementara Islamic education merujuk kepada apa yang dituntut oleh Islam itu sendiri.

Bezanya mungkin lebih ketara jika kita bandingkan dengan sistem ekonomi: kita mudah kesan unsur riba, gharar atau rasuah sebagai elemen ‘bukan Islam’. Namun, dalam dunia pendidikan, ada kemungkinan kita ‘terlepas pandang’ unsur yang tidak selari dengan prinsip Islam—contohnya pendekatan mengajar yang bertentangan dengan nilai al-Quran dan al-Sunnah, tetapi dilakukan atas nama ‘mendidik’.

Hal inilah yang perlu kita perhalusi. Boleh jadi kita sedang menerapkan pendekatan yang tidak Islami (malah mungkin “jahiliah”) secara tidak sedar, walaupun berada di institusi yang kita label “pendidikan Islam”. Dan inilah cabaran sebenar kita bersama.

Dalam perkongsian kali ini, saya ingin mengajak anda—khususnya rakan-rakan pendidik—untuk melapangkan fikiran dan merenung semula beberapa perkara yang mungkin kita sudah tahu, tetapi kali ini kita pertimbangkan daripada perspektif berbeza. Sering kali apabila kita melihat sejarah umat Islam, kita berpusat pada kandungan yang terkandung dalam naratif, tanpa menyedari betapa pentingnya aspek pedagogi dan sistem di sebalik pendidikan tersebut. Justeru, di sinilah kita akan meneliti dengan lebih cermat bagaimana pendidikan Islam dibangunkan, berkembang, dan berfungsi dalam tradisi keilmuan kita.

Secara ringkas, kita akan menyentuh:

  1. Pengenalan: Apa yang kita faham tentang dimensi falsafah dan sosiologi pendidikan Islam.
  2. Hubungan Ilmu Pengetahuan & Islam: Menyemak kembali kebergantungan kita pada ilmu, serta memahami kaedah menilai ilmu daripada perspektif Islam.
  3. Kepaksian al-Quran: Bagaimana al-Quran menjadi pusat rujukan dan nadi utama dalam perkembangan pendidikan Islam.
  4. Institusi Pendidikan: Bermula daripada masjid, kutab, madrasah, sehinggalah ke pelbagai bentuk institusi di pelbagai zaman dan peringkat—bagaimana proses pembelajaran tersusun ini memberikan impak kepada masyarakat.
  5. Ilmuan-Ilmuan Islam & Idea Pendidikan: Antara nama yang akan kita sentuh ialah Al-Jahiz, Ibn Sahnun, Al-Farabi, dan seterusnya sehingga Ibn Khaldun (dilihat secara kronologi agar kita dapat memahami evolusi pemikiran mereka).

Harapan saya daripada perbincangan ini, kita sama-sama dapat mengetahui siapakah para ilmuwan yang membincangkan topik falsafah dan pedagogi pendidikan Islam, serta apakah pemikiran dan penemuan mereka yang membentuk asas perkembangan pemikiran pendidikan umat. Seterusnya, saya berharap agar segala idea, kelemahan, dan kekuatan yang dipaparkan dapat kita telaah secara kritis, lalu kita sesuaikan (atau adaptasi) bagi memenuhi keperluan dan konteks kita sebagai pendidik hari ini. Akhirnya, segala input ini kita gabungkan dalam amalan pengajaran dan pembelajaran di mana pun kita berada, insya-Allah.

Mengupas Asal Usul dan Asas Pendidikan Islam

Antara rujukan awal yang amat bermanfaat untuk dikaji ialah hasil penyelidikan Almarhum Profesor Ahmad Shalabi, yang bermula sebagai tesis PhD beliau di Cambridge pada tahun 1950 dan kemudiannya diterbitkan dalam bentuk buku bertajuk History of Muslim Education. Sebelum era Ahmad Shalabi, boleh dikatakan tiada naskhah yang secara komprehensif menghimpunkan pelbagai maklumat kritikal, bukan sekadar menyentuh mata pelajaran yang dipelajari atau bagaimana Al-Ghazali menghafal al-Quran pada usia tertentu (seperti yang sering kita dengari secara stereotaip), tetapi turut menganalisis dengan kritis aspek institusi, pedagogi, hubungan antara pihak kerajaan dan warga pendidik, peranan guru serta ibu bapa, dan persoalan penggajian.

Hal ini bukan sesuatu yang mudah untuk dikenalpasti dalam sejarah kerana dokumentasi pada masa lampau tidak dilakukan dalam bentuk yang seragam atau standard.

Justeru, naskhah yang dihasilkan oleh almarhum Dr. Ahmad Shalabi ini sangat signifikan.

Bahkan, Prof. A. J. R. Berry, seorang sejarawan tersohor yang juga merupakan penyelia (supervisor) beliau, turut menegaskan di dalam mukadimah buku ini akan peranan penyelidikan tersebut dalam mengisi jurang ilmu berhubung perkembangan sistem pendidikan umat Islam seawal mungkin hinggalah era kajian itu dilaksanakan. Versi asal dalam bahasa Inggeris sememangnya sukar diperoleh, sementara naskhah bahasa Arab juga agak rumit ditemui.

Namun, bagi pembaca di Malaysia, terjemahannya ke bahasa Melayu (bahasa Indonesia tetapi tidak terlalu kental penggunaan bahasanya) telah diterbitkan oleh Pustaka Nasional Singapura di bawah tajuk Sejarah Pendidikan Islam. Saya juga percaya buku ini tersedia dalam bentuk e-buku di Google Play Books yang boleh dimanfaatkan. Buku ini sangat membantu dalam memahami pelbagai dimensi sejarah pendidikan Islam secara lebih mendalam.

Perkembangan Awal Pendidikan dalam Tradisi Islam

Meneruskan perbincangan mengenai topik ini, seperti yang telah dinyatakan sebelumnya, jika kita menelusuri periode terawal umat Islam terlibat dalam aktiviti pembelajaran, dapat dilihat bahawa fokus utama mereka berkisar pada beberapa tema penting. Antara lain, dalam bahasa Inggeris disebut enabling al-Quran to be understood. Pendidikan dilihat sebagai proses yang membolehkan al-Quran dibaca dan difahami. Oleh itu, apabila kanak-kanak mula memasuki institusi pendidikan, tumpuan awal yang diberikan lazimnya adalah kemahiran membaca, mendengar, serta mengulang bacaan berkaitan dengan al-Quran.

Selain itu, beberapa topik lain turut diketengahkan seperti penerokaan dan pemahaman terhadap hadis Nabi ﷺ, di samping al-Maghazi. Kita dapat melihat bagaimana para sahabat, iaitu generasi yang hidup selepas zaman Baginda ﷺ, menghadapi cabaran dalam menyampaikan Islam kepada anak-anak mereka yang tidak sempat bertemu dengan “guru umat ini,” iaitu Nabi Muhammad ﷺ, sebagaimana pengalaman mereka sendiri.

Isu Pemindahan Ilmu

Persoalan bagaimana pemindahan (transferring) ilmu berlaku—iaitu memindahkan Islam daripada para sahabat kepada generasi anak-anak—merupakan pengalaman baharu berbanding apa yang mereka terima terus daripada Nabi Muhammad ﷺ. Di sinilah wujud idea “Perlu disampaikan sesuatu seumpama ‘proto curriculum’ pada zaman sahabat,” apabila mereka menerapkan al-Maghazi dan sirah Nabi ﷺ sama seperti mereka mengajar al-Quran. Hal ini kerana tiada cara yang lebih wajar bagi anak-anak untuk mengenali, menyayangi, dan mencontohi Rasulullah ﷺ melainkan memperkenalkan siapakah insan yang mereka tidak berpeluang temui ini—iaitu Baginda ﷺ—melalui al-Maghazi, iaitu catatan berkaitan riwayat hidup Baginda. Istilah “al-Maghazi” itu sendiri mempunyai sejarahnya, termasuk perbezaan konsep di antara “sirah,” “al-Maghazi,” “siyar” (kata jamak kepada sirah), dan sebagainya.

Pengaruh Persekitaran Pembelajaran

Selain itu, kita juga mendapati—terutamanya pada peringkat awal—pengalaman para sahabat belajar Islam dengan Rasulullah ﷺ banyak berlaku di masjid, namun tidak terhad di situ sahaja. Di mana-mana sahaja mereka berinteraksi dengan Baginda, proses pembelajaran dan pengajaran itu berlangsung: misalnya di medan perang, ketika penurunan ayat al-Quran, di bawah pokok, di tepi jalan, atau di mana-mana lokasi lain. Semestinya, jika kita berfikir tentang the construction of knowledge, sudah tentu konteks persekitaran ini mempengaruhi cara para sahabat memaknai (make sense) apa yang mereka peroleh daripada Baginda ﷺ—sangat berbeza daripada situasi kita pada masa kini yang tidak lagi mempunyai “ekologi” sedemikian. Justeru, wajar untuk kita meneroka implikasi perubahan konteks ini terhadap cara umat hari ini memahami dan menghafal ilmu.

Pembentukan Institusi Kuttab dan Madrasah

Setelah kewafatan Nabi Muhammad ﷺ, pendidikan anak-anak mula diatur secara lebih tersusun. Usaha-usaha tersebut kemudiannya menghasilkan institusi seperti kuttab, iaitu tempat yang menjadi tumpuan murid yang lebih muda untuk mempelajari asas-asas al-Quran, dan juga madrasah. Istilah “madrasah” dalam beberapa tradisi boleh merujuk kepada pusat pendidikan peringkat tinggi, sehinggalah ke era moden di zaman Daulah Uthmaniyah.

Misalnya, di zaman Daulah Uthmaniyah di Istanbul, kita kenal Medaris-i Semaniye (Sekolah Lapan) yang berkembang sebagai institusi pengajian tinggi di era Sultan Muhammad al-Fatih. Di Istanbul ketika itu, terdapat lapan buah madrasah yang dibina daripada batu dan ditutupi bumbung bersalut plumbum di kedua-dua belah Masjid Fatih. Empat daripadanya terletak di bahagian Laut Hitam, manakala empat lagi di bahagian Laut Mediterranean, dan setiap satunya mempunyai nama tersendiri.

Bagi yang berminat untuk meneruskan kajian, latar belakang sejarah ini boleh diterokai dengan lebih mendalam. Menelusuri perjalanan pendidikan Islam pada fasa-fasa awal ini, kita juga akan menjumpai peranan ilmuwan terdahulu yang bukan sahaja masyhur dengan apa yang mereka ajarkan, bahkan turut meninggalkan catatan pemerhatian (observation notes) tentang pengalaman mereka dalam menyampaikan dan mengajar. Contohnya, Al-Ghazali rahimahullah yang terkenal menerusi karya Ihya’ Ulumiddin. Di dalam kitab tersebut, beliau turut merakamkan nota berkaitan pemikiran beliau tentang proses pengajaran dan pembelajaran.

1. Al-Jahiz: Menelusuri Cabaran Profesi Guru dan Kepentingan Kemahiran Menulis

Al-Jahiz dilahirkan pada abad kedua Hijriah (tahun 160H), dan salah satu karyanya yang tersohor ialah Kitabul Mu’allimin (selain daripada sejumlah karya lain). Dalam karya tersebut, beliau memberikan penekanan terhadap aspek pengajaran dan pembelajaran pada tahap yang lebih tinggi (learning and teaching at advanced level).

Pada era tersebut, terdapat kemungkinan pandangan masyarakat yang meremehkan tugas pendidik, khususnya mereka yang mengajar kanak-kanak. Terdapat beberapa riwayat (sama ada sahih atau tidak) yang menukilkan ungkapan “seburuk-buruk manusia ialah guru kanak-kanak” (mu’allim as-sibyan). Misalnya:

شِرَارُكُمْ مُعَلِّمُو صِبْيَانَكُمْ، أَقَلُّهُمْ رَحْمَةً على الْيَتِيم، وأغلظهم على الْمِسْكِين

Sejahat-jahat kalian adalah guru-guru kepada anak-anak kalian. Mereka adalah yang paling sedikit belas kasihan terhadap anak yatim dan yang paling keras terhadap orang miskin.

Pandangan ini lahir daripada tanggapan bahawa apabila guru banyak bergaul dengan kanak-kanak, mereka seolah-olah “menjadi seperti kanak-kanak,” selain dianggap kasar terhadap anak yatim dan golongan miskin — suatu gambaran yang tentunya negatif bagi profesi keguruan.

Ketika saya menuntut di Jordan kira-kira dua dekad lalu, saya turut mengesan kewujudan elemen-elemen serupa. Kesahihannya dari sudut agama atau hadis adalah nyata tertolak. Hadis ini disebut oleh Mulla ‘Ali al-Qari (m. 1014H) رحمه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis palsu beliau berjudul Al-Masnu‘ Fi Ma‘rifat al-Hadis al-Mawdu‘, di halaman 113, hadis no. 161. Beliau mengatakan bahawa riwayat ini palsu, disebutkan dalam Kitab al-Laali’.

Namun realitinya masyarakat yang mengagungkan ilmu kadangkala, sama ada secara sedar atau tidak, lebih menyanjung para masyaikh dan ulama yang membincangkan topik-topik tinggi. Sebaliknya, guru-guru di peringkat sekolah rendah atau prasekolah jarang diiktiraf setanding. Timbul persoalan, apakah kemuliaan ilmu yang diagung-agungkan dalam Islam turut tercermin pada mereka yang mendidik kanak-kanak di peringkat awal? Malah, isu sama berkaitan juga dengan status kewangan dan sosial—misalnya, sebahagian ibu bapa enggan menerima guru sekolah (dengan gaji yang terhad) sebagai menantu.

Dalam konteks inilah Al-Jahiz tampil mempertahankan kedudukan guru, terutamanya yang bertanggungjawab mendidik kanak-kanak.

Inilah antara sumbangan besar Al-Jahiz dalam menyokong kedudukan guru serta menekankan kepentingan asas pendidikan seperti kemahiran menulis dan kemahiran berkomunikasi. Secara tidak langsung, hal ini turut menzahirkan betapa signifikan peranan guru yang membimbing generasi muda, walau di peringkat paling awal sekali pun.

Al-Jahiz turut menegaskan betapa pentingnya kemahiran menulis sebagai elemen utama dalam proses pembelajaran. Beliau menggariskan bahawa menulis dapat menzahirkan kemajuan pembelajaran seseorang murid, kerana ia membolehkan kemajuan kognitif dan penjanaan idea direkod serta dipantau secara jelas. Menulis adalah satu proses yang kompleks, dan kita boleh mengesannya melalui penekanan yang Al-Jahiz lakukan. Bagi Al-Jahiz, kemahiran menulis serta kebolehan bertutur secara jelas amat penting kerana ia membolehkan idea dan pemikiran tersembunyi di minda seseorang diungkap, difahami, dan diwariskan kepada orang lain.

Kita mungkin beranggapan bahawa menulis itu perkara biasa, lalu “memaksa” kanak-kanak seawal usia 4 hingga 6 tahun menulis dengan sempurna. Namun, sains moden mengiktiraf the developmental stages of writing—bagaimana kanak-kanak bermula dengan melakar simbol daripada apa yang didengari, sebelum ejaan yang tepat dan aturan huruf menjadi kritikal di peringkat berikutnya. Penguasaan menulis bukan sahaja melibatkan kemahiran kognitif, bahkan turut bergantung pada fine motor skills, seperti memegang alat tulis dan menyusun huruf di atas kertas. Kita perlu sensitif terhadap saiz cabaran mengajar kemahiran menulis, kepada kanak-kanak yang usianya belum mencapai upaya fizikal dan kognitif.

2. Ibn Sahnun: Memperinci Tanggungjawab Guru dan Sorotan Epistemologi

Dalam era yang sedikit terkemudian, muncul sosok Ibn Sahnun, yang menulis karya penting bertajuk Kitab Adab al-Mu‘allimin. Naskhah ini sangat terkenal dan telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Antara perkara utama yang diberi perhatian di dalam karya ini adalah “fokus epistemologi.” Dari sudut falsafah, “epistemologi” meneliti persoalan tentang bagaimana sesuatu ilmu diperoleh, sumber pengetahuan, dan keabsahan maklumat yang dipegang. Dengan kata lain, apabila kita tahu sesuatu, apakah proses atau instrumen yang menyebabkan kita mengetahuinya, dan apakah autoriti yang mengesahkan pengetahuan tersebut?

Ibn Sahnun memberikan penekanan kepada kedudukan guru sebagai pelaksana dan penjaga utama proses pengetahuan. Dalam konteks ini, perbincangan “bagaimana pengetahuan diurus dan disampaikan” bukan sekadar isu teknikal, bahkan menyentuh prinsip epistemologi. Beliau menegaskan bahawa guru mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk memastikan ilmu yang dibawa adalah benar, sahih, dan relevan. Pertanyaan epistemologi—“Dari mana ilmu itu datang?” dan “Bagaimana kita yakin bahawa sesuatu itu adalah ilmu yang benar?”—menjadi kerangka asas pembinaan kurikulum dan pembentukan disiplin diri dalam kalangan pelajar serta guru.

Selain menekankan dimensi epistemologi, Ibn Sahnun turut mengungkapkan keperluan teacher-centric dalam proses pembelajaran, bermaksud peranan guru sebagai tunjang utama di bilik darjah. Beliau menitikberatkan aspek kelayakan akademik guru—kemahiran, pengetahuan, dan integriti profesional—sebagai prasyarat bagi membimbing murid dengan berkesan. Pada zaman tersebut, seorang guru bukan sekadar penyampai fakta, malah berperanan membentuk sahsiah, akhlak, serta disiplin para pelajar. Sesuai dengan judulnya, Adab al-Mu‘allimin, keutamaan diberikan pada persoalan adab, tingkah laku, dan tanggungjawab guru terhadap murid-muridnya.

Di samping menekankan kelayakan guru, Ibn Sahnun juga membincangkan perkembangan kurikulum: bagaimana ilmu dirangka, disusun, dan diatur agar dapat dimanfaatkan oleh murid pada pelbagai peringkat. Ini mencakupi persoalan tentang subjek apa yang perlu diutamakan, bagaimana keutamaan subjek itu ditentukan, serta kaedah menyesuaikan pengajaran dengan keupayaan kognitif pelajar. Beliau turut mengulas pedagogi—kemahiran mengajar dan mengawal pembelajaran—seperti kaedah penyampaian, tahap bimbingan yang sesuai, serta mekanisme penilaian prestasi pelajar.

Secara keseluruhannya, karya Ibn Sahnun membawa beberapa sumbangan penting:

  1. Mengangkat Peranan Epistemologi
    Menyuruh guru berfikir tentang “Dari mana ilmu itu bersumber?” dan “Bagaimana kita pasti akan kebenarannya?” Persoalan ini mengubah perspektif guru daripada sekadar ‘penyampai maklumat’ kepada ‘pemegang amanah ilmu.’
  2. Menekankan Kelayakan Akademik dan Komitmen Moral Guru
    Memperlihatkan guru bukan sahaja perlu berilmu, tetapi juga berakhlak mulia, demi menjaga wibawa profesion keguruan dan kepentingan murid.
  3. Pengembangan Kurikulum dan Pedagogi
    Membincangkan cara mengatur kandungan pelajaran dan menentukan kaedah penyampaian yang sesuai, serta menekankan kepentingan proses mengajar dan menyelia pembelajaran murid.
  4. Kesinambungan Adab dan Disiplin
    Mengukuhkan bahawa pendidikan tidak hanya bersifat intelektual, tetapi turut melibatkan pembentukan peribadi (adab) serta disiplin yang mendasari konsep Adab al-Mu‘allimin itu sendiri.

Dengan penekanan sedemikian, Ibn Sahnun mempelopori pendekatan holistik dalam dunia pendidikan Islam. Melalui sudut pandang beliau, guru berfungsi sebagai pemangkin kualiti ilmu, pencetus nilai murni, dan pelaksana prinsip epistemologi yang menjadikan proses pembelajaran berasaskan kebenaran, ketertiban, dan kefahaman yang sahih.

3. Al-Farabi: Memartabatkan Pengajaran Sebagai Proses Interaktif

Al-Farabi ialah antara tokoh yang sering dikaitkan dengan sumbangan besar dalam bidang falsafah dan pemikiran Islam. Walaupun namanya lebih dikenali melalui karya-karya falsafah yang lain, beliau turut membincangkan idea pendidikan, khususnya di dalam karyanya Al-Burhan. Dalam naskhah tersebut, Al-Farabi memberikan penekanan kepada proses pengajaran sebagai suatu interaksi yang melibatkan guru dan murid, atau dalam istilah kontemporari, instruction as an interactive process involving teachers and students.

Dalam teori kemasyarakatan (sosiologi), idea al-Farabi banyak kita temui semasa meneliti kerangka symbolic interactionism.

Di dalam penulisan Al-Farabi, dapat dilihat bagaimana beliau mencermati perbezaan di antara “guru yang mengajar” dengan “murid yang belajar.” Menurut beliau, wujud “proses penghubung” di antara kedua-duanya, bukan sahaja berlegar pada minda guru, bahkan turut berlaku di dalam fikiran, emosi, dan jiwa murid yang terlibat.

  1. Mengajar
    Mengajar merujuk kepada proses guru menyampaikan pengetahuan, nilai, dan kemahiran. Peranan guru tidak hanya menyalurkan maklumat, malah bertanggungjawab menyesuaikan gaya pengajaran agar selari dengan keperluan dan tahap penerimaan murid.
  2. Belajar
    Belajar pula ialah proses yang berlaku dalam diri murid—satu pengalaman dalaman yang melibatkan pemikiran, perasaan, dan motivasi. Menurut Al-Farabi, proses pembelajaran inilah yang patut diberi keutamaan, agar murid mendapat peluang memahami serta memaknai setiap ilmu yang diterima.

Al-Farabi menegaskan bahawa interaksi adalah teras kepada keberkesanan pengajaran. Apabila guru dan murid berkolaborasi, timbul unsur student-centered yang membolehkan ilmu disampaikan secara lebih bermakna. Beliau mengajukan persoalan penting: Bagaimanakah kandungan pengajaran boleh disusun, diolah, dan ditambah baik agar menitikberatkan “bagaimana murid belajar” berbanding sekadar berpegang kepada kebiasaan “guru mengajar”?

  • Penyelarasan Kaedah Pengajaran
    Guru perlu meneliti kaedah penyampaian berasaskan keupayaan dan minat murid. Bukanlah menjadi keutamaan bahawa murid wajib menyesuaikan diri dengan cara guru, sebaliknya guru harus tangkas menyesuaikan pendekatan agar murid dapat memahami dan mengaplikasikan ilmu tersebut.
  • Menghindari Krisis Bilik Darjah
    Sekiranya guru mengambil pendekatan “kamu yang perlu ikut cara saya,” ia berpotensi mewujudkan krisis dalam proses pembelajaran. Hal ini kerana murid mungkin tidak berpeluang mengekspresikan persoalan, minat, atau kreativiti mereka, yang sepatutnya menjadi katalis kepada kefahaman mendalam.

Selain itu, Al-Farabi turut merujuk konsep facilitating the students’ own voyage of discovery. Dalam konteks ini, guru bertindak sebagai pemudah cara, memberi ruang dan peluang kepada murid untuk meneroka ilmu serta potensi diri secara lebih bebas. Pendekatan ini sejajar dengan falsafah pendidikan moden yang menitikberatkan pembelajaran berasaskan inkuiri, penerokaan, dan student-centered learning.

Amat menarik untuk ditelusuri bahawa seawal zaman Al-Farabi, idea-idea yang kini dilihat sebagai asas dalam aliran progressivismexistentialism, atau social reconstruction sebenarnya telah pun dibincangkan. Konsep “murid sebagai fokus utama” dan “pendekatan interaktif” telah disebut beliau sekian lama dahulu. Justeru, setiap kali kita menelaah falsafah pendidikan semasa yang mempromosikan pembelajaran aktif atau student-centered learning, kita sebenarnya mengimbau legasi pemikiran Al-Farabi yang sejak awal sudah menyarankan betapa pentingnya mengambil kira dimensi dalaman murid dan interaksi dengan guru.

Ringkasnya, sumbangan Al-Farabi dalam Al-Burhan menekankan bahawa pengajaran bukan semata-mata “guru bercakap dan murid mendengar,” tetapi suatu proses interaktif yang menuntut perhatian terhadap bagaimana murid memproses dan memahami maklumat. Dengan melihat the interactive element in the learning process, Al-Farabi telah menggariskan keperluan membangunkan kaedah pengajaran yang membolehkan murid menemui potensi diri serta menjana kefahaman yang lebih mendalam. Maka, beliau berperanan sebagai salah seorang perintis dalam meletakkan asas-asas teori pendidikan interaktif yang tetap relevan hingga ke hari ini.

4. Ibn Sina: Pendidikan Kanak-Kanak dan Psikologi dalam Kitab an-Najat

Ibn Sina, atau lebih dikenali di Barat sebagai Avicenna, merupakan tokoh terkemuka yang tidak sahaja masyhur dalam bidang falsafah, malah turut memiliki kepakaran dalam sains dan perubatan. Di samping itu, beliau turut menzahirkan pemikiran penting berkenaan pendidikan, khususnya melalui karyanya, Kitāb al-Najāt: Min al-Gharaq fi Bahr al-Dalalat (The Book of Salvation From Error) & Kitāb al-Siyāsah (The Book of Regimen). Dalam naskhah tersebut, Ibn Sina merangkumi beberapa idea yang berkait rapat dengan aspek child education and psychology, sekali gus memberi sumbangan besar kepada kerangka pemikiran pendidikan Islam.

Antara persoalan yang dikupas oleh Ibn Sina ialah manfaat latihan murid menyalin perkara yang ditulis guru di hadapan mereka—sama ada di papan putih, smartboard, atau medium lain. Meskipun pada hari ini segelintir pendidik beranggapan amalan sedemikian sebagai “kaedah malas,” terutamanya jika dilaksanakan secara berlebihan, Ibn Sina sejak awal telah membahaskannya secara kritis. Menurut beliau, latihan menyalin boleh membantu mengukuhkan ingatan dan memupuk daya tumpuan murid, dengan syarat ia dilaksanakan dalam kerangka pedagogi yang sesuai dan berpada-pada.

Maka, timbul persoalan yang relevan: Adakah kaedah ini terus relevan dalam konteks pendidikan semasa? Apakah keburukan dan kebaikannya? Adakah terdapat pendekatan yang lebih baik untuk memastikan murid benar-benar memahami apa yang disalin, selain sekadar meniru perkataan atau ayat yang tertera? Apabila kita mengambil kira pandangan Ibn Sina, sewajarnya pendidik menilai sama ada amalan menyalin tersebut dilaksanakan pada tahap yang tepat, disertai penerangan yang mencukupi, dan disokong oleh strategi pengajaran serta pembelajaran lain.

Di samping itu, Ibn Sina turut mencadangkan supaya kanak-kanak ditempatkan dalam bilik darjah mengikut peringkat umur yang sama. Pendekatan ini dapat membantu menyeimbangkan tahap kematangan dan kecenderungan perkembangan kognitif murid.

Malah, beliau juga menekankan “kepentingan peribadi guru yang terpuji.” Implikasinya merangkumi aspek moral dan profesional: seorang guru perlu mempunyai sifat sabar, adil, serta keperibadian yang mencontohi akhlak mulia. Ini kerana kanak-kanak sering meniru tingkah laku dan sikap guru, sekali gus menjadikan peranan guru bukan semata-mata penyampai ilmu, tetapi juga teladan etika.

Pemikiran Ibn Sina berkenaan pendidikan—baik daripada segi latihan menyalin, pengelompokan mengikut peringkat umur, mahupun akhlak guru—menunjukkan betapa telitinya beliau dalam menilai elemen child education and psychology. Hal ini amat berharga untuk rakan-rakan pendidik pada hari ini, yang berdepan dengan pelbagai tuntutan dan cabaran era moden. Dengan menelusuri buah fikiran Ibn Sina, pendidik dapat menilai semula strategi pengajaran yang diguna pakai, sekali gus mencari titik keseimbangan antara kaedah tradisional dan pendekatan baharu yang berpaksikan kesejahteraan, minat, serta perkembangan kanak-kanak secara holistik.

5. Ikhwan as-Safa’: Pengelasan Ilmu dan Sumbangan Terhadap Pemikiran Pendidikan

Ikhwan as-Safa’ merujuk kepada satu kumpulan pemikir tersohor namun misteri, yang pada hari ini sukar untuk dikenal pasti dengan jelas identiti sebenar mereka. Apa yang diketahui ialah kumpulan ini berpusat di Basrah (kini terletak di Iraq) dan dikaitkan dengan komuniti Ismailiyah (Syiah Ismailiyah). Meskipun biografi dan identiti anggota-anggotanya tidak dapat diperincikan secara retrospektif, karya-karya mereka mempunyai pengaruh besar dalam tradisi falsafah dan pemikiran Islam.

Di samping itu, mereka turut memberikan sumbangan penting dalam perbahasan pemikiran pendidikan melalui salah satu risalah khas, iaitu risalah ketujuh (The 7th Epistle) daripada keseluruhan 52 risalah yang mereka hasilkan, sering dirujuk sebagai Ensiklopedia Falsafah Ikhwan as-Safa’.

Misteri dan Latar Belakang Pemikiran

  1. Asal Usul Tidak Diketahui
    Identiti dan profil terperinci setiap penulis dalam kumpulan ini masih menjadi persoalan dalam kalangan sejarawan. Walau bagaimanapun, beberapa teori mengaitkan mereka dengan para cendekiawan Ismailiyah yang aktif di Basrah pada abad ke-4 Hijrah (10–11 Masihi).
  2. Ensiklopedia Falsafah
    Karya Rasa’il Ikhwan as-Safa’ (Risalah Ikhwan as-Safa’) dianggap sebagai himpunan tulisan yang merangkumi pelbagai bidang ilmu, termasuk falsafah, matematik, astronomi, muzik, teologi, dan sains tabii. Risalah ketujuh daripada 52 risalah ini dikhususkan untuk membincangkan topik pendidikan serta pengelasan ilmu.

Pengelasan Ilmu dalam Tradisi Islam

Salah satu sumbangan utama Ikhwan as-Safa’ ialah pembahagian ilmu secara saintifik atau scientific classification of knowledge. Mereka cuba meletakkan asas jelas bagi membezakan jenis-jenis ilmu, sekali gus menggariskan keutamaan serta fungsi setiap kategori. Usaha ini mencerminkan interaksi umat Islam pada ketika itu dengan pelbagai sumber pengetahuan, termasuklah tradisi Yunani, Parsi, dan setempat yang mempengaruhi dinamika keilmuan.

  1. Konteks Pembahagian Subjek
    Pada hari ini, kita terbiasa memisahkan subjek-subjek di sekolah kepada “agama” dan “bukan agama,” atau “sekular” dan “keagamaan.” Namun, dalam sejarah pendidikan Islam, konsep seperti fardu ain tidak semestinya terbatas kepada subjek yang hari ini dianggap “keagamaan semata-mata.” Pada zaman tertentu, fardu ain merangkumi ilmu yang wajib bagi setiap Muslim, meliputi aspek kehidupan seharian, termasuk ilmu sains dan kemahiran teknikal tertentu.
  2. Perubahan Keutamaan Ilmu
    Ikhwan as-Safa’ menampakkan bagaimana proses pengelasan ilmu boleh berbeza mengikut zaman, pengaruh politik, sosioekonomi, serta wacana intelektual semasa. Mereka turut menegaskan bahawa penguasaan sesuatu ilmu bukan sekadar bersandar pada label “agama” atau “sekular,” malah perlu ditimbang berdasarkan kebermanfaatannya kepada individu dan masyarakat.

Perbahasan Ikhwan as-Safa’ tentang pengelasan ilmu secara saintifik membuka ruang untuk memahami bahawa:

  1. Pengelasan Ilmu Bukan Mudah
    Mengelaskan ilmu mengikut kategori tertentu bukanlah satu usaha ringkas, kerana ia melibatkan pelbagai pertimbangan falsafah, sejarah, dan kepentingan praktikal.
  2. Peranan Fardu Ain yang Lebih Luas
    Dalam wacana pendidikan tradisional, fardu ain mungkin berubah maksudnya mengikut keperluan semasa. Contohnya, pada era tertentu, kemahiran matematik atau kejuruteraan boleh menjadi sebahagian daripada “ilmu wajib” jika ia dianggap kritikal bagi kestabilan dan kemajuan umat.
  3. Kesinambungan Tradisi Ilmiah
    Konsep “pengelasan ilmu” yang dibawa oleh Ikhwan as-Safa’ menyumbang kepada perbincangan berpanjangan dalam tamadun Islam. Ia berinteraksi dengan pelbagai aliran falsafah dan keilmuan, dari zaman Yunani Purba hinggalah pengaruh kebudayaan lain yang ditemui umat Islam.
  4. Menginspirasikan Kajian Lanjutan
    Kepentingan pengelasan ilmu yang digarap oleh Ikhwan as-Safa’ bukan sekadar relevan dalam konteks sejarah, tetapi juga berguna bagi sarjana pendidikan kontemporari. Kajian lanjut terhadap risalah-risalah mereka mampu memberikan perspektif baharu tentang bagaimana pengajaran dan pembelajaran boleh disusun di institusi semasa, terutama apabila membabitkan “mata pelajaran teras” versus “pilihan,” atau sinergi antara subjek keagamaan dan subjek umum.

Secara keseluruhannya, Ikhwan as-Safa’ mewakili satu mazhab pemikiran yang menggabungkan unsur falsafah, sains, dan keagamaan dalam membincangkan pelbagai cabang ilmu. Meskipun identiti para penulisnya masih samar, pengaruh mereka terhadap sejarah falsafah dan pendidikan Islam tidak dapat dinafikan. Idea mereka tentang scientific classification of knowledge turut mencerminkan kefahaman yang lebih luas bahawa ilmu, sama ada “agama” atau “seular,” harus dilihat sebagai kunci memakmurkan kehidupan, dengan syarat setiap ilmu itu difahami dan diamalkan berasaskan kerangka etika dan akidah yang mantap. Bagi mereka yang berminat dalam topik ini, risalah ketujuh Ikhwan as-Safa’ adalah satu permulaan yang menarik untuk meneroka persilangan di antara falsafah, pedagogi, dan sains dalam tradisi Islam.

6. Al-Qabisi: Menggubal Dasar Pendidikan, Hubungan Pihak Berkepentingan dan Hak Kanak-Kanak

Antara tokoh penting dalam perbincangan pemikiran pendidikan Islam ialah Al-Qabisi, yang menghasilkan karya panjang bertajuk al-Risalah al-Mufassilah li Ahwal al-Muta’allimin wa Ahkam al-Mu’allimin wal-Muta’allimin. Dalam risalah tersebut, beliau memberikan tumpuan kepada beberapa tema utama, antaranya:

  1. Pemerincian Dasar dan Hubungan Pemegang Taruh
  2. Pendidikan Sebagai Hak Kanak-Kanak
  3. Implikasi Sosiologi Pendidikan

Antara persoalan menarik yang dibincangkan oleh Al-Qabisi ialah isu-isu dasar berhubung gaji dan kehadiran guru. Misalnya, andai seorang guru tidak hadir ke sekolah kerana menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga, adakah beliau berhak menerima gaji penuh bagi hari tersebut? Pada masa kini, mungkin kita tidak merasakan hal ini sebagai suatu isu besar kerana undang-undang perjawatan moden sudah lama wujud untuk memastikan gaji bulanan guru tetap disalurkan. Namun, pada zaman Al-Qabisi, perkara sedemikian diteliti dengan mendalam, termasuk menerapkan dimensi fiqh untuk menentukan keabsahan (ijab dan qabul, perjanjian, dan sebagainya) dalam hubungan kerja antara guru dan murid.

Salah satu penekanan utama Al-Qabisi ialah bahawa pendidikan merupakan hak setiap kanak-kanak. Walaupun ia kedengaran mudah atau kelihatan seperti slogan biasa, implikasinya amat mendalam. Dengan menerima bahawa pendidikan ialah “hak” dan bukan hanya “tanggungjawab”, keseluruhan paradigma mengenai peranan dan fungsi sekolah berubah. Hal ini mempengaruhi dasar, pendekatan pengajaran, dan peranan guru, malah turut memberi kesan kepada penilaian semula tanggungjawab pelbagai pihak (kerajaan, ibu bapa, dan masyarakat).

Apabila pendidikan diangkat sebagai hak, barulah usaha menghapuskan penghalang-penghalang kepada akses pendidikan SEMUA kanak-kanak menjadi keutamaan. Pendidikan menjadi lebih inklusif.

Implikasi Sosiologi Pendidikan
Pemikiran Al-Qabisi turut bersangkut paut dengan anjakan dalam kerangka sosiologi pendidikan. Jika kita meminjam teori functionalism (seperti yang diulas Durkheim), sekolah dilihat sebagai institusi formal yang membentuk individu menjadi warganegara berguna—dengan maksud tersirat bahawa di dalamnya terkandung ‘agenda’ kerajaan. Berbeza pula dengan kerangka interactionism, sekolah dilihat sebagai wadah untuk memenuhi keperluan pendidikan kanak-kanak secara personal dan interaktif, bukannya semata-mata alat untuk menjayakan matlamat kerajaan.

Pemikiran Al-Qabisi mengenai ijab kabul atau aku janji antara guru dan murid menonjolkan sisi perundangan yang sering dipandang sepi dalam sejarah pendidikan Islam. Idea beliau tentang “Education as a Right of Every Child”  juga mendahului pemikiran kontemporari yang kian menitikberatkan hak kanak-kanak di peringkat global. Melalui perbahasan yang berasaskan fiqh, Al-Qabisi menunjukkan bahawa pendidikan bukan sahaja sebuah profesi, malah amanah yang perlu dijaga dari segi hukum dan moral.

Al-Qabisi:

  1. Menerapkan Dimensi Fiqh dalam Pendidikan
    • Menyentuh aspek kewangan (gaji guru), perjanjian kerja, dan tanggungjawab pihak terlibat.
    • Membolehkan proses pendidikan ditadbir secara lebih sistematik.
  2. Memperkemas Hubungan Guru, Murid, dan Ibu Bapa
    • Mengiktiraf peranan setiap pihak secara terangkum, memastikan tiada sesiapa yang terpinggir dalam proses pendidikan.
  3. Membuka Jalan kepada Analisis Sosiologi
    • Memberi penekanan kepada analisis “siapa yang sebenarnya menerima faedah daripada sekolah” dan “bagaimana sekolah seharusnya berfungsi.”

Secara keseluruhannya, Al-Qabisi memperkaya khazanah pemikiran pendidikan Islam menerusi gagasan tentang hak kanak-kanak, hubungan kerja guru-murid, dan kepentingan mengikat nilai moral serta hukum fiqh dalam proses pengajaran. Beliau menandakan titik permulaan yang menarik bagi sebarang kajian tentang bagaimana institusi pendidikan boleh ditransformasikan agar benar-benar berfungsi untuk kebaikan setiap individu murid. Dengan itu, kita dapat melihat bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh Al-Qabisi bukan sahaja kedengaran sangat mendasar, malah sebenarnya mempengaruhi rangka pembinaan sistem pendidikan hingga ke era moden.

7. Miskawayh: Pembinaan Karakter dan Penekanan pada Intervensi Awal

Dalam sejarah pemikiran pendidikan Islam, Miskawayh turut menonjol sebagai salah seorang tokoh yang memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan akhlak dan kemanusiaan. Karya beliau, Tahdhibul-Akhlaq, memfokuskan kepada pembangunan watak serta nilai kemanusiaan, dengan penekanan khusus kepada remaja lelaki pada usia muda. Pendekatan ini menampakkan kepekaan Miskawayh terhadap peranan dan keperluan golongan remaja yang sedang melalui fasa perkembangan mental, emosi, dan sosial yang kritikal.

Mengapa Miskawayh memilih untuk menumpukan perhatian kepada golongan lelaki di usia muda? Meskipun jawapannya memerlukan kajian lanjut terhadap konteks sejarah dan sosial pada masa itu, terdapat beberapa kemungkinan:

  1. Peranan Sosial dan Politik
    Pada era tertentu, lelaki yang memasuki usia remaja sering dipersiapkan untuk mengambil tanggungjawab dalam bidang ketenteraan, pemerintahan, atau ekonomi. Oleh itu, memastikan mereka memiliki akhlak dan keperibadian yang mantap menjadi agenda penting demi kestabilan dan kemajuan masyarakat.
  2. Keperluan Intervensi Awal
    Miskawayh melihat intervensi awal (early intervention) sebagai kaedah paling berkesan untuk memupuk disiplin, menyemai tabiat positif, serta memadam perilaku negatif. Justeru, remaja lelaki yang biasanya berhadapan perubahan fizikal dan mental yang pesat sewaktu youthhood dianggap golongan sasar yang memerlukan perhatian khusus.

Selaras dengan pemikiran pendidikan moden, Miskawayh menyarankan pembelajaran yang berpaksikan murid (student-centric), dan bukan sekadar teacher-centric. Ini menekankan:

  1. Penglibatan Aktif Remaja dalam Proses Pembelajaran
    Remaja ditekankan agar berfikir, bertanya, dan menyelesaikan masalah secara kendiri. Peranan guru atau pembimbing adalah membantu dan memantau, bukan mengarahkan segala-galanya.
  2. Pentingnya Memahami Latar Belakang Individu
    Setiap remaja mempunyai kecenderungan, kebolehan, dan persekitaran yang berbeza. Oleh itu, Miskawayh menggesa guru untuk mengambil kira perbezaan ini dalam kaedah pengajaran dan pendekatan disiplin.

Miskawayh membuktikan bahawa pendidikan tidak sekadar menyalurkan maklumat atau pengetahuan kognitif, bahkan turut menjadi proses membina peribadi dan akhlak. Aspek ini amat relevan dalam sistem pendidikan Islam yang mengutamakan keseimbangan antara ilmu duniawi dan ukhrawi.

Seperti ilmuwan lain, Miskawayh beroperasi dalam konteks sosio-politik yang tersendiri. Saranan beliau mengenai tumpuan khusus pada remaja lelaki mencerminkan tuntutan serta realiti masyarakatnya. Ini sekali gus mengingatkan kita bahawa amalan pendidikan kadang-kala diwarnai keperluan tertentu di setiap zaman, dan mungkin berbeza di tempat lain.

Pandangan Miskawayh tentang student-centric sesuai dengan aliran pemikiran pendidikan kontemporari yang menekankan active learning dan holistic development. Guru bukan sekadar penyampai maklumat, sebaliknya berperanan sebagai fasilitator yang membimbing remaja untuk memahami kekuatan dan kelemahan diri, serta memberi ruang untuk mereka belajar daripada kesilapan.

Secara keseluruhannya, Miskawayh melalui Tahdhibul-Akhlaq telah menyumbang perspektif signifikan dalam wacana pendidikan Islam, khususnya dalam konteks pembangunan sahsiah remaja lelaki. Beliau menekankan keperluan intervensi awal untuk menangani sikap negatif seperti kemalasan dan tabiat suka bermain, dengan tujuan untuk melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab dan bermoral tinggi. Sekalipun tumpuan beliau pada remaja lelaki mempunyai justifikasi tersendiri, pendekatan akhlak dan disiplin yang disarankan boleh diaplikasikan dengan lebih meluas dalam pendidikan yang menitikberatkan pembentukan karakter dan kecemerlangan generasi masa hadapan.

8. Al-Ghazali: Peneguhan Akhlak dan Keseimbangan Akal-Wahyu

Antara nama besar yang wajib disebut dalam sejarah pemikiran pendidikan Islam ialah Imam al-Ghazali (rahimahullah). Beliau menghasilkan banyak karya monumental, namun dua daripadanya yang kerap dirujuk dalam konteks pendidikan ialah Ihya’ Ulumiddin dan Ayyuhal Walad (“Wahai anakku”). Melalui kedua-dua penulisan tersebut, al-Ghazali menggarap konsep pendidikan yang menggabungkan akal, rohani, dan hubungan manusia dengan Tuhan.

Di dalam Ihya’ Ulumiddin, beliau menekankan bahawa ilmu ialah cahaya daripada Allah SWT. Cahaya ini tidak akan menyinar jika tiada persediaan rohani dan akhlak pada pihak guru dan murid. Bagi al-Ghazali, proses pendidikan perlu dibangunkan di atas niat yang tulus, keyakinan terhadap kebenaran ajaran Islam, serta kejujuran moral supaya ilmu yang diterima benar-benar membawa keberkatan. Pada masa yang sama, beliau menyorot persoalan mencari keseimbangan antara akal rasional dengan akhlak dan wahyu, menegaskan bahawa penaklukan alam melalui akal tidak boleh memisahkan diri daripada petunjuk wahyu dalam al-Quran dan hadis Nabi ﷺ.

Menyentuh isu hukuman fizikal, al-Ghazali mengingatkan guru agar berwaspada dalam menggunakan rotan atau tindakan keras lain. Beliau menyoal sama ada hukuman seperti itu tergolong dalam “mendidik” atau menjerumus kepada “mencederakan” jika dilaksanakan secara berlebihan. Menurut beliau, akibat jangka panjangnya bukan sekadar merosakkan emosi murid, bahkan boleh membina budaya ketakutan dan kebencian yang menular dalam masyarakat. Pandangan ini kemudian diteruskan oleh ilmuwan lain yang turut mengkaji implikasi disiplin keras dalam membentuk peribadi murid.

Dalam hal penyusunan kandungan dan kesesuaian tahap pembelajaran, al-Ghazali menekankan bahawa setiap bahan pengajaran perlu disesuaikan dengan keupayaan murid. Beliau menolak pendekatan yang sengaja “merumitkan” ilmu semata-mata untuk menimbulkan rasa hormat atau menyatakan ilmu itu “berat,” kerana cara sebegini berisiko menurunkan motivasi dan minat murid. Justeru, beliau menegaskan kepentingan menjadikan ilmu bersifat “mudah dan boleh dipelajari,” tanpa menggadai kemuliaan ilmu.

Secara keseluruhannya, al-Ghazali melihat pendidikan sebagai suatu proses bersepadu antara pembangunan akal, rohani, dan akhlak. Beliau memberi perhatian khusus kepada tanggungjawab guru sebagai pembentuk sahsiah murid, mengimbangi antara kekuatan intelektual dan petunjuk wahyu, serta merangka strategi pengajaran yang mesra murid. Prinsip-prinsip ini masih relevan dalam menghadapi cabaran dunia moden, memupuk masyarakat berilmu yang bermaruah dan tidak terpisah daripada nilai-nilai ketuhanan.

9. Al-Zarnuji: Meneroka Metodologi Pembelajaran Berfokuskan Murid

Seiring dengan tradisi ilmuwan terdahulu, Al-Zarnuji turut tampil sebagai salah seorang pemikir penting dalam wacana pendidikan Islam. Karyanya, Ta‘lim al-Muta‘allim, Tariq al-Ta‘allum, sering dirujuk oleh pelbagai pihak, termasuk golongan pendidik di Malaysia yang berminat mendalami pendekatan pendidikan Islam. Meskipun demikian, janganlah kita hadkan perbincangan hanya kepada Al-Zarnuji, kerana masih ramai lagi tokoh yang menyumbang kepada perkembangan pemikiran pendidikan Islam secara menyeluruh. Mudah-mudahan artikel ini membuka dimensi tersebut untuk terus diteroka dan dimanfaatkan bersama.

Dalam Ta‘lim al-Muta‘allim, Al-Zarnuji menekankan peranan faktor kritikal yang boleh membantu atau menghalang proses pembelajaran murid. Beliau juga memfokuskan “perspektif sosial kognitif” (social-cognitive perspective), yang menyorot pengaruh persekitaran sekolah, rumah, rakan sebaya, dan hubungan guru-murid. Jika kita mengambil kira perbincangan tentang sociological foundation dalam pendidikan, karya Al-Zarnuji memberikan pandangan mendalam tentang bagaimana latar belakang keluarga dan persekitaran tempat tinggal murid boleh mempengaruhi hasil pembelajaran mereka. Persoalannya, apakah tindakan yang boleh diambil oleh pendidik atau pihak sekolah apabila berdepan dengan murid yang datang dari pelbagai suasana sosioekonomi dan budaya yang berbeza?

Aspek-aspek yang mungkin kelihatan remeh, seperti sama ada murid telah bersarapan atau jenis kasut yang mereka pakai, sebenarnya mencerminkan kompleksiti pendidikan yang tidak berlaku dalam ruang vakum. Segala unsur di sekeliling—daripada status pemakanan sehinggalah kepada pakaian—boleh mempengaruhi motivasi dan prestasi anak-anak di bilik darjah. Berpandukan pemikiran Al-Zarnuji, jelas bahawa sosiologi pendidikan mempunyai peranan besar dalam memahami sama ada proses pembelajaran akan berjalan lancar atau terbantut.

Apa yang membezakan Al-Zarnuji daripada sebahagian ilmuwan lain ialah keutamaan beliau terhadap metodologi pembelajaran (learning methodology), dan bukannya teori pengajaran (teaching theory) semata-mata. Pandangan ini sebenarnya “mendahului zaman,” kerana Al-Zarnuji menegaskan betapa pentingnya memahami cara murid belajar berbanding terlalu menekankan kemahiran guru mengajar. Hakikatnya, dalam perkembangan pendidikan moden, hanya setelah muncul teknologi seperti functional MRIeye-tracking, dan lain-lain kajian neurokognitif, masyarakat benar-benar dapat meneliti apa yang terjadi dalam minda seorang murid ketika proses pembelajaran berlangsung.

Kecenderungan Al-Zarnuji yang menumpukan pada bagaimana murid belajar, seterusnya menjadi ilham bagi pembaharuan kaedah latihan guru. Jika di negara-negara tertentu seperti Finland, fokus lebih terarah kepada penguasaan ilmu tentang “bagaimana murid belajar” berbanding “bagaimana guru mengajar.” Ini membawa mesej bahawa guru yang efektif ialah guru yang berupaya menyesuaikan pengajaran dengan proses pembelajaran murid, bukan sekadar menguasai teknik penyampaian kandungan. Al-Zarnuji boleh dianggap sebagai pelopor awal idea sedemikian, menegaskan bahawa memahami mekanisme dalaman pembelajaran murid merupakan teras untuk membangunkan pendidikan yang berkualiti.

Dengan demikian, bagi rakan-rakan pendidik yang mencari inspirasi dalam merangka pendekatan pengajaran, meneliti karya Al-Zarnuji dapat menjadi satu langkah awal yang berguna. Pandangannya yang mendalam terhadap pengaruh sosial dan kognitif, serta keutamaan yang diberikan beliau kepada “metodologi pembelajaran,” tetap relevan untuk diperhalusi dalam konteks pendidikan hari ini yang menekankan pembelajaran berpusatkan murid, di samping mengambil kira kompleksiti realiti sosial yang dihadapi oleh setiap anak didik.

10. Ibn Jama’ah: Pengukuhan Peranan Guru dan Pendekatan Berasaskan Penyertaan

Antara tokoh utama yang turut memberikan sumbangan besar kepada pemikiran pendidikan Islam ialah Ibn Jama’ah dari Hama, utara Syria moden hari ini. Dalam karyanya, Tazkirat as-Sami’ wal-Mutakallim fi Adab al-‘Alim wal-Muta‘allim, beliau menekankan kepentingan kuliah guru, perbincangan kelas, dan pengurusan bilik darjah, di samping membincangkan persoalan kebajikan pelajar dan kehidupan di asrama (residential life in the madrasah).

Penulisan ini memaparkan suatu model yang menekankan “participation-centered pedagogy,” iaitu kaedah pengajaran yang menuntut penglibatan aktif murid dan galakan daripada guru agar mereka bertanya soalan melangkaui kandungan yang telah diajar.

Sekiranya pemikiran sedemikian disamakan dengan idea-idea tokoh pendidikan Barat, seperti John Dewey di Amerika Syarikat atau cendekiawan Eropah pada era pencerahan, perlulah diingat bahawa Ibn Jama’ah telah mengolahnya pada kurun ke-13, ketika Eropah masih dianggap berada di bawah bayangan “The Dark Age.” Beliau turut merincikan strategi untuk menimbulkan “rasa kagum dan hairan” (awe and wonder) dalam kalangan pelajar, kerana tidak cukup sekadar memperolehi jawapan yang betul. Jawapan tepat adakalanya berpunca daripada hafalan, peniruan daripada rakan, atau sekadar tekaan rawak. Justeru, soalan yang kritis dan bermakna lebih berharga bagi menzahirkan proses pemikiran murid (make thinking visible).

Ibn Jama’ah berpendapat, murid tidak dapat mengemukakan soalan berkualiti kecuali selepas mereka benar-benar mula berfikir. Keadaan ini tidak berlaku dengan sendirinya, sebaliknya memerlukan perancangan dan suasana kondusif. Untuk mencapai tujuan itu, beliau menggariskan pendekatan pengajaran yang mengiktiraf kecenderungan murid untuk ingin tahu, menggalakkan mereka berinteraksi secara aktif, serta memberikan mereka ruang bagi mengekspresikan persoalan. Dengan menerapkan konsep “participation-centered pedagogy” ini, guru berperanan sebagai pemudah cara untuk memupuk keberanian bertanya dan menegaskan pentingnya pemikiran kritis.

Gagasan Ibn Jama’ah menunjukkan bahawa pemikiran pendidikan Islam telah pun membincangkan isu-isu bersifat maju dan rencam jauh sebelum kemunculan tokoh-tokoh Eropah di era pencerahan. Prinsip ini kekal relevan, khususnya dalam konteks pendidikan moden yang mahu melahirkan murid yang tidak hanya mampu menjawab soalan dengan betul, tetapi juga berdaya fikir, kreatif, dan inovatif.

11. Ibn Khaldun: Karya Al-Muqaddimah dan Pengaruhnya terhadap Pendidikan

Ibn Khaldun dikenali luas menerusi karya beliau yang berjudul Al-Muqaddimah. Walaupun sebenarnya Al-Muqaddimah hanya sekadar pendahuluan kepada sebuah kitab sejarah yang lebih besar, namun kehebatan dan kesarjanaannya membuatkan karya ini jauh lebih masyhur berbanding naskhah sejarah itu sendiri. Kandungan Al-Muqaddimah begitu monumental, penting untuk diberi perhatian, dan wajar dijadikan bahan bacaan asas bagi sesiapa yang ingin memahami dimensi sosiologi, sejarah, serta teori pendidikan dalam tradisi pemikiran Islam.

Dalam Al-Muqaddimah, Ibn Khaldun menekankan beberapa tahap pemerolehan ilmu, termasuk tanggapan berdasarkan pancaindera (sensory perception), pemikiran logik (cognitive faculties) serta inferens. Beliau membincangkan bagaimana seseorang memerhati sesuatu dan mengekstrak komponen-komponen yang terkandung di dalam apa yang diperhatikan, sama ada secara deduktif mahupun induktif, serta memanfaatkan pancaindera untuk memahami realiti sekeliling. Jika pada hari ini kita membayangkan konsep “learning by doing” atau pendekatan Montessori di peringkat awal kanak-kanak, Ibn Khaldun telah lama menjelaskan penggunaan pancaindera dan akal bagi meneliti sesuatu fenomena dengan lebih mendalam.

Ibn Khaldun turut memberikan teguran kepada guru-guru yang cenderung menggunakan kekerasan sebagai hukuman ke atas kanak-kanak. Kesan jangka panjang, menurut Ibn Khaldun, dapat menjadikan murid-murid licik untuk menipu peraturan, seterusnya menjadi malas, tidak bermotivasi, serta hanya bergantung kepada pendekatan ‘carrot and stick’. Keadaan ini akhirnya merugikan masyarakat seluruhnya jika budaya kekerasan dipamerkan atas alasan mendidik. Ia melanjutkan apa yang pernah ditekan oleh al-Ghazali pada era terdahulu.

Ibn Khaldun turut menegur amalan sesetengah guru yang merumit-rumitkan ilmu, seakan-akan mahu menunjukkan “ketinggian” ilmu berkenaan, namun secara tidak langsung mendorong anak-anak merasa putus asa. Pengajaran Ibn Khaldun menjadi relevan apabila kita meneliti isu “the tyranny of curriculum,” iaitu keadaan di mana kurikulum dilambakkan dengan kandungan yang rumit dan kompleks di peringkat awal persekolahan. Anak-anak sukar membina motivasi belajar secara berterusan jika mereka berasa terbeban oleh kurikulum yang tidak sesuai dengan tahap perkembangan kognitif mereka.

Dalam pengalaman saya, pernah saya mempersoalkan mengapa subjek Bahasa Arab yang diajar di sekolah rendah terlalu kompleks, menyerupai tahap universiti. Jawapan yang diberikan kononnya untuk “membiasakan” murid dengan kandungan berat sejak awal lagi. Sikap inilah yang Ibn Khaldun secara spesifik menegur—beliau menyatakan bahawa merumit-rumitkan ilmu di luar tahap pemikiran murid adalah satu kesilapan.

Justeru, Ibn Khaldun membekal kepada kita mesej penting: jika seseorang ingin membina institusi pendidikan—terutamanya sekolah swasta—tidak memadai sekadar bersandar pada kesedaran “Islamik” semata-mata. Aspek ilmu pendidikan hendaklah diterapkan sewaktu merangka dasar dan melatih guru, supaya pendidikan yang dilaksanakan benar-benar selaras dengan keperluan perkembangan murid. Dengan memahami teguran dan saranan Ibn Khaldun, kita dapat mengelakkan diri daripada menjadi ibarat “tikus membaiki labu,” iaitu mencipta lebih banyak kerosakan berbanding kebaikan apabila tidak mempedulikan asas-asas pedagogi dan psikologi kanak-kanak ketika menawar pendidikan alternatif.

PENUTUP

Setelah meneliti secara ringkas idea-idea pendidikan Islam klasik yang dibentangkan, wajar kita bertanya, bagaimanakah penilaian kita terhadap pemikiran mereka? Adakah mungkin pada hari ini umat Islam tekun mempelajari agama pada tahap yang lebih tinggi berbanding suatu ketika dahulu, namun matlamat sebenar agama tidak tercapai? Mungkinkah tumpuan keterlaluan terhadap content telah mengabaikan persoalan the how, iaitu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sepatutnya mencerahkan?

Dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang relevan dan efektif, kita sering mendengar pelbagai alasan untuk menolak model luar—kononnya model Finland “asing” bagi masyarakat kita, model Singapura “tidak sesuai” dengan konteks tempatan, manakala model Jepun “hanya sesuai” untuk keperluan kanak-kanak di Jepun.

Namun, apabila kita meneliti dengan cermat, banyak idea-idea penting yang diketengahkan oleh sarjana Muslim terdahulu sebenarnya telah lama diamalkan secara produktif di negara-negara tersebut. Mereka tidak ambil pusing sama ada amalan itu berasal daripada cendekiawan Muslim atau bukan, atau sama ada dilabel “tempatan” atau “asing.” Sebaliknya, mereka memberi keutamaan kepada amalan yang terbukti berkesan menurut hasil kajian demi kesejahteraan proses pembelajaran kanak-kanak.

Kita perlu menginsafi ego kita yang cenderung mempertahankan kelemahan dan menghiasinya dengan hujah “kita ada cara sendiri,” tanpa menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan “cara kita.”

Jujurnya, jika kita mahu mengangkat jati diri sistem pendidikan sendiri, adalah lebih terhormat untuk bersikap terbuka dan menilai semula amalan yang wujud—bukannya menutup kelemahan dengan retorik lokaliti.

Kita wajib menelusuri, mengkaji, dan mempraktikkan idea-idea para sarjana Muslim yang sesuai dengan konteks semasa, di samping bersedia meneladani mana-mana model lain yang terbukti keberkesanannya bagi meningkatkan mutu pendidikan.

Dengan kerendahan hati, kita akan mendapati banyak ruang yang dapat diisi oleh warisan pemikiran Islam, yang sekian lama tersimpan dalam khazanah tradisi kita, untuk manfaat generasi baharu.

Semuanya berbalik kepada akad kita yang paling utama, kita melakukan semua ini, LILLAHI TA’ALA.

Hasrizal
Naas, Ireland

RUJUKAN DAN BACAAN LANJUT:

1. Al-Oadah, K. F. (1998). The mediaeval Islamic madrasah (Doctoral dissertation). University of Wales.

2. Cook, B. J., & Malkawi, F. H. (Eds.). (2011). Classical foundations of Islamic educational thought: A compendium of parallel English-Arabic texts. Brigham Young University Press.

3. Gilliot, C., & Conrad, L. I. (Eds.). (1995). Education and learning in the early Islamic world. Variorum.

4. Günther, S. (2006). “Be masters in that you teach and continue to learn”: Medieval Muslim thinkers on educational theory. Comparative Education Review, 50(3), 367–388.

5. Günther, S. (Ed.). (2020). Knowledge and education in classical Islam: Religious learning between continuity and change. Brill.

6. Hussain, A. M. (2013). A social history of education in the Muslim world: From the prophetic era to Ottoman times. Ta-Ha Publishers Ltd. 

7. İhsanoğlu, E. (2004). Science, technology and learning in the Ottoman Empire: Western influence, local institutions, and the transfer of knowledge. Ashgate/Variorum.

8. Memon, N. A., & Zaman, M. (Eds.). (2016). Philosophies of Islamic education: Historical perspectives and emerging discourses. Routledge.

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Socialisation: Pergaulan Mempengaruhi Siapa Kita Pada Hari Ini

Kata kunci: functionalism, conflict theory, symbolic interactionism, sosiologi, pendidikan, emansipasi wanita, sirah Pendidikan bukan sekadar …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.