Ukhuwwah Bertaut Semula

Lahmacun

“Bahasa Arab kamu jauh lebih baik berbanding dahulu. Saya sangat gembira dan bersyukur” saya berkata.

“Apabila saya dapat tahu yang kamu merancang untuk datang ke Istanbul, saya berlatih untuk ingat kembali Bahasa Arab” kata Fatih.

“Berlatih macam mana?” saya kehairanan.

“Di televisyen Turki, ada rancangan kartun di dalam Bahasa Arab. Mudah. Dan banyak membantu” jelasnya.

“Haha, sudah tua-tua macam kita sekarang pun, menonton kartun masih keperluan” saya ketawa.

Kereta Fatih meluncur di celah-celah lorong Atasehir. Cara pemanduannya masih sama macam dahulu. Jika tidak kenal, memang kecut perut dibuatnya. Sungguh Turki!

Petang itu kami bertemu kembali.

Selepas 10 tahun tidak bersua muka, syukur Alhamdulillah hari ini saya dikurniakan rezeki untuk bertemu kembali dengan Fatih Kayacan. Sahabat, malah rasanya seperti adik beradik. Hilanglah rindu sedekad berjauhan antara dua benua.

Kali terakhir bersua, kami di hujung usia 20’an, kini usia merangkak menuju 40’an. Pantas sungguh masa berlalu.

“Kamu tidak nampak tua. Masih serupa seperti 10 tahun yang lalu!” kata Fatih.

“Kurangkan minum teh!” saya berseloroh.

Sejujurnya, boleh saya katakan Bahasa Arab Fatih jauh lebih baik berbanding Bahasa Turki saya.

Hebat.

“Fakulti Ilahiyat tidak mampu memaksa kamu menguasai Bahasa Arab. Hanya perniagaan sahaja yang memungkinkannya!” saya mengusik.

“Ukhuwwahlah! Tapi bisnes pun, ya juga!” jawabnya.

Tiba di rumah, Fatih dengan segera menelefon ramai kawan lama kami. Ada antaranya yang sudah tidak beliau hubungi bertahun-tahun. Mereka berhubung kembali kerana meraikan kehadiran saya. Fungsi yang memang selalu terjadi pada kehadiran saya, iaitu mengukuhkan asbab untuk berkumpul kembali.

Hasan Ersoy.

Islam Demirci.

Hakkan Ozturk.

Malah sepupunya Murat pun ditelefon.

“Ahhh, Hasrizal. Datanglah ke Istanbul!!!” Murat menjerit di telefon.

Beliau melambai-lambai di CCTV setor di Bolvadin, tempat beliau bekerja, yang dipantau oleh Fatih melalui skrin komputer di Istanbul.

“Sampaikan salam saya kepada Hasan Amca. Jika ada peluang, Insha Allah saya ke Bolvadin!” saya bertatih-tatih dalam Bahasa Turki yang seperti sudah tidak tersisa lagi.

Saya melihat sendiri betapa sibuknya Fatih menguruskan kedai. Memahami kebiasaan itu, saya meyakinkan Fatih agar tidak bimbangkan saya ketika beliau terpaksa menjawab panggilan telefon bertalu-talu dan dikunjungi pelbagai orang yang berurusan.

Terkenang saya kepada buku Secangkir Teh Pengubat Letih. Ia tidak akan terhasil, jika saya sentiasa mahu berprogram. Adakalanya, saya duduk sahaja di pejabat, di rumah, ada kalanya Fatih terlupa dan tertinggal saya di kedai pakcik beliau, dan semua kejadian itu saya isi dengan pemerhatian terhadap sekeliling, dan sesekali berbual dengan sesiapa sahaja yang menjengah.

Di setor kedainya, Fatih memperkenalkan saya kepada pekerja-pekerja beliau. Mereka amat menghormatinya dan teruja dengan kunjungan saya.

“Inilah Hasrizal yang saya ceritakan itu!” katanya memperkenalkan saya.

“Hoş geldiniz!” seorang demi seorang berjabat tangan dan berpelukan.

581376_471757989512513_1489921412_n

15 tahun sudah berlalu

“Hasrizal, Masha Allah rindunya saya kepada kamu. 10 tahun kita tidak berjumpa!” kata Fatih.

“Ya… 10 tahun saya menunggu peluang ini. Tetapi sedih juga sebab isteri dan anak-anak tidak dapat hadir bersama!” saya memberitahu.

“Benar. Insha Allah untuk pertemuan akan datang, janganlah tunggu 10 tahun lagi. Bawa mereka datang” ujarnya.

“Insha Allah!” saya menjawab.

Terkenang hadith Nabi sallallaahu alayhi wa sallam, daripada Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu Nabi sallallaahu alayhi wa sallam bersabda yang bermaksud :

“Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya (Salah satunya) Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

10 tahun yang lalu kami berpisah kerana Allah.

Hari ini bertemu semula, bulat hati juga kerana-Nya.

“Fatih, hebatnya kamu berbahasa Arab!” kata Lukman.

“Haha, Fatih hebat bercakap Arab, tetapi sebenarnya Hasrizal tidak faham apa yang Fatih cakap. Itulah yang sebenarnya!” katanya berseloroh.

Kami ketawa besar.

Dalam tawa, ada banyak isu besar yang menanti untuk disembangkan. Malam nanti, di rumah Insha Allah.

Hasrizal @ 43000 BSP

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (4721) Pelawat

Comments

3 comments

  1. Moga Allah kurniakan Naungan-NYA buat Ust dan sahabat sekelian..

    dan buat kami juga…Allahumma Amiiin…

  2. Nampak sedap roti yang dihidang. Panjangnya cili hijau tu.

  3. Allah……saya juga merindui turki….Tesekur ederim ustaz kerana mengamit semula memori saya di turki…Mungkinkah ustaz adlh salah seorg yang melawat kami ketika di akcakoca yurdu, uskudar pada tahun 1997?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>