Sheikh Mehmed Birgivi di Minda dan Hatiku

Saya kini kembali bergelar pelajar.

Buat kali yang entah ke berapa.

Kini saya menjadi pelajar sepenuh masa untuk program Sarjana Pengajian Islam di dalam Sejarah dan Tamadun Islam.

Untuk semester ini, saya mengambil lima subjek iaitu:

  1. Fiqh Sirah
  2. Sejarah dan Tamadun Islam Sebelum Kejatuhan Baghdad 1258M
  3. Tamadun Islam
  4. Kajian Teks Sejarah Islam
  5. Metodologi Dakwah di Dalam al-Quran

MEHMED BIRGIVI

Pengajian dan kajian peringkat Master saya tertumpu kepada seorang tokoh pembaharuan, pemikir dan dakwah kurun ke-16 Uthmaniah iaitu Sheikh Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi yang lebih dikenali sebagai Mehmed Birgivi (1522-1573M).

Asalnya saya meneroka aspek Sains dan Teknologi Daulah Uthmaniah. Kebanyakan ahli Sejarah menandakan kemerosotan Sains dan Teknologi Uthmaniah dengan kejadian robohnya Balai Cerap Taqi al-Din (Taqi al-Din Muhammad ibn Ma’ruf) pada tahun 1580, selepas beroperasi selama sekitar 3 tahun.

Kumpulan yang dipersalahkan hingga robohnya Balai Cerap berteknologi tinggi ini adalah sebuah kumpulan Ansar al-Sunnah yang dikenali sebagai Gerakan Kadizadeli. Gerakan ini diasaskan oleh Mehmed Kadizade yang pernah menuntut ilmu dengan Mehmed Birgivi. Ada banyak isu yang berlegar di sekitar Mehmed Birgivi – Mehmed Kadizade – Balai Cerap Taqi al-Din ini dan saya sedang cuba membina kefahaman yang jelas tentang persekitaran zaman itu.

Tumpuan saya ialah kepada magnum opus Sheikh Mehmed Birgivi iaitu bukunya al-Tariqah al-Muhammadiyyah fi Bayan al-Sirah al-Nabawiyyah al-Ahmadiyyah dan terjemahannya Path of Muhammad. Saya dapati pemikiran beliau di dalam buku ini amat dinamik, dan wajar diberi perhatian oleh Perpustakaan Islam semasa dan Muslim era ini.

Berikut adalah salah satu abstrak makalah yang sedang saya tulis mengenai beliau:

Kajian terhadap pemikiran tokoh pembaharuan pada era klasik Uthmaniyah (abad ke-16) masih terhad, lebih-lebih lagi kajian terhadap teks karya buku mereka. Sehubungan itu, makalah ini bertujuan untuk mencerakinkan pemikiran Mehmed Birgivi (1522-1573M), seorang tokoh pembaharuan Uthmaniah era klasik, yang terkandung dalam bukunya al-Tariqah al-Muhammadiyyah fi Bayan al-Sirah al-Nabawiyyah al-Ahmadiyyah. Kajian kualitatif ini dijalankan menggunakan reka bentuk kajian kes iaitu terhadap pemikiran Mehmed Birgivi. Instrumen kajian ini adalah analisis dokumen terhadap dokumen primer tulisan Birgivi bertajuk al-Tariqah al-Muhammadiyyah fi Bayan al-Sirah al-Nabawiyyah al-Ahmadiyyah yang dibaca bersama dengan dokumen sekunder iaitu buku terjemahannya yang berjudul Path of Muhammad. Kajian mendapati bahawa motif penulisan ini disebabkan pemerhatian Mehmed Birgivi terhadap kemerosotan umat Islam dan kemelut politik ketika itu dan beliau cuba memformulakan penyelesaiannya menerusi pengukuhan kualiti individu. Mehmed Birgivi menerangkan kecemerlangan masyarakat dibina menerusi pembinaan ciri-ciri akidah, intelektual dan akhlak pada diri seseorang yang menjadi komponen dalam masyarakat Islam. Mehmed Birgivi tidak memuatkan diskusi berkaitan ibadah dalam buku ini, sebaliknya membincangkannya secara berasingan dalam bukunya yang lain. Walaupun al-Tariqah al-Muhammadiyyah fi Bayan al-Sirah al-Nabawiyyah al-Ahmadiyyah ini ditulis pada era klasik Uthmaniah, tetapi saranan dan pemikiran Birgivi masih relavan untuk konteks semasa dan wajar diketengahkan.

Sheikh Mehmed Birgivi meninggal dunia dalam pemencilan pihak berkuasa pada zamannya di sebuah daerah kecil bernama Birgi, tidak jauh dari bandar İzmir di pantai Barat Anatolia.

Selain mengkaji buku-bukunya, saya berdoa kepada Allah agar dimurahkan rezeki dapat ke Turki Januari ini untuk mengutip bahan berkaitan, menemuramah beberapa sarjana yang mahir tentang beliau dan seterusnya menziarahi pusaranya.

Ya Allah, lorongkan diriku di jalan jihad dan sumbangan buat umat ini, ameen.

HASRIZAL
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Jangan Beragama Sekadar di Pinggiran

kredit foto: demotix.com “Ammu, Ammu, fi sabilillah!” seorang kanak-kanak kecil menarik baju saya. Dia bukan …

2 comments

  1. Assalamu’alaikum Ustaz, adakah namanya memang dieja rumi Taqi al-Din, ataupun Taqiyuddin?

    Bila rujuk2 wikipedia, nampaknya balai cerap dia lebih terkehadapan berbanding ulama ini sendiri.

    Moga bakal sejarawan Islam moden seperti Ustaz dll berpeluang membantu mengemaskini entri-entri sejarah Islam di domain publik berkenaan…

  2. Saadatul Abadiyyah

    Semoga ustaz dipermudahkan jalan untuk menggali jasa dan peninggalan ilmu sarjana-sarjana Islam yang terdahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *